Thursday 9 August 2012

LAGI KISAH TENDANG IBU JADI ULAR

KISAH INI saya ulang semula untuk dipaparkan.
Ia berlaku di tanah besar Si Malim Kundang [Sumatera]atau di tempat kita disebut Nakhoda Tenggang. Mungkin ada yang kenal dengan Nakhoda Tenggang, tetapi tidak tahu pun ada cerita Nakhoda Ragam yang mati tercucuk jarum sulaman isterinya yang didakwa keturunan Puteri Gunung Ledang, dia siap boleh terbang atas air, menuju ke Gunung Ledang. Hidup lagikah puteri itu, siapa pun tak tahu, kerana Puteri Gunung Ledang adalah rekaan sahaja untuk menyindir Sultan yang kemaruk perempuan, isteri orang pun nak disapu juga, akhirnya dijadikan cerita pinang puteri gunung yang dari keturunan jin. Dah tak ada perempuan di Melaka, dengan jin pun jadilah. Itulah sindiran terhadap Sultan zaman dulu. Tidak ada orang kritik pun masa itu, semua anggap lebih baik diam daripada berkata-kata, nanti ia dianggap menderhaka!

SOLAT
Baiklah, kisah konon berlaku di Prapat. Ketika ronda di Chow Kit, saya ada juga risik cerita ini daripada orang-orang yang asal dari seberang. Wah, tak tahu pun. Memang ada kata mereka, tapi samar-samar tak tahu apa ceritanya.
Nah, konon ada budak perempuan pelajar sekolah menengah mengidam sebuah motosikal jenis Mio [?]. Dia nak ke sekolah naik motosikal agaknya. Sudah lama dia cerita nak pakai motosikal, beritahu si omak bolikan sebuah, tapi si omak kata nanti dulu, belum cukup duit.
Kalau emaknya jadi CEO yang bergaji RM240,00 sebulan atau kurang dari itu bolehlah beli motosikal banyak-banyak, taruh depan rumah. Sudahnya dia yang jual motosikal, si anak boleh tukar motosikal dan bergaya setiap hari.
Di sebabkan si omak bukan orang kayo, nak kumpul duit pun bukan senang, maka tangguhlah dulu. Sabarlah dulu dik. Omak belum cukup duit ni ha.
Alahai beli ansuranlah, bayar duit muka dulu, lepas tu bayar bulan-bulan. Dasar budak nakal, setiap hari mindanya asyik bermain dengan model motosikal kegemarannya itu. Agaknya dia nak berlumba di litar lumba Sentul mewakili sekolahnya.
Jenis yang tak sabar, mendesak dan merengek. Si omak bukan tak kisah, dia kisah, itu anak dia, siapa tidak sayang anak. Tapi nak sangat pakai motosikal baru.

TENDANG

Suatu hari entah angin apa yang melanda kepala si anak, dia mengamuk lagi.
Dicarinya si omak. Oh, tengah solat. Solat apa hari sudah siang tuh? Si anak tidak fikir si ibu nak solat sunat, dia hanya fikir solat itu ada lima waktu sahaja.
Maka kerana si omak melambat-lambatkan tindak balas, dia pun mendekati si omak dan terus menendangnya.
Gedebukkkk!
Si omak ditendang. Tergolek si emak.
Ini bukan omak Si Randang yang baik budi itu. Ini omak budak perempuan yang naik minyak itu.
Bukkk!
Dia tendang lagi ibu yang sudah tergolek.
Apa yang terjadi?

TERGOLEK

Dalam suasana yang tidak menentu itu bagaikan ada pengaruh mistik dan bauran Malim Kundang, si anak perempuan yang menendang ibunya itu terduduk dan tergolek sendiri.
Konon kemudian kerana kesedihan yang amat sangat pada si ibu, dia tidak perasan pun apa yang terjadi kepada diri anaknya.
Si anak perempuan yang pandai kungfu mengikut filem yang dia tonton, dia telah mengalami transformasi, dia menjalani deformasi --- lalu tanda disedari oleh si ibu, si anak kepalanya menyerupai seakan-akan anjing, berambut panjang warna putih, kemudian badannya serupa ular yang melingkar, dua tangannya berubah menjadi seperti kaki biawak.
Makhluk itu berpusing-pusing di atas lantai tidak jauh dari sejadah ibu. Sementara itu si ibu kebingungan sekali apabila mendapati makhluk ganjil itu berada di situ. Ke mana perginya si anak yang menendang dirinya tadi? Ghaibkah?
Ibu tidak tahu bahawa si anak tadi sudah bertukar menjadi makhluk misteri seperti yang dia tengok. Dia memanggil nama anaknya berkali-kali. Tidak ada suara menyahut.
Dia tidak menyedari bahawa anak yang dipanggil itu telah bertukar menjadi sedemikian rupa.
Makhluk apakah itu?

SEPERTI ULAR

Makhluk itu berputar-putar di atas lantai, ia menjerit-jerit tapi bukanlah suara manusia lagi, anehnya dari mata makhluk itu berjuraian air mata.
Makhluk pelik yang pandai menangis seperti manusia.
Si ibu masih kebingungan.
Anak perempuannya tidak ada, tapi yang ada adalah makhluk misteri seperti ular itu. Akhirnya si ibu terkenangkan Malin Kundang.
Wah, dia pun menjerit histeria, menangis dan memanggil jirannya.
"Anakku sudah jadi begini!" katanya sambil menangis.
"Kenapa kok jadi begitu?" tanya jiran.
"Tak tahu saya, tadi saya solat, anak saya satu-satunya tendang saya ketika solat. Habis tahu-tahunya udah jadi gini!" suaranya basah dalam tangisan.

MALIM KUNDANG

Melalui ucapan jiran itulah si ibu baru menyedari telah berlaku mistik Malim Kundang versi moden di rumahnya. Anaknya yang derhaka kerana tendang ibu ketika solat telah berubah jadi begitu mengerikan.
Mahu diapakan lagi sesudah itu? Ya, jiran-jiran membantu membawa dua beranak itu ke rumah sakit. Bagaimana kesudahan cerita?
Apakah pihak perubatan moden mampu memulihkan agar si anak itu hilang keanjingan dan keularannya? Setakat ini saya sendiri pun tak dapat maklumat selanjutnya.
Kisah ini jadi tergantung, apa sudahnya?
Tetapi bukan soal lanjutan perubahan pelik itu, yang penting ia memberi pengajaran kepada anak muda lain, sebab tendang menendang macam ini di negara kita banyak terjadi, terutama di kalangan bebudak penagih dadah. Hanya belum pernah terjadi kisah mencarik adat begitu.
Kalaulah berlaku begitu, satu Malaya akan kengerian dengan peristiwa itu. Dan hukuman yang secepat kilat itu akan membuatkan orang jadi gerun segerun-gerunnya untuk derhaka kepada ibu. []

No comments:

Post a Comment