Thursday, 1 March 2012

TENTANG PENGEMIS DI MANA-MANA

DI MANA-MANA SAHAJA, GOLONGAN PENGEMIS DIANGGAP MASALAH UTAMA. adanya pengemis, memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Kutbah Jumaat hari ini membicarakan tentang pengemis. Permisalannya, lebih baik seorang lelaki masuk ke hutan mencari kayu api dan dijual kayu api itu untuk mendapatkan duit bagi membeli barang keperluan. Ia lebih baik daripada meminta-minta.
Kerja meminta-minta ini memang sudah lumrah. Di mana-mana masjid, surau, keramaian, pasar malam, pasar pagi, asalkan ada karnival apa sahaja, maka golongan pengemis ini sentiasa berkeliaran. Hanya pengemis itu selalunya dilihat mereka yang berpakaian tidak kemas, comot, lekeh kata orang, di situlah letaknya gambaran gaya seorang pengemis. Ada yang meriba anak anak dengan wajah yang comot, dibiarkan anak itu menangis di pangkuan, meletakkan bekas apa sahaja, letakkan duit kecil di situ, gunanya untuk meraih simpati mnasyarakat.
Dalam politik, golongan ahli politik sentiasa mengemis simpati rakyat, tolonglah undi mereka, berilah peluang mereka sekali lagi untuk berbakti, untuk membetulkan tindakan yang tidak betul selama ini. Bukan ahli politik bawahan, kalangan berkedudukan setara Perdana Menteri pun sanggup mengemis simpati masyarakat, berilah kepercayaan untuk menmgundi  UBN sekali lagi. Inipun pengemis juga.
Ada orang yang mengemis cinta. Kaum Hawa mengemis cinta dari kaum Adam. Mengemis cinta di zaman moden ini sudah banyak versi baru yang menarik. Ada lelaki yang mengemis cinta seorang perempuan yang berduit. Dijanjikan itu dan ini, dan akhir sekali janji nak nikah. Bagi membuktikan cinta yang abadi konon, si gadis sanggup berhabisan, apa sahaja yang lelaki itu mahu ditunaikan, abang perlu bantuan, nak selesaikan masalah kewangan, berapa anda mahu? Semua diberikan. setelah dapat puluhan ribu, maka si lelaki pun menghilangkan diri. Janji kahwin entah ke mana, maka dia mengadu kepada pihak akhbar, hebahkan kepada media, secara tak langsung bukan nak bagi teladan kepada orang lain, tetapi membodohkan diri sendiri. Akhirnya repot polis. Itulah ikhtiar penghabisan.
Jadi, apabila sebut pengemis, jangan pandang orang luar yang mengemis di kaki lima kedai di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, ada yang bawa kertas surat sokongan dari selatan Thai, ada yang sudah luput tarikh, dan macam-macam gaya untuk memancing simpati orang ramai.
Pengemis moden macam-macam. Ada yang pergi bank merayu-rayu nak dapatkan pinjaman. Siap bawa penjamin atau benda lain yang boleh dicagarkan. Merayu-rayu itu umpama pengemis juga. Belum lagi yang berdiri di luar mesin ATM, tadah tangan dan mengharap.
Dalam bab duit, kebanyakannya orang sangat berhati-hati dengan duit. Sebabnya, duit perlu dicari dengan cara bekerja atau menggunakan bakat alam dan intelektualisme masing-masing. Kerja tak semestinya bangun pagi masuk pejabat dan pulang ketika maghrib dah masuk. Konsep kerja hari ini sudah bertukar. Dek kerana masing-masing sibuk dengan urusan, maka kaum pengemis hanya mendapat sedikit daripada yang disumbangkan oleh masyarakat.
Kutbah Jumaat hari ini tidak menggalakkan orang mengemis. Siapa mengemis, mereka akan ditangkap. Tetapi yang ditekankan bukan soal mengemis merata-rata, cuma kita nak jaga imeg negara. Malu kalau pelancong tengok ada orang mengemis. Takrif mengemis pun macam-macam, bawa kertas derma pun mengemis juga, letak bekas duit, petik gitar sambil nyanyi pun mengemis juga. Pemimpin UBN pergi ke majlis turun padang dan berpidato meminta orang kenang jasa budi baik pemimpin yang ada pun mengemis juga. Mengemis undi namanya.
Isu mengemis ini ditekankan kerana ada sekolah anak-anak yatim atau OKU yang gunakan tenaga kanak-kanak untuk menjual barangan sambil kutip derma. Pagi disuruh kutip derma hingga ke petang. Kemudian barulah balik ke asrama mereka. Duit kutipan diserah kepada ketua atau penyelianya. Kemudian duit itu masuk akaun sekolah. Itu ikhtiar pihak pengurusan sekolah yang tidak mendapat biaya dari pihak kementerian.
