Mengikut Buletin itu, takrif kamus bagi kosa kata fobia ialah ketakutan atau kebencian yang mendalam; ketakutan dan kebencian yang tidak rasional atau amat kuat terhadap sesuatu.
Secara mudah menurut keterangan Buletin itu lagi, islamofobia ialah ketakutan atau kebencian yang tidak rasional atau amat kuat terhadap Islam. Fobia berkait Islam sebenarnya lebih dari itu, sebab ia turut melibatkan kebencian kaum, sikap tidak bertoleransi, prejudis, diskriminasi dan stereotaip.
Fenomena fobia terhadap Islam ini pada asasnya berupa kebencian yang merujuk kepada agama. Ia mempunyai dua aspek berbeza: dari sudut pemain islamofobia dan dari sudut mangsa islamofobia.
Istilah fobia ini sudah lama wujud tetapi yang dikaitkan dengan Islam hanya diperkenalkan pada tahun 1996 oleh Suruhanjaya Muslim British dan Islamofobia. Suruhanjaya tersebut mengeluarkan laporan yang dikenali sebagai "Runnymede Trust Report Islamophobia: a challenge for all of us" dan telah menginstitusikan kosa kara tersebut bagi maksud prejudis terhadap Islam. Sedangkan kosa kata tersebut secara harfiahnya bermaksud ketakutan yang tidak berasas terhadap Islam.
Laoran Runnymede itu turut menggaris beberapa komponen yang mendefinisikan islamofobia, iaitu:
- Islam dilihat sebagai blok bersendiri, jumud dan tidak berkembang.
- Islam dilihat sebagai terpisah dan "orang lain". Ia tiada nilai persamaan dengan budaya lain, tidak mempengaruhi mereka dan tidak dipengaruhi mereka.
- Islam dilihat sebagai lebih lemah berbanding Barat. Ia tidak bertamadun, tidak rasional, kuno dan mendiskriminasikan wanita.
- Islam dilihat sebagai ganas, agresif, mengancam menyokong keganasan dan terlibat dalam pertembungan peradaban.
- Kritikan muslim terhadap Barat ditolak mentah-mentah.
- Permusuhan terhadap Islam digunakan untuk menghalalkan amalan diskriminasi terhadap Muslim dan mengasingkan Muslim dan khalayak awam.
- Permusuhan anti muslim dilihat sebagai biasa dan normal.
Ketakutan dan kebencian yang tidak berasas ini juga turut melanda umat Melayu di negara kita. Sesiapa yang rajin melayari apa sahaja bahan dalam internet, mereka akan menemukan sejumlah kebencian yang dilontarkan meskipun dalam bentuk komen yang sedikit atau sederhana. Komen yang dipaparkan itu menandakan ada "kebencian" terhadap Islam. Perkara ini tidak dipandang sangat, mungkin yang melontarkan pandangan dan komen itu adalah orang Melayu sendiri. Contoh, mereka melontarkan komentar tentang janggut, tentang purdah, menutup aurat atau marah-marah, merungut hanya hal kecil yang berkaitan dengan majlis ilmu, atau memandang jumud kepada kelompok yang berambisikan kepada Islam.
Sikap dan pandangan ini sebagaimana Laporan Runnymede [komponen 1, 3, dan 7] juga wujud dalam dunia Melayu kita. Mereka selalu memandang sinis kepada apa sahaja agenda Islam, bahkan mereka lebih suka melakukan semacam dekonstruksi untuk disesuaikan dengan cita dan pandangan hidup atau pandangan politiknya.
Sebenarnya "perang terminologi" sudah lama berlaku. Islam lawan Barat telah menghasilkan banyak terminologi yang perlu huraian tambahan. Kerangka terminologi yang ada masih berlegar pada persepsi Barat kerana merekalah yang mencipta kosa kata itu untuk dihalakan kepada Islam.
Di negara kita, media perdana selalu memprojeksikan kerangka Islam yang diperjuangkan oleh pihak lawan sebagai perkara yang jumud, ketinggalan, bahkan ada yang mengatakan tidak sesuai dengan perubahan zaman.
Jika dicermati bahawa peranan terminologi berfungsi sebagai wadah yang diisi dengan muatan tertentu, atau sebagai alat yang membawa misi makna akan ditemukan keabsahan banyak terminologi atau ungkapan-ungkapan idiomatik untuk menyampaikan peranan sebagai wadah dan alat sepanjang perjalanan semua peradaban yang berbeza-beza, dan interaksi pemikiran yang berlainan, ideologi dan aliran yang berbagai.
Isu fobia tadi ada kaitan dengan al-Maqasid al-Kuliyyah al-Khams li as-Syariyah iaitu melindungi jiwa, agama, akal, kehormatan dan harta.
Berkaitan dengan islamofobia tadi, dalam pada fobia terhadap Islam, umat Melayu sendiri tidak memahami terminologi sekularisme, tidak memahami terminologi fundamentalisme, demokrasi, parti politik, reformasi, revolusi, nasionalisme, batiniyah dan banyak lagi terminologi yang akrap dengan umat tanpa sangsi dan fobia pun.
Kini selain fobia dengan Islam, ada juga fobia terhadap pertukaran kerajaan pada pilihan raya kali ini. Ada yang fobia kalau negara ini muflis kerana ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Fobia dengan DAP dan PAS. Dan sangat memelikkan golongan yang merasa fobia ini tidak fobia pula terhadap Dacing. Mereka tidak fobia apabila korupsi terus menjadi barah, salah guna kuasa, banyak berlaku ketirisan dan bermacam-macam kekeliruan. Hakikat sebenarnya apabila fobia dengan pertukaran kerajaan, fobia dengan Spring Melayu, itu secara tidak langsung berkaitan dengan islamofobia. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment