Biasa kedengaran di mana-mana orang sembang bahawa masa semakin singkat sekarang. Betapa tidak, zaman dahulu orang tidak memiliki jam tangan, tidak peduli masa. Semuanya bergantung kepada matahari, terbit fajar, matahari sepenggalah, tegak di kepala, condong, dan sebagainya. Hari ini, semua orang ada jam tangan, tidak cukup jam tangan, ada handphone dan gajet yang bermacam-macam. Semuanya mengingatkan kita kepada masa. Masa bertambah cepat kalau kita asyik fikirkan hujung bulan. Sudah masuk tengah bulan, kita asyik mengharap masa dipercepatkan. Hujung bulan boleh jadi ada acara penting, atau ada gaji, atau apa sahaja yang menggembirakan.
Selalunya kita mengharapkan masa bergulir lebih cepat kalau berhajatkan sesuatu. Tak sabar rasanya hendak sampai ke hari yang penting itu. Seperti orang yang mahu dibebaskan dari penjara. Atau menunggu tarikh mendapat ganjaran wang ringgit yang besar. Atau menunggu akan dapat anugerah yang paling berprestij. Atau menunggu hari album single akan dilancarkan. Buku baru berada di pasaran. Tidak sabar menunggu. Kalau boleh biarlah masa bergerak lebih cepat kerana ada hajat tertentu. Bagaimana kalau seseorang yang menunggu hukuman mati umpamanya? Adakah mereka mengharapkan masa dipercepatkan? Sudah tentu mereka ingin agar diperlahankan. Tidak mahu melihat kalendar dan jam. Tidak perlu bertanya warden penjara.
Berhubung perjalanan masa yang dirasakan begitu pantas sekarang, ia berpunca dari kesibukan umat. Kesibukan bekerja demi duniawi menyebabkan kita rasa masa begitu cepat berjalan.
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api." (HR.at-Timirdzi)
Al-Karmani menyatakan maksud dengan singkatnya masa itu adalah apabila telah dicabut keberkatan daripada masa yang ada. Akibatnya, dalam sehari tidak banyak perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang.
Apa yang dinyatakan dalam hadis tadi, ia adalah gambaran keadaan di akhir zaman. Umat akan merasakan masa semakin singkat. Ada orang kata, pejam celik, pejam celik, dah nak sambut puasa. Pejam celik, pejam celik, dah sampai hujung tahun. Masa dirasakan begitu pantas, padahal satu jam itu tetap 60 minit, dalam sehari semalam ada 24 jam! []
No comments:
Post a Comment