Wednesday 15 August 2012

RAYA DI PERANTAUAN LAGI MUDAH

TERKESAN DENGAN perbualan dengan seorang seniman yang dulu pernah nongkrong di Central Market, KL, dia Pak Adam dan isteri, tinggal di Brisbane, Australia.
Pak Adam bilang, hari raya di perantauan lagi mudah, tidak perlu kuih-muih macam di kampung. Maklum tinggal di kampung, kalau raya tak ada pameran kuih yang serba-serbi maka adalah ghibahnya dari jiran-jiran.
Langsir yang tak berganti pun jadi bahan ghibah, apalagi kalau tak pakai rantai leher besar rantai beruk supaya satu kampung boleh terbeliak biji mata.
Pendeknya, ada orang berhabisan buat persiapan raya hanya kerana nak jaga mulut orang. Orang kampung masih tak berubah perangai, gosip dan aneka macam ghibah jadi mainan.
Kalau tak punya apa pun orang kata, dan kalau letak Lamborghini depan rumah pun lagi orang kata. Itu belum letak kapal layar mewah depan rumah, atau letak kereta kebal, kapal selam buatan Perancis depan rumah -- dah tentu banyaklah orang repot sebab bagaimana orang kampung boleh beli kapal selam, boleh beli kereta kebal atau Lamborghini.
Di kampung, orang yang kerja gomen dianggap golongan hebat. Maka yang tak kena gomen dianggap lekeh, nak berkawan pun lain macam sahaja.
Mentaliti saling berlawanan ketika raya sudah menjadi lumrah. Agama seperti tidak cukup mengajar umatnya untuk meraikan hari raya seadanya, kerana pada 2 Syawal orang sudah mula puasa sunat pun.
Mood raya hanya ada pada hari raya pertama dan kedua, manakala masuk hari ke-3 orang dah mula nak potong buah sawit atau ke bendang.
Buat apa meraikan raya sampai sebulan -- terbukti suasana sambutan raya di negara kita sudah dijejali dengan rumah terbuka di sana-sini.
Berbalik kepada Pak Adam yang sejak berada di Brisbane dia menjadi seniman rakyat, bicara tentang busana Melayu, tentang silat, tentang keris Melayu - dan diharap Pak Adam tidak lupa bahawa di Malaysia tidak ada Mpu Gandring yang boleh bikin keris pusaka yang dimuliakan.
Susur galur keris Taming Sari milik Hang Tuah yang orang bilang kepunyaan pahlawan Majaphit pun masih samar. Bahkan di Majapahit orang tidak kenal dengan keris Taming Sari itu.
Ia hanya sebutan Melayu, di Jawa nama keris tidak begitu jadinya. Mungkin ia dinamakan Nogo Sostro atau Nogo Jiwo dan macam-macam lagi.
Jadi, Pak Adam yang pernah sepejabat dengan penulis waktu di Pulau Pinang sekitar tahun 1981, adalah pelukis. Waktu itu kami bikin majalah berkaitan dengan kemasyarakatan, bos kami ketika itu adalah Dr Lim Teck Ghee. Sampai sekarang saya masih setia mengikuti idea bekas bos itu kalau membaca bahan dalam Merdeka Review.
Di Brisbane tak ada masyarakat Melayu yang menyambut hari raya. Di situ Pak Adam kena menyambut hari raya bersama warga dari segenap pelusuk dunia. Jadi, soal juadah kuih raya, ketupat, satey, lomang dan sebagainya tidak perlulah diusung sama.
Maksudnya beraya juga di perantauan, tetapi sekadar apa yang ada, tidak perlu nak memuaskan hati para jiran Melayu atau nak jaga agar tak ada ghibah dari mulut orang.
Jika begitu, beraya di perantauan lagi baik. Tak perlu nak buat itu dan ini. Hari raya yang diraikan oleh Melayu kita tidak serupa dengan raya yang diraikan orang Islam di Hadramaut, tidak sama dengan orang di Iskandariah, tidak sama dengan orang di Turki atau di Rabat.
Kalau kita rujuk kepada dunia raya melayu Malaysia, maka hari raya adalah hari huha-huha, kena ada kuih muih, kena ziarah [orang Jawa sebut sejarah].
Disebabkan kepenatan makan, orang Melayu banyak yang alpa ketika sejarah di rumah orang dan sanak saudara, mereka abaikan solat zuhur, asar dan maghrib.
Mungkin mereka anggap cukuplah dengan solat tarawih sebulan, dah dapat malam Lailatul Qadr di malam ganjil yang lalu, dah dapat pahala 1000 bulan!
Kealpaan kita yang mendasar adalah leka di depan TV, sumber maksiat yang dilaknat oleh kalangan ilmuan. Sebab di masa hari raya inilah media ini menyediakan drama, filem, muzik dan nyanyian para artis [disebut selebriti konon!], maka tidak sahlah hari raya kalau tak ada itu semua.
Umat Melayu dipupuk mencintai rancangan sambutan raya sejak malam raya, masuk raya pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Iklan tentang program dipaparkan sepanjang masa.
Jadi, lebih baik berada di Brisbane. Tidak ada drama Melayu, tidak ada filem Melayu, dan tidak ada persembahan artis Melayu.
Dunia eskapisme ini memang menarik bagi seorang seniman seperti Pak Adam. Inilah yang dikatakan eksperimen dalam kehidupan. Merentasi ruang sempadan budaya. Hidup di perantauan, bukan tidak terimbau kenangan masa di kampung Pak Adam di Labu Negeri Sembilan, dan apabila teringatkan Pak Adam dengan George Town, Penang, saya teringatkan nasi kandar di Line Clear.
Solat tarawih di Masjid Benggali atau di Masjid Kapitan Kling. Bersahur makan udang besar, tapi KL tidak jumpa udang besar yang begitu enak, cari dekat pasar Chowrasta, Penang Road.
Sebenarnya bagi seseorang yang telah kehilangan "kasih" dan "perasaan" berhari raya di perantauan akan lebih mendamaikan. Sebening salju yang orang tidak peduli kapan akan mencair.
Selamat HARI RAYA AIDIL FITR. Maaf dipinta. []

No comments:

Post a Comment