Cerita orang dulu-dulu ada yang menarik. Sebuah kubur panjang di Kg Tapu, Kuala Brang, Trengganu menarik minat kalangan penggemar misteri. Sebab di kawasan kubur lama yang dikatakan sudah berusia 300 tahun, mungkin sekitar tahun 1700, jadi sesiapa pun orang sekarang tidak tahu sejarah kubur itu.
Orang kampung menggelarnya kubur panjang, sebab panjangnya 4 meter, ia kubur seorang pedagang asing yang berniaga di sekitar Kuala Brang dan Kg.Tapu. Dulu Kuala Brang terkenal sebagai salah sebuah pelabuhan di Semenanjung.
Penduduk kampung yang ada sekarang pun hanya mewarisi cerita lisan yang popular di situ. Identiti pedagang itu tidak diketahui, namanya dan asal-usulnya tidak diketahui, apakah dia pedagang dari Patani, Campa atau sekitar Kampuchea sekarang?
Kubur panjang yang disebut Kubur Tok Panjang itu, menurut penduduk kampung ia sudah ada sejak 300 tahun dulu. Kubur panjang memang terdapat juga di mana-mana perkuburan persendirian atau umum di negara kita. Kubur panjang dilihat dari segi kedudukan batu nisan yang berjarak, ia juga terdapat di Kg.Tekek, Melaka, tempat Abdullah Munsyi. Di Negeri Sembilan, makam Sg Udang, makam Hang Tuah pun panjang, dan di Pulau Besar pun begitu juga. Ia bukan gambaran orang dulu tinggi-tinggi. Ia ada tujuan.
Setidak-tidaknya ia akan jadi seperti makam Tok Jembar juga.
Biasanya, kubur panjang macam itu akan jadi tumpuan orang mengangkung, puja nombor untuk dapatkan 4 digit angka bertuah. Bawa colok, bawa lilin, makanan sedikit dan bekas bara untuk kemenyannya. Dah tentu mereka kena bawa benda-benda mistik, lesung tembus, keris berdiri, patung wayang kulit berhantu dan macam-macam kepercayaan karut lagi.
Itu cerita orang dulu, tahun 60-an dan 80-an yang terbaru. Orang datang ke situ kerana memuja arwah pedagang yang tidak diketahui sejauh mana amal dan sejauh mana ilmu agamanya. Disebabkan jarak batu nisan panjang, dan ada tempayan sebuah, mungkin untuk menyiram kubur itu, atau untuk minuman pelawat pada zaman dulu. Lagipun dulu mana ada air mineral macam sekarang, mana ada bekalan air paip.
Nak buat perkara khurafat orang tidak mengira kubur itu jauh atau dekat dari orang. Siapa hendak jaga kubur panjang yang tidak diketahui asal-usulnya. Nak jadikan supaya ia nampak angker, bawa sahaja kain kuning, atau kain merah, balut batu nisan itu supaya kelihatan "hebat" seperti makam-makam sejarah yang biasa kita lihat di Kota Tinggi atau di Melaka sana.
Berkaitan tempayan dekat kubur itu ada orang kata, jangan celopar mulut. Kalau ada sesiapa ziarah kubur itu jangan bermulut cabul atau cakap bergurau. "Tempayan ni kalau aku bawak balik kan bagus? Buat apa letak sini." Konon, dengan berkata begitu -secara kebetulan- kalau bawa motosikal, nak start pun tak boleh. Kalau bawa kereta macam itu juga.
Jadi, ada orang nasihat, siapa yang sudah bermulut cabul, kena minta maaf baik-baik kepapa yang empunya tempayan. Konon dengan meminta maaf kepada "sesuatunya" yang tidak diketahui siapa, motosikal boleh start, kereta pun boleh start.
Disebabkan cerita itulah, tempayan di kubur panjang itu terpelihara. Tak ada siapa berani alihkan tempayan itu untuk dibawa ke rumah. Bagaimana sekiranya di sekitar kubur Tok Panjang itu ada benda lain, tajau kecil, atau batu besar disusun dengan sempurna. Sudah tentu baik tajau atau batu itu akan dikeramatkan juga.
Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment