KOREK KUBUR CURI KAFAN
[Masih ada orang sanggup melakukan kerja-kerja jahat seperti mengorek kubur semata-mata percayakan kepada kata-kata paranormal atau bomoh. Golongan yang percaya kata-kata bomoh ini tidak mengira lagi adakah logik dengan menggunakan kain kafan seperti kisah pertama ini boleh dijadikan media untuk membungkus penampakan? Maksudnya ketika orang itu membungkus tubuhnya dengan kain kafan terpakai itu, dia boleh bebas keluar masuk tanpa disedari oleh mangsa. Ini hanya teori paranormal dan dukun. Ikuti kisahnya].
Suatu hari seorang lelaki sembang-sembang di sebuah masjid di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Di antara yang disembangkan ialah tentang bagaimana hendak mencari kekayaan di tengah kemelut ekonomi sekarang. Di antara perkara yang difikirkan oleh lelaki itu ialah bagaimana hendak mendapatkan wang banyak daripada seorang lelaki yang berduit. Lelaki tersebut konon ada kontrek besar dengan syarikat lebuh raya, dapat persen daripada kutipan tol. Kedekut hendak membelanjakan wang, lelaki kaya itu kerap mengajak kawan-kawan pergi Genting Highland dengan maksud berjudi. Dia hanya sanggup belanja cara begitu. Ajak berjudi dan berhibur dengan wanita cantik. Itu sahaja yang dia sanggup. Beri duit jauh sekali. "Semua aku bayar, jangan bimbang," kata lelaki kaya. Pengikut lelaki kaya itu rasa cemburu dengan kekayaan yang melimpah ruah. Ada rumah tidak diduduki. Dia hanya jadikan rumah sebagai tempat simpan kereta mewahnya jenis sport. Disimpan dalam kawasan yang tertutup. Dalam bonet kereta mewah itu dia simpan wangnya entah berapa juta. Dengar cerita, dia tidak berani simpan dalam bank, takut harta yang diperoleh akan dihidu oleh pihak tertentu.
Sudahnya dia akan ditanya dari mana kamu dapat wang sebanyak itu? Tentu banyak fitnah. Kerja tak seberapa tetapi wang banyak. Dilema orang berduit. Bagi orang yang tak berduit seperti kawan si kaya itu, dia hanya terliur tengok duit yang banyak. Tiap hari dia jenguk kereta mewah untuk ambil wang. Lama kelamaan, kawan iri hati. Aku akan ambil duit kamu yang banyak itu secara misteri. Kalau ada bomoh pandai, aku akan gunakan tenaganya. Itu yang difikirkan oleh Imran lelaki yang jadi bodyguard kepada si kaya. Bodyguard si kaya yang mahu dikenali sebagai Nuar hanya mampu bercerita kepada kawan baik. Dia nak merancang apa pun tak berani. Kalau boleh secara misteri, buatlah secara misteri. Dia tanya sana-sini kalau ada bomoh handal. Akhirnya bertemulah dengan seorang pintar yang konon telah berguru di Jawa dengan ilmuan Sunan Kalijaga dan Wali Sembilannya. Bomoh kata, dia boleh bantu dengan syarat, bawakan kain kafan orang yang sudah dikuburkan. Kain kafan? Ya! Bukan main-main. Tok bomoh yang mendakwa pernah berguru di Jawa dan mengikuti perguruan wali itu akhirnya sanggup. Asalkan ada upahnya. Bukan kerja kosong. Asal jadi duit.
Mengikut cerita tokoh pintar itu, wang dalam kereta sport milik si kaya itu boleh diambil dengan cara mudah. Asalkan yang mengambilnya menggunakan kain kafan. Macam mana? Apa susah! Gali kubur orang mati yang baru ditanam. Mayat belum rosak. Ambil kain kafan yang membalut tubuh mayat. Gunakan kain itu untuk pakaian ketika kerja mencuri dilakukan.
Bolehkah? Memang ini teori kosong dari Tok Bomoh. Boleh atau tidak, belum diuji. Tetapi mengikut kata bomoh itu, sesiapa sahaja yang mengenakan kain kafan sebagai pakaian untuk melakukan kerja jahat, tidak dapat dilihat orang. Orang yang memakai kain kafan boleh masuk rumah orang tanpa dilihat oleh penghuni dalam rumah. Itu teori. Belum dipraktikkan lagi. Setelah mengadakan pertemuan demi pertemuan, akhirnya bomoh yang lulus perguruan Wali Songo dari Cirebon itu sanggup gali kubur. Atas bantuan seorang penduduk, dia dimaklumkan ada mayat baru ditanam di sebuah perkuburan.
Si mati adalah seorang wanita tua, mati kerana sakit tua. Dan, tanpa rasa takut melakukan dosa gali kubur, bomoh memulakan operasinya. Dia tidak rasa takut sebab pintu utama kubur sudah dijaga oleh dua orang penjaga berbayar. Dia gali kubur secara curi-curi. Semua jadi duit. Bukan sedikit. Dan dia tidak peduli bau mayat. Bau yang tidak enak, tetapi terpaksa dihidu juga demi kerja kosong. Gali kubur dapat duit siapa yang mahu? Dua lelaki sahabat baiknya disuruh memantau kawasan. Jangan sampai kerja jahatnya ketahuan.
Dua lelaki sentiasa mengawasi sebarang pergerakan di kawasan kubur. Mujur kuburan itu tiada penjaga. Mudahlah tugasnya. Malam itu bomoh dapat menggali kubur dan mengambil kain kafan mayat wanita tua. Dasar mata duitan. Tak peduli halal haram. Dia kira duit sahaja. Bomoh dapat keluarkan kain kafan. Tak kira bau apa pun. Kain kafan itu dia lipat. Biarkan mayat ditanam semula dalam keadaan telanjang. Kesian sungguh si mayat.
Malam itu tugasannya selesai. Kain kafan disorokkan. Dia letak dalam kereta. Tak ada siapa sangka itu kain kafan. Orang ingat itu kain putih biasa. Tetapi ada bau wangi-wangian. Dia tetap melakukan kerja gila itu untuk memenuhi hajat seseorang. Dia hanya perantara untuk memenuhi hajat orang lain. Kalau orang itu mahu elok diteruskan, tetapi jika orang itu berpatah arah, kain kafan itu terpaksa dia simpan sebagai khazanah. Khazanah yang akan menghantui perjalanan hidupnya sepanjang hayat.
Bukan senang bawa kain kafan begitu. Takut pun ada. Maklum pencuri kain kafan di zaman moden. Entah apa akan berlaku dia pun tak tahu. Teori tetap teori. Sejauh mana kesannya dia pun belum cuba. Orang kata, kain kafan boleh dijadikan tangkal untuk menghilang. Siapa pakai kain kafan dia akan jadi orang halimunan. Boleh terjah rumah siapa pun tanpa disedari oleh penghuni rumah. Ini konon sebuah ilmu yang dipelajari di Jawa sana.
Bomoh hebat tak berani bawa masuk kain kafan dalam rumah.Diam-diam dia rendam dengan air sabun. Dia mahu hilangkan bau-bauan yang tidak enak. Bau yang menyebabkan dia rasa bersalah setiap detik. Maklum pencuri kain kafan. Kalau boleh, biarlah anak dan isteri tak tahu kisah dia korek kubur untuk dapatkan kain kafan. Tugasan itu sudah berbayar. Dia dapat duit. Dua petugas yang memantau kubur pun dapat duit. Tetapi dia dapat paling banyak kerana dia yang ambil kain kafan dalam liang lahad. Kerja gila. Tak pernah dibuat dek orang. Tetapi dia sudah sanggup. Adakah tercapai cita-citanya? Dapat dilaksanakan? Setelah dapat kain kafan, bomoh menunggu orang yang bercita-cita inginkan wang banyak. Orang dari Kuantan itu bukan main lantang cakap.
Sanggup buat apa sahaja. Tetapi apabila kain kafan sudah ada di tangan bomoh, batang hidung pun tak nampak. "Aku tak jamin. Dia berani cakap, dia kena bertanggungjawab. Aku dapat korek kubur. Dah dapat kain kafan. Sekarang dia pula menghilang," kata bomoh dalam keadaan gusar.
Yalah! Dulu bukan main temberang. Sanggup segala-galanya. Kini, setelah usaha bomoh dapatkan syarat dipenuhi, dia pula menghilang. Mana Yakib? Dulu kata boleh semuanya. Sekarang senyap! Bodyguard yang telah mengeluarkan wang untuk upah korek kubur dan bayar upah dua pemantau rasa tertipu. Sebagai bodyguard, dia tak berani meneruskan niat curi duit majikannya dengan cara misteri.
"Aku tak sanggup nak teruskan," kata bodyguard kepada Tok Bomoh.
"Jadi? Projek kita batalkan atau nak teruskan?"
"Terpulang!" kata Tok Bomoh.
"Kalau tak teruskan macam mana?"
"Boleh! Tapi aku tak bertanggung jawab," ujar Tok Bomoh.
"Kenapa?"
"Takut nanti Yakib jadi gila."
"Macam tu sekali?"
"Ya, benda ini tak boleh main-main. Badi akan terkena pada orang yang merancang.Aku hanya menjalankan tugas. Aku tahu macam mana nak elakkan badi."
Kain kafan sudah dapat, tetapi kerja gila itu tidak dapat diteruskan. Yakib dari Kuantan tidak muncul-muncul. Cakap sahaja besar. Dah ada kain kafan, dah korek kubur dan keluar duit, dia menghilang. Bomoh terpaksa hantar perisik ke masjid Jamek Bandaraya, tinjau-tinjau tempat budak lepak. Mana tahu Yakib ada di situ. Tak ada. Tanya orang pun tak guna. Tak siapa kenal dengan Yakib. Kain kafan tersimpan begitu sahaja. Bomoh terpaksa simpan kain kafan di rumah kawan. Simpan dalam bekas yang tersorok. Anehnya, kawan yang diharap itu mengalami hal yang pelik-pelik. Ada orang lalu depan mata pun dia tak nampak. Dia tak tahu kenapa. Bukan rabun. Tetapi, ini mungkin angkara memiliki kain kafan. Mungkin dengan sebab inilah paranormal anggap, sesiapa yang memakai kain kafan seseorang itu akan terlindung dari penglihatan mata kasar orang lain. Itu sebab kain kafan dicari-cari orang. Kawan itu tidak tahu tentang program hendak mencuri duit jutaan dalam kereta mewah yang terletak di pinggir ibu kota. Tak cerita langsung. Bomoh hanya kata hendak simpan kain putih. Itu sahaja. Kalau dia cakap itu kain kafan, tentu kawan itu tak mahu simpan dalam rumah.
Dipendekkan cerita. Ketika bomoh sibuk mencari Yakib lelaki berumur dari Kuantan, Yakib sebenarnya berada di Kuala Lumpur. Jalan mundar-mandir macam orang gila. Penat jalan dia akan duduk di kaki lima kedai. Terlalu penat dia sanggup tidur di situ. Apa sudah jadi dengan Yakib? Gilakah? Tak pasti. Mungkin ini yang dikatakan badi kerana curi kain kafan. Kata bomoh, kalau tidak diteruskan, salah seorang akan jadi gila. Kesan dari gila itu akan berlaku lagi peristiwa yang tidak perlu diberitahu.Mungkin lantaran perasaan bersalah itu, Yakib tidak jenguk masjid lagi. Inilah bahananya buat kerja mengarut. Kerja tidak tahu. Hanya fikir hendak duit banyak secara cepat. Orang sekarang sibuk dengan e-commerce hendak kaya cepat. Semua nak jadi jutawan. Modal seribu pun hendak jadi jutawan juga. Hendak berlagak dengan kereta mewah. Hakikatnya, orang kaya tidak tunjuk kereta mewah. Banyak orang berada yang naik bas turun bas. Kereta mewah hanya symbol yang diangan-angankan oleh orang miskin. Semua mahu jadi kaya. Jadi jutawan. Marilah sertailah program jutawan. Bomoh dan Nuar pun mahu sertai program jutawan. Tetapi program mereka dengan cara misteri. Gunakan kain kafan sebagai pakaian untuk mencuri duit yang tersimpan dalam bonet kereta. Kini, semua angan-angan jadi musnah.Yakib sudah menghilang. Dia tak mahu campur tangan. Tak tahu apa pun. Kain kafan sudah dicuri. Mahu pulangkankah?
Tidak sekali-kali. Mungkin ada kegunaan lain di masa depan. Bomoh rasa dipermainkan oleh Yakib orang Kuantan. Mujur kes dia gali kubur tidak diketahui orang. Harap-harap cerita ini dirahsiakan. Tetapi inilah kisah benar yang berlaku di sekitar Masjid India, KualaLumpur. Rancangan korek kubur itu di Kuala Lumpur, tempat orang yang pandai gunakan akal yang waras. Menurut cerita bomoh yang belajar di perguruan Wali Songo, sesiapa yang hendak melakukan kejahatan, terutama menceroboh rumah seseorang, dia boleh gunakan kain kafan sebagai pendinding. "Pakai kain kafan itu macam orang pakai selimut. Paling sesuai pada waktu malam. Cerobohlah rumah siapa pun, ketika orang tengok TV pun boleh. Penghuni rumah tak akan nampak," ujar bomoh. Buktinya? Memang tak ada bukti. Ini teori dalam perguruan. Tak ada orang hendak memulakan kajian misteri kain kafan. Sarjana budaya pun tidak minat mengkaji salah satu aspek ilmu kebatinan yang misteri ini. Sembang kedai kopi bolehlah. Kata bomoh, di Jawa macam-macam ilmu karut boleh dipelajari. Yang hitam atau putih. Hitam dikata puth pun ada. Hingga bomoh susuk beri jaminan susuk itu halal. Inilah yang mengeliru-kan umat. Kenapa perlu gunakan kain kafan? Kata bomoh, dengan memakai kain kafan seperti pakaian umrah ketika melakukan tindak kejahatan, seseorang itu akan terlindung. Pelaku akan jadi orang halimunan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Konon, kain kafan adalah milik penghuni kubur. Alam kubur adalah alam ghaib. Kisah alam kubur hanya diceritakan melalui nas-nas yang sahih.Tidak siapa tahu.
