Friday, 3 June 2011

PASARAN BENDA-BENDA MISTIK

Pasar Benda-benda Mistik


 

Laporan Andong Misnon


 

Benda-benda mistik semakin bercambah di pasaran, entah pasaran gelap atau terang-terangan. Belum lagi di pasaran para dukun dan bomoh atau paranormal yang latar belakang mereka berbagai. Orang-orang yang menggemari benda mistik pun ada berbagai lapisan. Ada yang jadikan benda-benda mistik itu sebagai koleksi peribadi. Asalkan pelik sedikit, benda itu dibeli dan disimpan. Selalunya benda itu ada kaitan dengan kepercayaan atau yang orang sebut sebagai kelebihan memiliki benda ini. Umumnya, khurafat benda mistik ini dikaitkan dengan istilah yang biasa: Untuk keberuntungan diri, untuk kewibawaan, meningkatkan karisma peribadi, untuk penangkal segala macam kejahatan di sekeliling kita, untuk pengasih, bekal untuk berniaga, bekal untuk perjalanan jauh, digeruni kawan dan lawan, tutur kata dan penampilannya lebih di banding orang lain. Inilah kepercayaan yang menjurus kepada khurafat dan syirik. Asal-usul timbulnya kemistikannya ini masih misteri. Ia mungkin ada kaitan dengan kepercayaan dan keyakinan nenek moyang kita di zaman silam. Ada kaitan dengan kepercayaan kepada semangat. Setiap benda ada semangatnya. Jadi, setiap benda juga ada kemistikannya. Benda-benda mistik asalnya adalah objek-objek kutipan yang tidak berharga. Setelah dikutip dan dihimpunkan, ia akan menjadi benda berharga apabila benda-benda itu diberikan label. Seketul batu biasa, akan naik tarafnya kalau dikatakan ia adalah batu jin, batu puteri, batu gua, batu makam keramat, batu pualam, batu mimpi dan sebagainya. Sekerat buluh tidak menjadi apa-apa kalau tidak diberikan label menarik. Ia akan naik tarafnya kalau dinamakan buluh tumpat, buluh bertemu ruas, buluh perindu, buluh gunung, buluh gua, buluh kuning atau apa sahaja nama. Ada yang menggunakan nama gunung untuk menaikkan mistik seruas buluh. Misalnya buluh Gunung Ledang, buluh Gunung Jerai, buluh Gunung Salak, buluh Gunung Talang, buluh Gunung Sinabung,buluh Gunung Slamet dan Buluh Gunung Kelud.

BENDA-BENDA MISTIK:

Seterusnya, kita lihat bagaimana corak mistik benda-benda ini dikategorikan. Benda-benda mistik ini bolehlah dibahagikan kepada beberapa jenis yang terkenal. Contohnya:

  • Mistik batu
  • Mistik keantikan
  • Mistik senjata lama
  • Mistik duit
  • Mistik bahan tenunan
  • Mistik dari haiwan liar
  • Mistik dari haiwan melata
  • Mistik burung
  • Mistik dari lautan
  • Minyak dari cairan
  • Mistik dari tumbuh-tumbuhan
  • Mistik pergunungan dan sekitarnya
  • Mistik keilmuan (ilmu hikmah)

Banyak lagi kepercayaan mistik yang tidak disenaraikan dalam kelompok tersebut, contohnya mistik mayat.

Mistik Batu

Batu merah delima (seperti yang telah dipaparkan dalam bab yang lalu); batu zamrud; batu safir; batu mistik buatan (untuk pendinding, pelaris, pengasih); batu dalam buah dan mistik batu-batu Kristal untuk perubatan alternatif. Batu Gua Qaf sejenis batu mistik yang mempunyai khadam, dikatakan untuk kerezekian, pengasihan dan pendinding diri dari santau, santet dan sebagainya.

Mistik Keantikan

Apa sahaja benda atau barang-barang antik baik yang disimpan lama atau hasil dari carigali benda-benda antik pihak tertentu yang dianggap bernilai mistik. Di dalam kumpulan keantikan ini termasuklah benda-benda lain dari hasil penemuan dan jumpaan carigali termasuk benda-benda purba, pecahan seramik, duit-duit dari logam dan sebagai-nya.

Mistik Senjata Lama

Senjata lama yang dikaitkan dengan tokoh epic atau legenda seperti keris cemeti usul. Tidak semestinya keris sahaja, pendek kata asalkan ia sejenis senjata lama yang diperbuat daripada logam atau bukan logam. Keris tarik, sejenis keris yang boleh berdiri dikatakan mempunyai lebih dari seribu khadam dampingan untuk menggambarkan nilai mistiknya (RM80,000 harga pasaran).

