Saturday 10 March 2012

MISTIK HANTU KUM-KUM

HANTU KUM-KUM ADA DUA. Pertama orang yang berendam dalam dua aliran sungai pada tengah malam, dengan cara berbogel -maaf- duduk bersila dalam aliran air sungai. Untuk menjalani ritual kungkum dalam air ini, kena periksa dulu waktu siang. Pastikan ada batu besar yang boleh kita duduk bersila di atasnya. kemudian air sungai biarlah bersih, jangan bau lumpur atau bau longkang, nanti habis seluruh badan bau semacam. Jadi, orang yang berendam dalam sungai pada waktu malam bolehlah dipanggil hantu kungkum, bunyinya sama macam kum-kum juga.
Kedua, hantu kum-kum versi tahun 70-an. Dulu kecoh, ada hantu kum-kum merayau-rayau konon hantu itu menyerupai perempuan bertudung labuh, datang ke rumah-rumah dan memberi salam. Pada ketika itu, perempuan pakai tudung labuh dan beri salam dianggap pelik. Bagaimana tidak pelik, ketika itu, wanita Melayu kita tak tutup aurat, masih ramai dedah aurat, lelaki seluar kaki lebar, rambut panjang, perempuan dedah rambut, fesyen macam-macam.
Di zaman inilah hantu kum-kum dikatakan muncul. Ia menyindir orang yang menutup aurat. Betapa jahilnya masyarakat Melayu ketika itu.
Tetapi ada versi hantu kum-kum yang dikatakan ada kaitan dengan seorang perempuan berumur yang mengamalkan ilmu hitam. Ilmu itu konon untuk kecantikan, awet muda, timbul daya pesona kepada lelaki yang memandangnya, yang sudah jelas bukan ajaran mutawatir. Ini sumber kemaksiatan.
Apa guna ilmu ini? Sekadar untuk kecantikan bagi memikat lelaki. Sesiapa nak ilmu ini antara pantangnya, tak boleh tengok cermin selama seminggu atau lebih. Seorang pengamal ilmu ini tak sabar ingin melihat sejauh mana kecantikan wajahnya walau masih dalam pantang. Akibatnya muka jadi hodoh semula.
Maka dia pun bertemu sang guru semula. "Tok kenapa muka aku jadi begini tak cantik?"
"Awak dah langgar pantang, siapa suruh tengok cermin?"
"Maaf Tok, saya tak sabar."
"Inilah padahnya, kamu kalau nak cantik semula, kena cari darah perawan."
"Darah buat apa Tok?"
"Sapu kat muka kamu tu supaya pulih," terang sang guru.
Bagaimanapun cerita ini tidak mempunyai dasar yang kuat di negara kita. Ia hanya kisah pelarian untuk dijadikan alasan kemistikan. Sebenarnya ilmu begini tidak wujud pun. Untuk cerita memang bolehlah.
Kisah yang tepat dengan hantu kum-kum adalah pandangan sinis gadis-gadis Melayu jahiliah yang memandang hairan kalau ada wanita muslim berjilbab. Orang berjilbab disindir-sindir, nak jadi ustazah, nak masuk syurga, nak jadi baik dan macam-macam.
Stigma begini masih kekal sekarang, kalau kita semak ruang hiburan dalam majalah dan akhbar kita, hatta media TV pun [maaf saya tak tengok pun] kisah artis bertudung jadi bahan yang pelik. Padahal wartawan muslim tidak sewajarnya menjadikan artis berjilbab sebagai bahan sorotan. Ia bukan hal pelik. Jika kita jadikan ia sebagai bahan paparan, ia memberi maksud kita masih dengan budaya jahiliah dulu, zaman maraknya hantu kum-kum, zaman orang menyindir kalau ada gadis berjilbab.
Jadi, sama-sama kita bermuhasabah diri. Insaflah di atas kejahilan kita ketika itu. Banyak perkara agama yang kita tidak tahu ketika itu. Maklum budaya pop adalah segala-galanya. []

MISTIK KUBUR TEMPAYAN

Cerita orang dulu-dulu ada yang menarik. Sebuah kubur panjang di Kg Tapu, Kuala Brang, Trengganu menarik minat kalangan penggemar misteri. Sebab di kawasan kubur lama yang dikatakan sudah berusia 300 tahun, mungkin sekitar tahun 1700, jadi sesiapa pun orang sekarang tidak tahu sejarah kubur itu.
Orang kampung menggelarnya kubur panjang, sebab panjangnya 4 meter, ia kubur seorang pedagang asing yang berniaga di sekitar Kuala Brang dan Kg.Tapu. Dulu Kuala Brang terkenal sebagai salah sebuah pelabuhan di Semenanjung.
Penduduk kampung yang ada sekarang pun hanya mewarisi cerita lisan yang popular di situ. Identiti pedagang itu tidak diketahui, namanya dan asal-usulnya tidak diketahui, apakah dia pedagang dari Patani, Campa atau sekitar Kampuchea sekarang?
Kubur panjang yang disebut Kubur Tok Panjang itu, menurut penduduk kampung ia sudah ada sejak 300 tahun dulu. Kubur panjang memang terdapat juga di mana-mana perkuburan persendirian atau umum di negara kita. Kubur panjang dilihat dari segi kedudukan batu nisan yang berjarak, ia juga terdapat di Kg.Tekek, Melaka, tempat Abdullah Munsyi. Di Negeri Sembilan, makam Sg Udang, makam Hang Tuah pun panjang, dan di Pulau Besar pun begitu juga. Ia bukan gambaran orang dulu tinggi-tinggi. Ia ada tujuan.
Setidak-tidaknya ia akan jadi seperti makam Tok Jembar juga.
Biasanya, kubur panjang macam itu akan jadi tumpuan orang mengangkung, puja nombor untuk dapatkan 4 digit angka bertuah. Bawa colok, bawa lilin, makanan sedikit dan bekas bara untuk kemenyannya. Dah tentu mereka kena bawa benda-benda mistik, lesung tembus, keris berdiri, patung wayang kulit berhantu dan macam-macam kepercayaan karut lagi.
Itu cerita orang dulu, tahun 60-an dan 80-an yang terbaru. Orang datang ke situ kerana memuja arwah pedagang yang tidak diketahui sejauh mana amal dan sejauh mana ilmu agamanya. Disebabkan jarak batu nisan panjang, dan ada tempayan sebuah, mungkin untuk menyiram kubur itu, atau untuk minuman pelawat pada zaman dulu. Lagipun dulu mana ada air mineral macam sekarang, mana ada bekalan air paip.
Nak buat perkara khurafat orang tidak mengira kubur itu jauh atau dekat dari orang. Siapa hendak jaga kubur panjang yang tidak diketahui asal-usulnya. Nak jadikan supaya ia nampak angker, bawa sahaja kain kuning, atau kain merah, balut batu nisan itu supaya kelihatan "hebat" seperti makam-makam sejarah yang biasa kita lihat di Kota Tinggi atau di Melaka sana.
Berkaitan tempayan dekat kubur itu ada orang kata, jangan celopar mulut. Kalau ada sesiapa ziarah kubur itu jangan bermulut cabul atau cakap bergurau. "Tempayan ni kalau aku bawak balik kan bagus? Buat apa letak sini." Konon, dengan berkata begitu -secara kebetulan- kalau bawa motosikal, nak start pun tak boleh. Kalau bawa kereta macam itu juga.
Jadi, ada orang nasihat, siapa yang sudah bermulut cabul, kena minta maaf baik-baik kepapa yang empunya tempayan. Konon dengan meminta maaf kepada "sesuatunya" yang tidak diketahui siapa, motosikal boleh start, kereta pun boleh start.
Disebabkan cerita itulah, tempayan di kubur panjang itu terpelihara. Tak ada siapa berani alihkan tempayan itu untuk dibawa ke rumah. Bagaimana sekiranya di sekitar kubur Tok Panjang itu ada benda lain, tajau kecil, atau batu besar disusun dengan sempurna. Sudah tentu baik tajau atau batu itu akan dikeramatkan juga.
Wallahu a'lam. []

Thursday 1 March 2012

MIMPI SENJA: Mahathir kata Hukum Hudud tiada dalam Al Quran ......

