Cerita tentang tumbal ini memberi gambaran bahawa manusia kena tunduk kepada kehendak syaitan tidak dapat tidak.
Tumbal yang biasa disebut-sebut oleh mereka yang mengadakan perjanjian dengan syaitan adalah dengan cara mengorbankan musuh di dunia ini. Cara ini mungkin dianggap selamat kerana tidak melibatkan diri sendiri.
Akan tetapi dalam dunia ini bukan senang hendak cari orang yang dibenci untuk ditumbalkan. Akhirnya orang yang mengikat janji dengan syaitan itu kena tumbalkan ahli keluarganya sendiri secara senyap-senyap, kalau boleh jangan bagi sesiapa tahu kerja jahat yang empunya ilmu karut ini.
Kalau korban ahli keluarga pun tidak sanggup, bolehlah korbankan janin. Bayi dalam kandungan [tujuh bulan].
Andai tidak ada juga, maka kenalah korbankan diri sendiri. Ini seperti orang hendak bunuh diri. Tidak apalah dia mendapat kekayaan agar semua orang puas hati, orang tua, mertua dan ipar duai senyum lebar melihat dia telah berjaya melonggokkan harta kekayaan. Tetapi mereka semua tak tahu, kalau dia telah mencagarkan nyawanya kepada syaitan.
Ada yang mencagarkan nyawanya untuk tempoh 5 tahun, 10 tahun atau 15 tahun. Orang yang menjalin kerjasama dengan syaitan ini sanggup "bunuh diri" mengabdi kepada syaitan. Konon genap perjanjian, syaitan akan "mengambil nyawanya" dan orang itu akan dijadikan budak suruhan dalam dunia syaitan.
Ada orang mengamati kisah ini sebagai keterlaluan kerana ada sikap mengalah kepada jin dan syaitan/iblis, kenapa sebagai makhluk yang berakal tidak melawan sahaja syaitan-syaitan durjana itu?
Contohnya, sesiapa yang sudah nekat buat perjanjian hendak mencagarkan isterinya yang cantik kepada syaitan, maka apabila tempoh perjanjian sampai dia boleh menentang perjanjian itu.
Boleh atau tidak? Jika selama ini kisah-kisah persugihan atau persahabatan dengan makhluk itu memberi gambaran betapa rendahnya manusia di tangan syaitan dan iblis, maka kenapa tidak melawannya habis-habisan? Kenapa perlu tunduk kepada syaitan dan iblis?
Ada cerita menarik apabila seorang lelaki yang hidupnya susah telah menemui penjaga kawasan mistik yang dipanggil Batu Lebar. Dia yang berhajatkan bantuan dari syaitan perlu menyatakan apakah cagarannya agar permintaan itu dipenuhi oleh syaitan?
Orang itu memang sudah tahu risikonya adalah nyawa. Nyawanya sahaja yang boleh ditumbalkan. Dan dia telah menetapkan sekian tahun. Makhluk jahat itu setuju menolong orang itu dengan cara mistik, tetapi cagar nyawa itu perlu ditetapkan tahun dan tarikhnya.
Kalau dia ikat perjanjian [tidak dimatikan setemnya] dengan syaitan untuk jangka masa 10 tahun, dia akan menikmati masa panjang bersenang lenang dengan duit yang banyak. Konon, sebaik perjanjian dimatrikan, sang syaitan pun suruh orang bingung itu mengutip daun kayu yang bertaburan di situ, masukkan dalam guni, pijak sendat-sendat, bawa balik.
Biar orang kata dia sudah gila. Daun kering dibawa pulang, nak buat apa. Konon kerana dia ada perjanjian syaitan untuk dapatkan dana ghaib, maka sebaik sampai rumah, seguni daun itu telah bertukar jadi duit kertas. Maka pengsanlah isterinya melihat duit sebanyak itu. Maklum tak pernah tengok duit banyak [di Malaysia ada orang kaya memiliki wang sampai puluhan billion kerana ada kuasa dan pengaruh; tumbalnya adalah dia dibenci rakyat, sentiasa jadi bahan hinaan, ceritanya berjela-jela, jadi intipan penyiasat asing dan kemudian didedahkan kekayaannya. Ini adalah tumbal juga].
Orang tadi, kini boleh hidup senang, tetapi dia kena buat sajian bagi menjamu syaitan sebagaimana yang diajar oleh jurutunjuknya [paranormal, jurukunci, dukun, pawang].
Lain syaitan, lain pula yang diminta.
Apabila hampir genap 10 tahun, orang yang tadi kutip daun di tengah hutan naik bingung. Sebabnya dia sudah ikat janji, dia boleh hidup selama 10 tahun sahaja, lepas itu syaitan akan ambil sebagai tumbal. Itulah cagaran hidupnya untuk mendapatkan kekayaan atas bantuan syaitan.
Setelah pusing keliling mencari solusi, dia terfikir, kenapa bangang sangat? 10 tahun mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Maka baru dia teringat. Masa yang dilalui itu penuh dengan khayalan, memuja syaitan dan menjadi sebahagian ahli kelab syaitan.
Dia bertemu seorang ustaz. Dia ceritakan apa yang telah dia lakukan. Dia beritahu ustaz apa yang berlaku dulu. Dia sanggup pergi ke tempat mendapatkan dana ghaib di Batu Lebar [Watu Ombo].
Perjanjian dengan syaitan dan iblis itu boleh dibatalkan. Kenapa nak ikut cakap syaitan?
Ustaz pun suruh orang tadi melakukan beberapa tindakan, iaitu:
- berpuasa mutih [ada mantera dibaca], makan nasi tak berlauk, dan minum air putih sahaja selama seminggu, jika mula Isnin akan tamat Isnin depannya.
- selama puasa, kena bangun malam, solat sunat, berzikir, berdoa dan membaca al-Quran sampai ke subuh. Tindakan ini secara tak langsung membaiki dirinya yang telah melupakan solat lima waktu selama berkawan dengan syaitan.
- dia kena berpuasa ngebleng [tak boleh makan minum, keluar rumah, kurangkan tidur, lepak di rumah 24 jam - kecuali ke tandas] selama 5 hari.
- pada hari ke-5, hari terakhir berpuasa ngebleng itu dibenarkan keluar rumah bagi tujuan darurat, iaitu ingin ke tempat keramat itu dan mahu berjumpa dengan syaitan terkutuk [kalau ada]. Tetapi dia dinasihatkan berselawat dan berdoa di tempat syaitan itu.
Lelaki yang hendak menentang perjanjian syaitan ini berwuduk dan mencari kawasan lapang di atas batu yang agar lebar. Dia bentang sejadah, dan mengerjakan solat sunat di situ. Dia duduk bersila dan berselawat berulang-ulang di samping bacaan doa yang lain.
Apa yang terjadi?
Menurut ceritanya, ketika dia beramal begitu, syaitan yang ada di situ kepanasan, terganggu, dan makhluk itu marah bukan main. Barangkali syaitan itu hairan melihat lelaki itu. Selama ini orang yang datang ke situ semuanya ikut cakap syaitan, tetapi yang satu ini bukan main degil, keras hati nak melawan cakap syaitan.
"Kenapa kamu menyusahkan kami? Membuatkan alamku huru-hara, kacau-bilau, panas membahang? Apa yang kamu mahukan?" suara syaitan itu meledak bagai petir.
Lelaki yang telah bertaubat dan telah berubah itu mengadukan halnya kepada syaitan. Dia mahu agar perjanjian yang dulu itu dibatalkan.
Syaitan akhirnya mengalah. Ia terpaksa memenuhi permintaan lelaki itu. Doa dan ayat-ayat yang dibacakan menyebabkan syaitan kepanasan. Ada juga lelaki yang pintar. Dia tidak mahu mengalah kepada perjanjian syaitan. Memang betul dulu dia sudah cagarkan nyawanya kepada syaitan, tetapi apabila tempohnya sudah dekat, ia masih boleh dirayu. Ini hanya perjanjian dengan makhluk, boleh digugurkan jika mahu.
Hanya selama ini manusia tertipu oleh mainan syaitan. Perjanjian apa pun dengan syaitan dipenuhi. Syaitan minta apa sahaja sajian dilayani. Tetapi lelaki yang satu ini setelah merujuk kepada seorang ustaz dia dengan beraninya menentang syaitan di Batu Lebar.
Inilah kejayaan seorang yang menyedari bahawa selama ini dia sudah terikut-ikut rentak para dukun persugihan yang membawanya sampai ke Batu Lebar. Dan di situ dia benar-benar dikelirukan oleh mainan jurukunci yang juga paranormal persugihan.
Kini dia sudah bebas dari gangguan syaitan itu. Biarpun dulu dia sudah cagarkan dirinya kepada syaitan demi mendapatkan kekayaan, masalah ini sudah dapat diselesaikan. Keberanian lelaki ini menentang syaitan mungkin boleh dijadikan teladan kepada yang lain. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment