Friday 17 August 2012

TUPAT DAN LEBARAN TAK BOLEH PISAH

ORANG MENYEBUTNYA tupat, itu kalau di Lombok. Sempena nak sambut Ramadan, mereka yang amalkan Wetu Telu di kalangan suku Sasak sudah "lebaran" awal-awal, hantar sedulang makanan bagi setiap keluarga yang mahu menziarahi perkuburan.
Sampai di kawasan kubur, makanan itu digeletakkan dan berbasi-basi bilang kepada yang sudah pergi bahawa mereka semua akan menyambut bulan posa.
Ada yang bersihkan kuburan sekali. Jadi apabila tiba masa lebaran, mereka sinonimkan dengan tupat atau ketupat. Kalau tupat nggak ada, maka seperti tidak lebaran pak!
Makanya, warga seberang yang berada di Chow Kit istimewanya, saya lihat begitu sibuk sekali buat persiapan untuk sambut lebaran.
Lebaran ini mesti ada tupat, kalau tak ada tupat rasanya seperti tidak ada lebaran. Setiap lebaran sahaja baru ada tupat.
Habis tupat satey itu bagaimana?
Itu satey, memang ada tupatnya, tapi tupatnya kurang meriah.
Tak percaya tengoklah time rumah terbuka dan rumah tertutup nanti, sana-sini satey!
Sana-sini tupat!
Di lokasi yang saya pergoki lepas solat Jumaat di Masjid Pakistani KL tadi, adalah tempat orang mencari daging lembu. Sana-sini membeli daging. Paling kurang sekilo sudah cukup bagi yang sekadar mahu rasa daging.

GUNI DAN JANUR

Esok apabila sudah confirm raya, maka aktiviti membeli bagai nak gila. Kalau boleh bawa guni padi yang besar bagi isikan barang, lepas tu pikul dan kemudian humban dalam bonet. Itupun entah-entah tak muat, kena ikat guni itu atas bumbung, barulah semua orang tahu!
Di pasar ini, semua orang sibuk mencari kerisik kelapa, mencari daun kelapa, ada yang beli kelongsong ketupat, nak tahu?
Daun pucuk kelapa muda [janur] di Chow Kit berharga RM15 satu!
Di kampung saya, tak ada pula orang terfikir nak kutip janur banyak-banyak dan lelong di KL, kalau orang itu jual RM15, anda jual sendiri RM10, bayangkan daun kelapa untuk buat ketupat atau tupat jauh lebih mahal daripada kelapa mudanya, jauh lebih mahal dari santannya!
Di kampung sekarang orang tak peduli kepada pokok kelapa. Mereka sudah beralih kepada sawit. Macam felda juga. Corak kehidupan penduduk kampung di kawasan pantai barat Selangor dah macam orang felda.
Tidak tahu pula harga janur melambung-lambung menjelang nak raya.
Janur kalau di Bali dijadikan hiasan untuk merayakan agama mereka. Janur digantung sana-sini menuju ke kawasan pura dan puri.

AYAM DAN DAGING

Berbalik ke Chow Kit, saya lihat bukan sahaja warga dari seberang yang sibuk meredah aspal basah untuk mencari ayam muda dan ayam tua, mencari daging lembut, kerisik, dan bahan untuk buat randang.
Dalam bab randang ni, memanglah namanya randang, randang dagiang, apabila di masak oleh orang yang bermacam latar belakang keturunan, rasanya jadi lain. Rendang juga namanya, tapi ada lain sikit! Tak percaya cubalah.
Ada orang tanya, kalau tak buat rendang semua, raya ke tidak?
Siapa kata tak boleh raya?
Di KL ini orang yang berniaga ada yang teruskan berniaga kerana banyak kedai makan tutup, siapa yang bijak buka kedai makan dia akan pukul habis!
Time orang balik kampung masuk bandar semula, dia pula gilirannya bercuti panjang. Itulah orang yang pintar cari pitih.

NEGRO

Tadi saya tengok bukan main hebat bebudak Negro dari Afrika membeli daging. Mereka juga sibuk membeli daging hingga kecoh dan riuhlah. Ada yang boleh cakap Melayu sikit-sikit. Ada yang guna bahasa Inggeris terus untuk komunikasi. Mujur ada peniaga faham!
Malam ini ada yang sibuk menganyam ketupat, nak siapkan kelongsong untuk disisikan beras esoknya. Ada yang beli dah siap. Tapi kena bayar lebihlah.
Ketupat yang dibuat banyak-banyak ni, macam tahun lepas, sudahnya tergantung kat gerai sebab tak habis. Buat berlebihan.
Masa itu duit modal janur dah dapat cover, itu sebab mereka tak hirau pun.
Ada orang kata, ketupat hanya sesuai dimakan dengan rendang ayam atau daging. Dengan rendang kerang bagaimana? Oh, itu kalau ada lomang.
Tapi di kawasan kita la ni, mana-mana ada orang bakar lomang. Sepanjang Syawal akan ada sahaja lemang dibakar, tengoklah di tepi jalan nanti.
Ada yang berkampung halaman, siap rendang ayam dan rendang daging disediakan. Tinggal beli sahaja berapa nak?

CEMAS DENGAN TUPAT

Teringat masa kecik-kecik dulu, tahun 60-an, makluman untuk raya begitu mengujakan. Cemas sahaja dibuatnya. Tupat dah ready nak masak, raya tak tahu lagi. Puncanya, penyimpan mohor lambat nak bagi tahu, masa itu hanya bergantung kepada radio.
La ni, time raya dah tahu siap-siap.
Ketidakpastian raya bila akan menyebabkan orang bekerja pun lintang pukang jadinya. Mujur kita berada di hujung minggu, menempuh Sabtu dan Ahad. Jadi, memang cuti pun.
Soalnya, ketika orang sibuk nak merandang dagiang atau randang ayam semua, ada orang sibuk main mercun di luar sana.

MERCUN

Jiran kita seorang cikgu muda. Dia mengetuai anak buahnya main mercun. Agaknya inilah yang dikatakan guru main mercun berdiri, anak buah main mercun berlari-lari.
Guru main mercun, anak buah main meriam tanah atau buluh.
Guru main bunga api, anak buah main mercun.
Bila lagi nak tunjuk pandai main mercun dan bunga api semua kan? Inilah masanya, meskipun orang selalu nasihat, jangan bermain bunga api atau mercun. Di sekolah pun ada cikgu nasihat muridnya jangan main mercun dan bunga api, tapi jiran saya yang juga cikgu, siap jerit-jerit menjerkah sunyi di sudut kampung.
Dia sibuk main bunga api dan mercun roket, meletup atas bumbung orang. Dah meletup dia pun keriauuuu!
Itulah kepandaian kita sebenarnya, main bakar-bakar, lancarkan roket yang betul tak tahu.
Daripada main mercun dan bunga api baik suruh mereka itu anyam buat sarung ketupat, sebab esok nak masak randang daging!
Agaknyalah, kalau hari raya dibatalkan atau ditangguhkan, maka marahlah orang yang sudah beli daging, ayam, kerisik, daun kunyit, santan, dan sudah giling bahan-bahan semua. Tolong ya, tolong...jangan dibatalkan! Tapi kuasa Allah siapa tahu? []

No comments:

Post a Comment