Saturday, 23 March 2013

INI BINATANG MAKAN NASI BERAKNYA DUIT!

Sekarang agak sukar untuk mencari pedagang ubat kaki lima seperti tahun 70-an, 80-an, 90-an dan 2000-an. Ketika maraknya pedagang kaki lima, bilangan peniaga kaki lima begitu besar bilangannya hingga tak muat lorong dan lokasi yang ada. Di Jalan Melayu, depan Wisma Yakin dan depan Masjid India, pernah dijadikan lokasi peniaga ubat tradisional. Ketika itu ramai yang buka gelanggang, daripada yang jual minyak pengasih, jual benda mistik, jual minyak panas dan bawa ular tedung, jual air jampi dan air Yassin, minyak dhab, cula buaya [?], teras kayu, batu-batu geliga, buntat laut, kayu limpas walang Kalimantan, minyak pengasih Pak Dayak, dan macam-macam lagi.
Ketika itulah mencelah anak-anak muda yang entah datang dari mana, mungkin dari Sumatera, Jawa, Kalimantan dan Sulawesi sana. Ada yang datang bergaya Dayak, datang bergaya Irian Jaya, cara Kejawen dan keradenan, dari Sumatera yang tidak diketahui dari marga mana. Semuanya tampil sebagai pedagang kaki lima.
Maka yang menariknya, ada anak muda yang menjerit-jerit sebagai kaedah menarik perhatian orang ramai agar berkumpul di depannya. Masa itu, kumpulan yang paling padat dan sendat membuktikan kehebatan pedagang jalanan itu menjual produknya.
Teringat saya seorang [bahkan menjadi mukadimah dalam pesta pedagang jalanan] anak muda yang memulakan lakonannya dengan meletakkan benda yang boleh bergerak-gerak kerana ada kuasa bateri. Pada masa itu, kucing mainan kanak-kanak yang menggunakan bateri masih kurang. Kesempatan ini digunakan oleh pedagang kaki lima untuk menghiburkan orang ramai.
Kucing mainan itu diisikan bateri agar ia memberikan tindak balas kalau ada orang bertepuk di depannya. Hasil dan tepukan itu kucing mainan yang lucu itu akan menggerakkan kakinya bergerak ke depan.
Anak muda pedagang kaki lima dari seberang ini telah menjadikan kucing mainan kanak-kanak ini sebagai mukadimah buka gelanggang.
Kucing mainan yang boleh bergerak itu ditutup dengan kain hitam. Dan dia pun menggunakan suaranya yang nyaring, "Hooooop! Hoooop!" Satu lorong akan mendengar jeritannya.
Orang ramai yang sudah berkumpul di tempat lain segera beredar dan mendekati lelaki itu. Itulah hiburan orang pejabat yang mengisi masa ketika rehat.
Mereka seronok tengok orang jual ubat dan jual temberang sekali.
Anak muda tadi bersuara lagi: "Hoooop!" dia boleh ulang berkali-kali sambil matanya melirik ke arah orang ramai. "Ini binatang makannya nasi, tapi beraknya duit!" katanya.
Orang ramai yang berdiri di depannya tidak pernah memikirkan kata-kata itu.
Binatang apakah yang makan nasi dan berak duit?
Memang tidak ada di dunia ini haiwan yang begitu hebat. Ia hanya mukadimah. Apabila orang sudah ramai, cerita binatang yang makan nasi berak duit langsung tidak digubris. Dia terus mengoceh tentang kepintarannya menyediakan batu cincin yang berkhasiat, sesiapa memiliki batu itu dia menjadi orang yang beruntung. Ia boleh dijadikan pegangan orang berdagang, pegangan orang bekerja, menjaga keselamatan, mengelak dari kemalangan dan sebagainya.
Pendeknya, ketika itulah dia bercakap semau-maunya tentang benda mistik yang tidak masuk akal.
Orang mudah terpengaruh sekalipun tali lehernya lebar bukan main. Termasuk pekerja bank, pegawai di syarikat perkapalan, syarikat tekstil dan macam-macam, apabila memasuki dunia pedagang kaki lima mereka ikut jadi lembab memikirkan, termasuk cerita ada binatang makan nasi berak duit tadi.
Di antara yang berkerumun itu, ramai yang jenis gelandangan dan penganggur. Maka dari mula buka gelanggang sampai tamat, dia masih nongkrong di situ. Sambil merokok atau ngobrol santai, pedagang kaki lima itu mengakhiri acaranya dengan melipat kain hitam, binatang yang katanya berak duit itu dimasukkan ke dalam beg hitam.
Tidak ada seorang pun bertanya, "Apa binatang yang kamu bilang makan nasi berak duit tadi?"
Seorang pun tidak ada yang bertanya atau melayan temberang pedagang kaki lima tadi.
Inilah kepintaran pedagang kaki lima menarik orang ramai agar berkumpul di depannya. Orang mungkin ingin tahu, haiwan apa yang makan nasi dan berak duit. Sampai ke akhir mereka tidak dapat jawapan.
Begitulah lelaki itu. Setiap kali buka gelanggang dia akan cerita perkara yang sama. Kucing mainan itu dijadikan sarana untuk membudakkan orang lain. Jadi bingung dan seronok dikelabui.
Sampai sekarang, tidak ada siapa menjawabnya. Haiwan apakah yang makan nasi dan berak duit? Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment