Thursday 30 August 2012

MAYAT WANITA DIMAKAN LINTAH, KENAPA?

Akibat Suka Berzina Mayat Seorang Wanita Dimakan Lintah.. | Ilmu Online

ORANG TAK SOLAT BANYAK CERAI?

Peratus kes cerai, latar belakang tinggalkan solat | Ilmu Online

JANGAN MENGAKU IKUT IMAM SYAFIE KALAU TAK TAHU

Petua Imam Syafie Yang Patut Diikuti | Sumber Islam Online

GAMBARAN SALAH TENTANG HUDUD

Isu Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah | Sumber Islam Online

PAKAIAN WANITA ISLAM ITU BAGAIMANA YA?

8 Sifat Pakaian Wanita Dalam Islam | Sumber Islam Online

MAJALAH HIBURAN SUMBER BERBAGAI "FATWA"

ANAK MUDA di mana-mana, termasuk bujang tua juga suka membaca majalah hiburan. Maklumlah dalam majalah hiburan ada cerita tentang artis itu dan ini. Baik artis terkenal, yang sedang melonjak namanya sampai setinggi pokok kelapa, atau setinggi pokok terung di belakang rumah sahaja.
Maka setiap artis atau mereka yang rasa namanya gah di persada hiburan tanah air akan memiliki majalah itu. Kalau ada gambar peribadi disiarkan, maka seronoklah, malah konon dibeli sampai beberapa buah, bagi pada kawan-kawan dan tunjuk pada emak bapak. Bangga you!
Seperti biasa, sesiapa pun buat majalah hiburan tentulah nak melariskan jualannya. Kalau boleh nak menambah bilangan sirkulasi majalah. Biar sampai puluhan ribu, kemudian naik lagi hingga ratusan ribu. Iklan pun kena masuk juga. Bukan semua syarikat nak pasang iklan kalau majalah diedarkan setakat 10 ribu naskah. Mereka tentu cari yang edarannya sampai 1.5 juta kalau boleh.

LAMBAKAN

Teringat bagaimana sukarnya kawan-kawan terbitkan majalah hiburan. Dah melambak-lambak, asyik cerita artis yang itu juga. Gambar kalau boleh disiarkan dengan pose yang daring habis. Bikin gosip atau ghibah, laporan tak banyak mana, tiga atau lima para, tapi gambar kena penuh, dengan aksi pelbagai, melintuk meliuk, mengirai rambut, melondeh dan mengada-ngada, bahkan kalau boleh duduk mencangkung macam orang nak berak pun. Asalkan glamor.
Biasanya, sang editor dan pembantunya pening nak siapkan sebuah majalah. Sekali terbit majalah, kena kejar date line setiap bulan, pening fikirkan apakah sajian yang sedap untuk dibaca oleh pembaca.
Kalau asyik hidangan yang sama, maka hambarlah. Kaedah ini pun sama bagi mereka yang terbitkan majalah keagamaan, mengenai roh Islam dan sebagainya, begitu majalah misteri dan mistik, majalah fesyen, majalah masakan lagi haru [bahan resepi disebutkan, tapi lupa nak buat lagu mana dengan rencah yang dah siap dipotong, cuba semak buku resepi majalah yang ada - banyak caca marba asal ada gambar sedap dah cukup].

LUPUT TARIKH

Nak buat majalah bukan senang, kena pandai atur tarikh. Siap masa bila, edar masa bila. Dalam pasaran berapa lama? Majalah cepat luput tarikh. Orang nak kejar yang baru. Belum masuk Oktober misalnya, kena siapkan pertengahan bulan.
Dalam bab majalah hiburan ini, ada orang lupa. Dek kerana nak mengejar kuantiti edaran, ada yang tergiur dengan paparan berahi dalam majalah.
Gambar perempuan dengan aksi yang menggoda dibesarkan, tajuk pun mengada-ngada, siapa yang ambil gambar? Dah tentu jurugambarnya.
Ada yang ambil gambar di luar studio dan ada yang di dalam studio. Dari pengalaman menjaga meja akhbar tabloid, ada juga jurugambar "mabuk daun" hantar gambar penyanyi pub di Pertama Kompleks berbogel habis, ketika itu jurugambar dan wartawan itu baru nak belajar menulis, kemudian dia usung kamera video TV, kemudian khabarnya sudah bergelar Datuk! [maaflah Datuk kalau terbaca blog ini].

BAHANA MAJALAH

Apabila mengikut tazkirah, jarang ada ustaz yang berani bercakap tentang bahana majalah Melayu yang ada di pasaran kita sekarang.
Majalah Mangga umpamanya adalah majalah yang menjurus kepada kerendahan moral dan akhlak Melayu [belum bab Islam lagi], perhatikan bagaimana paparan gambar dari kulit depan hingga kulit belakang - sudahnya majalah itu layak dijadikan pelapik buntut periuk atau campak ke longgokan sampah. Tetapi majalah itulah yang anak-anak sekolah kita beli, simpan dalam beg sekolah, tengok ramai-ramai masa rehat atau ketika cikgu ponteng mengajar.
Majalah hiburan paling digemari budak sekolah dewasa ini termasuk cikgu-cikgu muda. Maklumlah dalam majalah hiburan bukan ada cerita lain pun, hanya cerita artis, cerita pelakon seksi itu dan ini, cerita apa kegemaran artis, apa makanan kesukaan mereka, apa yang disukai dan apa yang dibenci -- pendeknya semua orang nak tahu.

SERUPA

Jangan kata majalah Mangga sahaja, majalah lain pun serupa. Semua nak berlawan-lawan siapa berani siarkan gambar separa bogel artis itu dan ini. Untuk tak nampak sengaja, diambillah gambar di kolam mandi. Dah tentu jurugambarnya pun memang suka ambil gambar begitu, yang khusus disimpan untuk kenangan di masa tua nanti.
Ada ustaz menasihat, jauhkan anak-anak anda daripada majalah hiburan yang ada -- baik dalam bahasa orang putih, Perancis, Hindi atau Melayu. Keburukannya lebih banyak daripada kebaikan. Kecintaan anak-anak muda kepada bahan keagamaan semakin menjauh, menyebabkan mereka ketagih dengan paparan begitu setiap bulan, ia juga bergandingan dengan program televisyen di rumah.
Sedangkan televisyen adalah punca kemaksiatan yang nyata yang umat Melayu tak ambil peduli pun. Bahkan di mana-mana rumah pun orang berbangga memiliki LCD yang paling canggih dan berukuran besar. Menikmati layar yang besar bak berada di panggung. Maka bersantaianlah sepanjang masa, menikmati program hiburan dari pagi sampai ke malam.
Kata ustaz, masa untuk beribadat semakin kecil, bahkan banyak yang tertunggak kerana pengaruh tv yang melalaikan.

PETAKA

Pengaruh majalah hiburan dalam dunia kecil Melayu memang membawa petaka. Majalah hiburan menjadi saluran menjaja kemaksiatan. Bukan tidak ada bahan yang menjurus keagamaan, tetapi ia hanya tempelan dan tidak serius. Lagipun ia majalah hiburan, yang memaparkan perempuan buka aurat dari halaman depan hingga ke hujungnya.
Maka ada ustaz bertanya, bagaimana kalau gambar yang menggiurkan itu ditampal di rumah-rumah umat Islam dan kemudian ia dianggap tidak ada apa kesan pun.
Bukankah gambar-gambar makhluk bernyawa itu tidak dibenarkan dijadikan hiasan rumah orang Islam? Akan tetapi lihatlah, berapa banyak rumah kita yang di dalamnya ada poster-poster dan gambar artis, gambar model berbikini, gambar seniwatai Hindustani, gambar Shahrukh Khan dengan pasangannya, dan kita anggap tak apalah, bukan salah pun!
Mereka tidak fikir kalau malaikat rahmat tak mahu masuk ke rumah yang begitu. Akan tetapi berapa banyak rumah Melayu yang ada gambar-gambar begitu, dan di situlah mereka mengerjakan solat sendirian, bilik solat dihias dengan gambar model dan aktor tersohor.
Maka kata ustaz, jurugambar model itu sama terlibat bersekongkol menyebarkan kemaksiatan, belum bab sang editor dan wartawan yang sibuk dengan paparan berani itu.

GAMBAR MAKSIAT

Gambar itu akan kekal, dan dicetak puluhan ribu, jadi kebanggaan sang jurugambar, namanya dicatat di bawah gambar. Bukankah itu adalah kenistaan? Ya, bagi kebiasaan yang tidak memandang apa pun kesalahan dari segi moral dan agama, maka ia dipandang biasa.
Ada orang hobinya mengumpul majalah hiburan. Gambar-gambar bintang filem lama disimpan lagi. Entah apa yang hendak dibanggakan.
Seorang ustaz pernah menegur, gambar-gambar itu tidak membawa faedah pun, bahkan akan menambahkan dosa kepada penyimpannya. 
Gambar dedah auratlah yang paling banyak, mana ada majalah yang mahu fokus kepada artis bertudung? Kecuali majalah yang menjurus kepada keislaman. Yang lain semuanya kisah dedah, kisah rumah tangga, kisah gaduh, kisah anak tak mahu minum susu, kisah anjing peliharaan, kisah melancong ke luar negeri atau kisah berapa kali artis buat umrah!

KEMARUK

Akhirnya, bagi sesiapa yang kemaruk dan ketagih dengan majalah hiburan, mereka kan mendapat pelajaran baru, mereka akan mendapat berbagai fatwa yang ditulis oleh para wartawan yang belum celik ilmu. Fatwa yang bukan fatwa itu dianggap tak apa, tak salah, apa salahnya, dibolehkan dan macam-macam fatwa lagi.
Kemudian ada keperihalan yang berlaku dalam dunia penerbitan majalah hiburan, iaitu golongan lesbi dan homo diberi paparan seenaknya. Atau kalau kebetulan ada kalangan jurugambar dan wartawan yang cenderung kepada kelembutan -- lelaki lembut -- maka mereka akan membuat berbagai fatwa pula dalam tulisannya, membenarkan sesuatu yang ditegah.

MUZIK

Satu lagi majalah hiburan adalah sumber kepada pemaparan dunia muzik dan nyanyian yang melekakan. Umat Melayu sudahlah leka, dengan adanya santapan begini bertambah lekalah mereka. Idola mereka semuanya palsu. Mereka langsung tak terusik oleh ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh tentang keharaman muzik dan nyanyian, apalagi gambar wanita dedah aurat, gambar wanita berbaju mandi di tepi kolam mandi kondo mewah.
Kemudian ada pula pengendali majalah hiburan yang sibuk mencari kes-kes dahsyat. Tajuk yang ganas-ganas untuk menarik perhatian pembeli muda.
Dipaparkan tajuk yang amat keras dan bahaya. Isinya pun bukan lagi dahsyat. Maka semua ini adalah kecenderungan yang nyata untuk melariskan majalah tersebut. Apa akan jadi sudahnya? Ia adalah bekal bagi orang yang menulis dan memaparkan bahan itu.Itulah amalan "jariyah" yang hendak ditinggalkan, itulah "ilmu" yang memberi manfaat kepada yang ditinggalkan.
Setelah usia meningkat dan mahu kembali ke pangkal jalan, gambar model zaman dulu, tulisan tentang seks dan skandal yang diaparkan zaman dulu akan membekas dalam relung qalbu masing-masing.
Tidak hairan, pengendali majalah hiburan sering dikatakan memiliki qalbu yang gelap. Mereka asyik bercakap tentang kenistaan, bercakap tentang ghibah, kemudian menarik pembaca agar meniru-niru kelakuan golongan bukan Islam. Dan majalah itu sendiri sebenarnya tertolak untuk dijadikan bahan pegangan umat Islam. Sayangnya, budak-budak sekolahlah yang dijadikan sasaran! []

Tuesday 28 August 2012

SUBJEK SEJARAH MENAKUTKAN, KENAPA?

MENJELANG hendak menyambut merdeka macam-macam orang dok sindir golongan muda dan golongan tua. Ada yang kata buta sejarahlah, tak mengenang jasa orang lama berjuang menuntut kemerdekaanlah, ada yang kata tak patriotik sebab tak kibarkan bendera, ada yang kata golongan muda tidak ambil peduli kerana mereka sudah selesa dengan kemajuan yang ada di sekitarnya.
Seperti biasa, saya tidak suka mengambil pendapat prof.madya atau apa dari pusat pengajian tinggi, saya lebih suka mengambil pendapat seorang prof yang bergelandangan di tengah kota, kata prof yang gelandangan ini, bagaimana generasi muda hendak minat kepada subjek sejarah, bukan subjek itu berat kerana banyak tarikh yang hendak diingat, subjek itu jadi berat kerana siapa salah cakap orang itu akan didakwa di mahkamah.
Kata prof yang selalu tidur bawah jambatan itu, tidak ada subjek yang bahaya dipelajari di mana-mana institusi pengajian tinggi, pilihlah subjek apa pun, hanya anda kena berhati-hati dalam subjek sejarah, sebab salah cakap, salah beri pendapat, ada orang repot polis, kemudian anda akan didakwa kerana bercakap tentang hal ehwal sejarah yang tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak.
Kata prof itu, dengan merujuk kepada kes Mat Indera yang menimbulkan polemik hebat sehingga kena siasat polis, generasi muda semakin gerun kepada subjek sejarah. Akhirnya para pelajar diminta menjadi burung kakak tua, jangan fikir sangat tentang apa tajuk pun, tapi hafalkan untuk peperiksaan semata-mata.
Jangan pandai-pandai hendak beri pendapat atau menghuraikan sesuatu topik kerana anda akan dihukum kerana bercakap tentang subjek sejarah.
Mungkin benar juga cakap prof gelandangan yang namanya enggan dipaparkan di laman ini. Namun pendapat prof gelandangan ini jauh lebih bernas daripada prof yang menduduki apa kerusi pun di jabatan sejarah atau jabatan tawarikh.
Kalau orang muda tidak minat sejarah, jangan marah pada mereka. Kaedah guru mengajar sejarah di sekolah bagaimana? Bukankah mereka masih melongok teks sejarah, mengambil fakta-fakta, kalau dalam pelajaran sejarah pelajar diminta menyenaraikan apa faktor-faktor yang membawa kepada sesuatu perkara, mereka diminta hafalkan kronologinya, tak lebih dari itu.
Lepas itu skema jawapan yang diatur oleh pemeriksa kertas pun, asal ada fakta disenarai maka diberikan markah sekian, kemudian dicampurkan semua sekali. Maka fakta-fakta itu menggambarkan corak hafalan, sejarah jadi beku, kalau ada sesiapa yang bercakap fakta lain yang tidak disenaraikan maka orang itu akan dianggap penjenayah, dia penjenayah kerana "menipu" atau "menafikan sejarah" - contoh kes yang melibatkan Mat Sabu tidak lama dulu menggambarkan caca-marba bagaimana kita menanggapi sejarah sebenarnya.
Jangan marah kalau pelajar sekarang takut dengan subjek sejarah. Guru pun tak berani nak mengajar lebih-lebih. Jangan gunakan pendapat sendiri, kena ikut pendapat prof yang pakar dalam sejarah, kalau prof kata itu, maka itulah yang hendak dihafal. Sejarah adalah hafalan, itu sebabnya pelajar muda takut dan gerun kepada sujek sejarah.
Paparan ini adalah kesan dari wacana tentang sejarah yang dipaparkan dalam Variasi, [Harian Metro, Isnin 27 Ogos 2012], orang yang duduk di menara gading tidak berani bercakap lebih daripada apa yang biasa dibicarakan dalam media arus perdana, bukan apa takut gading itu retak.
Salah satu suara dari menara gading yang belum retak itu mengatakan, memupuk minat golongan muda terhadap sejarah tidaklah sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber.
Kata-kata prof ini bahaya sebenarnya, bukankah pandangan lebih kritikal terhadap sejarah akan menyebabkan anda melakukan kesalahan? Pandangan baru dari berbagai sumber pun boleh dianggap sebagai kesalahan besar dalam memperkatakan sejarah negara.
Pelajar patut diingatkan betapa bahayanya mengeluarkan pendapat sendiri berhubung sejarah, sebab apa yang terjadi kepada Mat Sabu adalah bukti yang nyata, di mana setiap orang perlu berhati-hati ketika mengulas tentang sejarah, atau lebih baik diam dan jangan ulas langsung, sebagaimana pandangan prof yang tidur di bawah jambatan itu.
Kenapa wartawan akhbar berkenaan tiba-tiba cenderung nak interview prof berkaitan dengan subjek sejarah ketika kita bersiap nak menyambut kemerdekaan? Semua ini kerana mood nak sambut merdeka terasa hambar, apa yang dirancang, apa yang dicanang semuanya kena kritik, lagu tema pun kena kritik apa lagi logo yang ada.
Kenapa kita begitu berhati-hati? Nampanya bukan sahaja nak bercakap tentang sejarah kena hati-hati, nak sambut merdeka pun kena hati-hati, lagu tema merdeka pun kena hati-hati, jangan jadi seperti yang berlaku sekarang, janji ditepati, menjadi sejuta tanda tanya rakyat. Apa janjinya? Rakyat tak pernah dengar pun ada orang berjanji kepada mereka, kemudian apa yang ditetapi? Agaknya janji nak panjat pokok kelapa, janji nak main mercun, atau janji nak buat rumah terbuka, atau janji di bawah rumpun bambu, janji nak jumpa di pondok buruk tepi bendang, atau janji nak tangkap ikan, janji nak jemur ikan kering, janji nak tengok wayang, janji nak makan roti canai banjir, janji nak jumpa depan Sogo, atau janji nak ke Chow Kit, atau janji tak mahu baca buku sejarah.
Kalau ada orang kena saman atau kena dakwa kerana perkara sejarah, maka murid-murid sekolah rendah pun tak mahu belajar sejarah lagi. Pelajar sekolah menengah pun takut. Itulah subjek yang paling bahaya dipelajari, maka mereka terpaksa belajar subjek lain. Lupakan subjek sejarah, cari subjek yang tidak merbahaya dipelajari.[]

Sunday 26 August 2012

MISTERI TUNKU ABDUL RAHMAN, SIAPA DIA SEBENARNYA?

BICARA ABU NAWAS: BONGKAR SIAPA SEBENAR TUNGKU ABDUL RAHMAN: Bagaimanakah laungan ‘Merdeka’ oleh Ibrahim Yaakob? Dan apa kaitannya dengan gerakkan merdeka yang diperjuangkan oleh PKMM, KMM, API dan ...

ISU HUDUD: MODAL PILIHAN RAYA

Manjadda wajada

BAB HUDUD JANGAN CAKAP, INI POLITIKLAH!

TAK ADA KATA YANG SESUAI, lepas raya rancak semula orang bikin gosip, bikin ghibah dan macam-macam polemik lagi. Sebabnya dalam budaya Melayu masa puasa ini nak kena jaga semua perkara. Ada yang bagi nasihat jangan nak ngata orang, jangan nak tipu orang, jangan nak iri hati kat orang, jangan nak dengki kat orang, pendeknya semua penyakit hati yang berkeping-keping itu kena ikat baik-baik -- jangan bagi terungkai.
Maka setelah hari raya, mulalah kita merancakkan semua tarian kita. Kita kena berlatih menari lebih intensif, pereka tari sibuk mencipta langkah. Maksudnya, segala apa aktiviti yang selama ini dikendurkan atas alasan "lepas raya" maka selepas raya inilah kita mula aktifkan semula.
Siapa yang nak tuntut bayaran apa benda pun kena lepas raya, nak bagi cek pun lepas raya, nak bayar itu dan ini pun lepas raya. Tetapi ada juga yang janji lepas raya sejak tahun lepas sampai raya tahun ini tak tepati lagi, terutama dalam bab hutang. Ada yang buat-buat lupa, atau buat-buat tak nampak kalau terserempak di mana-mana, maklum kita kena jaga puasa penuh, tapi bab hutang itu lain cerita, tak ada kait mengait dengan puasa. Begitulah sikap kita.

STOP

Kalau anda belek laman pojok ruangan hiburan, gosip tentang artis boleh pula stop sepanjang bulan puasa, lepas raya, semua dikaut semula. Maka ada wartawan hiburan yang tulis tentang artis wanita beli alat bantu untuk seks dari penjaja kaki lima di Lorong Haji Taib.
Namanya pun artis, maka datang pun bergayalah, kereta lain macam, yang berniaga alat itu pun cam dengan muka artis itu. Inipun sudah jadi bahan cerita. Yang wartawan perempuan itu tanyakan, beli benda itu nak buat apa?
Tahulah apa dia nak buat. Apa nak hairannya, itu baru bab perempuan, kalau kaum lelaki mereka pun sibuk juga beli macam-macam alat untuk pemuasan syahwat. Entah yang anu-anu itu, atau patung yang orang bilang bisa "ngempot" begitu. Kalau di Barat sana, benda-benda macam ini tak menghairankan lagi, hanya yang hairan ia masih mengganggu dalam subbudaya Melayu.

MAINAN WARTAWAN

Gosip dan ghibah ini mainan wartawan. Kalau nak fikir, selain mendedahkan apa perkara, kaum wartawan ini adalah golongan yang banyak melakukan kemaksiatan jika tidak berhati-hati. Betapa tidak, hari-hari asyik dengar orang itu kata itu dan orang sana kata ini.
Mencungkil bahan pun ada bahayanya. Semua nak tahu? Hang siapa?
Inilah yang berlaku selepas raya ini, ada akhbar utama yang siarkan bahan-bahan bagi tujuan menjolok sarang tebuan.
Dibesar-besarkan isu HUDUD, dan sayangnya, bab hudud yang dibincangkan hanya aspek luaran sahaja. Sudahnya, orang hanya tahu hudud itu potong tangan, rejam dengan batu bagi pezina. Bab hudud yang lebih jauh lagi? Tak tahu.
Media kita masih ketandusan bahan tentang bab hudud. Kalau orang Melayu sendiri tak faham apa itu hudud, apalagilah orang bukan Islam --- maka bertambah kaburlah.
Kalau mereka nak mengkaji bab ini pun tentulah dari sumber bahasa orang putih, dan huraian serta kupasan tentang bab ini bukankah berjela-jela sampai berjilid-jilid kitabnya?
Maka kefahaman tentang bab ini masih jauh dari nyata. Sedangkan hari-hari kita dok kecoh, NAK HUDUD, satu pihak TAK MAHU.
Akhirnya satu kata MAHU satu lagi kata TAK MAHU.
Maka bersahut-sahutan antara mahu dan tak mahu ini bagaikan burung hutan. Bersahutan tak habis-habis dari dulu sampai la ni.

CERITA LAMA

Benda ini bukan cerita baru, tetapi sengaja dicungkil dan digolekkan.
Bagi orang ingat semula. Yang cungkil balik cerita hudud ini pun bukan suka hudud sebenarnya.
Mereka tak suka hudud, sebab hudud ini sudah dijadikan senjata bagi menakut-nakutkan orang.
Apabila sebut hudud orang Melayu pun gerun.
Gerun kena rejam dan potong tangan.
Mereka fikir orang curi telur sebiji akan kena potong tangan. Orang curi RM560,000.00 pun potong tangan juga. Mereka fikir, mudah, sampai ada yang cerdik mengatakan nanti ramailah orang Melayu kudung, ramailah orang Melayu mati kena rejam!
Atau ada yang menyindir nak makan sup tangan!
Tahukah mereka ini, jika mereka adalah seorang muslim, dengan ilmu yang dangkal, dan tak nak ambil tahu tentang perundangan Islam yang berkaitan dengan hudud, lebih baik jangan buat komen. Diam lebih baik.
Biarlah kalangan bukan Islam buat komen, sebab mereka memang tak tahu pun, nak kata macam mana? Ni, kita yang Islam pun ikut tumpang komen tak suka, benci dengan orang yang nak menegakkan hukum Islam, benci dengan ulama-ulama yang asyik bercakap tentang hudud sahaja.

BETULKAN

Punca semua ini adalah peranan WARTAWAN MUSLIM membetulkan persepsi masyarakat Melayu yang sudah lama menyimpang jauh.
Kalau wartawan muslim sendiri menebarkan kebencian atau menyindir-nyindir tentang hukum Islam sedangkan mereka tidak mahu mengkaji apa yang diperkatakan, maka kejahilan itu menyebabkan mereka menolak dan terus menolak.
Sikap mereka ini adalah sikap Melayu kita di zaman jahiliyah dulu, dan mungkin jahiliyah sekarang pun. Jangan fikir kita sudah bebas dari jahiliyah.

SENJATA

Umat melihat, HUDUD sudah dijadikan senjata oleh sebuah parti politik untuk menakut-nakutkan musuh politiknya. Parti politik itu sendiri mengaku menegakkan Islam, mendaulatkan Islam, tetapi mereka mengambil mana-mana yang "sesuai" dengan citra politiknya asalkan ia boleh hidup.
Dengan menghebahkan soal HUDUD diharapkan parti-parti bukan Islam atau bukan Melayu [sekarang Melayu pun ramai mengundi parti bukan Melayu] akan menolak gabungan parti yang ada.
Inilah tipu muslihat jahat parti yang mengaku mendukung Islam, parti yang megah dengan mauludur Rasulnya, berarak-arak, parti yang megah dengan pertandingan itu dan ini atas nama agama.

TAK FAHAM

Anehnya, orang yang tak faham permainan "cungkil" dan kemudian "golek" ke pihak lawan ini terbawa-bawa, terikut-ikut dengan hebahan dan paparan yang sentiasa dimainkan bagi mengkucar-kacirkan perundangan Islam. Umat Islam digerunkan dengan perundangan Islam agar mereka menolak hukum itu dilaksanakan.
Tentunya orang bertanya, hanya orang yang bersalah sahaja akan dikenakan hukuman ini. Umpama ada orang berzina.
Ingat, orang nak buat jahat mereka sorok-sorok melakukan. Berapa ramai orang yang telah melakukan zina secara tertutup, maksud saya rahsia, orang tak tahu, isteri atau suami pun tak tahu, kawan pun tak tahu, yang tahu hanya pasangannya sahaja.
Selama ia menjadi rahsia, bermakna orang ini selamat dari hukuman hudud. Kecualilah pengakuan dibuat oleh pasangan itu, semata-mata hendak masuk ke syurga sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. dulu.
Orang yang berzina tetapi selamat dari hukuman hudud, mereka adalah orang yang diberi ruang untuk membaiki diri. Justeru itu, kita juga diajar jangan membuka aib diri. Anda telah melakukan kenistaaan yang terlampau umpamanya, jadikan ia sebagai "bekal" untuk introspeksi diri.
Cuba fikirkan, berapa ramai orang melakukan dosa besar tak kiralah dalam bab syahwat atau bab lain. Tidak semua orang akan menjalani hukum hudud. Dan tak ada orang yang berani mengaku itu dan ini depan ramai atau seperti pengakuan orang berdosa di depan rahib umpamanya.

PENJELASAN

Bab HUDUD ini perlu diberi penerangan lebih tuntas dan mendalam. Memanglah bab ini bukan bab perundangan yang mudah. Kalau kurang ilmu maka mereka akan tetap tak faham apa bendanya HUDUD ini. Justeru, mana-mana tazkirah di masjid dan surau, elok sangatlah berwacana tentang bab ini. Buat penerangan secara jelas sehingga masyarakat Melayu faham.
Sedihnya, nak cerita lagu mana kata ustaz, tazkirah di masjid pun tak ramai nak dengar?
Jadi, inilah yang susahnya. Sudahlah tv kita enggan hendak menghuraikan dengan lebih mendalam bab yang digeruni ini, umat islam kita lebih selesa tengok konsert DJ Dave, konsert diva kita, dan macam-macam lagi.
Senang cerita, selagi umat Melayu bersetia dengan hiburan, muzik, nyanyian, festival hiburan, heboh sana, heboh sini, pesta pantai, pesta macam-macam pesta, mentor, juara lagu, juara tarian dan sebagainya, maka sukarlah bagi umat hendak memahami bab HUDUD yang dibincangkan sekarang.
Lagipun, siang-siang lagi orang sudah digerunkan dengan HUDUD. Akhirnya orang Melayu tak suka HUDUD sebab mereka pun tak tahu apa bendanya HUDUD ni. Tetapi ada kalangan bukan Melayu yang tak kisah, "Kalau kita tak bikin salah, apa mahu takut?"
Dalam bab ini orang Melayu, yang tak salah pun takut, bukan takut dengan hukuman, bahkan kalau ada wacana bab HUDUD pun mereka tak mahu. Sebabnya, mereka anggap bab HUDUD ini adalah bab politik.
Orang Melayu sudah diingatkan jangan cakap politik dalam masjid, maka bab HUDUD pun dianggap politik juga. Sudahnya, dari dulu sampai sekarang, masih bab wuduk, bab niat, bab yang mudah-mudah. Itupun belum tamat.
Soalnya, kalau tidak dimulakan dari sekarang, sampai bila pun kita akan bicara bab wuduk juga tak habis-habis. Begitulah antara cakap-cakap yang saya dengar baik di ruang legar masjid, dalam masjid atau di luar masjid. Wallahu a'lam. []

Friday 24 August 2012

KISAH BUDAK NEPAL

ADA CATATAN MENARIK TENTANG BUDAK NEPAL.
Ramai budak Nepal berada di negara kita kerana bekerja di berbagai sektor, termasuk juga di bidang perkhidmatan. Bilangan budak Nepal makin meningkat, ia melahirkan sebuah komuniti Nepal yang memiliki segala-galanya.
Mereka tidak perlu bimbang mendapatkan makanan tradisional mereka kerana restoran Gurkha juga bercambah di sana-sini, mereka ada kedai runcit, ada kedai menjual CD yang menjadi hiburan mereka, mereka juga ada rangkaian perkhidmatan yang orang Melayu tak pernah fikirkan.
Biasa kita tengok budak Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dilihat dari luaran, nampak mereka segak berpakaian begitu, sentiasa patuh dengan arahan, kerana itulah orang putih juga suka kepada orang Gurkha di zaman penjajahan dulu.
Kita sudah lama kenal dengan askar Gurkha, kemudian kenal dengan orang Gurkha menjual batu cincin di Petaling Street. Kini kita kenal lebih dari puncak Gunung Everest pun.
Baru-baru ini cuti Hari Raya beberapa hari, budak-budak Nepal dan budak Mynmar dikatakan berpeleseran di tempat pelacuran sekitar Petaling Street, Brickfield dan Bukit Bintang.
Media kita mahu menggambarkan bahawa sektor pelacuran yang ada di KL ini menjadi tumpuan warga asing untuk menikmati seks secara murahan. Kita lupa, bahawa warga tempatan juga melakukan perkara yang sama di lokasi yang berlainan.
Sebab, pada umumnya warga tempatan rasa risih kalau berkawan dengan Nepal atau Mynmar hingga berpeleseran ke tempat jijik begitu.
Orang Nepal memang begitu, akan tetapi tidak semua melakukan perkara keji begitu. Mereka adalah penganut Buddha.
Kenalan penulis bernama Gautham berterus terang mencari hiburan di hotel murah jika ada peluang. Sebulan sekali kalau sudah dapat gaji.
Dill seorang lagi budak Nepal sanggup tunggu depan hotel murah kerana sudah berjanji hendak bertemu dengan perempuan dari Jawa yang bekerja sebagai tukang cuci. Dia mahu berseronok di sebuah hotel kecil di Balakong.
Arjun yang masih muda tidak seperti Ghautam dan Dill, agaknya dia belum mampu hendak mengikut jejak Gautham dan Dill.
Mereka bukan Islam, tetapi mereka adalah penganut Buddha totok. Tidak semua faham dengan ajaran agamanya kerana mereka dilahirkan sebagai penganut Buddha.
Apabila anda berkawan dengan mereka, tidak ada bezanya dengan budak-budak Bangladeshi yang anda kenal. Bahkan berapa ramai Bangladeshi yang telah kahwin perempuan Melayu tempatan dan menjalankan perniagaan gerai makanan atau restoran.
Bekas majikan saya juga khabarnya berkahwin dengan budak Bangladesh dan berniaga restoran di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Budak Nepal yang bekerja sebagai pengawal keselamatan umpamanya, bukanlah orang yang sentiasa berduit. Mereka juga terpengaruh dengan alat-alat canggih yang ada dan mereka mahu memilikinya ketika berada di Lembah Klang ini.
Sungguhpun begitu, mereka masih mampu masuk ke tempat-tempat penghantaran wang yang bercambah di tengah KL. Mereka boleh hantar wang beratus-ratus ke kampung halaman mereka, dan dalam masa yang sama mereka sanggup ikat perut. Tidak ada duit mereka sanggup pinjam dari kawan-kawan, termasuk dari kawan-kawan budak Melayu.
Ghautam umpamanya buah hatinya adalah orang dari Riau. Hubungan rapat pasangan ini tidak diketahui sesiapa sehingga wanita Riau itu bertanyakan tentang agama budak Nepal itu. Mungkin kepada wanita Riau itu Ghautam mengatakan dia seorang muslim!
Bukan tak ada kes budak Bangladesh beragama Hindu tukar nama menjadi Kalam untuk memikat hati seorang janda yang tinggal di Kg Berembang, Jalan Ampang.
Sebagai budak Bangladesh, Kalam dapat mengabui mata orang lain kerana dia bijak berlagak sebagai orang Bangladesh yang muslim. 
Selain itu, ada juga kes yang rasanya janggal bagi umat Melayu kita. Iaitu, seorang lelaki Nepal "berkahwin" dengan budak dari Jawa Timur tinggal di sebuah rumah kedai di Pasar Road. Budak Nepal bekerja sebagai peniaga daging khinzir, yang sudah pasti pakaiannya berbau hamis daging khinzir.
Bagaimana keduanya berkahwin? Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki -- ketika paparan ini ditulis anaknya sudah belasan tahun, meningkat remaja!
Bagi orang Malaysia, tentulah pelik kalau budak Jawa Timur itu mengaku Islam dan suaminya, lelaki Nepal itu Buddha. Bolehkah perkahwinan secara liberal begini? Kalau betul telah berkahwin, di mana mereka mendaftarkan perkahwinan di antara dua agama yang berbeza itu?
Bayangkan, budak Jawa Timur itu hanya kata, kalau suaminya pulang membawa daging khinzir, dia tidak memasaknya, suaminya yang memasaknya. Budak Jawa Timur itu tetap mengaku dia muslim, tidak makan daging khinzir yang dibawa pulang oleh suaminya. "Dia lain saya lain," katanya.
Tetapi gara-gara budak Nepal yang berniaga daging khinzir itu, bau hamis khinzir itu meruap dan sesekali dihidu jiran-jiran yang tinggal berhampiran. Pakaian yang disidai diampai juga berbau hamis khinzir sehingga mengganggu keharmonian hidup jiran yang muslim.
Begitulah cara hidup budak Nepal. Budak Nepal macam budak Melayu, boleh buat kawan, tidak lokek. Bahkan ramai yang pandai cakap Melayu -- sedangkan kita tak tahu langsung cakap Nepal.
Jika ada kes jenayah yang melibatkan budak Nepal, ia adalah kes terpencil dan bukan keseluruhan. Seperti orang lain juga, orang Nepal jika bersendirian dia tidak angkat muka. Apabila berada di dalam kelompoknya, maka dialah yang jagoan.
Sama sahaja macam orang kita.[]

RAKYAT ASING DILABEL NEGATIF

BAYANGKAN anda berada di sebuah negeri asing, tidak ada penempatan orang Melayu di situ, maka anda pasti akan tercari-cari orang sawo matang untuk didampingi. Sekiranya anda tidak bertemu dengan seorang Melayu Malaysia, anda akan mencari Melayu dari mana-mana gugusan Nusantara. Ini lumrah, paling tidak, anda akan berkawan dengan orang Brunei, Singapura, Indonesia atau Selatan Thai.
Keadaan yang sama juga kepada rakyat asing yang berada di lembah Klang ini. Mereka juga mencari rakan senegara, jika tidak ketemu mereka akan mencari negara jirannya, jika tak bertemu akan mencari yang sebenua dengannya, atau satu wilayah dengannya, sehingga penyudahnya yang seagama dengannya.
Di negara kita kebanjiran rakyat asing ada kaitan dengan bercambahnya pusat pengajian tinggi di mana-mana. Peluang pekerjaan di berbagai sektor yang orang tempatan kurang berminat. Apabila sebahagian besar peluang kerja dikuasai oleh rakyat asing, bagi yang tak tahu apa cerita, mereka melahirkan suatu pandangan negatif terhadap rakyat asing.
Contoh, ada yang tidak suka melihat perkampungan Nepal di sekitar Kuala Lumpur, atau melihat perkumpulan Bangladeshi di sekitar kota, melihat orang Jawa berlonggok di Klang atau di Chow Kit, atau melihat kebanjiran Awang Hitam di mana-mana pun!
Kita memberi label negatif kepada warga asing ini. Dengan kata lain, kita melahirkan perasaan marah yang berlebihan terhadap warga asing kerana sesuatu kes yang boleh jadi terpencil, atau kerana kita tidak memahami bahawa memang naluri manusia akan begitu --- mencari kelompoknya untuk bersosial.
Selalunya, paparan negatif dalam akhbar akan menimbulkan pandangan yang negatif secara menyeluruh bagi mereka yang tidak pernah menerobosi dunia warga asing. Sesiapa yang biasa berada di perantauan, sikap mereka berbeza sama sekali dengan mereka yang tidak pernah mengalami atau melihat situasi berbeza di tempat orang.
Lihatlah, kelompok Mynmar atau Rohingya berada di sesuatu lokasi penempatan. Lokasi orang Vietnam di sektor tertentu pula.
Paparan akhbar kita sering mendedahkan rungutan orang tertentu terhadap warga asing. Umpamanya mereka merungut kerana Awang Hitam suka berkelompok dan buat bising. Bukan bising, memang bahasanya begitu -- kita mendengar seperti suatu kekecohan dan akhirnya kita anggap mereka ini gasar orangnya.
Warga asing yang tinggal di Malaysia baik dengan apa tujuan pun tentu tidak suka kalau paparan negatif sentiasa dijadikan isu media tempatan. Bagaimana kalau media luar negeri juga paparkan keburukan orang Melayu ketika berkelompok di sana? Kritikan atau komen tentang pengelompokan Melayu di luar negeri juga mengundang tanggapan negatif, sama keadaannya apabila orang Jawa dianggap negatif kerana suka nongkrong lama-lama di kaki lima kedai, atau orang-orang kulit hitam yang berkelompok di lokasi tertentu.
Kita banyak mengkritik sikap warga asing yang mengganggu penduduk tempatan. Tidak kiralah warga asing dari belahan dunia mana pun. Kita lupa, bahawa anak-anak tempatan sendiri pun ada yang lebih gasar perangainya melebihi perangai warga asing.
Mereka juga sama seperti kita. Seandainya kita melebarkan kefahaman kita, bahawa warga asing yang Muslim mereka mengamakan budaya yang berbeza dengan kalangan bukan Islam. Sebagaimana anak Melayu dapat hidup di tengah kota di Eropah sana, maka amat janggallah kalau seorang lelaki kulit hitam begitu payah hendak berada di tengah-tengah masyarakat Melayu.[]

SIAPA CAMPAK JIN DI TASIK PEDU?

HARI INI SOLAT JUMAAT DI MASJID JAMEK LRT, KL.
Aman rasanya, kutbah hanya cerita tentang rumah terbuka, apa nak buat ketika rumah terbuka, bagaimana cara kita nak beraya dan berbagai nasihat lagi kepada para jemaah. Juga ditekankan agar umat menjaga adab -- kalau dapat menurut sunnah.
Kebetulan ketika berada di pintu utama masjid terserempak dengan Masdeen, orang Taiping, seorang pelukis ilustrasi untuk buku-buku karya Tok Awang Ngah [Dharmala NS atau Abdul Muluk Daud]. Masdeen yang berkahwin dengan orang  Iban dari Sarawak, pernah bekerja di Tasik Pedu selama beberapa tahun ketika bersama Threadwinds.

MISTERI PEDU

Ketika di Tasik Pedu itu dia dikenali dengan nama Pak Ngah. Ketika sembang-sembang, dia yang memang selama ini pun bergelumang dengan ilustrasi kisah misteri, maka dia pun berkisah tentang pengalamannya di Tasik Pedu itu.
Rupanya tasik itu banyak kisah misteri. Saya tanya kenapa begitu sekali? Dia kata, ada beberapa kejadian yang menggemparkan terjadi di situ. Hanya orang tak cerita secara detail apa rahsia di sebalik masalah yang terjadi.
Contoh, kes mati lemas seorang pegawai tentera di kawasan itu. Kes orang diserang gajah liar dan kes makan udang yang dikutip di kawasan genangan air di situ.
Semua kes ini kata Pak Ngah Sudin atau Masdeen di kalangan kawan-kawan penerbitan di KL, ada kaitan dengan misteri Pedu yang belum dibongkar habis.
Jika anda pernah dengar ada kisah sebuah kerajaan silam yang dipanggil Atlantis, kerajaan purba ini tenggelam di Lautan Atlantik kerana gempa bumi yang amat dahsyat, maka di genangan air kawasan Pedu ini juga terdapat sebuah perkampungan masyarakat Patani [Siam], perkampungan yang serba lengkap dengan rumah-rumah penduduk, sebuah masjid, tanah perkuburan, dan segala prasarana yang ada dikatakan telah lenyap ditelan air Tasik Pedu.
Kata Pak Ngah Sudin, hairannya kawasan tasik itu setahun sekali ada banjir besar. Apabila banjir besar, maka habislah resort yang ada digenangi air. Ada beberapa buah resort yang ada di situ. Perniagaan resort macam terganggu disebabkan faktor alam semula jadi itu.

TENGGELAM

Akibat tenggelamnya perkampungan orang-orang keturunan Patani [Siam] itu, yang tinggal hanya tunggul bukit yang orang di situ panggil Bukit Pong Timun dan Bukit Cedeng.
Kemudian orang tak panggil bukit lagi sebab mereka tak tahu asal-usul pulau itu, maka mereka gelar sebagai Pulau Timun dan Pulau Cedeng.
Kalau ikut peta moden bagi kawasan resort berkenaan ia sudah mendapat nama baru pula, North Island dan South Island -- Pulau Utara dan Pulau Selatan.
Kes mati lemas seorang anggota tentera berpangkat sarjan ada kaitan dengan misteri tasik berkenaan. Mayat anggota tentera itu ditemui setelah tiga hari kemudian.
Cerita punya cerita, Ngah Sudin pernah mengingatkan sesiapa pun yang hendak masuk ke situ perlu merujuk kepada pegawai ditugaskan untuk menjaga lokasi.
Ketika itu Pak Ngahlah yang bertanggungjawab menjaganya. Hal-ehwal apa pun, orang mati lemas, orang sesat atau mengalami keganjilan kena rujuk kepada dia.
Dia bukanlah paranormal atau dukun. Memang betul Pak Ngah ini gemar pakai baju hitam dan serba hitam. Saya kenal lama dengan dia, tahu apa warna kegemarannya.
Dia banyak membaca karya misteri/mistik Tok Awang Ngah, karya yang masih mentah baru lepas typesetting untuk dibuatkan ilustrasinya. Ketika dia buat kerja melukis, saya sibuk menyusun bahan untuk buku misteri lain.

LEPAS CAKAP

Nah, apa misteri sarjan yang mati lemas itu? Ketika dinasihat, sarjan itu pernah terlepas cakap, dia pandai berenang, tak kanlah tak tahu! Barangkali kerana kata-kata itulah sarjan itu diuji oleh "penghuni" tasik itu.
Mengenai kes gatal-gatal seluruh badan yang dialami oleh anggota tentera yang meredah kawasan tersebut, Ngah Sudin kata, ia berpunca daripada sikap tidak berhati-hati, sedangkan kita sudah beritahu, adat masuk ke perkampungan orang kena hormat adat istiadatnya.
Kena faham, jadi tak perlu nak dijelaskan secara detail.
Maka anggota itu salah seorangnya seronok menangkap anak udang yang banyak di kawasan air jernih. Dia ingat apabila sudah dapat banyak bolehlah dia uli tepung semua nak buat cekodok.
Ketika dia mengutip anak udang yang banyak itu, dia perasan macam ada orang membaling batu kecil ke arahnya. Sambil mengutip anak udang dia pun melontarkan suara, "Hoi, apa baling-baling ni ha?"
Dia tak tahu, siapa yang membalingnya. Dia fikir yang membaling adalah kawan-kawannya yang hendak bergurau.
Batu yang dilempar semakin besar pula. Plummm! Air menciprat ke muka.
"Hoi! Apa baling-baling ni? Apa nak takut baling batu, aku aku senapang lagi hebat!" kata pegawai itu. Dia fikir yang melemparkan batu lebih besar itu kawan-kawan dia. Rupanya adalah "penunggu" di situ. Atau mungkin sejenis jembalang hutan, jembalang air atau jembalang Pedu!
Balik ke kawasan khemah mereka pun masaklah cucur dengan udang rangup. Apa yang terjadi? Pak Ngah Sudin kata, semua yang makan udang itu kena penyakit gatal-gatal seluruh kulit. Semua orang jadi gatal.
Jika begitu sebagai anggota pasukan mereka kena rujuk kepada paramedik untuk mengetahui apa puncanya.
Mungkin silapnya cakap besar ketika diuji dengan balingan kerikil kecil sewaktu mengutip anak udang.
Jadi, kata Pak Ngah yang dituakan masyarakat sekitar resort termasuk siapa sahaja yang ingin menjelajahi kawasan resort, seseorang yang masuk ke kawasan tasik yang angker itu perlu menjaga mulut. Jangan celopar. Kalau celopar, anak gajah pun boleh datang mengacau!
Ada kisah lain yang menarik, penghuni resort kerap mengadu ternampak benda-benda aneh. Penampakan yang begitu banyak menyebabkan potensi resort itu untuk berkembang agar sukar.
Inilah kisah pelik di zaman moden, kisah gangguan makhluk halus, entah apa, ramai yang tak tahu.

PUNTUNG

Ada lagi kisah menarik orang yang meneroka hutan di situ. Ketika seronok berlipur di kawsasan hutan yang ada sumber air jernih, budak-budak muda lupa daratan. Mereka menyanyi, main harmonika, petik gitar dan pukul gendang.
Makhluk hutan tak pernah dengar petikan gitar, bunyi muzik yang sudah tentu haram dimainkan. Ketika mereka berjalan di kawasan hutan mereka hairan bagaimana ada orang baling mereka dengan puntung kayu yang ada kesan terbakar.
Siapa bakar kayu itu? Nak kata ada orang masak daging kawah di hutan itu tentulah tidak.
Rupanya kata Pak Ngah, anak-anak muda yang enjoy itu tidak tahu, adat istiadat penghuni ghaib di situ pada waktu itu. Sedangkan mereka bersuka ria dan menyanyi, makhluk ghaib marah kepara mereka. Ketika itu mereka sedang mengadakan kenduri-kendara, puntung yang dilempar itu adalah bukti bahawa mereka sedang memasak untuk kenduri.
Akan tetapi anak-anak muda tidak faham, apa maksud sebenar "penghuni ghaib" Pedu baling mereka dengan puntung kayu.

BUANG JIN

Kata Pak Ngah, tempat itu sejak lama dulu dijadikan tempat pembuangan bangsa jin, jadi semuanya berkampung halaman di hutan dekat Pedu.
Masalahnya, bukan jin dari Ulu Perak atau mana-mana pun, tak ada kaitan dengan kerajaan silam Langkasuka pun, tetapi ada kaitan dengan kerajaan Siam dulu. Pembuangan jin-jin dari kerajaan Siam memang cukup banyak di situ. Inilah yang menjadi masalah kepada industri pelancongan di situ
Seperkara lagi katanya, dulu ada perkampungan Islam Patani di situ. Habis semua tenggelam angkara tasik buatan manusia, maka sebuah masjid dan tanah perkuburan juga lenyap dari pengetahuan umat.
Di dalamnya termasuklah makam wali-wali Allah yang orang tak tahu. Kemudian menurut kisah, ada beberapa makam di kawasan perkuburan lama itu bukanlah perkuburan biasa, sebaliknya ada beberapa kubur yang dijadikan simbolik makam sahaja, hakikat sebenarnya adalah harta karun yang ditanam di situ untuk mengabui orang lain.
Dulu, kata Pak Ngah lagi, ada pihak Siam ambil kerja kutip balak tenggelam di Pedu. Adakah benar mereka hendak kutip balak tenggelam? Atau mungkin hendak intip di mana harta karun itu disimpan. Mungkin sambil menyelam cari balak, mereka juga nak mengesan di mana makam harta karun itu disimpan. Projek dari kontraktor Siam itu tidak berlangsung lama, entah kenapa. Agaknya, sukar nak menyelam mencari balak dan harta karun di kawasan Pedu.
Apa punca kontraktor itu lari? Kata Pak Ngah, ada kisah menyebut, ketika pembalak dalam air itu menjalankan operasinya, mereka telah bertembung dengan jembalang air iaitu seekor ikan besar yang mengerikan. Kerana itulah mereka terpaksa CABUT dari situ.
Kisah ini mengingatkan saya kepada projek perikanan di Selat Melaka, ketika buat kajian di laut bersama pegawai perikanan, pakar dari Jepun terkedu melihat ada makhluk tinggi dan besar muncul di permukaan laut. Itu adalah jembalang laut.
Betulkah di Kedah banyak hantu jembalang? Itu kisah di laut, sementara dari Pak Ngah, saya diberitahu Tasik Pedu pula jadi tempat orang buang jin!
Tidak dapat dipastikan, siapa yang berani buang jin di situ.
Terlanjur berkisah, Pak Ngah juga ada menyebut tentang beberapa buah penerbit filem tempatan yang cuba menjadikan Pedu sebagai latar cerita filem seram mereka. Pak Ngah nasihatkan mereka jangan buat kerana kesannya tidak diketahui.
Beberapa buah filem mistik seram katanya cuba hendak meneroka alam Pedu tetapi terpaksa beralih arah bagi mematuhi nasihat. Kesannya lahirlah filem seperti Congkak, Jangan Pandang Belakang [sekadar menyebut].

MAKSIAT

Orang mungkin lupa, resort adalah tempat pelancongan. Selain itu, di dalamnya disediakan kemudahan rekreasi, termasuk tempat berhibur, yang tak dapat dielakkan ialah kemaksiatan di situ. Maksiat inilah yang menjadi punca kemarahan "penghuni" ghaib di kawasan Pedu.
Sudahlah perkampungan mereka punah, bahkan ada yang terkambus begitu sahaja, banyak yang lari dari kawasan tanah rendah, maka roh-roh  para wali berperanan mencorakkan kemistikan yang menyeluruh di kawasan Pedu resort yang dibangunkan.
Kemudian orang lupa, kesedihan yang dialami oleh penghuni ghaib kerana perkampungan mereka musnah oleh pembangunan, ia kemudian digantikan dengan tempat orang bermaksiat, maka bertambah marahlah lagi penghuni ghaib di situ. Lantaran itu kata Pak Ngah, tidak hairan, orang selalu melihat lembaga misteri berkeliaran atau muncul dengan tiba-tiba.
Sesiapa yang berada di resort itu pasti merasakan betapa angkernya tempat itu. Potensi untuk berkembang agak sukar kerana faktor makhluk halus, entah jin, entah jembalang air atau penunggu air masih setia di situ.
Kata Pak Ngah, di kawasan resort itu adalah makhluk yang baik-baik belaka, manakala di luar kawasan resort adalah hunian roh-roh jahat.
Barangkali tempat ini memang sesuai kepada kumpulan pemburu hantu, atau mereka yang ingin mengesan di mana ada kehadiran ORBS atau LINTASAN di situ.
Dengan paparan ini diharap tidak ada orang jumpa si pintar untuk tarik harta karun dari kawasan Pedu. Cerita harta karun belum sahih. Tentang perkampungan tradisional Melayu Siam Patani memang betul ada.
Jadi, setelah mendengar cerita dari "tok penghulu" dari Pedu iaitu sahabat saya dalam bidang penerbitan buku misteri, maka bertambahlah siri kisah misteri yang belum dirungkai dengan tuntas. Wallahu a'lam bishowab. []  

Wednesday 22 August 2012

MERCUN DAN BUNGA API MESTI ADA UNTUK HARI RAYA

JIKA ANDA KINI BERUSIA dekat 60 tahun, bermakna anda sudah mengenal bunga api dan mercun berpuluh dekad yang lampau.
Sejak zaman di kampung, anda membesar di bawah letupan mercun dan bakaran bunga api, sejak zaman kanak-kanak, ceria bermain di halaman rumah, main kejar-kejaran, main perang-perangan, dan mercun itulah yang telah menjadi mainan sejak zaman silam.

PERAYAAN

Kini bunyi mercun masih ada lagi, ia seolah-olah benda "wajib" yang mesti ada setiap kali hari raya puasa. Bunyi mercun tak kira waktu, sentiasa ada di mana-mana.
Mungkin sejak tahun 60-an lagi subbudaya kita telah membenarkan agar mercun dan bunga api dijadikan salah satu bentuk permainan yang dikaitkan dengan hari perayaan, merayakan hari raya aidil fitri.
Sejak bulan Ramadan pertengahan kita sudah galak bermain mercun dan bunga api. Permainan yang bahaya ini tidak membuatkan masyarakat serik dan jera, meski kes-kes terkena mata, cedera tangan, cedera muka dan sebagainya, mercun dan bunga api berpisah tiada.

AMARAN

Atas sebab itulah, kita saban tahun dinasihatkan agar jangan membeli mercun dan jangan bermain mercun. Nasihat ini adalah nasihat radio dan tv atau nasihat orang akhbar. Siapa pun tak ambil peduli. Amaran demi amaran, orang tak kisah pun, mercun dan bunga api adalah barang wajib, tidak sah berhari raya kalau tidak mendengar letupan mercun.
Di mana salahnya kita?
Kenapa masalah mercun dan bunga api yang merbahaya ini tidak dapat dibanteras dengan tuntas?
Mungkin kita sambil lewa sahaja. Sempadan kita bocor, lagipun, siapa yang hendak kawal sempadan 24 jam di masa perayaan ini?

HANYA MAINAN

Bukan selalu. Setahun sekali kita bawa mercun dan bunga api banyak-banyak apa salahnya!
Jadi, setelah menjadi subbudaya Melayu, mercun dianggap tidak ada apanya.
Ia tidak merosakkan aqidah umat. Ia hanya permainan, untuk suka-suka, untuk berhibur meskipun benda itu bahaya.
Sebenarnya, kita tidak perlu nak bagi amaran kepada orang ramai. Dan kita tak perlu mengharapkan kerjasama orang ramai membanteras masalah bermain mercun dan bunga api.

GALAKKAN MAIN MERCUN

Kita patut galakkan orang ramai bermain mercun semahu-mahunya, bakarlah sebanyak mana, kalau boleh biarlah peruntukan beli mercun itu setidak-tidaknya sampai beratus-ratus ringgit.
Diadakan perlawanan pembakaran mercun terpanjang berjela-jela, permainan sayembara bunyi letupan mercun yang hebat di tahun ini, diberikan piala sanjungan, dikalungkan pingat emas, perak dan gangsa kepada pembakar mercun yang paling banyak!
Barangkali inilah yang diinginkan oleh rakyat kita. Ketika diadakan berbagai kemahiran bermain mercun, sudah tentu ada permainan improvisasi dan eksperimental sekali.
Ramailah anak-anak yang tunjuk bakat bakar mercun yang luar biasa. Ada yang bakar mercun guna mulut, guna hidung, atau gaya lompat tikam, pendeknya, kemahiran yang dipamerkan ini dijadikan semacam sukan. Sukan rakyat.
Apabila diadakan sukan yang begini hebat, baharulah kita sedar bahawa di negara kita tidak ada kanak-kanak yang jaguh dalam permainan mercun dan bunga api untuk mendapatkan pingat emas di peringkat Asean paling tidaknya.
Walaupun rakyat kita kemaruk main mercun dan bunga api setiap kali raya, kemahiran mereka bermain mercun masih di tahap amatur. Sekadar tahu cucuh sumbu dan lempar. Setakat cucuh sumbu tutup telinga dan tengok mercun itu meletup!

SAYEMBARA MENDERA

Apabila diadakan sayembara bakar mercun dan bunga api, rasanya baharulah rakyat akan jadi jera. Mereka jadi tepu dan tak mahu beli mercun.
Bayangkanlah, setiap tahun bakar mercun dan main bunga api, akan tetapi apabila disukankan, tak pernah dapat pingat emas atau perak pun!
Kalaulah begitu jadinya, nampak benar, kita main mercun sekadar main-main. Itu sebabnya, ketika bermain mercun ada sahaja kes kecederaan kerana kecuaian.
Kanak-kanak yang mahir membedah isi mercun untuk mencipta bahan mercun baru tidak sampai ke mana. Kemahiran mencipta mercun baru hanya bersifat sementara, ia tidak diteruskan apabila usia remaja.
Melihat kepada cara kita bermain mercun, ia seolah-olah sudah menjadi budaya orang Melayu, setiap raya kena bakar mercun, kena ada bising-bising dengan harapan boleh halau "hantu lapar" -- dan ia akhirnya jadi semacam tradisi.
Sejak tahun 60-an sampai sekarang 2012, setiap kali hari raya, mercun dan bunga api sudah jadi kemestian. Setiap tahun juga kita bising kenapa ia masih dijual di sana-sini?
Hanya apabila berlaku kecederaan akibat main mercun baharulah kita konon nak bertindak serius.
Tetapi itu berita radio atau tv. Atau amaran demi amaran sahaja. Ibu bapa kita tetap belikan mercun untuk anak-anak mereka. Mercun kecik bukan bahaya, kata mereka.
Disebabkan budaya main mercun ini tidak kita kaitkan dengan meniru-niru golongan bukan islam, maka amaran demi amaran pun dipekakkan sahaja.
Berapa banyak amaran tentang perkara lain yang kita tidak patuh? Sila gunakan jejambat, orang lintas di bawah jambatan juga. Dilarang buang sampah, orang buang juga. Dilarang berniaga di sini, orang berniaga juga. Dilarang menunggu, orang menunggu juga.
Apa larangan yang benar-benar terlarang? Sedangkan hukuman mengedar dadah ke tali gantung pun orang tak hairan, inikan pula setakat main mercun. Maka jangan hairanlah, tahun depan kita main mercun lagi. Bukan harampun hukumnya! Itulah komen baik mereka yang kemaruk bermain mercun. []

NASIHAT PAK GURU

PAK GURU beri nasihat agar muridnya berdoa dengan tulus ikhlas, bukan pura-pura menadah tangan dan mulut kumat-kamit macam orang baca mantera syirik.
Kata Pak Guru, berdoalah dengan rendah hati. Kalau sekadar berdoa sahaja tetapi tidak menjaga keperibadian dalam beragama, maka ia tidak lengkap katanya.
Kemudian dia memberitahu agar kita mencari kawan yang baik dan soleh, cari kawan yang taat kepada Allah.
Bagaimana nak kenal kawan yang baik begitu? Ia dapat dilihat dari luarannya. Penampilannya, pakaiannya, atau bahkan pertuturannya.
Ingatlah, kata Pak Guru lagi, kalau salah pilih kawan, kamu akan dibawa ke mana sahaja yang mereka mahu. Kalau kamu menyertai kawan yang soleh, maka beruntunglah kamu, tetapi kalau kamu terpilih kawan yang buruk perangai, maka rosaklah kamu.
Oleh sebab itu, kita hendaklah jauhkan diri dari kawan yang tak baik.

KITABULLAH

Guru juga berpesan agar kita menjaga kitabullah -- maksudnya membaca, menghafal, pelajari isinya kerana ia adalah ubat bagi hati.
Juga, dinasihat agar menjaga ibadah fardu dan ibadah nafilah yang mengiringinya.
Selanjutnya, Pak Guru berpesan agar murid atau bukan murid pun, termasuk orang awam di antara kita, sentiasa menyukai majlis ilmu, hadirilah majlis ilmu di mana juga yang ada, pelajari ilmu syar'ie.
Jangan berfikiran negatif, asalkan ada majlis ilmu, bicara tentang Islam, bicara tentang ibadat semuanya dibungkus dalam kelongsong politik.
Minda umat telah jadi rosak kerana ketakutan yang amat sangat kepada wacana politik. Wacana agama dikatanya politik, padahal yang dikatakan agama itu yang lengkap, ia meliputi semua sekali. Tidak perlu mencari wadah lain untuk bicara politik. Orang yang gerun agama akan memisahkan agama dan politik.
Jangan bicara politik di mimbar surau dan masjid kata mereka.

DOSA

Kemudian Pak Guru berpesan lagi, takutlah kamu kepada dosa dan akibatnya. Ia jalan kepada su-ul khatimah.
Kemudian bacalah buku yang bermanfaat, mengikuti daurah ilmiyah dan dakwiyah.
Pak Guru amat memberatkan persoalan ini, persoalan ghoddul bashar -- menjaga mata dari yang haram, dengan ini hati anda akan jadi tenang dan akan dapat mengecap kemanisan iman.
Ingatlah, kata Pak Guru lagi, syaitan sentiasa berusaha setiap detik untuk menipudaya umat, ia sentiasa menunggu saat kelekaan seseorang, saat seseorang sedang mabuk lalai, kerana makhluk ini sentiasa mengharapkan sesiapa juga akan menjadi sahabat mereka.
Sahabat syaitan sentiasa bertambah, ia bukan sahabat yang baik untuk umat. Syaitan mengajak kita kepada kejahatan, syaitan mengajak kita melakukan kenistaan.

KECUNDANG

Gara-gara bisikan syaitan, ramai yang kecundang, terperangkap dalam perkara-perkara syirik besar dan syirik kecil - riyak -, terperangkap dengan amalan sihir, meninggalkan solat, zina, homoseks, makan harta anak yatim, makan harta orang lain, minum khamar, sumpah palsu, melakukan kezaliman, pemimpin khianat dan zalim kepada rakyatnya, derhaka kepada orang tua, memutuskan silatur rahim, tidak berzakat, membunuh tanpa hak, bunuh diri, jadi hakim yang zalim, berdusta, wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, rasuah, tidak bersihkan air kencing, judi, sembunyikan ilmu, tajassus --cari kesalahan orang lain --, banyak melaknat, melanggar perjanjian, belajar ilmu perdukunan, menggambar makhluk bernyawa, meratapi musibah, bertindak keterlaluan, aniaya kepada isteri, aniaya terhadap kaum yang lemah, dan banyak lagi kenistaan disebabkan oleh hasutan syaitan dan suku-sakat iblis.
Kata Pak Guru, bukan senang hendak menjaga mata dan lisan, selagi kamu berkelana di muka bumi ini, kamu akan tetap bersua dengan berbagai ujian. Itulah perangkap yang ada di sekeliling kita.
Kata Pak Guru, berjaga-jagalah ketika berkelana di dunia ini, anggaplah bumi yang kita pijak ini penuh dengan duri, maka berhati-hatilah, jangan sampai tercucuk duri itu, berhati-hatilah, jangan sampai duri itu melekat di hujung pakaian kamu. []

Monday 20 August 2012

BERHARI RAYA DI KUBURAN

SUDAH JADI KEBIASAAN orang kita setiap kali hari raya, mereka sibuk menuju ke perkuburan. Maka kesibukan itu ada kalanya mengatasi segala-galanya, kereta berderet, motosikal berderet, semua berpakaian rapi, yang perempuan tak tutup aurat pun ramai, semuanya datang dengan satu hasrat, menziarahi makam sanak saudara, orang tua atau orang yang dikasihi yang telah pergi.

TABUR BUNGA

Ada yang tidak pergi ke kuburan pun, hanya berpesan kepada pemandu peribadi, tolong belikan bunga di Petaling Street, harga bunga pun bukan murah. Kemudian bunga diricih-ricih, masukkan dalam bekas, suruh pemandu peribadi hantar bunga ricih itu ke kubur.
"Tabur ya atas kubur Tan Sri!" kata Mem kepada pemandu peribadi.
Begitulah yang saya saksikan tiga tahun lalu, dan mungkin semalam ketika hari raya, dia buat begitu lagi di tanah perkuburan Islam Jalan Ampang!
Dan di kawasan perkuburan itu macam pasar lambak jadinya, orang jual bunga masing-masingkan tawarkan harga istimewa.

UPAH

Kemudian orang ambil upah bacakan surat Yassin. Orang disuruh berdoa untuk arwah yang telah tiada.
Si anak tidak mampu nak berdoa untuk ibu bapanya, dia sanggup upahkan kerja berdoa kepada orang lain.
Maka jadilah tugas baru, mengambil upah untuk berdoa dan baca surat Yassin.
Dengan berbaju Melayu cantik, ia bukan gambaran ketaqwaan seseorang. Ia hanya pakaian untuk menyambut hari raya.
Seorang teman komen, ada rakannya yang tidak solat tarawih, tidak solat fardu pun, bahkan tak puasa, turut mengenakan baju Melayu serba lengkap bagi memperlihatkan "ketaqwaan"nya.
Jika orang yang berpakaian serba lengkap ini pergi ke kubur, tanpa perlu ke masjid solat sunat hari raya terlebih dahulu pun, akan ada orang yang mengatakan, "...wah anak ini benar-benar sayang kepada orang tuanya yang telah pergi, datang ke kubur dan mendoakan untuk arwah."

BUDAYA

Kebiasaan ziarah ke perkuburan ketika hari raya ini hanya jadi amalan kelompok muslim tertentu. Tidak semua umat Islam di seluruh dunia menziarahi kubur seperti umat Melayu.
Disebab sudah terlalu ramai, hingga macam pasar, keadaan di perkuburan itu telah berubah menjadi semacam pesta.
Tentu ada yang teringatkan bagaimana kalangan bukan Islam juga ada meraikan hari-hari tertentu yang berkaitan dengan perkuburan. Kita sebenarnya tidak mahu, matlamat ziarah kubur itu sudah lari jauh, bahkan meniru-niru cara atau kaedah di luar kotak Islami.
Apabila suasana macam pesta, pergaulan pun jadi bebas, muda-mudi boleh bergaul tanpa batasan apa pun, sedangkan mereka datang ke situ dengan matlamat kudus mahu berinteraksi dengan si mati.
Doa adalah ibadat. Akan tetapi ramai pula "Melayu" masuk ke kawasan perkuburan dedah aurat atau berpakaian yang tidak sesuai dengan citra perkuburan, yang sepatutnya menjentik batin dalaman agar membaiki diri untuk menjadi kalangan mutaqqin!
Yang kita lihat, di tanah perkuburan itu umat kita bergembira dan bermain-main, bahkan bersenda gurau di kawasan perkuburan, ada pula siap bawa minuman dan makanan. Hanya kita belum lihat ada orang solat di perkuburan sahaja lagi! []

ODIT DIRI MENCARI KESILAPAN

DI SEBUAH KAMPUNG ada seorang bapa yang merungut dan menyalahkan baka yang lahir kerana salah seorang anak jadi penagih.
Kisah ini tak semestinya di kampung biasa, malah di kawasan setinggan tengah kota macam KL, Georgetown, Ipoh, Seremban, Melaka, JB, Klang dan di mana sahaja pasti berlaku.
Dia semacam menyesali kerana tersalah pilih, hingga akhirnya melahirkan genarasi yang tidak terpimpin. Bapa jenis ini hanya menyalahkan orang lain tanpa pernah mengodit dirinya.
Menurut kisah, selama berpuluh tahun dia diberi hak menjaga harta "anak yatim" tetapi harta itu terabai seolah-olah tidak mengeluarkan satu sen pun. Harta terabai ini termasuklah harta tak alih yang ada yang telah diamanahkan. Bahkan telah diserahkan dari tangan ke tangan yang lain.
Hanya setelah berlaku kes kematian, salah satu ahli keluarga, baharulah teringat akan perkara yang berlaku. Tidak menunaikan amanah.
Maka setelah mendapat gantian baru, di depan gantian inilah dia menunjukkan kehebatannya, memenuhi tuntutan sebenar, mahu mengira harta di bawah jagaannya itu.
Sayangnya, kaedah yang digunakan adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang baru yang menjadi teman di sampingnya.
Dalam masa yang sama "mengutuk" orang yang telah membesarkan anak-anaknya. Rasa macam sesal memilih baka yang tidak baik sehingga anak tidak jadi manusia atau tidak jadi orang.
Orang yang hartanya dijaga sekian lama, tidak mendapat hasil walaupun RM50 setahun pun! Itulah orang yang tidak amanah.
Tahu-tahu bagi melepaskan tanggung jawab "berat" itu dia menawarkan diri untuk "membeli" tanah warisan itu. Tanah itu hanya dikira harga belinya sahaja, sedangkan harga hasil yang telah dikuasai selama ini tidak dipedulikan.
Di sinilah kita selalu lupa hendak melakukan odit diri sendiri, jika anak tidak jadi orang hendak salahkah si ibu pula, kerana ibu yang melahirkannya. Bagaimana dengan si bapa? Mungkin sikap bapa ini ada kaitan dengan sikap menunjuk-nunjuk hebat kepada orang lain. []

SERONOK RAYA DI KUALA LUMPUR TENGOK ORANG BOGEL

TEMAN KITA orang dari Baling Kedah, Pak Mail, tetap bekerja di Kuala Lumpur walaupun sudah hari raya. Itu tugas dia. Jangan sesiapa nak suruh dia berhenti atau bercuti. Dia nak kerja. Lebih baik daripada orang yang tak nak kerja. Lepak sana, lepak sini. Jadi, Pak Mail kira berhari raya di tempat kerjalah. Ini suasana biasa bagi orang yang bekerja.
Tadi sengaja jenguk Pasar Pudu untuk melihat apa yang ada. Peniaga ikan, daging, ayam, sayur-mayur macam biasa. Rancak, masuk hari ini orang sudah mula rasa jemu makan rendang semua. Tak kan nak makan rendang sahaja, ia meningkatkan kolestrol sebenarnya. Begitu juga dengan lemang dan randangnya.
Macam orang pergi buat "sejarah" [istilah orang Ponorogo, Jawa] mereka akan hadap kuih yang sama sahaja dari satu rumah ke satu rumah. Akhirnya mereka tak nak makan pun.
Masa ini kalau ada sesiapa sediakan ubi rebus cecah kelapa parut bergula pun orang berebut. Jangan hidang satey, sebab kuah satey adik-beradik nasi himpit, lontong [jangan lotong kesarung sudahlah!]
Menariknya di KL ini, bilangan rakyat asing membeludak di sekitar kawasan utama -- Jalan Silang dan Kota Raya, Central Market, Chow Kit Road -- pengangkutan awam penuh dan sarat dengan penumpang dari manca negara -- Nepal, Bangladeshi, Vietnam, Filipina, Mynmar, Indonesia.
Warna bangsa itu dapat dilihat dengan jelas apabila mereka berkelompok di tengah kota.Golongan ini berdatangan dari segenap penjuru di kawasan Selangor utamanya, semuanya tertumpu ke KL.
Jangan fikir orang tempatan [Melayu?] telah mudik ke kampung dan tinggalkan KL. Tidak juga. Ramai juga yang tak pergi ke mana. Raya di KL pun seronok juga. Boleh raya dengan Nepal, dengan Bangladeshi dan Pakistani dan siapa sahaja yang merayakan hari besar ini.
Hanya tak seronoknya raya di KL ini, pahala puasa Ramadan baru-baru ini semakin mencair semula. Apa tidaknya, di pusat kota berkeliaran gadis-gadis atau wanita yang telanjang bogel.
Ini memalukan, bagaimana mereka boleh bogel begitu? Mungkin ilmu tak sampai kepada mereka kut? Tak sampai apa, yang bogel itu termasuk orang yang berkelulusan dari universiti luar negeri termasuk dari Amerika pun.
Tak hairan yang bogel dan berlari-larian mengejar bas, menahan teksi, berpimpinan tangan, semuanya sedang meraikan hari raya konon.
Kenapa kita kata bogel? Mereka tak lah lucutkan pakaian tengah ramai, nanti dikata bingung pula. Hanya perumpamaan yang pernah Nabi s.a.w. katakan, berpakaian tetapi telanjang.
Ada yang berlagak macam mak datin pergi pasar, bersama sang suami yang Dato' barangkali, kembang megah apabila peniaga puji keayuannya, Dato' apa lagi, tetapi sayangnya, meski bertudung rapi, bahan kain untuk baju yang dipakai oleh mak datin itu tidak kena, jarang, buat kebaya sendat, agaknya inilah fesyen hari raya terbaik kali ini.
Kemudian ada yang rasanya orang Melayu kita, kelek anak dua orang, tetapi pakai seluar pendek berambu-rambu masuk restoran. Wah, hebat. Inilah pakaian perempuan Melayu terakhir.
Pendeknya, dalam bab berfesyen ini kalau ada siapa yang rajin nak buat kandid dengan kameranya, maka banyaklah yang menarik. Ada yang bertudung rapi, baju pun longgar, kira okay, tetapi, seluar jenis jeans sendat tumit tinggi lagi, nak jalan pun susah. Yang pakai kebaya sendat tetapi bawahnya menjulur cukup ramai, inilah fesyen yang terhebat, sayangnya, bahan kain tak sesuai, jarang, dan ada yang sendat. Kebaya sebenarnya tak sesuai sebagai pakaian muslimah, itulah yang pernah saya dengar komentar dari seorang ustaz.
Pendeknya macam-macam fesyen yang anda boleh jumpa, maklum setahun sekali keluar dari tempurung yang ada. Keganjilan itu ketara amat. Ketika solat sunat aidul fitri, kaum ibu pun ramai, tetapi meski mengenakan tudung, anehnya leher dan lurah terdedah juga. Maknanya mereka tak faham apa tujuan bertudung atau menutup aurat itu. Atau maksud aurat perlu dijelaskan kepada mereka.
Atau, memang itulah corak budaya Nusantara yang sudah diamalkan sejak sekian lama.Di kalangan gadis-gadis remaja pula mereka sibuk hendak bersalaman dengan semua orang. Ini semua adalah pengaruh festival filem, penyampaian anugerah artis dan persembahan yang biasa tv kita paparkan. Tv telah mendidik umat menjadi begitu dan pihak mufti yang warak agama, yang berkelayakan untuk menegur tak berani menegur kalau ia program RTM atau Tv umno.
Jalan Silang tadi, penuh dan sendat dengan orang-orang dari luar negeri. Maka Malaysia pun tersohorlah sebagai negara tumpuan yang masyhur. Di jalan itu, darah air pinang dan sirih bercipratan. Sudah sewajarnya pihak DBKL meletakkan papan tanda DILARANG MELUDAH  atau kena sediakan tong ludah macam di Papua [di Merauke].
Jika orang mahu lihat bagaimana hari raya dihayati oleh umat yang sebenarnya, maka di tengah kota ini terlalu menyakitkan hati. Di kampung Melayu tradisional pun masih ada golongan yang begini. Mereka berpakaian tetapi telanjang, menziarahi jiran-jiran, bersalaman dengan semua orang lelaki perempuan tak kira siapa. Inilah budaya rambang yang ada di tempat kita.
Ketika jenguk Bukit Bintang, kebetulan ternampak Pak Arab ntah dari mana, ditahan oleh perempuan tukang urut di pintu utama bangunan kedai. Melihat gambar risalah tentang khidmat urut dan urut lanjutan yang sedia dihidangkan untuk pelanggan. Duit Pak Arab lagi lebat itu sebab mereka gamit Pak Arab!
Itupun salah satu cara sambut Hari Raya di KL ini. Tempat shopping dah padat semula. Orang rasa jenuh nak hadap kuih-muih raya, jenuh nak teguk air sirup, oren, sarsi atau coke. Jenuh nak makan ketupat dan lemang. Tunggulah dalam masa sebulan ini pesta makan masih berlanjutan.
Yang sedapnya, pesta makan juga dijadikan sarana untuk "memancing undi" oleh tokoh tertentu yang mengadakan pesta makan dan melantak selagi mahu! Dan tak lupa, ketika menghadiri pesta makan itu, ramai pula yang datang bogel! []


Saturday 18 August 2012

MALAM RAYA BULAN DI ATAS KUBURAN

TERINGAT puisi Subagio Sastrowardoyo yang cukup ringkas:

malam lebaran
bulan di atas kuburan

Orang tentu memikirkan, di malam hari raya mana ada bulan mengambang pun? Sedangkan teropong canggih pun tak dapat nak kesan anak bulan. Dalam puisi itu menggambarkan bulan terang benderang, tanggal 14 atau 15 yang menyebabkan kawasan "terang benderang" -- sebenarnya bukan begitu maksud puisi itu. Ia memerlukan tafsir lagi.

GANGGUAN MERCUN DAN BUNGA API

Ketika mengetik paparan ini, jiran sebelah tetap main mercun dan bunga api, siap menjerit bergembira, termasuk suara perempuan. Barangkali agama kita mengajar apabila genap tempoh berpuasa kena main mercun dan bunga api sebagai gandakan pahala.
Bukan kanak-kanak lagi, bapa budak pun ikut main, anak gadis yang patut dah nikah pun ikut main. Setelah meletup ia akan jatuh atas atap rumah orang.
Jiran pun bising menjerit bagi amaran jangan main mercun, mereka tak peduli, hari raya lebih penting main mercun, kalau boleh sumbat mercun dalam mulut dan cucuh biar koyak rabak mulut itu.
Begitulah gambaran kekecewaan jiran, inilah yang dikatakan menyakiti hati jiran, baru lepas puasa, walaupun berjiran di kawasan kampung, penghuni kampung mengamalkan kau kau aku aku. Ini adalah asuhan yang dilakukan oleh pemerintah sejak sekian lama.
Budaya mercun dan bunga api yang menyebabkan anak-anak muda kehilangan adab berjiran.
Seelah jiran sebelah menjerit-jerit kerana marah kepada budak-budak main mercun dan bunga api, mereka masih meneruskan kerja bid'ah itu.
Orang Melayu tak anggap mercun dan bunga api sebagai bid'ah. Ia dianggap permainan yang baik, selagi tak ada yang kena mata, selagi tak ada cedera teruk maka permainan itu tidak menarik.
Maka jiran sebelah rumah mengamuk kerana budak-budak termasuk cikgu sekolah pertukangan di KL pun ikut main bunga api, bayangkanlah! []

Friday 17 August 2012

KOMEN PAK LAMBUK

KATA PAK LAMBUK [seorang pakar terkenal bikin bubur lambuk yang dipelajari di Havard University, balik kampung jadi tukang masak bubur lambuk profesional], masih ada bebudak dan orang berumur yang masuk ke masjid dengan memakai pakaian bertulisan.
Katanya, kalau tulisan itu di bahagian dada tak mengapa, orang yang berbaris di saf belakang tak nampak, ini sengaja nak tayang, macam-macam tulisan:
ada tu nama syarikat tempat kerja
ada tu gambar macam syaitan yang tak sesuai
ada tu tulisan kepartian dan umnongoknya
ada tu jersi bola sepak
ada tu gambar traktor siap dengan tulisannya
belum lagi menyenaraikan fakulti pengajian di universiti
belum lagi bab gambar artis walaupun lakaran kasar
belum lagi bab grafik yang cantik-cantik tapi menyakitkan mata orang yang nak solat khusyuk
jadi, yang suka cincai berpakaian ketika nak solat kena fikirlan, tak kan benda kecik macam ini mereka tak boleh fikir juga?

Itulah yang Pak Lambuk tak gemar.
Satu lagi katanya, orang kita nak solat di masjid, tetapi setiap kali imam suruh rapatkan barisan, mereka macam tak peduli, ramai yang suka solat renggang-renggang, agaknya orang kaya risih bersentuhan dengan orang miskin tak mandi kut?
Bukan soal itu, ia adalah nasihat yang berguna bagi sesiapa yang ikut sunnah. Nanti di celah-celah tu ada yang masuk kata Pak Lambuk.

Kemudian kata Pak Lambuk, dah jadi kebiasaan habis solat nak bersalaman sambil membentuk lingkaran kecil supaya semua orang bersalam. Inipun tak jadi hal. Rasa nak ikut ikutlah sama, kalau tak nak pun tak mengapa, seperti juga zikir ramai-ramai, doa ramai-ramai semua. Rasa ada hal mustahak nak kejar, boleh tinggalkan segera. Atau nak masuk kerja cepat.

Dan Pak Lambuk kata dia hairan juga, masjid Melayu kita banyak surat Yasin, bersusun-susun, dan kalau ada orang nak hantar bahan bacaan, surat Yasin juga yang dihantar sampai beberapa bundle disumbat ke rak-rak.

Begitulah kata Pak Lambuk yang keletihan mengacau bubur lambuk sepanjang bulan puasa.[]

TUPAT DAN LEBARAN TAK BOLEH PISAH

ORANG MENYEBUTNYA tupat, itu kalau di Lombok. Sempena nak sambut Ramadan, mereka yang amalkan Wetu Telu di kalangan suku Sasak sudah "lebaran" awal-awal, hantar sedulang makanan bagi setiap keluarga yang mahu menziarahi perkuburan.
Sampai di kawasan kubur, makanan itu digeletakkan dan berbasi-basi bilang kepada yang sudah pergi bahawa mereka semua akan menyambut bulan posa.
Ada yang bersihkan kuburan sekali. Jadi apabila tiba masa lebaran, mereka sinonimkan dengan tupat atau ketupat. Kalau tupat nggak ada, maka seperti tidak lebaran pak!
Makanya, warga seberang yang berada di Chow Kit istimewanya, saya lihat begitu sibuk sekali buat persiapan untuk sambut lebaran.
Lebaran ini mesti ada tupat, kalau tak ada tupat rasanya seperti tidak ada lebaran. Setiap lebaran sahaja baru ada tupat.
Habis tupat satey itu bagaimana?
Itu satey, memang ada tupatnya, tapi tupatnya kurang meriah.
Tak percaya tengoklah time rumah terbuka dan rumah tertutup nanti, sana-sini satey!
Sana-sini tupat!
Di lokasi yang saya pergoki lepas solat Jumaat di Masjid Pakistani KL tadi, adalah tempat orang mencari daging lembu. Sana-sini membeli daging. Paling kurang sekilo sudah cukup bagi yang sekadar mahu rasa daging.

GUNI DAN JANUR

Esok apabila sudah confirm raya, maka aktiviti membeli bagai nak gila. Kalau boleh bawa guni padi yang besar bagi isikan barang, lepas tu pikul dan kemudian humban dalam bonet. Itupun entah-entah tak muat, kena ikat guni itu atas bumbung, barulah semua orang tahu!
Di pasar ini, semua orang sibuk mencari kerisik kelapa, mencari daun kelapa, ada yang beli kelongsong ketupat, nak tahu?
Daun pucuk kelapa muda [janur] di Chow Kit berharga RM15 satu!
Di kampung saya, tak ada pula orang terfikir nak kutip janur banyak-banyak dan lelong di KL, kalau orang itu jual RM15, anda jual sendiri RM10, bayangkan daun kelapa untuk buat ketupat atau tupat jauh lebih mahal daripada kelapa mudanya, jauh lebih mahal dari santannya!
Di kampung sekarang orang tak peduli kepada pokok kelapa. Mereka sudah beralih kepada sawit. Macam felda juga. Corak kehidupan penduduk kampung di kawasan pantai barat Selangor dah macam orang felda.
Tidak tahu pula harga janur melambung-lambung menjelang nak raya.
Janur kalau di Bali dijadikan hiasan untuk merayakan agama mereka. Janur digantung sana-sini menuju ke kawasan pura dan puri.

AYAM DAN DAGING

Berbalik ke Chow Kit, saya lihat bukan sahaja warga dari seberang yang sibuk meredah aspal basah untuk mencari ayam muda dan ayam tua, mencari daging lembut, kerisik, dan bahan untuk buat randang.
Dalam bab randang ni, memanglah namanya randang, randang dagiang, apabila di masak oleh orang yang bermacam latar belakang keturunan, rasanya jadi lain. Rendang juga namanya, tapi ada lain sikit! Tak percaya cubalah.
Ada orang tanya, kalau tak buat rendang semua, raya ke tidak?
Siapa kata tak boleh raya?
Di KL ini orang yang berniaga ada yang teruskan berniaga kerana banyak kedai makan tutup, siapa yang bijak buka kedai makan dia akan pukul habis!
Time orang balik kampung masuk bandar semula, dia pula gilirannya bercuti panjang. Itulah orang yang pintar cari pitih.

NEGRO

Tadi saya tengok bukan main hebat bebudak Negro dari Afrika membeli daging. Mereka juga sibuk membeli daging hingga kecoh dan riuhlah. Ada yang boleh cakap Melayu sikit-sikit. Ada yang guna bahasa Inggeris terus untuk komunikasi. Mujur ada peniaga faham!
Malam ini ada yang sibuk menganyam ketupat, nak siapkan kelongsong untuk disisikan beras esoknya. Ada yang beli dah siap. Tapi kena bayar lebihlah.
Ketupat yang dibuat banyak-banyak ni, macam tahun lepas, sudahnya tergantung kat gerai sebab tak habis. Buat berlebihan.
Masa itu duit modal janur dah dapat cover, itu sebab mereka tak hirau pun.
Ada orang kata, ketupat hanya sesuai dimakan dengan rendang ayam atau daging. Dengan rendang kerang bagaimana? Oh, itu kalau ada lomang.
Tapi di kawasan kita la ni, mana-mana ada orang bakar lomang. Sepanjang Syawal akan ada sahaja lemang dibakar, tengoklah di tepi jalan nanti.
Ada yang berkampung halaman, siap rendang ayam dan rendang daging disediakan. Tinggal beli sahaja berapa nak?

CEMAS DENGAN TUPAT

Teringat masa kecik-kecik dulu, tahun 60-an, makluman untuk raya begitu mengujakan. Cemas sahaja dibuatnya. Tupat dah ready nak masak, raya tak tahu lagi. Puncanya, penyimpan mohor lambat nak bagi tahu, masa itu hanya bergantung kepada radio.
La ni, time raya dah tahu siap-siap.
Ketidakpastian raya bila akan menyebabkan orang bekerja pun lintang pukang jadinya. Mujur kita berada di hujung minggu, menempuh Sabtu dan Ahad. Jadi, memang cuti pun.
Soalnya, ketika orang sibuk nak merandang dagiang atau randang ayam semua, ada orang sibuk main mercun di luar sana.

MERCUN

Jiran kita seorang cikgu muda. Dia mengetuai anak buahnya main mercun. Agaknya inilah yang dikatakan guru main mercun berdiri, anak buah main mercun berlari-lari.
Guru main mercun, anak buah main meriam tanah atau buluh.
Guru main bunga api, anak buah main mercun.
Bila lagi nak tunjuk pandai main mercun dan bunga api semua kan? Inilah masanya, meskipun orang selalu nasihat, jangan bermain bunga api atau mercun. Di sekolah pun ada cikgu nasihat muridnya jangan main mercun dan bunga api, tapi jiran saya yang juga cikgu, siap jerit-jerit menjerkah sunyi di sudut kampung.
Dia sibuk main bunga api dan mercun roket, meletup atas bumbung orang. Dah meletup dia pun keriauuuu!
Itulah kepandaian kita sebenarnya, main bakar-bakar, lancarkan roket yang betul tak tahu.
Daripada main mercun dan bunga api baik suruh mereka itu anyam buat sarung ketupat, sebab esok nak masak randang daging!
Agaknyalah, kalau hari raya dibatalkan atau ditangguhkan, maka marahlah orang yang sudah beli daging, ayam, kerisik, daun kunyit, santan, dan sudah giling bahan-bahan semua. Tolong ya, tolong...jangan dibatalkan! Tapi kuasa Allah siapa tahu? []

Wednesday 15 August 2012

SOLAT TARAWIH MAKIN MENURUN

INILAH YANG TERJADI DI MANA-MANA.
Mood nak berjemaah tarawih tidak seperti pada awa; Ramadan. Dua malam berturut-turut saya mengira ada berapa orang yang solat di sebuah masjid di Jalan Gombak. Kerja mengira ini tak pernah dibuat dek oranglah.
Tapi tak apalah. Saja nak kira. Tak ada nak ghibah apa pun. Sebab mana-mana pun gitu pada masa ini sebab orang rasa sudah tempuh Lailatul Qodr pada malam ganjil yang baru lepas.
Kalau terjadi malam ini - lagi beberapa hari nak habis Ramadan? Maka melepaslah!
Bukan senang nak dapat pahala ibadat 1000 bulan - 83 tahun, jenuh nak timbun kembali.
Bayangkan, kalau umur seseorang itu 50 tahun, belum tentu ibadatnya 50 tahun!
Ketika menempuh zaman jahiliyah Melayu, amal ibadat memanglah tenggelam timbul, ada yang tak jengah masjid pun.
Jadi jika umur 50 tahun kata ustaz ketika tazkirah, kena tolak zaman huha-huha yang ada. Kalau baru nak ingat solat ketika umur 30 tahun? Maknanya baru 20 tahun nak beribadat. Makanya masih kuranglah!
Kalau kita buat perhitungan begini memang cantiklah.
Tapi orang tak fikir macam itulah ustaz!
Semalam saya kira bilangannya 29 orang termasuk imam dan bilal, termasuk saya jugalah.
Sebelum semalam saya kira bilangannya 30 orang. Dan malam ini tak tahu, bertambah atau berkurang.
Di atas sebelum solat tarawih.
Ini laporan ketika tarawih - yang disebutkan jemaah kurang ini adalah untuk tarawih 20 rakaat. Kalau yang 8 rakaat memanglah ada 6 saf. Lepas 8 rakaan dah jadi 1 saf setengah.
Maknanya majoriti pilih 8 rakaat, pastu witr atau buat di rumah.
Kebetulan malam ini ada majlis khataman al-Quran dan majlis penyampaikan sumbangan untuk anak-anak yatim. Yang tak sedapnya, tengah menikmati bacaan al-Quran, saya terpandang beg besar diletakkan di kalangan jemaah wanita - siap logo UMNO!
Ketika itu yang ada hanya beberapa orang, yang lain semua dah cabut. Tak peduli ada hidangan makan atau tidak. Nampaknya AJK masjid masih tak faham-faham.
Kalau ada program kurang sambutan -- puncanya adalah kerana politiking berlebihan.
Wallahu a'lam bishowab. []

RAYA DI PERANTAUAN LAGI MUDAH

TERKESAN DENGAN perbualan dengan seorang seniman yang dulu pernah nongkrong di Central Market, KL, dia Pak Adam dan isteri, tinggal di Brisbane, Australia.
Pak Adam bilang, hari raya di perantauan lagi mudah, tidak perlu kuih-muih macam di kampung. Maklum tinggal di kampung, kalau raya tak ada pameran kuih yang serba-serbi maka adalah ghibahnya dari jiran-jiran.
Langsir yang tak berganti pun jadi bahan ghibah, apalagi kalau tak pakai rantai leher besar rantai beruk supaya satu kampung boleh terbeliak biji mata.
Pendeknya, ada orang berhabisan buat persiapan raya hanya kerana nak jaga mulut orang. Orang kampung masih tak berubah perangai, gosip dan aneka macam ghibah jadi mainan.
Kalau tak punya apa pun orang kata, dan kalau letak Lamborghini depan rumah pun lagi orang kata. Itu belum letak kapal layar mewah depan rumah, atau letak kereta kebal, kapal selam buatan Perancis depan rumah -- dah tentu banyaklah orang repot sebab bagaimana orang kampung boleh beli kapal selam, boleh beli kereta kebal atau Lamborghini.
Di kampung, orang yang kerja gomen dianggap golongan hebat. Maka yang tak kena gomen dianggap lekeh, nak berkawan pun lain macam sahaja.
Mentaliti saling berlawanan ketika raya sudah menjadi lumrah. Agama seperti tidak cukup mengajar umatnya untuk meraikan hari raya seadanya, kerana pada 2 Syawal orang sudah mula puasa sunat pun.
Mood raya hanya ada pada hari raya pertama dan kedua, manakala masuk hari ke-3 orang dah mula nak potong buah sawit atau ke bendang.
Buat apa meraikan raya sampai sebulan -- terbukti suasana sambutan raya di negara kita sudah dijejali dengan rumah terbuka di sana-sini.
Berbalik kepada Pak Adam yang sejak berada di Brisbane dia menjadi seniman rakyat, bicara tentang busana Melayu, tentang silat, tentang keris Melayu - dan diharap Pak Adam tidak lupa bahawa di Malaysia tidak ada Mpu Gandring yang boleh bikin keris pusaka yang dimuliakan.
Susur galur keris Taming Sari milik Hang Tuah yang orang bilang kepunyaan pahlawan Majaphit pun masih samar. Bahkan di Majapahit orang tidak kenal dengan keris Taming Sari itu.
Ia hanya sebutan Melayu, di Jawa nama keris tidak begitu jadinya. Mungkin ia dinamakan Nogo Sostro atau Nogo Jiwo dan macam-macam lagi.
Jadi, Pak Adam yang pernah sepejabat dengan penulis waktu di Pulau Pinang sekitar tahun 1981, adalah pelukis. Waktu itu kami bikin majalah berkaitan dengan kemasyarakatan, bos kami ketika itu adalah Dr Lim Teck Ghee. Sampai sekarang saya masih setia mengikuti idea bekas bos itu kalau membaca bahan dalam Merdeka Review.
Di Brisbane tak ada masyarakat Melayu yang menyambut hari raya. Di situ Pak Adam kena menyambut hari raya bersama warga dari segenap pelusuk dunia. Jadi, soal juadah kuih raya, ketupat, satey, lomang dan sebagainya tidak perlulah diusung sama.
Maksudnya beraya juga di perantauan, tetapi sekadar apa yang ada, tidak perlu nak memuaskan hati para jiran Melayu atau nak jaga agar tak ada ghibah dari mulut orang.
Jika begitu, beraya di perantauan lagi baik. Tak perlu nak buat itu dan ini. Hari raya yang diraikan oleh Melayu kita tidak serupa dengan raya yang diraikan orang Islam di Hadramaut, tidak sama dengan orang di Iskandariah, tidak sama dengan orang di Turki atau di Rabat.
Kalau kita rujuk kepada dunia raya melayu Malaysia, maka hari raya adalah hari huha-huha, kena ada kuih muih, kena ziarah [orang Jawa sebut sejarah].
Disebabkan kepenatan makan, orang Melayu banyak yang alpa ketika sejarah di rumah orang dan sanak saudara, mereka abaikan solat zuhur, asar dan maghrib.
Mungkin mereka anggap cukuplah dengan solat tarawih sebulan, dah dapat malam Lailatul Qadr di malam ganjil yang lalu, dah dapat pahala 1000 bulan!
Kealpaan kita yang mendasar adalah leka di depan TV, sumber maksiat yang dilaknat oleh kalangan ilmuan. Sebab di masa hari raya inilah media ini menyediakan drama, filem, muzik dan nyanyian para artis [disebut selebriti konon!], maka tidak sahlah hari raya kalau tak ada itu semua.
Umat Melayu dipupuk mencintai rancangan sambutan raya sejak malam raya, masuk raya pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Iklan tentang program dipaparkan sepanjang masa.
Jadi, lebih baik berada di Brisbane. Tidak ada drama Melayu, tidak ada filem Melayu, dan tidak ada persembahan artis Melayu.
Dunia eskapisme ini memang menarik bagi seorang seniman seperti Pak Adam. Inilah yang dikatakan eksperimen dalam kehidupan. Merentasi ruang sempadan budaya. Hidup di perantauan, bukan tidak terimbau kenangan masa di kampung Pak Adam di Labu Negeri Sembilan, dan apabila teringatkan Pak Adam dengan George Town, Penang, saya teringatkan nasi kandar di Line Clear.
Solat tarawih di Masjid Benggali atau di Masjid Kapitan Kling. Bersahur makan udang besar, tapi KL tidak jumpa udang besar yang begitu enak, cari dekat pasar Chowrasta, Penang Road.
Sebenarnya bagi seseorang yang telah kehilangan "kasih" dan "perasaan" berhari raya di perantauan akan lebih mendamaikan. Sebening salju yang orang tidak peduli kapan akan mencair.
Selamat HARI RAYA AIDIL FITR. Maaf dipinta. []

Thursday 9 August 2012

LAGI KISAH TENDANG IBU JADI ULAR

KISAH INI saya ulang semula untuk dipaparkan.
Ia berlaku di tanah besar Si Malim Kundang [Sumatera]atau di tempat kita disebut Nakhoda Tenggang. Mungkin ada yang kenal dengan Nakhoda Tenggang, tetapi tidak tahu pun ada cerita Nakhoda Ragam yang mati tercucuk jarum sulaman isterinya yang didakwa keturunan Puteri Gunung Ledang, dia siap boleh terbang atas air, menuju ke Gunung Ledang. Hidup lagikah puteri itu, siapa pun tak tahu, kerana Puteri Gunung Ledang adalah rekaan sahaja untuk menyindir Sultan yang kemaruk perempuan, isteri orang pun nak disapu juga, akhirnya dijadikan cerita pinang puteri gunung yang dari keturunan jin. Dah tak ada perempuan di Melaka, dengan jin pun jadilah. Itulah sindiran terhadap Sultan zaman dulu. Tidak ada orang kritik pun masa itu, semua anggap lebih baik diam daripada berkata-kata, nanti ia dianggap menderhaka!

SOLAT
Baiklah, kisah konon berlaku di Prapat. Ketika ronda di Chow Kit, saya ada juga risik cerita ini daripada orang-orang yang asal dari seberang. Wah, tak tahu pun. Memang ada kata mereka, tapi samar-samar tak tahu apa ceritanya.
Nah, konon ada budak perempuan pelajar sekolah menengah mengidam sebuah motosikal jenis Mio [?]. Dia nak ke sekolah naik motosikal agaknya. Sudah lama dia cerita nak pakai motosikal, beritahu si omak bolikan sebuah, tapi si omak kata nanti dulu, belum cukup duit.
Kalau emaknya jadi CEO yang bergaji RM240,00 sebulan atau kurang dari itu bolehlah beli motosikal banyak-banyak, taruh depan rumah. Sudahnya dia yang jual motosikal, si anak boleh tukar motosikal dan bergaya setiap hari.
Di sebabkan si omak bukan orang kayo, nak kumpul duit pun bukan senang, maka tangguhlah dulu. Sabarlah dulu dik. Omak belum cukup duit ni ha.
Alahai beli ansuranlah, bayar duit muka dulu, lepas tu bayar bulan-bulan. Dasar budak nakal, setiap hari mindanya asyik bermain dengan model motosikal kegemarannya itu. Agaknya dia nak berlumba di litar lumba Sentul mewakili sekolahnya.
Jenis yang tak sabar, mendesak dan merengek. Si omak bukan tak kisah, dia kisah, itu anak dia, siapa tidak sayang anak. Tapi nak sangat pakai motosikal baru.

TENDANG

Suatu hari entah angin apa yang melanda kepala si anak, dia mengamuk lagi.
Dicarinya si omak. Oh, tengah solat. Solat apa hari sudah siang tuh? Si anak tidak fikir si ibu nak solat sunat, dia hanya fikir solat itu ada lima waktu sahaja.
Maka kerana si omak melambat-lambatkan tindak balas, dia pun mendekati si omak dan terus menendangnya.
Gedebukkkk!
Si omak ditendang. Tergolek si emak.
Ini bukan omak Si Randang yang baik budi itu. Ini omak budak perempuan yang naik minyak itu.
Bukkk!
Dia tendang lagi ibu yang sudah tergolek.
Apa yang terjadi?

TERGOLEK

Dalam suasana yang tidak menentu itu bagaikan ada pengaruh mistik dan bauran Malim Kundang, si anak perempuan yang menendang ibunya itu terduduk dan tergolek sendiri.
Konon kemudian kerana kesedihan yang amat sangat pada si ibu, dia tidak perasan pun apa yang terjadi kepada diri anaknya.
Si anak perempuan yang pandai kungfu mengikut filem yang dia tonton, dia telah mengalami transformasi, dia menjalani deformasi --- lalu tanda disedari oleh si ibu, si anak kepalanya menyerupai seakan-akan anjing, berambut panjang warna putih, kemudian badannya serupa ular yang melingkar, dua tangannya berubah menjadi seperti kaki biawak.
Makhluk itu berpusing-pusing di atas lantai tidak jauh dari sejadah ibu. Sementara itu si ibu kebingungan sekali apabila mendapati makhluk ganjil itu berada di situ. Ke mana perginya si anak yang menendang dirinya tadi? Ghaibkah?
Ibu tidak tahu bahawa si anak tadi sudah bertukar menjadi makhluk misteri seperti yang dia tengok. Dia memanggil nama anaknya berkali-kali. Tidak ada suara menyahut.
Dia tidak menyedari bahawa anak yang dipanggil itu telah bertukar menjadi sedemikian rupa.
Makhluk apakah itu?

SEPERTI ULAR

Makhluk itu berputar-putar di atas lantai, ia menjerit-jerit tapi bukanlah suara manusia lagi, anehnya dari mata makhluk itu berjuraian air mata.
Makhluk pelik yang pandai menangis seperti manusia.
Si ibu masih kebingungan.
Anak perempuannya tidak ada, tapi yang ada adalah makhluk misteri seperti ular itu. Akhirnya si ibu terkenangkan Malin Kundang.
Wah, dia pun menjerit histeria, menangis dan memanggil jirannya.
"Anakku sudah jadi begini!" katanya sambil menangis.
"Kenapa kok jadi begitu?" tanya jiran.
"Tak tahu saya, tadi saya solat, anak saya satu-satunya tendang saya ketika solat. Habis tahu-tahunya udah jadi gini!" suaranya basah dalam tangisan.

MALIM KUNDANG

Melalui ucapan jiran itulah si ibu baru menyedari telah berlaku mistik Malim Kundang versi moden di rumahnya. Anaknya yang derhaka kerana tendang ibu ketika solat telah berubah jadi begitu mengerikan.
Mahu diapakan lagi sesudah itu? Ya, jiran-jiran membantu membawa dua beranak itu ke rumah sakit. Bagaimana kesudahan cerita?
Apakah pihak perubatan moden mampu memulihkan agar si anak itu hilang keanjingan dan keularannya? Setakat ini saya sendiri pun tak dapat maklumat selanjutnya.
Kisah ini jadi tergantung, apa sudahnya?
Tetapi bukan soal lanjutan perubahan pelik itu, yang penting ia memberi pengajaran kepada anak muda lain, sebab tendang menendang macam ini di negara kita banyak terjadi, terutama di kalangan bebudak penagih dadah. Hanya belum pernah terjadi kisah mencarik adat begitu.
Kalaulah berlaku begitu, satu Malaya akan kengerian dengan peristiwa itu. Dan hukuman yang secepat kilat itu akan membuatkan orang jadi gerun segerun-gerunnya untuk derhaka kepada ibu. []

AIDIL FITRI HARI MULIA MARI DUDUK DEPAN TV

DI NEGARA KITA kempen pihak tv awal-awal lagi adalah menetapkan kesetiaan anda di depan tv untuk mengikuti semua rancangannya dari waktu tengah malam nak raya, hingga santak ke pagi. Kemudian sambung lagi tengok tv - jangan pedulilah hal lain, setakat nak makan ketupat atau nasi himpit dan randang dagiang atau ayamnya, maka depan tv pun boleh makan. Anda dan semua rakyat yang memilik tv dikehendaki duduk bersila atau bersantaian sepanjang hari mengadap alat hiburan ini.
Kalangan ulama memang tidak suka berbuat demikian, begitu orang yang berilmu. Hanya mereka yang kurang ilmu sanggup duduk bersila depan tv dari pagi sampai petang mengikuti segala macam program yang memualkan.
Betapa tidak mualnya. Ketika inilah orang yang ada tv dikehendaki menonton persembahan macam-macam orang menyanyi [tetapi pengacara perasan mengatakan mereka itu adalah golongan selebriti - maka hairan benarlah orang berilmu jika makhluk yang sedemikian dijadikan idola dan selebriti umat].
Kemudian berhari raya bersama artis sekian dan sekian. Semua mengenakan pakaian cara Melayu kita, berbaju Melayu lengkap, kalau ada rambut panjang siap diikat ke belakang bagi lelaki, atau bagi perempuannya, memanglah pakai baju kurung sesuai dengan musim raya, tetapi dedah aurat juga. Maknanya keislaman orang Melayu pada tahap ini masih berada dalam kategori lemah dan perlu pembaikan.
Siapa nak baiki keadaan ini? Mampukah ceramah agama di kaca tv mengubahnya? Mampukah forum perdana yang dirakamkan itu mengubah cara hidup kita? Nampak gayanya, di negara kita, kata-kata nasihat orang berilmu, orang alim, ustaz dan para ulama dipandang sepi. Sebaliknya kata-kata dari pengacara tv atau artis yang dipanggil selebriti itu dipandang sebagai fatwa unggulan. Inilah kepelikan yang ada di negara kita.
Kebetulan di luar sana masih lagi panas dengan isu undi parti ini haram, undi parti itu haram. Habis bagaimana dengan orang yang menjadi idola umat, orang yang diidolakan itu mendedahkan aurat, mengirai rambut, siap berjogetan, siap berjabatan tangan - - nampaknya penerbit hiburan tv kita masih cetek ilmu, mereka tidak tahu apa yang boleh dan tak boleh.
Bagi orang berilmu, menonton persembahan yang memualkan itu adalah dosa dan membawa kemaksiatan. Lagi-lagi ia melekakan umat. Dari pagi sampai petang asyik mengikut rancangan tv. Hiburan dari pagi sampai ke petang tak habis-habis.
Dan kalau anda perasan melalui tv kita akan diperoleh satu kesimpulan bahawa hari raya ini adalah hari gembira untuk para artis. Hanya merekalah yang berhari raya, hanya merekalah yang meraikan dan diraikan, sedangkan orang lain tidak penting sama sekali.
Mungkin anda rasa kenyataan ini keterlaluan, tengoklah, ia sama sahaja macam program tv lima tahun kepas, atau sepuluh tahun dulu pun!
Seluruh warga artis, baik yang lama atau yang baru diundang untuk buat persembahan. Yang sudah sepatutnya duduk berehat pun masih hendak menyanyi dan bermuzik. Golongan ini seperti tidak pernah membaca karya ilmu atau mengikuti majlis ilmu, tidak mentelaah hadis-hadis Nabawi, dan tidak ambil pusing pun akan dunia yang mereka sayangi itu.
Kemegahan berada di dunia hiburan ini telah melekakan mereka hingga ke waktu senja kehidupan. Masih tidak puas-puas lagi dengan muzik dan nyanyian sedangkan semua itu tidak ada dalam kamus kehidupan seorang Muslim. Hairan sungguh umat Melayu terus dilekakan dengan fatwa-fatwa dari pengacara hiburan, tak berubah sejak tahun 70-an lagi. Artis menjadi penentu kemeriahan program hari raya.
Apa perlunya menyanyi dan menari-nari ketika semua orang berpakaian cantik untuk menyambut hari raya? Apa gunanya bersalaman dengan semua orang tak kira lelaki perempuan sehingga tanpa suatu sekatan pun. Perkara ini sudah berlanjutan sejak zaman jahiliyah dulu lagi dan sampai sekarang.
Itulah sebabnya bagi kalangan yang mempunyai ilmu, mereka langsung tidak ambil peduli kepada program tv. Sayangnya, anak-anak muda, kanak-kanak dan mereka yang cenderung dengan hiburan dan berlekaan itu menganggap itulah sesuatu yang mesti dilakukan setiap hari hari.
Ada orang yang membesar di depan program tv, sejak tahun 70-an hingga sekarang 2012, tv kita yang mengasuh minda mereka, mengasuh penampilan, mengasuh apa yang boleh dan tak boleh dibuat, mengasuh kecenderungan dan kefanatikan di dalam dunia yang dilihatnya. Asuhan di depan tv itu kekal sehingga dewasa, sampai ke tua pun masih tumpang seronok menyaksikan persembahan artis veteran pula, konon lagi klasik.
Lagu-lagu klasik di zaman jahiliyah dulu liriknya menggambarkan kejumudan. Cuba semak lirik lagu-lagu yang ada. Memang dalam bab ini orang Melayu tak perasan pun. Tak ambil peduli kata orang. Janji sedap, janji ada kenangan lama yang mengusik jiwa. Inilah sikap kita. Kita anggap tv itu sebagai alat hiburan terbaik, sedangkan kita tak tahu program yang ada itu semuanya merupakan agenda penyesat, agenda perosak musuh-musuh Islam secara tak disedari. Umat Melayu tenggelam dalam keasyikan, bersila, berleka di atas sofa menyaksikan lakonan dunia fiskyen atau tarian jumud yang masih dianggap relevan dengan suasana hari raya kita.
Apakah pembaharuan yang ada dalam program tv kita? Memang tidak ada pembaharuan. Yang ada umpama kosmetik sahaja. Tampal sana, tampal sini, asalkan orang terhibur. Semua program mengagungkan para artis dan golongan ini terlalu dimuliakan, sehingga apa hobi, apa makanan, apa gula-gula dan apa warna kesukaan semua mahu diketahui umat.
Ini baru kita sentuh bab tv kita, tak kiralah tv berbayar atau bagaimana. Semua saluran tv memburu program sambutan hari raya yang ceria. Tetapi begitulah corak ceria yang dipersembahkan sejak berpuluh tahun lampau. Tak ada perubahan.
Ini belum bab majalah hiburan yang siap dari muka depan hingga belakang gambar artis dengan pakaian serba cantik, bertukar fesyen dan stail, dengan dedah aurat, dengan tayang leher jinjang, tayang rambut, tayang jambul semua, tetapi wartawan yang menulisnya kata itulah busana muslimah yang sesuai untuk hari raya. Inilah subbudaya Melayu yang dibentuk dan dicanai oleh tv dan alat yang sealiran dengannya di negara kita. []

MERAIH ILMU UNTUK AWET MUDA

KALAU ADA produk yang boleh membuatkan seseorang menjadi awet muda, rasanya produk itu akan jadi buruan orang. Setiap orang ingin memilikinya. Selain berbagai pil, kapsul dan pengamalan ilmu, ada juga orang sanggup menemui pakar bagi mendapatkan suntikan awet muda. Ini bukan suatu rahsia lagi.
Setiap orang bangga kalau dikatakan dirinya masih muda, atau kelihatan seperti orang muda walaupun orang itu sudah beruban.
Salah satu ikhtiar untuk awet muda yang diajarkan oleh dukun ilmu hitam atau karut, ialah amalan ilmu seperti yang orang selalu hebohkan --- jadi orang minyak.
Orang minyak itu sendiri bukanlah orang minyak, sekalipun tidak mengenakan minyak pada badannya, ia tetap dipanggil orang minyak.

SIHIR

Menurut kisah ada sebuah ilmu awet muda yang menjadi buruan orang yang bingung. Di katakan bingung kerana ilmu ini tergolong sihir yang nyata. Maka sesiapa yang mengamalkan sihir besar dan berat dosanya. Alangkan bertemu dengan dukun itu sendiri sudah dianggap perlakuan dosa, apalagi mahu menuntut ilmu darinya.
Sebab itulah, saya katakan orang itu bingung. Betapa tidak, sang guru yang juga sesat, melakukan sihir, sanggup mengajarkan ilmu yang bukan-bukan kepada orang yang mahu awet muda. Awet muda untuk apa? Bagi kalangan yang cari makan melalui penampilan wajah, maka awet muda memang dijadikan keutamaan, setiap hari perlu melihat cermin.
Tidak hanya itu, setiap hari perlu dibedaki, perlu dihias cantik-cantik jika ada jurugambar mahu merakamkan aksinya. Kemudaan itu yang dicari.

ILMU BATHARA

Nama ilmu ini sendiri seolah-olah berasal dari ajaran paganisme.Masyarakat purba yang primitif mengamalkan sihir. Hanya tidak diketahui adakah di kalangan mereka juga memerlukan ilmu awet muda kerana mereka tidak ada kepentingan apa pun sebagaimana masyarakat moden.
Seseorang yang ingin menjadi awet muda, menurut dukun sesat itu, dia perlu mengadakan hubungan seks dengan perempuan muda, terutama gadis-gadis seramai 40 orang!
Heboh-heboh mengatakan ada orang menceroboh rumah kerana mahu memperkosa gadis muda sering dikaitkan dengan pengamalan ilmu sesat.
Ilmu Bhatara ini boleh dinamakan apa sahaja mengikut dukun yang mengajarkannya. Boleh jadi ilmu Bhatara Karang atau ilmu Bathara sahaja.

GURU

Guru pembimbing yang memang sesat hanya menasihat orang yang menuntut ilmu itu agar berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperkosa gadis seramai 40 orang, sebuah bas persiaran mahu dikerjakan.
Selain mensasarkan para gadis muda, terutama budak sekolah menengah --- khabarnya kalau dapat yang bawah umur sekitar 14 tahun lagi ampuh untuk mendapatkan keawetmudaan itu.
Ilmu yang mengarut ini adalah ajaran guru syaitan yang menambah sesatkan lagi pelaku ilmu. Orang itu akan dibekalkan dengan perlindungan diri berupa berbagai koleksi azimat atau tangkal untuk keselamatan, dia juga dibekalkan dengan sebilah keris dan sepotong buluh, tidak diketahui apa gunanya. Mungkin sebagai pendinding diri, maklumlah untuk khatam ilmu karut ini orang itu kena jadi perogol bersiri.
Jika kena tangkap nama akan terkenal di mana-mana, jadi sanjungan syaitan iblis, dan di dalam dunia sang iblis, orang ini akan diberi gelaran dan pingat, darjah kebesaran dari Raja Iblis, kerana telah lulus memperkosa seramai 40 orang gadis melalui permainan liciknya.

PASTI GAGAL

Selalunya, sesiapa pun yang akan menjalani praktik bagi memenuhi syarat ilmu, orang itu pasti gagal. Ada yang gagal untuk mencari mangsa. Bukan mudah mahu tabur gula-gula, mengajak gadis muda untuk bercinta, mengajaknya ke mana-mana atau dikenakan pil khayal atau bahan lain agar cita-cita terlaksana.
Kisah orang nak mengambil ilmu awet muda secara perogolan bersiri ini tidak akan pecah tembelangnya kalau orang itu tidak ditahan orang ramai.
Kejahatannya keterlaluan, memperdaya ramai gadis muda. Akhirnya orang itu kena jaring. Dengan sebab kena jaring itulah, rahsia ilmu Bhatara ini bocor habis.

SYARAT ILMU

Kenapa guru ilmu karut ini mensyaratkan penuntut ilmu agar mencari mangsa hingga sebuah bas penuh bilangannya?
Inilah yang dikatakan karut. Mungkin guru sejati itu sediri tidak mampu memperkosa bilangan gadis sebanyak itu. Dia hanya mencipta sesuatu untuk membodohi orang lain. Sesiapa yang ingin belajar ilmu awet muda, orang itu dibodohi agar mencari gadis untuk ditiduri. Sedangkan guru itu sendiri tahu, tugas itu bukan mudah.
Bilangannya terlalu besar, sedangkan untuk mencari 10 orang pun sukar. Inilah yang dikatakan ilmu orang bingung di abad ini.
Kalau ada guru mengatakan ilmu awet muda itu pernah diamalkan oleh si fulan dan si fulan, jelaslah ia hanya rekaan sahaja.
Memang ada orang yang terpengaruh dengan ilmu karut ini. Dia seorang pekerja di sebuah syarikat real estate, sanggup menyamar sebagai pegawai itu dan ini. Dia sanggup menyamar sebagai pegawai tentera. Uniform boleh dibeli dan boleh letakkan berapa calit pun yang dia mahu. Itu namanya memburukkan pasukan yang ada. Sedangkan dia hanya menyamar.

MENYAMAR

Kita selalu dengar gadis kena tipu disebabkan penyamaran ini. Yang kerap adalah penyamaran sebagai pegawai beruniform. Tak ada pula orang menyamar sebagai PM atau timbalannya.
Penyamaran selalunya dikaitkan dengan kedudukan, pangkat dan ada kuasa untuk bertindak.
Di situlah anak gadis terpedaya, apalagi kalau dia berlagak dengan kereta mewah.
Siapa pun yang belajar ilmu gila dari guru sejati ini pasti akan gagal. Risikonya, kena tangkap atau dipukul orang kalau tertangkap. Ia menimbulkan ketakutan kepada gadis-gadis.
Untuk meneruskan program ilmu sejati dari sang guru itu, pengamal ilmu kena berani menanggung risiko kena beduk kalau kena tangkap orang kampung. Kemudian dia juga sedia menerima risiko lain, isteri atau anak akan dijadikan tumbal atau korbannya.

TUMBAL

Ketika dia mencari gadis untuk diperkosa --- tak kiralah sebagai orang minyak atau orang tampan bergaya --- isteri atau anaknya di rumah akan dijadikan tumbal.
Inilah kerja jahat syaitan. Syaitan sudah mengikat perjanjian yang disaksikan oleh guru sejati tadi, bahawa penuntut ilmu karut sesat ini perlu sanggup menanggung segala musibah yang menimpa dirinya.
Kematian isteri dan anak-anak umpamanya terjadi ketika dia sedang mencari mangsa untuk diperkosa. Baik secara penipuan atau secara paksaan.
Ada kes di mana seorang penuntut ilmu sesat ini membawa gadis muda, termasuk budak sekolah masuk ke hotel murah untuk diperkosa. Orang itu pandai memujuk gadis muda, dibelikan pakaian, dibelikan handphone canggih, atau apa sahaja asalkan bilangan gadis untuk diperkosa boleh ditambah lagi.
Jadinya, penuntut ilmu perlu orang yang ada duit.

RAKAM FOTO

Ada kisah penuntut ilmu sesat ini merakamkan adegan bogel pasangan yang dijadikan mangsa. Foto-foto bogel yang disimpan mahu dijadikan koleksi bagi ditunjukkan kepada sang guru sejati.
Bayangkanlah kalau sampai 30 orang bilangannya dan mahu cari 10 orang lagi!
Selain itu, untuk mencari mangsa, dia perlu ada ilmu bantu lain iaitu ilmu guna-guna, pengasih dan pemikat. Tengoklah, itu belum bab ilmu awet muda. Ilmu bantu yang dia perlukan itu telah menjebloskan diri pengamal ilmu kepada amalan syaitan, mengikut syaitan, jadi budak syaitan, dan seterusnya jadi pengamal ilmu syaitan.
Ketika menjalankan operasi gila itu, dia sentiasa membawa tangkal dan azimat satu lagi bentuk kesyirikan yang diyakini bersama --- ada keris kecil bernilai magis, ada minyak pemikat dalam botol kecil dan azimat dari keratan buluh. Benda-benda mistik tambahan ini hanya rekaan sang guru sejati.

GAGAL CARI MANGSA

Bolehkah lelaki yang belajar ilmu awet muda ini mendapatkan sasarannya hingga ke 40? Selalunya, belum pun sampai ke angka belasan, oranmg itu sudah kena keroyok ramai-ramai, ditahan dan diserahkan kepada pihak polis. Maka popularlah namanya sebagai perogol bersiri yang digeruni para gadis. Gambarnya terpampang, kelihatan awet muda.
Ilmu ini tergolong karut dan tak masuk akal sama sekali. Sang guru sengaja mencipta syarat yang tak masuk akal supaya dia dipandang hebat. Ujiannya terlalu berat, macam program realiti pula.
Dia suruh muridnya buat perkara jahat, sedangkan ilmunya belum pasti dapat memudakan sang murid bingung. Sebagai guru sejati, dia pun sudah terlalu tua untuk mengajarkan ilmu kemudaan -- sarjana muda!
Akan tetapi dek kerana kebingungan tadi, apa yang disuruh oleh guru akan diikutkan sahaja. Jangan banyak soal. Kena ikut sahaja arahan guru. Guru nasihat agar murid meniru cara Nabi Musa belajar ilmu, jangan tanya itu dan ini, buat sahaja apa yang disuruh oleh guru.
Begitulah sebuah ilmu yang diajarkan oleh sang guru cabul. Mengajar kepada penuntut ilmu sebuah ilmu Bhatara yang sebenarnya ada kaitan dengan dewa-dewa kaum pagan di zaman kuno. Ilmu ini dibimbing oleh guru yang sudah mengadakan perjanjian baik dengan syaitan terkutuk.
Bagi yang bingung, janganlah sesekali mencari ilmu yang mengarut ini. Suruh guru itu buktikan dahulu sebelum dia mengajarkan ilmu itu kepada muridnya. Kalau dia masih awet muda ketika usianya 84 tahun, maka itu terpulang kepada anda mahu percaya atau tidak. []