Wednesday 1 August 2012

NOTA KECIL TENTANG FIDYAH

WALAUPUN FIDYAH BUKANLAH perkara baru, namun ia di kalangan tertentu umat, fidyah dianggap perkara yang kabur. Tak jelas. Bahkan ada yang bertanya fidayah itu apa?
Seorang pesakit meninggal dunia sebelum sempat bayar fidyah disebabkan ketiaadaan duit [kemiskinan] bagaimana keadaannya?
Syeikh Ibnu Hajar [kitab Tuhfah] berkata, gugur kewajipan membayar fidyah kerana kemiskinan, seperti terhapusnya kewajipan zakat fitrah kerana miskin.
Syeikh Ramli dan Khatib Syarbini pula berkata, tidak terhapus kewajipan membayar fidyah di sebabkan kemiskinan.
Fidyah yang belum berbayar itu menjadi hutang kepadanya, Jika ia mati sebelum ditunaikan fidyah itu, maka hendaklah dikeluarkan dari harta peninggalannya.
Akan tetapi sekiranya pesakit mati dalam keadaan papa kedana [tak ada duit] dan tidak ada siapa uruskan hartanya maka pendapat Ibnu Hajar tadi telah memadai - iaitu terhapus kewajibannya.
Apakah di Malaysia ini ada orang yang miskin sampai begitu sekali? Ada. Jangan fikir semua orang berkedudukan mewah, atau mempunyai pencen, jangan fikir semua orang kerja kerajaan belaka. Bilangan yang kerja sendiri jauh lebih banyak. Mereka ini jika tidak ada punca pendapatan adalah dikira miskin.

HUTANG PUASA
Ada juga orang yang musykil, bagaimana kalau orang itu mati dalam keadaan menanggung kewajipan qada' puasa sedangkan dia ada kesempatan untuk kada' tapi tak buat juga, apakah walinya boleh qada' puasa bagi pihak si mati?
Imam Syafie di dalam Qaul Jadid berkata, tidak boleh wali menggantikan puasa si mati, tetapi di dalam Qaul Qadim ia dibenarkan - wali dibolehkan menggantikan puasa si mati dan tidak perlu bayar fidyah.
Wali ini ialah para kerabatnya, jika dibuat oleh orang lain yang tak bersangkutan, ia sah kalau ada keizinan wali.
Dari Aisyah radhiyallahu anha bahawa Nabi shallahu alaihi wa sallam bersabda:
"Barangsiapa yang meninggal sedangkan ia masih mempunyai kewajipan berpuasa, hendaklah digantikan oleh walinya. " [hadis riwayat Bukhari Muslim dan Ahmad]

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu anhu, seorang lelaki bertanya kepada Nabi shallahu alaihi wa sallam, "Ya Rasululah, ibuku meninggal dunia padahal ia masih mempunyai hutang puasa sebulan, bolehkah aku  ganti dengan mengkada'kannya?" Maka baginda menjawab, "Seandainya ibumu mempunyai hutang, apakah kamu akan bayar hutangnya? Katanya: Ya. Maka Rasulullah shallahu alaihi wa sallam berkata: "Maka hutang kepada Allah lebih patut untuk dibayar." [hadis riwayat Ahmad].

Bab hutang puasa ini rasanya, setiap individu muslim mempunyai tanggungan hutang. Perkara ini memang tidak diambil tahu atau sengaja tidak mahu tahu. Sebenarnya jika difikirkan masak-masak, setiap berlaku kematian, di situlah kaum kerabat menanggung hutang [puasa] si mati.

SUKATAN APA
Dalam perkara fidyah ini, satu hari puasa yang ditinggalkan hendaklah dibayar dengan satu fidyah bersamaan satu mud atau cupak beras [atau bijirin lain].
Sukatan ini sendiri memeningkan kepala generasi muda, tidak tahu mud itu apa dan cupak itu apa. Ia sukatan apa? Kalau tengok kamus, dinyatakan ia satu perempat gantang. Lagi jauh. Gantang itu apa pulak? Orang dulu sukat 4 cupak bersamaan dengan 1 gantang. Segantang itu beratnya berapa gram?
Satu mud atau cupak kalau mengikut kitab Al-Fiqh al-Manhaji,ia bersamaan dengan 600 gram. Barulah jelas kepada orang-orang masakini.
Sukatan lama macam segantang Baghdad masih disebut untuk kiraan zakat fitrah. Bandingan ini tidak dijelaskan dengan terperinci. Besar mana segantang Baghdad itu? Bandingan yang mudah di negara kita perlu dinyatakan supaya tidak menjadi tanda tanya berurutan. Kenapa mesti Baghdad?
Satu fitrah misalnya, sebanyak segantang Baghdad itu bersamaan 2.7kg beras bernilai RM7.00. Ini beras standard orang-orang kaya. Ia untuk bayar fitrah, tetapi untuk fidyah hanya satu mud untuk sehari yang ditinggalkan.
Mujur ada ulama yang faham dengan keadaan ini, mereka menjelaskan, fidyah yang hendak dikeluarkan itu mestilah makanan asasi penduduk. Macam kita sudah biasa dengan nasi berlauk dan bersayur, maka kena sediakan makanan yang selengkapnya, dan harus menukar nilainya dengan duit.
Sekilo beras [tengok status orang itu pula, ada orang kaya makan beras mahal, orang miskin beras RM2.60 sekilo]. Jika sekilo beras harganya RM3.00, maka 600 gram beras adalah kira-kia RM1.80. Nasi briyani bungkus paling murah di KL ini [lorong belakang Bangkok Bank,KL] sekitar RM5.50 sen.
Kalau biasa makan standard RM9.80 sekilo, maka berubahlah. []

No comments:

Post a Comment