MIMPI SENJA: Mahathir kata Hukum Hudud tiada dalam Al Quran ......: Hukum Hudud Tiada Dalam Al Quran - Siasat Mahathir 2 Mac 2012 - PAS mendesak para alim ulama’, para mufti hingga ke Majlis Raja-raja Melay...

TENTANG TABARUK

Ada riwayat para sahabat bertabaruk dengan rambut dan ludah baginda s.a.w. Ada yang berebut-rebut hendak mendapatkan sisa air wuduk Nabi s.a.w. Ada yang bertabaruk dengan rambut baginda selepas kewafatannya. Ada yang bertabaruk dengan peluh baginda, bertabaruk dengan menyentuh kulit baginda s.a.w.
Ada yang bertabaruk dengan darah bekam baginda s.a.w. sanggup diminum darah bekam itu, ada yang bertabaruk dengan bekas tempat solat Nabi s.a.w. Ada yang bertabaruk dengan sesuatu yang pernah disentuh oleh mulut baginda s.a.w.
Setelah Nabi s.a.w. wafat, ada yang bertabaruk dengan mencium tangan orang-orang yang pernah bersalaman dengan baginda. Ada yang bertabaruk dengan jubahnya. Bertabaruk dengan apa sahaja yang pernah disentuh oleh Nabi s.a.w.
Ada yang bertabaruk dengan tempat yang pernah dipijak oleh Nabi s.a.w.; bertabaruk dengan rumah yang pernah diduduki Nabi s.a.w.; bertabaruk dengan mimbar, dengan kubur Nabi s.a.w. pendeknya, apa sahaja yang ada kaitan dengan Nabi s.a.w. ada kalangan para sahabat melakukan tabaruk.
Apa itu tabaruk? Ia adalah amalan bertawasul kepada Allah SWT melalui perantaraan makhluk yang ditabarukkan, sama ada berupa kesan peninggalan, tempat atau seseorang manusia.
Barang-barang peninggalan dijadikan sarana tabaruk kerana disandarkan kepada individu atau orang-orang yang mulia tersebut. Ia menjadi mulia kerana kemuliaan mereka. Ia juga menjadi agung, besar, dan dikasihi kerana mereka - para nabi,rasul, ulama dan wali.[Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki al-Hassan, KEFAHAMAN YANG WAJIB DIPERBETULKAN, MAFAHIM YAJIBU AN TUSOHHAH, Sofa Production, 2008: 679].

TENTANG PENGEMIS DI MANA-MANA

DI MANA-MANA SAHAJA, GOLONGAN PENGEMIS DIANGGAP MASALAH UTAMA. adanya pengemis, memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Kutbah Jumaat hari ini membicarakan tentang pengemis. Permisalannya, lebih baik seorang lelaki masuk ke hutan mencari kayu api dan dijual kayu api itu untuk mendapatkan duit bagi membeli barang keperluan. Ia lebih baik daripada meminta-minta.
Kerja meminta-minta ini memang sudah lumrah. Di mana-mana masjid, surau, keramaian, pasar malam, pasar pagi, asalkan ada karnival apa sahaja, maka golongan pengemis ini sentiasa berkeliaran. Hanya pengemis itu selalunya dilihat mereka yang berpakaian tidak kemas, comot, lekeh kata orang, di situlah letaknya gambaran gaya seorang pengemis. Ada yang meriba anak anak dengan wajah yang comot, dibiarkan anak itu menangis di pangkuan, meletakkan bekas apa sahaja, letakkan duit kecil di situ, gunanya untuk meraih simpati mnasyarakat.
Dalam politik, golongan ahli politik sentiasa mengemis simpati rakyat, tolonglah undi mereka, berilah peluang mereka sekali lagi untuk berbakti, untuk membetulkan tindakan yang tidak betul selama ini. Bukan ahli politik bawahan, kalangan berkedudukan setara Perdana Menteri pun sanggup mengemis simpati masyarakat, berilah kepercayaan untuk menmgundi  UBN sekali lagi. Inipun pengemis juga.
Ada orang yang mengemis cinta. Kaum Hawa mengemis cinta dari kaum Adam. Mengemis cinta di zaman moden ini sudah banyak versi baru yang menarik. Ada lelaki yang mengemis cinta seorang perempuan yang berduit. Dijanjikan itu dan ini, dan akhir sekali janji nak nikah. Bagi membuktikan cinta yang abadi konon, si gadis sanggup berhabisan, apa sahaja yang lelaki itu mahu ditunaikan, abang perlu bantuan, nak selesaikan masalah kewangan, berapa anda mahu? Semua diberikan. setelah dapat puluhan ribu, maka si lelaki pun menghilangkan diri. Janji kahwin entah ke mana, maka dia mengadu kepada pihak akhbar, hebahkan kepada media, secara tak langsung bukan nak bagi teladan kepada orang lain, tetapi membodohkan diri sendiri. Akhirnya repot polis. Itulah ikhtiar penghabisan.
Jadi, apabila sebut pengemis, jangan pandang orang luar yang mengemis di kaki lima kedai di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, ada yang bawa kertas surat sokongan dari selatan Thai, ada yang sudah luput tarikh, dan macam-macam gaya untuk memancing simpati orang ramai.
Pengemis moden macam-macam. Ada yang pergi bank merayu-rayu nak dapatkan pinjaman. Siap bawa penjamin atau benda lain yang boleh dicagarkan. Merayu-rayu itu umpama pengemis juga. Belum lagi yang berdiri di luar mesin ATM, tadah tangan dan mengharap.
Dalam bab duit, kebanyakannya orang sangat berhati-hati dengan duit. Sebabnya, duit perlu dicari dengan cara bekerja atau menggunakan bakat alam dan intelektualisme masing-masing. Kerja tak semestinya bangun pagi masuk pejabat dan pulang ketika maghrib dah masuk. Konsep kerja hari ini sudah bertukar. Dek kerana masing-masing sibuk dengan urusan, maka kaum pengemis hanya mendapat sedikit daripada yang disumbangkan oleh masyarakat.
Kutbah Jumaat hari ini tidak menggalakkan orang mengemis. Siapa mengemis, mereka akan ditangkap. Tetapi yang ditekankan bukan soal mengemis merata-rata, cuma kita nak jaga imeg negara. Malu kalau pelancong tengok ada orang mengemis. Takrif mengemis pun macam-macam, bawa kertas derma pun mengemis juga, letak bekas duit, petik gitar sambil nyanyi pun mengemis juga. Pemimpin UBN pergi ke majlis turun padang dan berpidato meminta orang kenang jasa budi baik pemimpin yang ada pun mengemis juga. Mengemis undi namanya.
Isu mengemis ini ditekankan kerana ada sekolah anak-anak yatim atau OKU yang gunakan tenaga kanak-kanak untuk menjual barangan sambil kutip derma. Pagi disuruh kutip derma hingga ke petang. Kemudian barulah balik ke asrama mereka. Duit kutipan diserah kepada ketua atau penyelianya. Kemudian duit itu masuk akaun sekolah. Itu ikhtiar pihak pengurusan sekolah yang tidak mendapat biaya dari pihak kementerian.
Ada yang menjual produk, buku doa, surat yassin, kismis, madu, kaset, CD al-Quran dan macam-macam lagi. Pendeknya asal jadi duit. Orang pandang dari aspek negatif sahaja, budak disuruh cari duit, pengetua sekolah kaya raya hasil duit carian murid-murid mereka.
Aspek yang ditekankan sebenarnya, murid-murid itu menjadi berani dan tahu selok belok berniaga. Mereka tidak kekok di depan orang ramai. Tahu bagaimana berkomunikasi dan pendeknya kalau besar nanti mereka boleh jadi promoter di tempat membeli-belah.
Mereka yang usung buku doa dan CD ceramah misalnya, besar nanti boleh jadi akan menerbitkan bahan untuk jualan pula. Aktiviti meminta derma ini hanya sebagai ko-korikulum bagi mereka. Jangan pandang rendah dan terlalu menghina mereka. Bagaimana pula pertubuhan tertentu boleh pula bawa tong kutip derma di sana dengan memakai uniform khas? Contoh Persatuan Bulan Sabit atau badan-badan NGO yang lain.
Semuanya kalau ada surat kebenaran. Itulah yang ditekankan.
Mungkin anda tidak faham selain pengemis yang biasa kita lihat, ada lagi pengemis berpakaian kemas. Membawa kertas derma membaiki surau, membaiki masjid, membina surau atau masjid, membina asrama anak-anak yatim dan sebagainya. Kertas rayuan derma yang diposkan ke pejabat-pejabat dan masjid ada kalanya terdedah kepada pengemis kemas ini.
Mereka akan mengtip kertas rayuan derma itu untuk diusung ke sana-sini dengan kereta, pergi jauh-jauh, masuk kedai makan atau gerai, pakai songkok, beri salam dan hulur kertas rayuan derma itu. Orang yang membaca paling tidak akan hulur seringgit dua. Atau jika baru buka kedai, dia akan hulur lima atau sepuluh ringgit.
Ramai pengemis kemas melakukan kerja mengemis secara ini. Orang tak tahu. Kadang-kadang oleh sebab terlampau pandai, pengemis kemas ini salah masuk. Dia hulur kertas derma baiki surau. Surat itu sampai kepada setiausaha masjid atau bendahari masjid itu sendiri. Kes ini pernah terjadi ke atas seorang Datuk yang pernah mengemis dengan cara ini di Teluk Intan, Perak.
Kisah Datuk ini mengemis memang menyamai gaya peminta sedekah yang lain. Mungkin keterlaluan jika saya katakan, bahawa ada di antara pengemis ini yang sudah jadi Datuk, kahwin produser filem, dan ada yang kaya raya, dapat wang pampasan hingga RM2.4 juta.
Kutbah juga ada menyebut tentang orang mengemis dengan alasan duit hilang, beg tercicir, dan macam-macam alasan. Nampaknya alasan begini jangan diterima. Itulah yang kutbah hari ini ajarkan kepada hadirin. Bagaimana jika anda sendiri kehilangan wang ketika berada di perantauan? Hilang semua kad ATM dan serba-serbinya? Ketika ini, anda tentu teringat kutbah Jumaat hari ini.
Soalan kepada siapa hendak mengadu? Balai bomba? Jabatan Kesihatan? Anda pasti akan lepak di tempat orang ramai. Masjid dan surau. Nak balik tak ada duit. Nak makan tak ada duit. Tidur kaki lima. Kepada siapa nak mengadu? Masjid atau surau? Anda akan dihalau atau dianggap pura-pura atau menipu.
Ada seorang lelaki yang kehabisan wang saku, menceritakan bahawa dia sanggup masuk ke tempat ibadat orang bukan islam. Dia masuk di sebuah tokong di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dekat restoran Pelita, dia dapat wang yang diharapkan. Dia kata lebih baik minta di situ daripada pergi ke masjid atau surau.
Apakah pengajaran daripada cebisan kisah masyarakat ini? Kita sudah diajar memandang sinis terhadap pengemis. Ingatlah, hari ini orang lain yang mengemis, entah suatu hari nanti kita pula jadi pengemis. Begitu juga dengan pembaca kutbah hari ini. Esok terjadi kes dibuang kerja, mungkin jadi pengemis pekerjaan pula.Sebenarnya ada di kalangan kita sendiri yang suka melihat orang lain susah. []