Seksa kubur pun orang tahu. Tetapi persoalan dalam alam kubur banyak orang tak ambil tahu. Takut! Orang yang memakai kain kafan kata bomoh itu seolah-olah berada di alam lain. Itu sebabnya ketika dia menyelongkar rumah untuk ambil barang berharga, tak siapa boleh nampak. Pelaku telah menjadi syaitan terkutuk. Buat kerja jahat yang tidak diketahui manusia. Itulah teori pengamal ilmu hitam. Konon hendak curi duit berjuta dalam bonet kereta mewah.Mungkin kelebihan kain kafan, menyebabkan program jahat tergendala. Pemilik jadi was-was. Yakib sudah melilau tidak tentu hala. Dengar cerita, itu semua gara-gara bomoh telah melontarkan badi ke arah Yakib kerana tidak menepati janji. Bodyguard yang bercita-cita hendak mengaut duit dalam bonet kereta juga sudah tawar hati. Projek mencuri sudah tergendala. Tangkal daripada kain kafan sudah ada, tetapi siapa yang hendak melakukan kerja mencuri?
"Dah tak ada orang yang sanggup, aku boleh lakukan," kata bomoh. Dollah kawan baik bodyguard Nuar turut ambil peduli dengan projek jutaan itu. Dia pun minat hendak duit terpijak kalau projek itu mendatangkan duit. Cuma, sehingga cerita ini ditulis, projek tinggal angan-angan. Kain kafan masih tersimpan di tempat rahsia. Semua adalam simpanan bomoh. Sebagai orang pintar, dia tahu bagaimana hendak mengkaliskan badi kain kafan. Calang-calang orang, tentu dah merapu tak tentu hala kerana buat kerja gila. Sudah tentu dia guna bantuan jin juga. Kain kafan perempuan tua tersimpan dalam pasu kecil. Dibungkus dengan kain hitam. Diikat pula dengan kain kuning. Pasu itu kelihatan penuh mistik sehingga tak ada siapa berani mengusik. Ini jadi pengajaran kepada sesiapa yang hendak melakukan ilmu hitam karut. Jangan cepat bertindak. Jangan cakap besar mengatakan boleh buat itu dan ini. Bomoh hanya jalankan ikhtiar yang dikehendaki pelanggan.Dengar cerita, Yakib telah terkena badi kain kafan. Dia mundar-mandir di ibu kota. Tak siapa tahu kenapa dia jadi begitu. Semua misteri. Selagi Yakib tak buka cerita, tak siapa tahu semua ini gara-gara curi kain kafan mayat perempuan tua. Sebenarnya, tak guna kain kafan pun seeorang boleh melakukan kejahatan. Ada orang guna pukau. Ini juga ilmu karut yang orang suka belajar.
Mereka sebut ilmu sirep, ilmu yang boleh menidurkan orang. Setelah semua orang dipukau, mereka akan menjarah segala apa yang hendak dijarah. Berapa banyak perkara salah yang telah diceroboh oleh pengamal ilmu karut ini. Bermula jumpa bomoh, mempercayai kata-kata bomoh, menyertai kumpulan korek kubur, mempercayai kelebihan kain dan sudah tentu ada bacaan mantera ketika hendak melakukan kejahatan. Konon boleh jadi senang dengan cara itu. Ilmu mengarut pukau, ilmu sirep, semuanya adik beradik kepada ilmu kain kafan juga.Tujuan hendak memukau penghuni rumah. Buat apa sahaja dalam rumah tidak diapa-apakan. Apabila semua sudah selesai baharulah orang sedar rumah telah digelidah. Sehingga kisah ini ditulis, kain kafan masih tersimpan rapi dalam pasu di rumah kawan. Tok Bomoh terpaksa ambil kain itu supaya rahsia tidak terbongkar. Cuma dia kena simpan di tempat lain. Entah bila kain kafan itu dia hendak gunakan. Tunggulah sehingga ada orang yang berkenan. [ ]
No comments:
Post a Comment