Sunday 26 June 2011

Kisah Orang Gelandangan di Kuala Lumpur

Di kota ini banyak orang gelandangan. Bukan tipu. Banyak perantau dari luar datang ke tengah kota. Kalau dari Sabah, kumpulan perantau ini mengaku dari Sabah. Tetapi apabila bertutur, akan terpacul perkataan yang kigta tak pernah belajar di sekolah rendah dan menengah. Jadi, jelas perantau dari Sabah ini adalah orang yang telah mendapat MyKad dari seseorang.
Golongan gelandangan ini ada yang dulu pernah bekerja makan gaji. Tidak kira dengan swasta atau kerajaan. Dulu ada duit, sekarang tak berduit. Itu bahasa paling mudah. Ada gelandangan memiliki sijil sekolah menengah dan diploma. Tepi semua dah hilang. Nak cari kerja susah. Maka mereka pun kerja apa sahaja asal dapat makan. Jangan kata mereka pemalas.
Mereka ada yang kerja sambilan. Habis kerja dapat duit. Gaji harilah katakan. Orang begini tidak mampu menyara diri untuk mendapatkan tempat tinggal. Jadi, jangan marah, mereka akan tidur di mana sahaja yang tersorok. Ada surau, masjid, rumah kosong, rumah tinggal, mereka boleh lepak di situ. Dah tak ada, mereka cari atas jejambat yang tersorok, atau dekat kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, lorong yang sunyi, tidur di kaki lima kedai. Dapat tidur pun dah memadai. Tidur beralaskan kertas kotak.
Bab mandi pula, mereka boleh mandi di Masjid Negara, masjid-masjid yang ada, pada waktu subuh atau sebelum subuh. Tak kan ada noja nak halau orang masuk masjid kut?
Tidak pun, tandas DBKL ada. Bayar lebih penjaga akan kasi. Cakap terus terang nak mandi. Yang berduit akan mandi di hotel-hotel murah, boleh dapat sabun dan pinjam towel sekali. Baju bau hapak bagaimana?
Tu sebab orang gelandangan kena bawa beg. Paling tidak beg plastik macam orang pergi supermarket.
Ada budak gelandangan yang kutip benda-benda terbuang. Benda yang ada harga dikutip dan dikumpul. Pagi-pagi benda itu dibawa ke lorong Petaling Street yang terkenal sebagai lokasi pasar karat. Lokasi ini dah lama, bukan baru wujud ya!
Di sini apa sahaja barang kutipan boleh dijadikan duit. Tak payah tulislah apa bendanya. Semuanya orang dah tahu. Dan bukan benda bekas sahaja yang dijual, malah benda-benda baru harga murah pun ada. Sekarang laptop baru pun ada dijual. Harga dalam RM1200-RM1800, seperti yang saya pernah tengok.
Tempat ini adalah ruang untuk gelandangan dapatkan duit. Jangan anggap semua gelandangan,tidak. Orang yang ada kedai pun pagi-pagi buka gelanggang. Barang kedai dibawa ke situ untuk dijual.
Berbalik kepada orang gelandangan tadi, apabila mereka bekerja atau ditawarkan kerja, mereka akan hadapi masalah. Tempat tinggal tak ada, pakaian yang ada dalam beg sahaja, bagaimana nak kerja. Kalau kerja angkut barang tak apa. Kerja percetakan tak apa. Bagaimana kalau pejabat? Tentu tak layak. Pakaian kemas tak ada. Bau hapak lagi.
Ada gelandangan bertanya, apa kerja yang menyediakan tempat tinggal dan pakaian? Jawabnya, kerja pengawal keselamatan. Masuk kerja, dapat uniform, dapat duit makan, dan terus kerja 12 jam. Tidur di asrama. Tapi asrama ini kata orang tempat bahaya. Banyak barang hilang. Kain pelikat pun orang lain sapu di ampaian. Mana tidaknya, pagi-pagi pergi kerja, orang shift malam balik ke asrama. Giliran dia balik waktu malam, geng shift malam dah pergi. Memang tak jumpa langsung, dan tak kenal pun walau duduk satu sarang.
Akhirnya, ubat gigi dan sabun pun hilang. Nampak kecil dan remeh, tetapi bagi kaum gelandangan, ia bernilai besar. Ingat ya, kita bercerita tentang orang tak ada apa benda. Dah patah kandar.
Kerja pengawal keselamatan pula 12 jam. Lama sangat. Setiap hari dapat pinjaman RM10.00. Nak makan apa di Kuala Lumpur? Roti canai dan capati sahajakah? Kalau jimat, ada bakinya. Itulah juga nak digunakan untuk tambang bas. Tambang bas Rapid memang menyusahkan orang tak berduit. Kad tambang yang ada sekarang menyenangkan dan menyusahkan orang tak berduit, terutama gelandangan.
Kerja pengawal ini nampak relax, tapi mengantuk, kata orang. Duduk atau berdiri sepanjang masa. Ada rehat untuk makan. Kalau kerja di Sogo, nak makan kat mana? Carilah lorong. Kalau makan di Sogo juga, duit pinjaman tu tak cukup.
Kemudian mereka dapat pinjaman RM200 pada 20hb. setiap bulan. Nak tunggu 20hb. seseorang itu kena bersabar, selama dua puluh hari. Dah pinjam RM10.00 sehari, bermakna x 20 hari, dah RM200 dia dapat. Kemudian pada tarikh itu barulah rasa duit banyak RM200.00. Bolehkah dengan wang ini dia menyewa rumah atau bilik? Tak dapat. Tidur bawah jembatan bolehlah.
Atau kongsi ramai-ramai sewa bilik murah. Ini sahaja jalan penyelamat. Sebab apabila sudah ada bilik, barulah mereka boleh simpan pakaian. Boleh beli pakaian rombengan, pakaian bekas yang murah. Harga dalam RM5.00 hingga RM10.00 memang banyak.
Oang begini, dengan pendapatan kecil jangan fikir hendak kahwin semua. Jadi, ini yang menjadikan faktor mengapa orang tidak berkahwin. Jangan marah. Gaji pengawal nampak hebat di dalam iklan, RM1200 -RM1400. Nak tahu cerita sebenar cari pengawal yang jujur. Jangan tanya orang yang egoistik.
Sebab kenapa manusia jadi egoistik adalah kerana stigma masyarakat pandang rendah kepada golongan ini. Jangan kawan! Itu pun satu kerjaya juga. Macam orang kerja tukang sapu, kutip sampah, buat bisnis internet pun kerja juga.
Orang gelandangan di Kuala Lumpur ini, silih berganti. Yang dah tinggalkan bidang penggelandangan akan diganti generasi baru pula. Begitulah kehidupan di celah-celah Kuala Lumpur. Jangan pandang hina orang yang tidur di kaki lima bertilamkan kertas suratkhabar baru. Jangan pandang lekeh. Kasihanilah mereka. Mereka adalah orang kecil. Apa guna slogan mewah, RAKYAT DIDAHULUKAN? Mungkin kuasa undi gelandangan tidak dianggap penting oleh orang yang berslogan begitu.
Gelandangan juga menghasilkan kes-kes yang tak masuk akal, mayat ditemui telah reput, tanpa dokumen, tanpa waris. Bukan tanpa waris, semua gelandangan adalah berwaris, tetapi sistem di Malaysia yang tidak kemas, tidak dapat mengesan sesuatu walaupun ada yang bermegah dengan DNA. Kita hanya berusaha untuk mencari-cari yang sukar kalau hendak kaitkan kes dengan pihak pembangkang. Tapi kalau tokoh rakyat kecil dari puak gelandangan mereka tidak peduli.
Ustad Mohd.Firdaus Mat Fuat, yang menguruskan jenazah tak berwaris sejak lima tahun di Kuala Lumpur, berkhidmat dengan Cawangan Pengurusan Dakwah Hospital Kuala Lumpur, beritahu, sekarang sudah ada perkuburan antarabangsa di Kuala Lumpur (jalan Highway Karak). Pendatang dari luar makin banyak. Tidak kira dari mana asalnya, penyakit pun banyak jenisnya, macam-macam. Gejala sosial pun makin meningkat.
Kepada saya menyentuh tentang gelandangan? Ia sebenarnya ada kaitan dengan kes mayat tidak berwaris. Golongan gelandangan ini berwaris, tetapi apabila sudah tutup usia, tidak ada siapa pun yang tahu data-data peribadinya. Rasanya, bank data peribadi gelangan patut diwujudkan di Kuala Lumpur. Ia dibantu oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Rasanya ini bukan kerja mudah, sebab memberikan MyKad kepada warga asing pun mudah, apalagi buat daftar kaum gelandangan di Kuala Lumpur. Ini hanya pandangan peribadi penulis yang memang punya sahabat dari kalangan gelandangan guna menyelami hati nurani mereka.[]

Monday 20 June 2011

Kisah Sebuah Beg Tangan

Pagi itu aku pergi ke Pasar Karat, lorong Jalan Petaling, atau Petaling Street, Kuala Lumpur. Macam biasa nak cari benda-benda berkarat sambil tengok-tengok buku lama, buku baru pun ada. Setahuku, aku sudah lama menjejaki pasar karat ini sejak tahun 80-an lagi.
Orang pun bertukar ganti yang berniaga. Banyak warga dari Indonesia berniaga di sini. Ada yang jual baju-baju rombengan, jual rokok kretek, jual CD lama, jual makanan kucing jenama Friskies dan Whiskers. Ada yang jual tampal kaki. Jual VCD terbaru, wayang yang sedang ditayangkan di panggung pun ada. Nasib baik aku memang jenis allergic dengan wayang, jadi aku tak hairan pun.
Aku melihat banyak sepatu kaki kedua dijual di sini, entah sepatu dari mana. Entah hasil curian atau entah apa. Jangan tuduh sebarangan. Sebenarnya pasar karat ini adalah talian hayat kepada orang-orang kecil di  Kuala Lumpur untuk mendapatkan sedikit wang. Bukan merompak dan menyamun yang menghina imej negeri.
Mereka jual apa sahaja benda yang mereka dapat. Bagi orang kaya, banyak benda dibuang begitu sahaja dalam tong sampah.
Giliran si miskin mengutip sampah itu dan dibawa ke pasar karat untuk ditukar menjadi duit. Berapa sahajalah harganya yang ditawarkan.
Beg tangan wanita pun banyak. Seluar entah slacks atau jeans, semuanya ada. Jam-jam tangan lama yang orang bilang antik.
Semuanya ada. Bahkan doktor gigi dari China pun ada menawarkan sesiapa nak cabut gigi dengan kos murah. Orang kaya tahu bising, bahaya tu. Dia tak ada tauliah. Dah berapa batang gigi yang Dr Gigi China tu cabut, orang tak tahu.
Di negeri ini kalau ada wartawan buat liputan mengatakan ada jual VCD kisah porno di lorong ini, maka orang yang baca koran pun terpedaya habis.
Aku biasa buat kajiselidik di situ. Apa yang koran perdana paparkan, kemudian aku tengok apa yang terjadi. Bahkan ketika aku berada di situ, aku menyaksikan pihak polisi menahan seseorang atas kesalahan VCD.
Esoknya ada lagi. Jadi ia ibarat rumput. Habis ditebas, esok kena hujan tumbuh lagi.
Kita tidak boleh marahkan mereka. Mereka mana ada kerja. Jual VCDlah kerjanya. Jika dihalang nanti mereka jual benda lain pula, lagi bahaya.
Tengah ronda-ronda di lorong itu, terfikir aku akan sebuah kisah legenda yang tersohor di negeri ini tentang sebuah beg mahal berharga RM350,000.00.
Bayangkanlah setelah beg mahal itu digunakan beberapa bulan, maka pemiliknya pun dah jemu. Lalu beg itu dicampak ke dalam tong sampah.
Datang pengutip sampah, dipilih-pilih dan diasingkan, akhirnya beg tangan yang ratusan ribu ringgit itu sampai ke pasar karat.
Dari seorang kepada seorang beg tangan itu bertukar tangan. Dan beg itu di pasar karat dijual dengan harga RM10.00 sahaja.
Peniaga di situ mana tahu jenama Itali, Peancis atau New York. Kalau jenama Greenland cap Walrus, atau gajah mina pun mereka tak tahu.
Jadi, sampailah beg yang mahal itu ke tangan apek. "Apek, ini beg belapa harga?"
"Itu macam ka?"
"Yalah, saya mahu!"
"Sepuluh linggit lo!"
"Apa pasai manyak mahal, kasi kurang la apek hooo!"
"Lapanlah cincai-cincai!"
Akhirnya beg yang mahal itu dibeli oleh seseorang dengan harga RM8.00 sahaja.
Beg itu dimasukkan ke dalam plastik beg. Nak bawa balik bagi isteri pakai. Maka isteri orang itu pun bergaya dengan beg RM8.00.
Ketika mundar-mandir di tempat shopping, kebetulan beg tangan itu dibawa, maklumlah orang miskin. Dapat harga RM8.00 pun dah kira okay.
Di dalam galeri pameran beg-beg tangan berjenama, Kakak pemilik beg terkejut memandang iklan beg tangan. Labelnya sama. Nak pastikan. Dia padankan betul-betul.
Tauke kedai keluar. Senyum. "Ini beg banyak mahal Kakak!" kata tauke itu.
"Mahal?"
"Ya!"
"Sini ada jual?"
"Tak boleh jual Kakak, siapa mahu beli? Ini harga sampai ratus ribu satu Kakak!"
"Ratus ribu?" Kakak terpinga-pinga.
Begitulah kisahnya seorang pembei beg di pasar karat yang tidak tahu menahu jenama beg dan harga beg tangan. Beg tangan itu kata orang adalah milik pembesar negeri.
Siapa punya? Entahlah.
Kini Kakak pemilik beg itu benar-benar terkejut apabila tauke kedai menawarkan harga istimewa kepada beg tangan yang dia bawa.
"Jual pada saya kakak," kata tauke itu.
"Berapa?" tanya kakak.
"Berapa awak nak jual? Saya sanggup beli RM35,000 kalau kakak mahu? Saya bayar kes, kasi cek tunai," kata tauke itu.
Kakak yang bawa beg termenung. Suaminya yang sudah tahu cerita beg itu, tanpa lengah terus menarik tangan tauke itu.
"Bolehlah," katanya seronok.
Dan konon, dek kerana pasar karat yang sudah dilabel tempat barang bekas, ada seorang hamba Allah dah kaya raya kerana membeli beg tangan mahal dengan harga RM8.00 saja.
Hari itu, adalah kenangan bagi pembeli beg tangan bekas.
Untung juga kalau pembesar negeri suka beli beg mahal-mahal, boleh campak dalam tong sampah. Datang pengutip sampah bawa ke pasar karat.
Kini, lelaki itu walaupun sudah mendapat habuan tak dijangka, tetap datang ke pasar karat mencari sesuatu.
Hingga sekarang lelaki itu tidak tahu siapa pemilik sebenar beg tangan mahal itu.
Mungkin ada di antara pembaca yang tahu jawapannya. Lelaki itu pun tak tahu. Kakak pun tak tahu.
Khabarnya tauke kedai itu tahu! [Misnon Jamil].

PERHIMPUNAN BERSIH

anak-anak kecil itu berduyun-duyun hadir
dengan pakaian bersih
dengan minda bersih mereka pun berarak
tanpa senjata dan kayu atau yang bahaya
dan ketika berarak-arakan itu mereka disaksikan
sekelompok bersenjata lengkap
bagaikan perang besar
begitulah kisah orang kecil di negeri kecil
yang pemimpinnya berjiwa kecil bak semut
takut diinjak-injak
senjata itu siap membunuh siapa juga
sedang anak-anak kecil itu siap dikotori
dengan tembakan air jijik
kerana orang kecil itu layak terkena najis
status orang kecil adalah orang-orang gelandangan
status orang kecil tidak berjiwa
wajar sahaja orang kecil dihapuskan dari bumi ini.

dan sudah tentu orang kecil tidak akan datang lagi
berpakaian bersih
kerana mereka berjiwa bersih
berbeza dengan kelompok yang mencantas leher
anak-anak itu tanpa belas kasihan
si anak kecil hanya layak berada di belakang sana
dalam kamar gelap
kehilangan dunia.

perhimpunan bersih tanpa sepanduk dan gambar
akan nanti fitnah bertebaran
inilah kaum yang mendukung Syiah Rafidah
tanpa akar sejarah tanpa garis penyambung
lidah pendukung arus
terus melimpahkan dusta
sedang anak-anak yang berbaris ini
dengan pakaian bersih telah comot
najis dilemparkan
kerana orang kecil tidak layak berpakaian bersih
biarkan anak-anak itu kotor
atau memamah najisnya sendiri
Alhamdulillah!

MISNON JAMIL,
Kuala Lumpur, Jun 2011.

ORANG KECIL DIPIJAK ORANG BESAR

begitu yang kerap terjadi di tanahairku ini
orang kecil dipijak orang besar
dipijak-pijak hingga menjadi lempeng dan ditinggalkan
selamat tinggal wahai orang kecil yang melempeng
di tanah air yang subur ini ini
orang kecil jangan beri makan walau sesuap nasi
biarkan mereka lapar dan menyelongkar tong sampah
mencari sisa makanan
kerana itulah yang dipelajari orang besar.

orang kecil yang sudah jadi lempeng
tidak siapa mahu makan walau ada kuah enak
walau ada sambal ikan bilis
lempeng orang kecil layak digilis
mobil besar si orang besar
lempeng itu juga layak untuk diinjak-injak
bukan untuk dimakan orang besar
lempeng adalah orang kecil
yang dipijak dan diinjak
dipijak minda dan jagat besarnya
diinjak-injak agar orang kecil lenyap dari bumi ini
yang ada adalah sekelompok orang besar
dan masing-masing mencari siapa yang mahu jadi si kecil
untuk diinjak-injak.

di kalangan orang besar
mereka kehilangan gizi kerana orang kecil telah sirna
kebesaran orang besar bergantung orang kecil
jika tidak ada orang kecil
apalah ertinya orang besar
dalam diam-diam orang besar semakin kerdil
kerdil mindanya kerana yang mereka harap
adalah sanjungan orang kecil.

MISNON JAMIL,
Kuala Lumpur, Jun 2011.

Tuesday 7 June 2011

DONGENG RAKYAT MISTIK RANGGA DAN RATU KIDUL

NAGA HIJAU LAWAN TENGKU RANGGA

[Sebuah cerita rakyat dengan versi 2011, olahan Pak Andong]

Dia menunggu kedatangan naga yang kehijauan. Dia mencabar naga itu. Di pinggangnya sudah terselit sebilah keris pusaka yang sakti. Dia pun bersedia untuk menerkam naga sebesar batang kelapa itu.

"Ya! Cepat!" kata Rangga sambil melambai naga. Naga pun mengeluarkan suara yang gemuruh. Kilatan api dari lidahnya menyambar-nyambar. Dan dengan deruman suaranya, naga pun menyahut cabaran Rangga.

Rangga cuba menjatuhkan naga itu. Dia melompat dan memeluk badan naga dari belakangnya. Dia menikam belakang naga dengan keris saktinya. Sisik naga terlalu liat. Rangga tidak dapat gunakan keris sakti itu. Naga itu menggeliat sekuat-kuatnya menyebabkan Rangga tergolek. Dia bangun. Dia cuba menikam naga dari arah bawah. Dia tujukan ke dagu naga. Lidah api naga begitu menakutkan. Rangga mengelak kanan dan kiri. Lompat sana, lompat sini. Naga cuba membelit tubuhnya. Rangga mengelak dan berjaya melepaskan diri. Usaha Rangga hendak menjatuhkan naga tidak berhasil. Naga terlalu hebat. Rangga sudah beberapa kali dihempaskan ke tanah oleh naga itu. Jeritan naga menggerunkan orang ramai. Ada yang lari ketakutan dan melihat sayembara dari jauh.

Gara-gara sayembara itu, banyak pokok tumbang. Banyak bangunan roboh. Libasan ekor naga menyebabkan rumah penduduk rosak teruk. Penduduk kampung melihat sayembara dari atass pokok. Ada yang memanjat pokok kelapa dan memasang kayu palang untuk duduk di situ. Ada yang duduk di tepi bukit. Banyak yang menyaksikan perlawanan dari jauh. Penduduk negeri takut Rangga akan mengamuk sekiranya dia luka teruk atau dia kalah dalam perlawanan. Atau mungkin naga yang luka terus akan mengamuk membunuh penduduk negeri. Amaran ini sudah diberitahu oleh Mertani dan pembantunya.

Setelah bergelut berjam-jam, sayembara tidak ada pemenangnya lagi. Di kejauhan, Puteri Laut Selatan bersama raksasa yang menghuni gunung kecil turut membantu naga. Sayembara itu mesti dimenangi oleh naga. Rangga tidak boleh menang dalam perlawanan itu. Puteri Laut Selatan ingin melihat anak lelakinya kalah dalam pertandingan itu. Biar dia malu dengan dirinya. Jika tidak, dia akan menjadi lelaki sombong. Dia akan jadi bongkak kalau dia menang menentang naga hijau. Oleh sebab pergelutan itu memakan masa berjam-jam hingga memenatkan, akhirnya Puteri Laut Selatan menggunakan kesaktiannya. Dia menyusup ke dalam naga hijau itu. Dia mahu menamatkan sayembara itu secepatnya.

Biarlah, dia berkorban. Dialah yang boleh mengalahkan anaknya Tengku Rangga. Dan naga hijau itu adalah peliharaan Puteri Laut Selatan. Naga yang biasa bermain-main di Laut Selatan itu dapat membelit Rangga lelaki perkasa itu. Belitan naga yang kukuh menyebabkan Rangga tidak dapat melepaskan dirinya. Dia sesak nafas kerana belitan naga begitu kukuh. Dia meronta-ronta ingin melepaskan diri. Kebetulan hujan turun dengan lebatnya. Hujan disertai halilintar membelah bumi. Ramai orang basah kuyup menyaksikan sayembara itu. Mereka lari bertempiaran mencarin tempat berteduh. Hujan yang terlalu lebat menyebabkan mereka tidak dapat menyaksikan pertarungan itu. Semuanya seperti berkabus. Dan ketika halilintar berdentum sekuat-kuatnya, panahan cahaya terkena naga dan manusia perkasa itu. Tidak ada siapa tahu ke mana naga dan Rangga menghilang.

Semena-mena para penonton jadi kebingungan. Dalam keadaan basah kuyup itu, mereka hanya dapat menyaksikan padang yang basah. Rumah yang sudah roboh dan pokok-pokok yang tumbang. Serentak dengan dentuman guruh di langit tadi, naga perkasa tadi lenyap bersama Rangga.

"Ke mana mereka hilang?" semua orang tertanya-tanya. Sayembara ini tidak mendatangkan keputusan. Tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Kedua-duanya hilang dari pandangan manusia. Setelah kejadian sayembara yang mendebarkan itu, penduduk tidak mendengar lagi kekecohan dari Tengku Rangga. Dia hilang ketika sayembara sedang berlangsung. Ke mana dia?

"Menurut baginda Senopati, naga hijau yang bertarung itu sebenarnya adalah Puteri Laut Selatan, dan lelaki yang gagah itu adalah anak lelakinya sendiri, jadi dia sudah ditangkap dan dibawa ke Laut Selatan semula," begitu perkhabaran yang diberikan oleh Mertani selaku jurucakap istana.

"Naga itu pergi ke mana?" soal salah seorang penduduk negeri.

"Naga itu sebenarnya adalah Puteri Laut Selatan sendiri yang menyamar sebagai naga. Sayembara itu diadakan bukan kerana hadiah negeri, tetapi cara ibu hendak menghukum anaknya," ujar Mertani.

"Aku mahu tanya kamu Mertani, apakah kamu pernah nampak Puteri Laut Selatan tu di istana baginda?"

"Soalan ini payah nak jawab, aku sendiri tak pernah lihat bagaimana rupanya, hanya Senopati sahaja yang dapat melihatnya," terang beliau.

"Begini, aku mahu tahu, Rangga tu sebagai apa kalau di negeri Laut Selatan itu?"

"Aku pun tak tahu, hanya menurut orang pintar, dia menjadi anak puteri setelah kesaktiannya ditarik semula."

"Aku pun musykil, bagaimana manusia boleh tinggal dalam laut, apakah dia menjadi ikan atau bagaimana?"

"Wah! Ini soalan yang susah. Hanya Puteri Laut Selatan yang boleh menjawabnya," ujar Mertani berterus-terang. Itulah majlis bertemu rakyat yang diadakan di istana baginda Senopati. Majlis itu diadakan sempena pemergian Rangga ke Laut Selatan mengikut ibunya.

"Aku mahu minta maaf kepada tuan-tuan dan puan-puan yang selama ini mungkin pernah disakiti oleh anakku Si Rangga itu," kata baginda sambil menunjukkan kedua belah tangan sebagai tanda minta kemaafan. "Anakku itu semua orang tahu, sangat degil, tidak mahu mendengar kata orang tua."

Baginda Senopati juga menerangkan tentang perkahwinannya dengan Puteri Laut Selatan. Baginda menjelaskan siapa puteri itu, asal-usulnya, dan kenapa dia kemudian boleh tinggal di dalam laut. Terlanjur berucap di depan ramai itu, baginda juga menyentuh tentang bagaimana manusia biasa seperti dia boleh berada di laut. "Sebenarnya, tidak ada manusia yang boleh hidup di dalam air. Terus terang aku beritahu anda semua," ujar baginda yang menyebabkan semua orang terdiam. Tertarik dengan cerita baginda itu.

"Dunia Laut Selatan bukanlah di dalam air. Ia berada di kawasan Laut Selatan. Ia adalah sebuah alam milik makhluk halus dari jenis jin. Sebenarnya, aku pergi ke sana pun bukan masuk ke dalam air. Ia ibarat anda memasuki dunia mimpi. Anda bermimpi seakan-akan pergi ke dalam air, sebenarnya anda berada di tepi pantai sahaja," terang baginda lagi melanjutkan majlis sembang-sembang bersama istana.

Majlis disambung pada waktu malam dengan diadakan persembahan wayang kulit dan mainan gamelan diraja. Penduduk sekitar istana pun berhibur di situ sebagai meraikan kejayaan membersihkan negeri daripada berbagai bencana dan fitnah.

Kehadiran Tengku Rangga yang melakukan berbagai perbuatan buruk dianggap sebagai bencana negeri. Selagi tidak dibuang, selama itulah penduduk negeri dalam ketakutan. Kini, seluruh negeri menjadi aman. Baginda Senopati dan Puteri Laut Selatan mentadbir dua buah negeri yang berbeza. Senopati di alam yang nyata, dan isterinya berada di alam yang tidak nyata. Masing-masing memerintah kerajaan yang besar dan berdaulat. [ Sengaja dipaparkan kisah ini kerana Pak Raden Puji Masono bilang dia pernah pergi ke kraton di Laut Selatan, dan beberapa orang lelaki dan perempuan keturunan Cina Malaysia, menjadi rakan Ratu Kidul – hasil wawancara penulis untuk majalah INTISARI,Kuala Lumpur, 2003].


 

Saturday 4 June 2011

PUTERI LELEMBUT BIKIN SIDANG AKHBAR DI KOTA

PUTERI GUNUNG LEDANG VI


 

Tiba-tiba sahaja dunia mistik digegerkan oleh kehadiran seorang tokoh yang ternama. Tokoh ini pernah menduduki ranking teratas dalam senarai puteri terbaik dan mengundang kontroversi. Betapa tidak tokoh ini hadir ketika negeri yang satu ini sedang kecoh dengan segala macam nista dan fitnah yang tidak boleh dibendung lagi. Apatah lagi, fitnah itu didukungi oleh semua pembesar negeri yang takut dipecat. Bukan tidak ada yang prihatin dan tidak gemar dengan permainan kotor dan menjijikkan ini. Fitnah dilarang agama. Orang yang suka memfitnah sama sahaja yang tidak beragama.

Tokoh ini tidak pernah diberitakan pun. Baik berita utama atau tidak utama. Baik televisyen swasta atau televisyen milik negeri yang satu ini. Negeri ini memang cukup takut sekiranya ada penemuan baru. Seorang tokoh legenda yang sudah lama memendam di dalam sejarah silam tiba-tiba muncul. Dia bukanlah Dajjal yang bermata satu yang boleh membuat onar di mana-mana agar orang yakin dengan ketulenannya.Lihat dahinya. Ada atau tidak tertulis nama Dajjal di dahinya. Kalau tidak ada, sahlah ini bukan Dajjal. Kehadiran tokoh ini mendapat sambutan bukan main dari kalangan paranormal, kalangan spiritual, para pawang, bomoh, kahin, dan macam-macam gelaran yang mempesonakan.

Siapa tokoh yang dimaksudkan? Dia sedang menunggu detiknya lagi. Semua orang melihat jam tangan masing-masing. Puteri yang berpakaian serba kekuningan ini bukanlah warisan dari Wan Empuk dan Wan Malini yang merupakan tokoh dalam bikinan.

Kemudian majlis itu diberitahu bahawa tokoh yang ditunggu-tunggu itu adalah Puteri Gunung Ledang. "Kepada semua hadirin, diharap dapat bertenang, jangan kecoh, sebentar lagi kita akan mendengar kenyataan sebenar daripada Puteri Gunung Ledang," ujar seora ng lelaki yang bergelar Prof Madya Datuk Kumala Dengkut.

Dalam diam-diam Si Kumala telah menjalin hubungan baik dengan puteri yang satu ini tanpa heboh dan kecoh. Ketika memberi kata-kata aluan, Si Kumala memberitahu hadirin bahawa dia sudah lama berkenalan dengan Puteri Gunung Ledang ini. Sayangnya, tidak ada pegawai yang bertugas di kaki gunung itu tahu akan kehadiran Datuk Kumala.

Tiba gilirannya, Puteri Gunung Ledang pun berbicara dengan fasihnya. Dia menghuraikan salasilah keluarganya yang berasal dari keturunan Majapahit, terusir lari ke Palembang. Dan dia terus mengoceh di depan ramai.

Sementara itu ruang pertemuan itu terlalu harum dengan bau kemenyan, asap berkepul-kepul, langsir kuning, alas meja tamu kuning, pulut kuning dan serba-serbi yang bermotif kuningan dipamerkan oleh pengatur majlis yang tidak berapa sempurna itu.

Sayangnya, tidak ada seorang wartawan tempatan pun yang hadir di majlis itu. Tidak ada jurugambar pun yang hadir. Para wartawan sudah ditahan di luar sana, tidak dibenarkan melaporkan kehadiran tokoh ternama Puteri Gunung Ledang.

