Sunday, 26 June 2011

Kisah Orang Gelandangan di Kuala Lumpur

Di kota ini banyak orang gelandangan. Bukan tipu. Banyak perantau dari luar datang ke tengah kota. Kalau dari Sabah, kumpulan perantau ini mengaku dari Sabah. Tetapi apabila bertutur, akan terpacul perkataan yang kigta tak pernah belajar di sekolah rendah dan menengah. Jadi, jelas perantau dari Sabah ini adalah orang yang telah mendapat MyKad dari seseorang.
Golongan gelandangan ini ada yang dulu pernah bekerja makan gaji. Tidak kira dengan swasta atau kerajaan. Dulu ada duit, sekarang tak berduit. Itu bahasa paling mudah. Ada gelandangan memiliki sijil sekolah menengah dan diploma. Tepi semua dah hilang. Nak cari kerja susah. Maka mereka pun kerja apa sahaja asal dapat makan. Jangan kata mereka pemalas.
Mereka ada yang kerja sambilan. Habis kerja dapat duit. Gaji harilah katakan. Orang begini tidak mampu menyara diri untuk mendapatkan tempat tinggal. Jadi, jangan marah, mereka akan tidur di mana sahaja yang tersorok. Ada surau, masjid, rumah kosong, rumah tinggal, mereka boleh lepak di situ. Dah tak ada, mereka cari atas jejambat yang tersorok, atau dekat kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, lorong yang sunyi, tidur di kaki lima kedai. Dapat tidur pun dah memadai. Tidur beralaskan kertas kotak.
Bab mandi pula, mereka boleh mandi di Masjid Negara, masjid-masjid yang ada, pada waktu subuh atau sebelum subuh. Tak kan ada noja nak halau orang masuk masjid kut?
Tidak pun, tandas DBKL ada. Bayar lebih penjaga akan kasi. Cakap terus terang nak mandi. Yang berduit akan mandi di hotel-hotel murah, boleh dapat sabun dan pinjam towel sekali. Baju bau hapak bagaimana?
Tu sebab orang gelandangan kena bawa beg. Paling tidak beg plastik macam orang pergi supermarket.
Ada budak gelandangan yang kutip benda-benda terbuang. Benda yang ada harga dikutip dan dikumpul. Pagi-pagi benda itu dibawa ke lorong Petaling Street yang terkenal sebagai lokasi pasar karat. Lokasi ini dah lama, bukan baru wujud ya!
Di sini apa sahaja barang kutipan boleh dijadikan duit. Tak payah tulislah apa bendanya. Semuanya orang dah tahu. Dan bukan benda bekas sahaja yang dijual, malah benda-benda baru harga murah pun ada. Sekarang laptop baru pun ada dijual. Harga dalam RM1200-RM1800, seperti yang saya pernah tengok.
Tempat ini adalah ruang untuk gelandangan dapatkan duit. Jangan anggap semua gelandangan,tidak. Orang yang ada kedai pun pagi-pagi buka gelanggang. Barang kedai dibawa ke situ untuk dijual.
Berbalik kepada orang gelandangan tadi, apabila mereka bekerja atau ditawarkan kerja, mereka akan hadapi masalah. Tempat tinggal tak ada, pakaian yang ada dalam beg sahaja, bagaimana nak kerja. Kalau kerja angkut barang tak apa. Kerja percetakan tak apa. Bagaimana kalau pejabat? Tentu tak layak. Pakaian kemas tak ada. Bau hapak lagi.
Ada gelandangan bertanya, apa kerja yang menyediakan tempat tinggal dan pakaian? Jawabnya, kerja pengawal keselamatan. Masuk kerja, dapat uniform, dapat duit makan, dan terus kerja 12 jam. Tidur di asrama. Tapi asrama ini kata orang tempat bahaya. Banyak barang hilang. Kain pelikat pun orang lain sapu di ampaian. Mana tidaknya, pagi-pagi pergi kerja, orang shift malam balik ke asrama. Giliran dia balik waktu malam, geng shift malam dah pergi. Memang tak jumpa langsung, dan tak kenal pun walau duduk satu sarang.
Akhirnya, ubat gigi dan sabun pun hilang. Nampak kecil dan remeh, tetapi bagi kaum gelandangan, ia bernilai besar. Ingat ya, kita bercerita tentang orang tak ada apa benda. Dah patah kandar.
Kerja pengawal keselamatan pula 12 jam. Lama sangat. Setiap hari dapat pinjaman RM10.00. Nak makan apa di Kuala Lumpur? Roti canai dan capati sahajakah? Kalau jimat, ada bakinya. Itulah juga nak digunakan untuk tambang bas. Tambang bas Rapid memang menyusahkan orang tak berduit. Kad tambang yang ada sekarang menyenangkan dan menyusahkan orang tak berduit, terutama gelandangan.
Kerja pengawal ini nampak relax, tapi mengantuk, kata orang. Duduk atau berdiri sepanjang masa. Ada rehat untuk makan. Kalau kerja di Sogo, nak makan kat mana? Carilah lorong. Kalau makan di Sogo juga, duit pinjaman tu tak cukup.
Kemudian mereka dapat pinjaman RM200 pada 20hb. setiap bulan. Nak tunggu 20hb. seseorang itu kena bersabar, selama dua puluh hari. Dah pinjam RM10.00 sehari, bermakna x 20 hari, dah RM200 dia dapat. Kemudian pada tarikh itu barulah rasa duit banyak RM200.00. Bolehkah dengan wang ini dia menyewa rumah atau bilik? Tak dapat. Tidur bawah jembatan bolehlah.
Atau kongsi ramai-ramai sewa bilik murah. Ini sahaja jalan penyelamat. Sebab apabila sudah ada bilik, barulah mereka boleh simpan pakaian. Boleh beli pakaian rombengan, pakaian bekas yang murah. Harga dalam RM5.00 hingga RM10.00 memang banyak.
Oang begini, dengan pendapatan kecil jangan fikir hendak kahwin semua. Jadi, ini yang menjadikan faktor mengapa orang tidak berkahwin. Jangan marah. Gaji pengawal nampak hebat di dalam iklan, RM1200 -RM1400. Nak tahu cerita sebenar cari pengawal yang jujur. Jangan tanya orang yang egoistik.
Sebab kenapa manusia jadi egoistik adalah kerana stigma masyarakat pandang rendah kepada golongan ini. Jangan kawan! Itu pun satu kerjaya juga. Macam orang kerja tukang sapu, kutip sampah, buat bisnis internet pun kerja juga.
Orang gelandangan di Kuala Lumpur ini, silih berganti. Yang dah tinggalkan bidang penggelandangan akan diganti generasi baru pula. Begitulah kehidupan di celah-celah Kuala Lumpur. Jangan pandang hina orang yang tidur di kaki lima bertilamkan kertas suratkhabar baru. Jangan pandang lekeh. Kasihanilah mereka. Mereka adalah orang kecil. Apa guna slogan mewah, RAKYAT DIDAHULUKAN? Mungkin kuasa undi gelandangan tidak dianggap penting oleh orang yang berslogan begitu.
Gelandangan juga menghasilkan kes-kes yang tak masuk akal, mayat ditemui telah reput, tanpa dokumen, tanpa waris. Bukan tanpa waris, semua gelandangan adalah berwaris, tetapi sistem di Malaysia yang tidak kemas, tidak dapat mengesan sesuatu walaupun ada yang bermegah dengan DNA. Kita hanya berusaha untuk mencari-cari yang sukar kalau hendak kaitkan kes dengan pihak pembangkang. Tapi kalau tokoh rakyat kecil dari puak gelandangan mereka tidak peduli.
Ustad Mohd.Firdaus Mat Fuat, yang menguruskan jenazah tak berwaris sejak lima tahun di Kuala Lumpur, berkhidmat dengan Cawangan Pengurusan Dakwah Hospital Kuala Lumpur, beritahu, sekarang sudah ada perkuburan antarabangsa di Kuala Lumpur (jalan Highway Karak). Pendatang dari luar makin banyak. Tidak kira dari mana asalnya, penyakit pun banyak jenisnya, macam-macam. Gejala sosial pun makin meningkat.
Kepada saya menyentuh tentang gelandangan? Ia sebenarnya ada kaitan dengan kes mayat tidak berwaris. Golongan gelandangan ini berwaris, tetapi apabila sudah tutup usia, tidak ada siapa pun yang tahu data-data peribadinya. Rasanya, bank data peribadi gelangan patut diwujudkan di Kuala Lumpur. Ia dibantu oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Rasanya ini bukan kerja mudah, sebab memberikan MyKad kepada warga asing pun mudah, apalagi buat daftar kaum gelandangan di Kuala Lumpur. Ini hanya pandangan peribadi penulis yang memang punya sahabat dari kalangan gelandangan guna menyelami hati nurani mereka.[]

1 comment:

  1. terima kasih atas entri anda. Membuat saya berfikir.

    ReplyDelete