Ada yang menjual produk, buku doa, surat yassin, kismis, madu, kaset, CD al-Quran dan macam-macam lagi. Pendeknya asal jadi duit. Orang pandang dari aspek negatif sahaja, budak disuruh cari duit, pengetua sekolah kaya raya hasil duit carian murid-murid mereka.
Aspek yang ditekankan sebenarnya, murid-murid itu menjadi berani dan tahu selok belok berniaga. Mereka tidak kekok di depan orang ramai. Tahu bagaimana berkomunikasi dan pendeknya kalau besar nanti mereka boleh jadi promoter di tempat membeli-belah.
Mereka yang usung buku doa dan CD ceramah misalnya, besar nanti boleh jadi akan menerbitkan bahan untuk jualan pula. Aktiviti meminta derma ini hanya sebagai ko-korikulum bagi mereka. Jangan pandang rendah dan terlalu menghina mereka. Bagaimana pula pertubuhan tertentu boleh pula bawa tong kutip derma di sana dengan memakai uniform khas? Contoh Persatuan Bulan Sabit atau badan-badan NGO yang lain.
Semuanya kalau ada surat kebenaran. Itulah yang ditekankan.
Mungkin anda tidak faham selain pengemis yang biasa kita lihat, ada lagi pengemis berpakaian kemas. Membawa kertas derma membaiki surau, membaiki masjid, membina surau atau masjid, membina asrama anak-anak yatim dan sebagainya. Kertas rayuan derma yang diposkan ke pejabat-pejabat dan masjid ada kalanya terdedah kepada pengemis kemas ini.
Mereka akan mengtip kertas rayuan derma itu untuk diusung ke sana-sini dengan kereta, pergi jauh-jauh, masuk kedai makan atau gerai, pakai songkok, beri salam dan hulur kertas rayuan derma itu. Orang yang membaca paling tidak akan hulur seringgit dua. Atau jika baru buka kedai, dia akan hulur lima atau sepuluh ringgit.
Ramai pengemis kemas melakukan kerja mengemis secara ini. Orang tak tahu. Kadang-kadang oleh sebab terlampau pandai, pengemis kemas ini salah masuk. Dia hulur kertas derma baiki surau. Surat itu sampai kepada setiausaha masjid atau bendahari masjid itu sendiri. Kes ini pernah terjadi ke atas seorang Datuk yang pernah mengemis dengan cara ini di Teluk Intan, Perak.
Kisah Datuk ini mengemis memang menyamai gaya peminta sedekah yang lain. Mungkin keterlaluan jika saya katakan, bahawa ada di antara pengemis ini yang sudah jadi Datuk, kahwin produser filem, dan ada yang kaya raya, dapat wang pampasan hingga RM2.4 juta.
Kutbah juga ada menyebut tentang orang mengemis dengan alasan duit hilang, beg tercicir, dan macam-macam alasan. Nampaknya alasan begini jangan diterima. Itulah yang kutbah hari ini ajarkan kepada hadirin. Bagaimana jika anda sendiri kehilangan wang ketika berada di perantauan? Hilang semua kad ATM dan serba-serbinya? Ketika ini, anda tentu teringat kutbah Jumaat hari ini.
Soalan kepada siapa hendak mengadu? Balai bomba? Jabatan Kesihatan? Anda pasti akan lepak di tempat orang ramai. Masjid dan surau. Nak balik tak ada duit. Nak makan tak ada duit. Tidur kaki lima. Kepada siapa nak mengadu? Masjid atau surau? Anda akan dihalau atau dianggap pura-pura atau menipu.
Ada seorang lelaki yang kehabisan wang saku, menceritakan bahawa dia sanggup masuk ke tempat ibadat orang bukan islam. Dia masuk di sebuah tokong di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dekat restoran Pelita, dia dapat wang yang diharapkan. Dia kata lebih baik minta di situ daripada pergi ke masjid atau surau.
Apakah pengajaran daripada cebisan kisah masyarakat ini? Kita sudah diajar memandang sinis terhadap pengemis. Ingatlah, hari ini orang lain yang mengemis, entah suatu hari nanti kita pula jadi pengemis. Begitu juga dengan pembaca kutbah hari ini. Esok terjadi kes dibuang kerja, mungkin jadi pengemis pekerjaan pula.Sebenarnya ada di kalangan kita sendiri yang suka melihat orang lain susah. []

No comments:

Post a Comment