Dan di majlis yang sederhana itu, Puteri Gunung Ledang menyatakan keinginannya melihat negeri ini aman, tidak berlaku kekecohan, tidak ada mana-mana anak negeri yang melakukan kejahatan sesama mereka.

"Di alam sana, aku sudah perhatikan yang bernama Melayu ini adalah orang-orang yang pendendam, penuh hasad dengki, suka memfitnah, takut kehilangan kuasa dan menyalahgunakan kuasa berlebihan," tutur Puteri Gunung Ledang dengan suara lebih keras.

Semua orang berasa kagum dengan kata-katanya. Hairan sungguh, tidak pernah muncul, sesekali muncul dia boleh tahu apa yang berlaku di negeri yang satu ini.

"Terlalu banyak penipuan, manipulasi, semua ini gara-gara berebut harta. Ingatlah tuan-tuan semua, harta dunia ini tidak ke mana, banyak harta pun tidak berguna kalau sumber perolehannya tidak halal," kata Puteri Gunung Ledang lagi.

Kemudian yang menghairankan, Puteri Gunung Ledang pun membacakan ayat-ayat suci al-Quran dan membacakan hadis-hadis yang mutawatir. Wah, para pawang, bomoh, kahin dan yang seumpamanya ternganga mendengar kefasihan Puteri Gunung Ledang.

Sayang sungguh, majlis yang diatur di sebuah hotel sederhana ini tidak mendapat liputan dari wartawan dan jurugambar tempatan. Anehnya, berdatangan wartawan dari luar negeri. Mereka nampaknya lebih tahu tentang mistik Puteri Gunung Ledang ini. Kumpulan Pemburu Hantu pun tidak tahu.

Wartawan dari Barat itu turut membawa pakarnya, ada kalangan sarjana yang telah membuat kajian tentang Puteri Gunung Ledang berasa bertuah kerana dapat bertemu dengan perempuan legenda ini. Sayang puteri yang satu ini tidak boleh dirakamkan gambarnya dengan kamera digital secanggih apa pun. Sarjana luar geleng kepala kehairanan.

"Aku adalah Puteri Gunung Ledang ke VI kalau menurut salasilah keluargaku, aku bersemayam di Gunung Ledang, terdapat sebuah istana yang dibangunkan sejak lama dulu, sejak sebelum tahun 1262. Ini fakta yang tuan-tuan tak tahu, pakar sejarah tempatan pun tak tahu," kata Puteri Gunung Ledang lagi.

Kemudian dia berceritalah mengenai pengalamannya di masa silam. Petualangannya mengunjungi alam astral, dia singgah di berbagai pergunungan untuk bertemu dengan puteri-puteri lain yang menghuni dunia ghaibah itu.

"Sesungguhnya, aku telah menyaksikan di mana-mana pun, setiap penghuni ghaib seperti kami ini sering dijadikan buruan oleh orang-orang yang memerlukan dan menghormati kami," kata Puteri Gunung Ledang seraya memandang kumpulan bomoh, pawang, dukun, kahin dan kalangan spiritual tingkat tinggi dan bawah. Semuanya seolah-olah tersindir. Semuanya tunduk memanah lantai dewan hotel yang sederhana, Hotel Puteri!

Dalam sesi sembang-sembang bersama Puteri Gunung Ledang ini, seorang penulis dari luar negeri, bertanyakan tentang pergunungan paling lama Puteri Gunung Ledang bersemayam. "Sebenarnya, kami sering berpindah-randah, memang negeriku Gunung Ledang, tetapi aku perlu melihat sanak saudaraku di Gunung Datuk, Gunung Ayam, Gunung Senyum, Gunung Korbu, Jerai, Gunung Raya, Gunung Merapi, Merbabu, Bromo, Selamat, dan banyak lagilah, ya seperti tuan-tuan kejap pergi Kuantan, pergi Pekan, pergi Kota Tinggi, ada pergi New York, Las Vegas, kami pun pergi juga di alam astral," ujar puteri yang satu ini.

Kedengaran suara orang bergumam kerana kagum yang bukan main. Sungguh inilah puteri yang ditunggu-tunggu oleh para kahin, paranormal, mahaguru tenaga dalam, reiki dan pencak silat semua. Sayang tidak ada hebahan dibuat,hanya main SMS sahaja. Ada yang hantar pesanan melalui laman blog yang tak ada siapa baca pun. Tidak mengapa.

"Sungguh dalam dunia kami juga ada laman blog untuk Puteri Gunung Ledang, tapi awaslah, tuan-tuan tidak dibenarkan membacanya, kerana memang tidak ada sesiapa tahu di mana laman itu tersisip," begitu kata Puteri Gunung Ledang yang membuatkan suara ramai bergumam dan kehairanan.

"Ada satu hal yang tuan-tuan tidak tahu, bahawa kami pernah menjelajah ke Tiga Segi Bermuda untuk melihat keadaan di sana. Dan kami lihat di sana banyak pohon al-Qaram tumbuh. Tinggi menjulang sampai menyapu awan gemawan. Ada buahnya pohon itu, hanya sayang sekali, buah dari pohon al-Qaram itu bukan untuk manusia biasa seperti tuan-tuan, kenapa?" soalan dari Puteri Gunung Ledang menyebabkan semua orang terdiam, senyap, kaku, dan beku.

"Ya, kalau tuan-tuan tahu rahsia buah dari pokok ini, nescaya tuan-tuan akan berperang sesama sendiri hanya untuk mendapatkan isinya," terang Puteri Gunung Ledang lagi. "Kalau mahu, dalam buah itu terdapat batu delima merah asli. Terdapat di alam kewalian. Carilah sekiranya tuan-tuan mampu!"

Semena-mena, keadaan dalam dewan itu menjadi gelap. Lampu terpadam. Black out seluruh kota ini. Puteri Gunung Ledang VI menghilang. Apabila lampu menyala keesokan harinya, tidak seorang pun yang berani melaporkan kehadiran Puteri Gunung Ledang di Hotel Puteri.

Prof Madya Datuk Kumala menghilangkan diri. Puteri Gunung Ledang khabarnya sudah pulang ke Gunung Ledang semula. Tetapi masih banyak persoalan yang tergantung. Konon, hingga sekarang, para kahin, paranormal, kalangan waskita, kalangan wicaksana, kalangan spiritualis menunggu-nunggu sidang akhbar Puteri Gunung Ledang selanjutnya. [] -[ Tabloid SIASAH, Bil.0267,03-09 Jun 2011]


 

ETIKA FEUDAL YANG MELUCUKAN

HANG TUAH DI MANA HEBATNYA?

Orang tidak peduli dengan nama Hang Tuah. Di Melaka sahaja yang membesar-besarkan nama Hang Tuah. Dalam cerita Majapahit, tidak ada pula kisah Hang Tuah dapat kalahkan Taming Sari. Versi yang ditulis oleh orang istana, cuba membesarkan kerajaan Melaka sahaja, hakikatnya Melaka di bawah ketiak Majapahit. Pedulilah dengan Hikayat Hang Tuah (1964, Kuala Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka) itu. Wataknya sama seperti dewa-dewa dari "kayangan" kerana dia tidak mati, entah moksa ke mana tidak diketahui, tahu-tahu di Tg Kling, Melaka ada kuburnya. Jenazah siapa yang ditanam di kuburan itu? Atau hanya replica untuk mengenang pemergian Hang Tuah yang pernah mengatakan bahawa Melayu tak akan hilang di dunia? Dah hilang pun bersama Hang Tuah!

Hikayat ini adalah cerita epic. Sebagai cerita epic ia menggambarkan serba-serbi yang gemilang seperti 1 Malaysia juga. Hang Tuah dianggap istimewa: Pandai bersilat dan berkeris; bijak bertutur-kata; ada kepandaian ilmu sihir guna-guna; bijak mencari idea nak selesaikan sesuatu masalah; ada watak kepimpinan, jadi ketua untuk ekspedisi tertentu. Walaupun begitu, ada buruknya juga Hang Tuah ni. Dia tidak peduli kesan daripada tindakannya. Dia gunakan tipu muslihat untuk mencolek perempuan bernama Teja, semata-mata nak hadiahkan perempuan itu kepada Sultan Melaka yang kemaruk. Di Jawa, Hang Tuah buat muslihat kalahkan Taming Sari, hingga dia dapat kerisnya. Ketika bertarung dengan member kamcingnya Hang Jebat, dia buat muslihat juga untuk dapatkan keris Taming Sari dari tangan Jebat. Konon hanya dengan keris itu sahajalah dia boleh tumpaskan lawan. Dia pernah tumpaskan Taming Sari di Majapahit dulu.

Jebat dituduh derhaka sebab berani halau Sultan dari istana. Jebat dapat kuasai istana sepenuhnya, bermukah dengan gundik-gundik istana. Sama sahaja. Gundik tu apa maknanya? Perempuan simpanan. Raja Melaka pun sama, sebab dia menyimpan gundik, istilah sahaja untuk menghalalkan dengan istilah. Jika Jebat bermukah dengan gundik, Sultan Melaka pun begitu juga tarafnya. Tuah dianggap tidak tahu gunakan otak sebab terlalu ikut cakap Sultan. Sedangkan Jebat mengamuk dan sanggup tegur Sultan (bukan derhaka sebenarnya) kerana Sultan biadap sanggup jatuhkan hukuman mati ke atas Tuah. Jebat adalah pembela Tuah. Sedangkan Tuah tidak faham dengan konsep kepatuhan sebenar. Derhaka biar bertempat. Istilah derhaka inilah yang menyebabkan kemunduran bangsa Melayu hingga Allah SWT turunkan bala, hancurkan Melaka dengan kedatangan Portugis. Kalau Portugis tidak datang, entah apa akan jadi dengan Melaka. Ada hikmah yang Allah SWT musnahkan Melaka dengan kedatangan penjajah dari Barat. Setidak-tidaknya membunuh ego kepahlawanan Melayu yang berkeris tidak bertempat.

