Friday 24 August 2012

SIAPA CAMPAK JIN DI TASIK PEDU?

HARI INI SOLAT JUMAAT DI MASJID JAMEK LRT, KL.
Aman rasanya, kutbah hanya cerita tentang rumah terbuka, apa nak buat ketika rumah terbuka, bagaimana cara kita nak beraya dan berbagai nasihat lagi kepada para jemaah. Juga ditekankan agar umat menjaga adab -- kalau dapat menurut sunnah.
Kebetulan ketika berada di pintu utama masjid terserempak dengan Masdeen, orang Taiping, seorang pelukis ilustrasi untuk buku-buku karya Tok Awang Ngah [Dharmala NS atau Abdul Muluk Daud]. Masdeen yang berkahwin dengan orang  Iban dari Sarawak, pernah bekerja di Tasik Pedu selama beberapa tahun ketika bersama Threadwinds.

MISTERI PEDU

Ketika di Tasik Pedu itu dia dikenali dengan nama Pak Ngah. Ketika sembang-sembang, dia yang memang selama ini pun bergelumang dengan ilustrasi kisah misteri, maka dia pun berkisah tentang pengalamannya di Tasik Pedu itu.
Rupanya tasik itu banyak kisah misteri. Saya tanya kenapa begitu sekali? Dia kata, ada beberapa kejadian yang menggemparkan terjadi di situ. Hanya orang tak cerita secara detail apa rahsia di sebalik masalah yang terjadi.
Contoh, kes mati lemas seorang pegawai tentera di kawasan itu. Kes orang diserang gajah liar dan kes makan udang yang dikutip di kawasan genangan air di situ.
Semua kes ini kata Pak Ngah Sudin atau Masdeen di kalangan kawan-kawan penerbitan di KL, ada kaitan dengan misteri Pedu yang belum dibongkar habis.
Jika anda pernah dengar ada kisah sebuah kerajaan silam yang dipanggil Atlantis, kerajaan purba ini tenggelam di Lautan Atlantik kerana gempa bumi yang amat dahsyat, maka di genangan air kawasan Pedu ini juga terdapat sebuah perkampungan masyarakat Patani [Siam], perkampungan yang serba lengkap dengan rumah-rumah penduduk, sebuah masjid, tanah perkuburan, dan segala prasarana yang ada dikatakan telah lenyap ditelan air Tasik Pedu.
Kata Pak Ngah Sudin, hairannya kawasan tasik itu setahun sekali ada banjir besar. Apabila banjir besar, maka habislah resort yang ada digenangi air. Ada beberapa buah resort yang ada di situ. Perniagaan resort macam terganggu disebabkan faktor alam semula jadi itu.

TENGGELAM

Akibat tenggelamnya perkampungan orang-orang keturunan Patani [Siam] itu, yang tinggal hanya tunggul bukit yang orang di situ panggil Bukit Pong Timun dan Bukit Cedeng.
Kemudian orang tak panggil bukit lagi sebab mereka tak tahu asal-usul pulau itu, maka mereka gelar sebagai Pulau Timun dan Pulau Cedeng.
Kalau ikut peta moden bagi kawasan resort berkenaan ia sudah mendapat nama baru pula, North Island dan South Island -- Pulau Utara dan Pulau Selatan.
Kes mati lemas seorang anggota tentera berpangkat sarjan ada kaitan dengan misteri tasik berkenaan. Mayat anggota tentera itu ditemui setelah tiga hari kemudian.
Cerita punya cerita, Ngah Sudin pernah mengingatkan sesiapa pun yang hendak masuk ke situ perlu merujuk kepada pegawai ditugaskan untuk menjaga lokasi.
Ketika itu Pak Ngahlah yang bertanggungjawab menjaganya. Hal-ehwal apa pun, orang mati lemas, orang sesat atau mengalami keganjilan kena rujuk kepada dia.
Dia bukanlah paranormal atau dukun. Memang betul Pak Ngah ini gemar pakai baju hitam dan serba hitam. Saya kenal lama dengan dia, tahu apa warna kegemarannya.
Dia banyak membaca karya misteri/mistik Tok Awang Ngah, karya yang masih mentah baru lepas typesetting untuk dibuatkan ilustrasinya. Ketika dia buat kerja melukis, saya sibuk menyusun bahan untuk buku misteri lain.

LEPAS CAKAP

Nah, apa misteri sarjan yang mati lemas itu? Ketika dinasihat, sarjan itu pernah terlepas cakap, dia pandai berenang, tak kanlah tak tahu! Barangkali kerana kata-kata itulah sarjan itu diuji oleh "penghuni" tasik itu.
Mengenai kes gatal-gatal seluruh badan yang dialami oleh anggota tentera yang meredah kawasan tersebut, Ngah Sudin kata, ia berpunca daripada sikap tidak berhati-hati, sedangkan kita sudah beritahu, adat masuk ke perkampungan orang kena hormat adat istiadatnya.
Kena faham, jadi tak perlu nak dijelaskan secara detail.
Maka anggota itu salah seorangnya seronok menangkap anak udang yang banyak di kawasan air jernih. Dia ingat apabila sudah dapat banyak bolehlah dia uli tepung semua nak buat cekodok.
Ketika dia mengutip anak udang yang banyak itu, dia perasan macam ada orang membaling batu kecil ke arahnya. Sambil mengutip anak udang dia pun melontarkan suara, "Hoi, apa baling-baling ni ha?"
Dia tak tahu, siapa yang membalingnya. Dia fikir yang membaling adalah kawan-kawannya yang hendak bergurau.
Batu yang dilempar semakin besar pula. Plummm! Air menciprat ke muka.
"Hoi! Apa baling-baling ni? Apa nak takut baling batu, aku aku senapang lagi hebat!" kata pegawai itu. Dia fikir yang melemparkan batu lebih besar itu kawan-kawan dia. Rupanya adalah "penunggu" di situ. Atau mungkin sejenis jembalang hutan, jembalang air atau jembalang Pedu!
Balik ke kawasan khemah mereka pun masaklah cucur dengan udang rangup. Apa yang terjadi? Pak Ngah Sudin kata, semua yang makan udang itu kena penyakit gatal-gatal seluruh kulit. Semua orang jadi gatal.
Jika begitu sebagai anggota pasukan mereka kena rujuk kepada paramedik untuk mengetahui apa puncanya.
Mungkin silapnya cakap besar ketika diuji dengan balingan kerikil kecil sewaktu mengutip anak udang.
Jadi, kata Pak Ngah yang dituakan masyarakat sekitar resort termasuk siapa sahaja yang ingin menjelajahi kawasan resort, seseorang yang masuk ke kawasan tasik yang angker itu perlu menjaga mulut. Jangan celopar. Kalau celopar, anak gajah pun boleh datang mengacau!
Ada kisah lain yang menarik, penghuni resort kerap mengadu ternampak benda-benda aneh. Penampakan yang begitu banyak menyebabkan potensi resort itu untuk berkembang agar sukar.
Inilah kisah pelik di zaman moden, kisah gangguan makhluk halus, entah apa, ramai yang tak tahu.

PUNTUNG

Ada lagi kisah menarik orang yang meneroka hutan di situ. Ketika seronok berlipur di kawsasan hutan yang ada sumber air jernih, budak-budak muda lupa daratan. Mereka menyanyi, main harmonika, petik gitar dan pukul gendang.
Makhluk hutan tak pernah dengar petikan gitar, bunyi muzik yang sudah tentu haram dimainkan. Ketika mereka berjalan di kawasan hutan mereka hairan bagaimana ada orang baling mereka dengan puntung kayu yang ada kesan terbakar.
Siapa bakar kayu itu? Nak kata ada orang masak daging kawah di hutan itu tentulah tidak.
Rupanya kata Pak Ngah, anak-anak muda yang enjoy itu tidak tahu, adat istiadat penghuni ghaib di situ pada waktu itu. Sedangkan mereka bersuka ria dan menyanyi, makhluk ghaib marah kepara mereka. Ketika itu mereka sedang mengadakan kenduri-kendara, puntung yang dilempar itu adalah bukti bahawa mereka sedang memasak untuk kenduri.
Akan tetapi anak-anak muda tidak faham, apa maksud sebenar "penghuni ghaib" Pedu baling mereka dengan puntung kayu.

BUANG JIN

Kata Pak Ngah, tempat itu sejak lama dulu dijadikan tempat pembuangan bangsa jin, jadi semuanya berkampung halaman di hutan dekat Pedu.
Masalahnya, bukan jin dari Ulu Perak atau mana-mana pun, tak ada kaitan dengan kerajaan silam Langkasuka pun, tetapi ada kaitan dengan kerajaan Siam dulu. Pembuangan jin-jin dari kerajaan Siam memang cukup banyak di situ. Inilah yang menjadi masalah kepada industri pelancongan di situ
Seperkara lagi katanya, dulu ada perkampungan Islam Patani di situ. Habis semua tenggelam angkara tasik buatan manusia, maka sebuah masjid dan tanah perkuburan juga lenyap dari pengetahuan umat.
Di dalamnya termasuklah makam wali-wali Allah yang orang tak tahu. Kemudian menurut kisah, ada beberapa makam di kawasan perkuburan lama itu bukanlah perkuburan biasa, sebaliknya ada beberapa kubur yang dijadikan simbolik makam sahaja, hakikat sebenarnya adalah harta karun yang ditanam di situ untuk mengabui orang lain.
Dulu, kata Pak Ngah lagi, ada pihak Siam ambil kerja kutip balak tenggelam di Pedu. Adakah benar mereka hendak kutip balak tenggelam? Atau mungkin hendak intip di mana harta karun itu disimpan. Mungkin sambil menyelam cari balak, mereka juga nak mengesan di mana makam harta karun itu disimpan. Projek dari kontraktor Siam itu tidak berlangsung lama, entah kenapa. Agaknya, sukar nak menyelam mencari balak dan harta karun di kawasan Pedu.
Apa punca kontraktor itu lari? Kata Pak Ngah, ada kisah menyebut, ketika pembalak dalam air itu menjalankan operasinya, mereka telah bertembung dengan jembalang air iaitu seekor ikan besar yang mengerikan. Kerana itulah mereka terpaksa CABUT dari situ.
Kisah ini mengingatkan saya kepada projek perikanan di Selat Melaka, ketika buat kajian di laut bersama pegawai perikanan, pakar dari Jepun terkedu melihat ada makhluk tinggi dan besar muncul di permukaan laut. Itu adalah jembalang laut.
Betulkah di Kedah banyak hantu jembalang? Itu kisah di laut, sementara dari Pak Ngah, saya diberitahu Tasik Pedu pula jadi tempat orang buang jin!
Tidak dapat dipastikan, siapa yang berani buang jin di situ.
Terlanjur berkisah, Pak Ngah juga ada menyebut tentang beberapa buah penerbit filem tempatan yang cuba menjadikan Pedu sebagai latar cerita filem seram mereka. Pak Ngah nasihatkan mereka jangan buat kerana kesannya tidak diketahui.
Beberapa buah filem mistik seram katanya cuba hendak meneroka alam Pedu tetapi terpaksa beralih arah bagi mematuhi nasihat. Kesannya lahirlah filem seperti Congkak, Jangan Pandang Belakang [sekadar menyebut].

MAKSIAT

Orang mungkin lupa, resort adalah tempat pelancongan. Selain itu, di dalamnya disediakan kemudahan rekreasi, termasuk tempat berhibur, yang tak dapat dielakkan ialah kemaksiatan di situ. Maksiat inilah yang menjadi punca kemarahan "penghuni" ghaib di kawasan Pedu.
Sudahlah perkampungan mereka punah, bahkan ada yang terkambus begitu sahaja, banyak yang lari dari kawasan tanah rendah, maka roh-roh  para wali berperanan mencorakkan kemistikan yang menyeluruh di kawasan Pedu resort yang dibangunkan.
Kemudian orang lupa, kesedihan yang dialami oleh penghuni ghaib kerana perkampungan mereka musnah oleh pembangunan, ia kemudian digantikan dengan tempat orang bermaksiat, maka bertambah marahlah lagi penghuni ghaib di situ. Lantaran itu kata Pak Ngah, tidak hairan, orang selalu melihat lembaga misteri berkeliaran atau muncul dengan tiba-tiba.
Sesiapa yang berada di resort itu pasti merasakan betapa angkernya tempat itu. Potensi untuk berkembang agak sukar kerana faktor makhluk halus, entah jin, entah jembalang air atau penunggu air masih setia di situ.
Kata Pak Ngah, di kawasan resort itu adalah makhluk yang baik-baik belaka, manakala di luar kawasan resort adalah hunian roh-roh jahat.
Barangkali tempat ini memang sesuai kepada kumpulan pemburu hantu, atau mereka yang ingin mengesan di mana ada kehadiran ORBS atau LINTASAN di situ.
Dengan paparan ini diharap tidak ada orang jumpa si pintar untuk tarik harta karun dari kawasan Pedu. Cerita harta karun belum sahih. Tentang perkampungan tradisional Melayu Siam Patani memang betul ada.
Jadi, setelah mendengar cerita dari "tok penghulu" dari Pedu iaitu sahabat saya dalam bidang penerbitan buku misteri, maka bertambahlah siri kisah misteri yang belum dirungkai dengan tuntas. Wallahu a'lam bishowab. []  

No comments:

Post a Comment