Epik Hikayat Hang Tuah(HHT) ini zamannya sekitar tahun 1350-an, dan kemungkinan paling lewat pada tahun 1850-an. Sebabnya, pada masa itu lahir genre sastera sejarah, dan HHT dianggap sebagai epic, kerana masa yang sama ada kerja-kerja penyaduran epic dari tamadun Hindu seperti Hikayat Seri Rama yang berlaku di zaman sebelum islam. Epik yang ditulis adalah berdasarkan etika zaman dahulu. Etika ini kalau dilihat sekarang nampak janggal. Jadi sikap Tuah adalah gambaran pemikiran orang dulu. Orang sekarang tidak mahu terima cara Tuah berperanan di istana. Sebab dulu, istana dianggap terlalu berwibawa menentukan buruk baiknya system feudal, jadi jangan bicara soal etika yang dianggap relative dan tidak obnjektif. Kemudian kalau ada penasihat agama di istana, ia hanya symbol sahaja. Nasihat dari ulama seperti Makhdum dan Maulana Abu Bakar itu hanya pertemuan singkat. Bukan belajar agama. Sultan tidak wajar jumpa ulama tasawuf, kerana yang asas pun baginda belum faham. Buktinya, nasihat agama pun tidak boleh diterima, sebab istana tidak boleh dipersoalkan tentang baik atau buruknya; rakyat pun jadi bodoh dan bingung melulu. Perkataan derhaka sudah jadi kalimat sacral yang tidak boleh diubah-suai. Kelangsungan wa'dat atau perjanjian Demang Lebar Daun dan pengasas kerajaan Melayu di Bukit Siguntang Mahamiru, Sumatera, seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu (Shellabear,WG,1975). Begitulah yang diperundangkan dalam system pemerintahan feudal, membantutkan pemikiran rakyat kecil, termasuk Hang Tuah juga. Sesuatu yang diperintahkan oleh pihak istana tidak boleh dipersoalkan. Sesiapa membantah, ia dianggap derhaka. Derhaka hukumannya bunuh.

Terbukti, apabila Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja hanya berpunca kes kecil tengkolok Muhammad jatuh terkena bola. Salah tidak sengaja pun hukumannya mati. Kemudian, Tun Berahim Bapa sanggup terima makanan beracun dari Sultan kerana tidak mahu derhaka (pemikiran yang dibentuk oleh konsep kederhakaan ini amat keterlaluan hingga sanggup telan makan makanan beracun). Hang Tuah tidak menolak apabila istana jatuhkan hukuman mati ke atasnya walaupun hanya fitnah sahaja. Bagi Tuah, kalau membantah fitnah, bererti derhaka. Pemikiran jumud Tuah ini adalah lambang kejumudan bangsa Melayu yang tidak tahu berfikir secara rasional pada zamannya. Sikap Tuah ini ada pada diri orang Melayu, tertanam jiwa hamba yang pekat, menghina diri, seperti Tuah yang tidak mahu derhaka.

Pemikiran cara dulu, kepentingan diri diketepikan demi menjaga nama, maruah dan keutuhan kerajaan Melaka. Kalau kita telaah karya epic, kita dapati etika sezaman (kurun ke-14 hingga ke-15) dan system feudal Melayu, tidak mengutamakan buruk baik yang objektif atau merujuk kepada hokum Allah. Jika benar Sultan Melaka selalu dapatkan nasihat ulama, Melaka tidak kacau-bilau dengan bermacam fitnah yang melanda. Watak Hang Tuah dibentuk oleh etika politik feudalisme. Walaupun dikatkan Melaka begitu gilang gemilang, tetapi etika watak yang dipamerkan dalam pensejarahannya tidak begitu. Hang Tuah, selain pahlawan, bijak berkeris, dia juga pandai ilmu sihir (dah tentu ditentang agama). Dia juga bersubahat melakukan tindakan yang tidak sejajar dengan Islam, jika benar islam itu agama anutan penduduk Melaka dan seisi istana. Gambaran dari tindak-tanduk penghuni istana, jelas mereka "menolak" Islam kerana feudalisme menyebabkan ia ada imuniti khas. Ada sarjana berpendapat untuk berlaku adil, jangan salahkan mereka, kerana masyarakat Melayu (abad ke-14) masih baru mengenal Islam. Para ulama masa itu menghadapi kesukaran hendak mendisiplinkan istana dan seisinya.

Lihat bagaimana hebatnya Beraim Bapa berusaha menyelamatkan dua adik perempuannya daripada dirogol oleh Sultan Ahmad. Berahim Bapa dibunuh oleh Sultan dengan memberi makanan beracun setelah gagal membunuhnya ketika di perahu. Sebelum makan racun dia sudah berwasiat agar mayatnya ditanam di Bukit Fululullah (?). Sultan Ahmad juga membunuh lelaki tampan Abdul Jalil kerana dapat menawan hati Puteri Gemerancang Majapahit. Kajian teks epic dan sejarah Melaka membuktikan betapa zalimnya Sultan Ahmad ini. Di mana letaknya ulama dan kegemilangan Islam itu? Dengar kisah Puteri Gemerancang Majapahit mati merana kerana kekasihnya Si Tampan Abdul Jalil dibunuh sultan. Akhirnya Majapahit melanggar Pasai. Sesudah itu baharulah Sultan Ahmad menangis menyesal. Penulis cerita menyebut pembesar istana berpantun: Lada siapa dibangsalkan, selama lada sekerati; pada siapa dikesalkan, tuan juga empunya pekerti. Apabila bercakap tentang wira, masyarakat moden tidak menganggap Tuah sebagai wira kerana dia terlalu patuh melulu kepada istana. Wira sebenar adalah Jebat kerana berani menentang istana, biarpun dianggap derhaka.Konsep derhaka perlu diluruskan dalam konteks budaya Melayu. Mungkin ia merendahkan martabat Melayu yang feudalistic. Semoga wacana ini ada yang akan menyambungnya lagi. [ Siti Aishah Murad, Konsep Wira dalam Sastera Melayu, Kuala Lumpur: DBP,1993]. []

Friday 3 June 2011

AMALAN SESAT PENGLIMUNAN VERSI MALAYSIA

KOREK KUBUR CURI KAFAN

[Masih ada orang sanggup melakukan kerja-kerja jahat seperti mengorek kubur semata-mata percayakan kepada kata-kata paranormal atau bomoh. Golongan yang percaya kata-kata bomoh ini tidak mengira lagi adakah logik dengan menggunakan kain kafan seperti kisah pertama ini boleh dijadikan media untuk membungkus penampakan? Maksudnya ketika orang itu membungkus tubuhnya dengan kain kafan terpakai itu, dia boleh bebas keluar masuk tanpa disedari oleh mangsa. Ini hanya teori paranormal dan dukun. Ikuti kisahnya].


 

Suatu hari seorang lelaki sembang-sembang di sebuah masjid di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Di antara yang disembangkan ialah tentang bagaimana hendak mencari kekayaan di tengah kemelut ekonomi sekarang. Di antara perkara yang difikirkan oleh lelaki itu ialah bagaimana hendak mendapatkan wang banyak daripada seorang lelaki yang berduit. Lelaki tersebut konon ada kontrek besar dengan syarikat lebuh raya, dapat persen daripada kutipan tol. Kedekut hendak membelanjakan wang, lelaki kaya itu kerap mengajak kawan-kawan pergi Genting Highland dengan maksud berjudi. Dia hanya sanggup belanja cara begitu. Ajak berjudi dan berhibur dengan wanita cantik. Itu sahaja yang dia sanggup. Beri duit jauh sekali. "Semua aku bayar, jangan bimbang," kata lelaki kaya. Pengikut lelaki kaya itu rasa cemburu dengan kekayaan yang melimpah ruah. Ada rumah tidak diduduki. Dia hanya jadikan rumah sebagai tempat simpan kereta mewahnya jenis sport. Disimpan dalam kawasan yang tertutup. Dalam bonet kereta mewah itu dia simpan wangnya entah berapa juta. Dengar cerita, dia tidak berani simpan dalam bank, takut harta yang diperoleh akan dihidu oleh pihak tertentu.

Sudahnya dia akan ditanya dari mana kamu dapat wang sebanyak itu? Tentu banyak fitnah. Kerja tak seberapa tetapi wang banyak. Dilema orang berduit. Bagi orang yang tak berduit seperti kawan si kaya itu, dia hanya terliur tengok duit yang banyak. Tiap hari dia jenguk kereta mewah untuk ambil wang. Lama kelamaan, kawan iri hati. Aku akan ambil duit kamu yang banyak itu secara misteri. Kalau ada bomoh pandai, aku akan gunakan tenaganya. Itu yang difikirkan oleh Imran lelaki yang jadi bodyguard kepada si kaya. Bodyguard si kaya yang mahu dikenali sebagai Nuar hanya mampu bercerita kepada kawan baik. Dia nak merancang apa pun tak berani. Kalau boleh secara misteri, buatlah secara misteri. Dia tanya sana-sini kalau ada bomoh handal. Akhirnya bertemulah dengan seorang pintar yang konon telah berguru di Jawa dengan ilmuan Sunan Kalijaga dan Wali Sembilannya. Bomoh kata, dia boleh bantu dengan syarat, bawakan kain kafan orang yang sudah dikuburkan. Kain kafan? Ya! Bukan main-main. Tok bomoh yang mendakwa pernah berguru di Jawa dan mengikuti perguruan wali itu akhirnya sanggup. Asalkan ada upahnya. Bukan kerja kosong. Asal jadi duit.

Mengikut cerita tokoh pintar itu, wang dalam kereta sport milik si kaya itu boleh diambil dengan cara mudah. Asalkan yang mengambilnya menggunakan kain kafan. Macam mana? Apa susah! Gali kubur orang mati yang baru ditanam. Mayat belum rosak. Ambil kain kafan yang membalut tubuh mayat. Gunakan kain itu untuk pakaian ketika kerja mencuri dilakukan.

Bolehkah? Memang ini teori kosong dari Tok Bomoh. Boleh atau tidak, belum diuji. Tetapi mengikut kata bomoh itu, sesiapa sahaja yang mengenakan kain kafan sebagai pakaian untuk melakukan kerja jahat, tidak dapat dilihat orang. Orang yang memakai kain kafan boleh masuk rumah orang tanpa dilihat oleh penghuni dalam rumah. Itu teori. Belum dipraktikkan lagi. Setelah mengadakan pertemuan demi pertemuan, akhirnya bomoh yang lulus perguruan Wali Songo dari Cirebon itu sanggup gali kubur. Atas bantuan seorang penduduk, dia dimaklumkan ada mayat baru ditanam di sebuah perkuburan.

Si mati adalah seorang wanita tua, mati kerana sakit tua. Dan, tanpa rasa takut melakukan dosa gali kubur, bomoh memulakan operasinya. Dia tidak rasa takut sebab pintu utama kubur sudah dijaga oleh dua orang penjaga berbayar. Dia gali kubur secara curi-curi. Semua jadi duit. Bukan sedikit. Dan dia tidak peduli bau mayat. Bau yang tidak enak, tetapi terpaksa dihidu juga demi kerja kosong. Gali kubur dapat duit siapa yang mahu? Dua lelaki sahabat baiknya disuruh memantau kawasan. Jangan sampai kerja jahatnya ketahuan.

Dua lelaki sentiasa mengawasi sebarang pergerakan di kawasan kubur. Mujur kuburan itu tiada penjaga. Mudahlah tugasnya. Malam itu bomoh dapat menggali kubur dan mengambil kain kafan mayat wanita tua. Dasar mata duitan. Tak peduli halal haram. Dia kira duit sahaja. Bomoh dapat keluarkan kain kafan. Tak kira bau apa pun. Kain kafan itu dia lipat. Biarkan mayat ditanam semula dalam keadaan telanjang. Kesian sungguh si mayat.

Malam itu tugasannya selesai. Kain kafan disorokkan. Dia letak dalam kereta. Tak ada siapa sangka itu kain kafan. Orang ingat itu kain putih biasa. Tetapi ada bau wangi-wangian. Dia tetap melakukan kerja gila itu untuk memenuhi hajat seseorang. Dia hanya perantara untuk memenuhi hajat orang lain. Kalau orang itu mahu elok diteruskan, tetapi jika orang itu berpatah arah, kain kafan itu terpaksa dia simpan sebagai khazanah. Khazanah yang akan menghantui perjalanan hidupnya sepanjang hayat.

Bukan senang bawa kain kafan begitu. Takut pun ada. Maklum pencuri kain kafan di zaman moden. Entah apa akan berlaku dia pun tak tahu. Teori tetap teori. Sejauh mana kesannya dia pun belum cuba. Orang kata, kain kafan boleh dijadikan tangkal untuk menghilang. Siapa pakai kain kafan dia akan jadi orang halimunan. Boleh terjah rumah siapa pun tanpa disedari oleh penghuni rumah. Ini konon sebuah ilmu yang dipelajari di Jawa sana.

Bomoh hebat tak berani bawa masuk kain kafan dalam rumah.Diam-diam dia rendam dengan air sabun. Dia mahu hilangkan bau-bauan yang tidak enak. Bau yang menyebabkan dia rasa bersalah setiap detik. Maklum pencuri kain kafan. Kalau boleh, biarlah anak dan isteri tak tahu kisah dia korek kubur untuk dapatkan kain kafan. Tugasan itu sudah berbayar. Dia dapat duit. Dua petugas yang memantau kubur pun dapat duit. Tetapi dia dapat paling banyak kerana dia yang ambil kain kafan dalam liang lahad. Kerja gila. Tak pernah dibuat dek orang. Tetapi dia sudah sanggup. Adakah tercapai cita-citanya? Dapat dilaksanakan? Setelah dapat kain kafan, bomoh menunggu orang yang bercita-cita inginkan wang banyak. Orang dari Kuantan itu bukan main lantang cakap.

Sanggup buat apa sahaja. Tetapi apabila kain kafan sudah ada di tangan bomoh, batang hidung pun tak nampak. "Aku tak jamin. Dia berani cakap, dia kena bertanggungjawab. Aku dapat korek kubur. Dah dapat kain kafan. Sekarang dia pula menghilang," kata bomoh dalam keadaan gusar.

Yalah! Dulu bukan main temberang. Sanggup segala-galanya. Kini, setelah usaha bomoh dapatkan syarat dipenuhi, dia pula menghilang. Mana Yakib? Dulu kata boleh semuanya. Sekarang senyap! Bodyguard yang telah mengeluarkan wang untuk upah korek kubur dan bayar upah dua pemantau rasa tertipu. Sebagai bodyguard, dia tak berani meneruskan niat curi duit majikannya dengan cara misteri.

"Aku tak sanggup nak teruskan," kata bodyguard kepada Tok Bomoh.

"Jadi? Projek kita batalkan atau nak teruskan?"

"Terpulang!" kata Tok Bomoh.

"Kalau tak teruskan macam mana?"

"Boleh! Tapi aku tak bertanggung jawab," ujar Tok Bomoh.

"Kenapa?"

"Takut nanti Yakib jadi gila."

"Macam tu sekali?"

"Ya, benda ini tak boleh main-main. Badi akan terkena pada orang yang merancang.Aku hanya menjalankan tugas. Aku tahu macam mana nak elakkan badi."

Kain kafan sudah dapat, tetapi kerja gila itu tidak dapat diteruskan. Yakib dari Kuantan tidak muncul-muncul. Cakap sahaja besar. Dah ada kain kafan, dah korek kubur dan keluar duit, dia menghilang. Bomoh terpaksa hantar perisik ke masjid Jamek Bandaraya, tinjau-tinjau tempat budak lepak. Mana tahu Yakib ada di situ. Tak ada. Tanya orang pun tak guna. Tak siapa kenal dengan Yakib. Kain kafan tersimpan begitu sahaja. Bomoh terpaksa simpan kain kafan di rumah kawan. Simpan dalam bekas yang tersorok. Anehnya, kawan yang diharap itu mengalami hal yang pelik-pelik. Ada orang lalu depan mata pun dia tak nampak. Dia tak tahu kenapa. Bukan rabun. Tetapi, ini mungkin angkara memiliki kain kafan. Mungkin dengan sebab inilah paranormal anggap, sesiapa yang memakai kain kafan seseorang itu akan terlindung dari penglihatan mata kasar orang lain. Itu sebab kain kafan dicari-cari orang. Kawan itu tidak tahu tentang program hendak mencuri duit jutaan dalam kereta mewah yang terletak di pinggir ibu kota. Tak cerita langsung. Bomoh hanya kata hendak simpan kain putih. Itu sahaja. Kalau dia cakap itu kain kafan, tentu kawan itu tak mahu simpan dalam rumah.

Dipendekkan cerita. Ketika bomoh sibuk mencari Yakib lelaki berumur dari Kuantan, Yakib sebenarnya berada di Kuala Lumpur. Jalan mundar-mandir macam orang gila. Penat jalan dia akan duduk di kaki lima kedai. Terlalu penat dia sanggup tidur di situ. Apa sudah jadi dengan Yakib? Gilakah? Tak pasti. Mungkin ini yang dikatakan badi kerana curi kain kafan. Kata bomoh, kalau tidak diteruskan, salah seorang akan jadi gila. Kesan dari gila itu akan berlaku lagi peristiwa yang tidak perlu diberitahu.Mungkin lantaran perasaan bersalah itu, Yakib tidak jenguk masjid lagi. Inilah bahananya buat kerja mengarut. Kerja tidak tahu. Hanya fikir hendak duit banyak secara cepat. Orang sekarang sibuk dengan e-commerce hendak kaya cepat. Semua nak jadi jutawan. Modal seribu pun hendak jadi jutawan juga. Hendak berlagak dengan kereta mewah. Hakikatnya, orang kaya tidak tunjuk kereta mewah. Banyak orang berada yang naik bas turun bas. Kereta mewah hanya symbol yang diangan-angankan oleh orang miskin. Semua mahu jadi kaya. Jadi jutawan. Marilah sertailah program jutawan. Bomoh dan Nuar pun mahu sertai program jutawan. Tetapi program mereka dengan cara misteri. Gunakan kain kafan sebagai pakaian untuk mencuri duit yang tersimpan dalam bonet kereta. Kini, semua angan-angan jadi musnah.Yakib sudah menghilang. Dia tak mahu campur tangan. Tak tahu apa pun. Kain kafan sudah dicuri. Mahu pulangkankah?

Tidak sekali-kali. Mungkin ada kegunaan lain di masa depan. Bomoh rasa dipermainkan oleh Yakib orang Kuantan. Mujur kes dia gali kubur tidak diketahui orang. Harap-harap cerita ini dirahsiakan. Tetapi inilah kisah benar yang berlaku di sekitar Masjid India, KualaLumpur. Rancangan korek kubur itu di Kuala Lumpur, tempat orang yang pandai gunakan akal yang waras. Menurut cerita bomoh yang belajar di perguruan Wali Songo, sesiapa yang hendak melakukan kejahatan, terutama menceroboh rumah seseorang, dia boleh gunakan kain kafan sebagai pendinding. "Pakai kain kafan itu macam orang pakai selimut. Paling sesuai pada waktu malam. Cerobohlah rumah siapa pun, ketika orang tengok TV pun boleh. Penghuni rumah tak akan nampak," ujar bomoh. Buktinya? Memang tak ada bukti. Ini teori dalam perguruan. Tak ada orang hendak memulakan kajian misteri kain kafan. Sarjana budaya pun tidak minat mengkaji salah satu aspek ilmu kebatinan yang misteri ini. Sembang kedai kopi bolehlah. Kata bomoh, di Jawa macam-macam ilmu karut boleh dipelajari. Yang hitam atau putih. Hitam dikata puth pun ada. Hingga bomoh susuk beri jaminan susuk itu halal. Inilah yang mengeliru-kan umat. Kenapa perlu gunakan kain kafan? Kata bomoh, dengan memakai kain kafan seperti pakaian umrah ketika melakukan tindak kejahatan, seseorang itu akan terlindung. Pelaku akan jadi orang halimunan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Konon, kain kafan adalah milik penghuni kubur. Alam kubur adalah alam ghaib. Kisah alam kubur hanya diceritakan melalui nas-nas yang sahih.Tidak siapa tahu.

Seksa kubur pun orang tahu. Tetapi persoalan dalam alam kubur banyak orang tak ambil tahu. Takut! Orang yang memakai kain kafan kata bomoh itu seolah-olah berada di alam lain. Itu sebabnya ketika dia menyelongkar rumah untuk ambil barang berharga, tak siapa boleh nampak. Pelaku telah menjadi syaitan terkutuk. Buat kerja jahat yang tidak diketahui manusia. Itulah teori pengamal ilmu hitam. Konon hendak curi duit berjuta dalam bonet kereta mewah.Mungkin kelebihan kain kafan, menyebabkan program jahat tergendala. Pemilik jadi was-was. Yakib sudah melilau tidak tentu hala. Dengar cerita, itu semua gara-gara bomoh telah melontarkan badi ke arah Yakib kerana tidak menepati janji. Bodyguard yang bercita-cita hendak mengaut duit dalam bonet kereta juga sudah tawar hati. Projek mencuri sudah tergendala. Tangkal daripada kain kafan sudah ada, tetapi siapa yang hendak melakukan kerja mencuri?

"Dah tak ada orang yang sanggup, aku boleh lakukan," kata bomoh. Dollah kawan baik bodyguard Nuar turut ambil peduli dengan projek jutaan itu. Dia pun minat hendak duit terpijak kalau projek itu mendatangkan duit. Cuma, sehingga cerita ini ditulis, projek tinggal angan-angan. Kain kafan masih tersimpan di tempat rahsia. Semua adalam simpanan bomoh. Sebagai orang pintar, dia tahu bagaimana hendak mengkaliskan badi kain kafan. Calang-calang orang, tentu dah merapu tak tentu hala kerana buat kerja gila. Sudah tentu dia guna bantuan jin juga. Kain kafan perempuan tua tersimpan dalam pasu kecil. Dibungkus dengan kain hitam. Diikat pula dengan kain kuning. Pasu itu kelihatan penuh mistik sehingga tak ada siapa berani mengusik. Ini jadi pengajaran kepada sesiapa yang hendak melakukan ilmu hitam karut. Jangan cepat bertindak. Jangan cakap besar mengatakan boleh buat itu dan ini. Bomoh hanya jalankan ikhtiar yang dikehendaki pelanggan.Dengar cerita, Yakib telah terkena badi kain kafan. Dia mundar-mandir di ibu kota. Tak siapa tahu kenapa dia jadi begitu. Semua misteri. Selagi Yakib tak buka cerita, tak siapa tahu semua ini gara-gara curi kain kafan mayat perempuan tua. Sebenarnya, tak guna kain kafan pun seeorang boleh melakukan kejahatan. Ada orang guna pukau. Ini juga ilmu karut yang orang suka belajar.

Mereka sebut ilmu sirep, ilmu yang boleh menidurkan orang. Setelah semua orang dipukau, mereka akan menjarah segala apa yang hendak dijarah. Berapa banyak perkara salah yang telah diceroboh oleh pengamal ilmu karut ini. Bermula jumpa bomoh, mempercayai kata-kata bomoh, menyertai kumpulan korek kubur, mempercayai kelebihan kain dan sudah tentu ada bacaan mantera ketika hendak melakukan kejahatan. Konon boleh jadi senang dengan cara itu. Ilmu mengarut pukau, ilmu sirep, semuanya adik beradik kepada ilmu kain kafan juga.Tujuan hendak memukau penghuni rumah. Buat apa sahaja dalam rumah tidak diapa-apakan. Apabila semua sudah selesai baharulah orang sedar rumah telah digelidah. Sehingga kisah ini ditulis, kain kafan masih tersimpan rapi dalam pasu di rumah kawan. Tok Bomoh terpaksa ambil kain itu supaya rahsia tidak terbongkar. Cuma dia kena simpan di tempat lain. Entah bila kain kafan itu dia hendak gunakan. Tunggulah sehingga ada orang yang berkenan. [ ]

 

PASARAN BENDA-BENDA MISTIK

Pasar Benda-benda Mistik


 

Laporan Andong Misnon


 

Benda-benda mistik semakin bercambah di pasaran, entah pasaran gelap atau terang-terangan. Belum lagi di pasaran para dukun dan bomoh atau paranormal yang latar belakang mereka berbagai. Orang-orang yang menggemari benda mistik pun ada berbagai lapisan. Ada yang jadikan benda-benda mistik itu sebagai koleksi peribadi. Asalkan pelik sedikit, benda itu dibeli dan disimpan. Selalunya benda itu ada kaitan dengan kepercayaan atau yang orang sebut sebagai kelebihan memiliki benda ini. Umumnya, khurafat benda mistik ini dikaitkan dengan istilah yang biasa: Untuk keberuntungan diri, untuk kewibawaan, meningkatkan karisma peribadi, untuk penangkal segala macam kejahatan di sekeliling kita, untuk pengasih, bekal untuk berniaga, bekal untuk perjalanan jauh, digeruni kawan dan lawan, tutur kata dan penampilannya lebih di banding orang lain. Inilah kepercayaan yang menjurus kepada khurafat dan syirik. Asal-usul timbulnya kemistikannya ini masih misteri. Ia mungkin ada kaitan dengan kepercayaan dan keyakinan nenek moyang kita di zaman silam. Ada kaitan dengan kepercayaan kepada semangat. Setiap benda ada semangatnya. Jadi, setiap benda juga ada kemistikannya. Benda-benda mistik asalnya adalah objek-objek kutipan yang tidak berharga. Setelah dikutip dan dihimpunkan, ia akan menjadi benda berharga apabila benda-benda itu diberikan label. Seketul batu biasa, akan naik tarafnya kalau dikatakan ia adalah batu jin, batu puteri, batu gua, batu makam keramat, batu pualam, batu mimpi dan sebagainya. Sekerat buluh tidak menjadi apa-apa kalau tidak diberikan label menarik. Ia akan naik tarafnya kalau dinamakan buluh tumpat, buluh bertemu ruas, buluh perindu, buluh gunung, buluh gua, buluh kuning atau apa sahaja nama. Ada yang menggunakan nama gunung untuk menaikkan mistik seruas buluh. Misalnya buluh Gunung Ledang, buluh Gunung Jerai, buluh Gunung Salak, buluh Gunung Talang, buluh Gunung Sinabung,buluh Gunung Slamet dan Buluh Gunung Kelud.

BENDA-BENDA MISTIK:

Seterusnya, kita lihat bagaimana corak mistik benda-benda ini dikategorikan. Benda-benda mistik ini bolehlah dibahagikan kepada beberapa jenis yang terkenal. Contohnya:

  • Mistik batu
  • Mistik keantikan
  • Mistik senjata lama
  • Mistik duit
  • Mistik bahan tenunan
  • Mistik dari haiwan liar
  • Mistik dari haiwan melata
  • Mistik burung
  • Mistik dari lautan
  • Minyak dari cairan
  • Mistik dari tumbuh-tumbuhan
  • Mistik pergunungan dan sekitarnya
  • Mistik keilmuan (ilmu hikmah)

Banyak lagi kepercayaan mistik yang tidak disenaraikan dalam kelompok tersebut, contohnya mistik mayat.

Mistik Batu

Batu merah delima (seperti yang telah dipaparkan dalam bab yang lalu); batu zamrud; batu safir; batu mistik buatan (untuk pendinding, pelaris, pengasih); batu dalam buah dan mistik batu-batu Kristal untuk perubatan alternatif. Batu Gua Qaf sejenis batu mistik yang mempunyai khadam, dikatakan untuk kerezekian, pengasihan dan pendinding diri dari santau, santet dan sebagainya.

Mistik Keantikan

Apa sahaja benda atau barang-barang antik baik yang disimpan lama atau hasil dari carigali benda-benda antik pihak tertentu yang dianggap bernilai mistik. Di dalam kumpulan keantikan ini termasuklah benda-benda lain dari hasil penemuan dan jumpaan carigali termasuk benda-benda purba, pecahan seramik, duit-duit dari logam dan sebagai-nya.

Mistik Senjata Lama

Senjata lama yang dikaitkan dengan tokoh epic atau legenda seperti keris cemeti usul. Tidak semestinya keris sahaja, pendek kata asalkan ia sejenis senjata lama yang diperbuat daripada logam atau bukan logam. Keris tarik, sejenis keris yang boleh berdiri dikatakan mempunyai lebih dari seribu khadam dampingan untuk menggambarkan nilai mistiknya (RM80,000 harga pasaran).

Mistik Duit

Paling banyak berkait dengan mistik duit Sukarno bernilai Rp10,000, versi warna emas, warna merah; duit Sukarno Rp 1,000; duit Sukarno Rp5,000; duit Mekah; duit Ten Dollars, kerbau bajak sawah $10.00; duit kertas RM10 dan RM1 dengan ciri tertentu. Penulis pernah memiliki duit kertas RM1 bercap Cik Siti Wan Kembang depan belakang, tulisan Jawi (diberi kepada seorang ditektif dalaman pasaraya NSK, Selayang, tahun 2006). Duit diperoleh di Gunung Tebu dari seorang spiritualis yang diundang oleh lelaki berjubah untuk menyendiri di dalam perigi buta. Dia beritahu, duit RM1 yang sudah siap bercap itu diperoleh pada menjelang subuh. Duit itu dibahagi-bahagikan kepada orang ramai di Pasar Khadijah. Banyak mana duit yang dia dapat? Sekarung kain pelikat dan dipijak-pijak lagi hingga sendat dan diikat rapi.

Mistik Bahan Tenunan

Kain cindai, sabuk, pengikat pinggang, blangkon Pak Dalang, cindai puteri, cindai puntianak, sabuk Kalijaga, sejadah putih, sejadah hitam. Ada mistik kain kafan; mistik cebisan kain kafan; ikat kain kafan dan sebagainya (mistik kuburan). Ada yang digunakan untuk tujuan jahat. Cindai puntianak (dinamakan kundu sumai) digunakan untuk menjadi penyamun besar peringkat antarabangsa. Cindai dari Palembang umpamanya telah dibawa ke Taiwan dan Hong Kong, ada yang sampai ke Amerika untuk tujuan kejahatan.

Mistik dari Haiwan Liar

Kulit harimau belang, gigi harimau, misai harimau, taring harimau, kuku harimau, organ kemaluan harimau jantan, semua yang diambil dari harimau mati beragan, gading gajah, mani gajah, kulit gajah mati beragan. Dari Muawiyah r.a. dia berkata, "Rasulullah S.A.W. melarang ratapan, gambar, kulit binatang buas, pamer aurat, nyanyian, emas, tenunan dari sutera dan kain sutera." (HR. Ahmad, disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahirul Jami', 6/59). Pecahan dari mistik ini ialah mistik harimau putih, harimau siluman, harimau jadi-jadian, ilmu harimau akuan. Mistik rantai babi, mistik cemara babi juga dikenali masyarakat yang masih berpegang kepada animisme.

Mistik dari Haiwan Melata

Berbagai jenis geliga (batu mistik), ada geliga ular, geliga ular mata dewa, geliga ular seri bulan, geliga lipan, geliga lipan bara, geliga kala jengking, geliga lelabah gergasi, dan (mustika)batu kepompong. Geliga lipan di pasaran internet mencecah RM10 juta kerana ia mempunyai khadam dan cara penjagaannya yang perlukan ritual tertentu.

Mistik Burung

Hati burung gagak untuk tarik duit (kisah khurafatnya, konon ia dijadikan satey dan dijual kepada makhluk halus); burung merpati untuk perubatan; bulu cenderawasih; burung cenderawasih (asal dari kayangan, maksudnya puncak yang tinggi, ada khasiatnya). Cenderawasih dari Irian Jaya banyak yang diperdagangkan.

Mistik dari Lautan

Hidupan laut dari jenis karang-karangan; geliga siput laut; ikan duyung, tulang duyung (organ ikan -jenis dugong- ini dimistikkan); kuda laut; belangkas mati beragan; mutiara dari tiram.

Mistik dari Cairan

Mistik ini ada kaitan dengan jenis mistik lain, daripada gajah, ada mani gajah; minyak pengasih mani gajah; minyak pengasih air mata duyung; minyak pengasih buluh perindu; pengasih buluh perindu bunian; minyak pengasih buluh perindu Jerai; minyak pengasih buluh perindu Ledang; minyak pengasih kijang putih; minyak pengasih tupai mati beragan; minyak kokang mati beragan; minyak dagu; minyak senyonyong; minyak cenuai; minyak penunduk puteri cahaya bulan; minyak pengasih rembulan kuning; minyak delima merah. Minyak harimau putih pula menurut sumber adalah minyak mistik yang bernuansa penggerun, melahirkan penampakan harimau putih di sisi pemiliknya; yang amalkan akan bertenaga seperti harimau, boleh bersilat dan melawan seperti kekuatan harimau. Mempunyai khadam. Ada pantangnya yang perlu diketahui.

Mistik dari Tumbuh-tumbuhan

Teras kayu; buluh tumpat; buluh bertemu ruas; kayu tas; kayu koka(kaukah); batu serai berbunga; delima buah; batu delima dalam buah; sirih hitam; sirih bertemu urat; teras nibung tunggal; teras kayu gemunggal. Daripada sumber kayu melahirkan mistik kayu bertam; mistik raja kayu; kayu tas; kemuning hitam; mistik kayu gaharu.

Mistik dari Pergunungan dan Sekitarnya

Mistik dari gunung ini menggambarkan perolehan sumber dari gunung tertentu. Umpamanya batu, kemenyan, keris, selendang, sejadah, minyak pengasih, cincin yang diperoleh dari Gunung Jerai, Gunung Ledang, Gunung Kawi, Gunung Slamet dan sebagainya. Mistik dari ilmuan (ilmu hikmah) akan dibicarakan di dalam bab khas. Paparan ini hanya sekadar contoh bagaimana mistik benda-benda ini sudah merebak dan melebar kepada berbagai kategori. Pemilik benda-benda mistik mempunyai kepercayaan dan keyakinan tertentu yang sukar hendak diganggu-gugat. Di kalangan orang awam, benda-benda mistik boleh dilihat di mana-mana jika ada pesta-pesta, pasar malam atau para penjaja ubat di kaki lima. Jika ada orang bersila di depannya terbentang kain merah, kain hitam dan sebagainya, jenguk-jenguklah. Lihatlah pasar karat di Lorong Kulit, Pulau Pinang, pasar karat di Ipoh dan pasar karat di Petaling Street, Kuala Lumpur. Pasti ada sahaja benda-benda mistik yang dipamerkan. Mistik atau tidak bukanlah persoalan, kerana ia dianggap salah satu punca merebaknya kepercayaan kepada benda-benda mistik. Maklumat benda mistik juga diperoleh daripada para peniaga kaki lima ini. Wallahu a'lam. []


 


 

Wednesday 1 June 2011

KITAB TAJUL MULUK BERBAU MISTIK?

KITAB TUA BERPUAKA?

Catatan Andong Misnon


 

Sebut nama Kitab Tajul Muluk, atau Taj-ul-Muluk (Singapore: Sulaiman Mar'I Publishing Hpuse, n.d.) kebanyakan orang Melayu tahu. Ada yang pernah membaca sambil lalu, ada yang memiliki dan berpegang kepadanya, dan ada yang sekadar nak tengok-tengok sahaja. Kitab Tajul Muluk ini bertulisan Jawi. Sesiapa yang pandai baca Jawi dia boleh menguasai isinya. Kitab ini isinya pernah dibahas oleh pengkaji yang buat kajian tentang dunia perubatan Melayu.

Pada masa silam, kitab ini menjadi pegangan bagi orang yang mengamalkan kaedah perubatan Melayu, kerana pada masa itu mereka tidak tahu menyebut Ruqyah Syar'iyyah seperti sekarang. Pada pengamatan penulis, ketika tahun 70-an hingga 80-an, banyaklah peniaga ubat dari kalangan orang-orang Melayu yang buka gelanggang di celah-celah Kuala Lumpur. Di Keramat Supermarket (dekat Masjid Pakistan), di Lorong Haji Taib, di Jalan Haji Husein, Jalan Masjid India, Bus Stand Klang, di bandar Klang, di Temerloh setiap hujung minggu, di Kuantan kawasan pasar pagi, di Mersing, di Johor Bharu, di Melaka, di Jalan Pintal Tali (kemudian pindah ke Lorong Kulit), di Kuala Terengganu, Alor Star dekat Pekan Rabu, dan banyak lagi tempat yang penulis tak catatkan.

Ketika itu, baik yang jual minyak lintah, jual makjun, jual teras bermacam teras, minyak angin, minyak panas, termasuk yang jual akar tongkat ali, akar ginseng, pil segala macam pil termasuk yang bungkus sendiri di rumah atau di bilik hotel, semuanya ada membawa kitab Tajul Muluk ini. Kitab kuning, bertulisan Jawi. Hendak kata kitab agama pun bukan. Akan tetapi kebanyakan orang Melayu cukup fanatic dengan kitab ini, ia seolah-olah kitab pegangan yang "wajib", sedangkan isinya banyak yang tidak faham. Huruf Arab putus-putus dijadikan tangkal, gantung atas pintu, kemudian yang paling biasa adalah minyak urutan untuk zakar. Setiap ada orang jual minyak untuk urutan burung lelaki, semuanya bawa kitab Tajul Muluk. Yang tak reti baca Jawi pun ikut sama. Masa tu ada yang pakai stail Dayak, ada yang pakai stail Kejawen dengan blangkonnya, ada yang bergaya Bajau, Samarinda dan macam-macam. Pendeknya, apa pun minyak yang dibawa, sebagai bahan hiasan untuk "show" kitab Tajul Muluk diletakkan di depannya. Sampai kena minyak, hitam-hitam, ada yang koyak rabak. Seolah-olah pemiliknya telah mentelaah kitab itu sampai "ludes" – ilmunya sudah digrogoti habis.

Dek kerana hebatnya pengaruh kitab Tajul Muluk ini, sahabat penulis ada berniaga menjual kitab-kitab Jawi seumpama ini di Jalan Masjid India. Banyak kajian menunjukkan sumber ilmu yang dipaparkan di dalam Tajul Muluk tidak tahu dari mana asal-usulnya. Mantera dan kaedah yang dipaparkan menyerupai kaedah buku-buku Mujarobat terbitan Jakarta atau Bandung. Akan tetapi masyarakat Melayu yang kurang celik, amat taksub dengan kitab ini. Ia dianggap kitab yang setanding dengan kitab-kitab klasik lain.

Baru-baru ini sahabat penulis memberitahu kitab tersebut berpuaka. Sahabat penulis ini adalah penerbit yang banyak menerbitkan buku-buku tulisan Dharmana N.S termasuk buku siri TOK AWANG NGAH dengan Penerbitan Ibunda, sebelum itu dengan penerbitan Mulya Utama Taman Seri Gombak, Selangor.

Apa yang mengejutkan kata sahabat ini, ada penerbit Melayu yang hendak terbitkan kitab Tajul Muluk versi rumi. Kalau tulisan Jawi tidak ramai yang boleh baca, kecuali budak-budak yang mengaji agama kitab Arab. Jadi, usaha murni sahabat dari sebuah penerbitan ini ialah mengubah daripada jawi kepada tulisan rumi. Bermakna hanya menukar bentuk sahaja. Konon, kerana buku Tajul Muluk ini berpuaka, setelah siap manuskrip, dah siap lay-out, dah design front page cover semua, tiba-tiba penerbit yang ghairah itu telah diserang oleh seseorang. Menurut cerita bakal penerbit buku kitab Tajul Muluk versi rumi ini telah ditetak oleh kumpulan samseng pada suatu malam. Setelah kena tetak, dan cedera parah hingga membawa maut, kumpulan itu rupa-rupanya dah salah orang. Tak fasal-fasal yang nak terbitkan buku Tajul Muluk versi rumi telah meninggal dunia. Maka, cita-citanya hendak terbitkan versi rumi Tajul Muluk tidak kesampaian. Tidak tahulah, apakah warisnya hendak meneruskan penerbitan kitab puaka ini atau tidak.

Bagi penulis, kisah ini hanya kebetulan. Lelaki yang menjadi pengurus penerbitan ini kena tetak akibat salah orang. Mereka sangka dialah orang yang dicari, kerana badannya tegap dan berkulit gelap. Kasihan sungguh. Lantaran kisah inilah sahabat penulis terang-terang beritahu, "Jangan siapa-siapa nak rumikan kitab Tajul Muluk. Ia macam ada puaka. Siapa yang berani lakukan perubahan walau hanya merumikan pun, orang itu akan terkena badi. Pemikiran purba dan kemistikan yang dipaparkan di dalam kitab tua ini telah menjadi momok yang menggerunkan peminatnya.

Penulis harap, ada cerdik pandai kita membedah siasat kandungan Tajul Muluk, untuk membuka ruang pemikiran sekaligus mendobrak kepercayaan lama yang sudah bersarang di dalam minda sebahagian besar kaum Melayu. Sukar bagi yang hanya gemar membaca Tajul Muluk, dan kemudian mandakwa orang lain yang tidak membacanya sebagai tidak berilmu atau kurang ilmu. Justeru kewajaran ini perlu diperbaiki. Wassalam. Sumber kisah dari penerbit Ibunda Kuala Lumpur. []