Mistik Duit

Paling banyak berkait dengan mistik duit Sukarno bernilai Rp10,000, versi warna emas, warna merah; duit Sukarno Rp 1,000; duit Sukarno Rp5,000; duit Mekah; duit Ten Dollars, kerbau bajak sawah $10.00; duit kertas RM10 dan RM1 dengan ciri tertentu. Penulis pernah memiliki duit kertas RM1 bercap Cik Siti Wan Kembang depan belakang, tulisan Jawi (diberi kepada seorang ditektif dalaman pasaraya NSK, Selayang, tahun 2006). Duit diperoleh di Gunung Tebu dari seorang spiritualis yang diundang oleh lelaki berjubah untuk menyendiri di dalam perigi buta. Dia beritahu, duit RM1 yang sudah siap bercap itu diperoleh pada menjelang subuh. Duit itu dibahagi-bahagikan kepada orang ramai di Pasar Khadijah. Banyak mana duit yang dia dapat? Sekarung kain pelikat dan dipijak-pijak lagi hingga sendat dan diikat rapi.

Mistik Bahan Tenunan

Kain cindai, sabuk, pengikat pinggang, blangkon Pak Dalang, cindai puteri, cindai puntianak, sabuk Kalijaga, sejadah putih, sejadah hitam. Ada mistik kain kafan; mistik cebisan kain kafan; ikat kain kafan dan sebagainya (mistik kuburan). Ada yang digunakan untuk tujuan jahat. Cindai puntianak (dinamakan kundu sumai) digunakan untuk menjadi penyamun besar peringkat antarabangsa. Cindai dari Palembang umpamanya telah dibawa ke Taiwan dan Hong Kong, ada yang sampai ke Amerika untuk tujuan kejahatan.

Mistik dari Haiwan Liar

Kulit harimau belang, gigi harimau, misai harimau, taring harimau, kuku harimau, organ kemaluan harimau jantan, semua yang diambil dari harimau mati beragan, gading gajah, mani gajah, kulit gajah mati beragan. Dari Muawiyah r.a. dia berkata, "Rasulullah S.A.W. melarang ratapan, gambar, kulit binatang buas, pamer aurat, nyanyian, emas, tenunan dari sutera dan kain sutera." (HR. Ahmad, disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahirul Jami', 6/59). Pecahan dari mistik ini ialah mistik harimau putih, harimau siluman, harimau jadi-jadian, ilmu harimau akuan. Mistik rantai babi, mistik cemara babi juga dikenali masyarakat yang masih berpegang kepada animisme.

Mistik dari Haiwan Melata

Berbagai jenis geliga (batu mistik), ada geliga ular, geliga ular mata dewa, geliga ular seri bulan, geliga lipan, geliga lipan bara, geliga kala jengking, geliga lelabah gergasi, dan (mustika)batu kepompong. Geliga lipan di pasaran internet mencecah RM10 juta kerana ia mempunyai khadam dan cara penjagaannya yang perlukan ritual tertentu.

Mistik Burung

Hati burung gagak untuk tarik duit (kisah khurafatnya, konon ia dijadikan satey dan dijual kepada makhluk halus); burung merpati untuk perubatan; bulu cenderawasih; burung cenderawasih (asal dari kayangan, maksudnya puncak yang tinggi, ada khasiatnya). Cenderawasih dari Irian Jaya banyak yang diperdagangkan.

Mistik dari Lautan

Hidupan laut dari jenis karang-karangan; geliga siput laut; ikan duyung, tulang duyung (organ ikan -jenis dugong- ini dimistikkan); kuda laut; belangkas mati beragan; mutiara dari tiram.

Mistik dari Cairan

Mistik ini ada kaitan dengan jenis mistik lain, daripada gajah, ada mani gajah; minyak pengasih mani gajah; minyak pengasih air mata duyung; minyak pengasih buluh perindu; pengasih buluh perindu bunian; minyak pengasih buluh perindu Jerai; minyak pengasih buluh perindu Ledang; minyak pengasih kijang putih; minyak pengasih tupai mati beragan; minyak kokang mati beragan; minyak dagu; minyak senyonyong; minyak cenuai; minyak penunduk puteri cahaya bulan; minyak pengasih rembulan kuning; minyak delima merah. Minyak harimau putih pula menurut sumber adalah minyak mistik yang bernuansa penggerun, melahirkan penampakan harimau putih di sisi pemiliknya; yang amalkan akan bertenaga seperti harimau, boleh bersilat dan melawan seperti kekuatan harimau. Mempunyai khadam. Ada pantangnya yang perlu diketahui.

Mistik dari Tumbuh-tumbuhan

Teras kayu; buluh tumpat; buluh bertemu ruas; kayu tas; kayu koka(kaukah); batu serai berbunga; delima buah; batu delima dalam buah; sirih hitam; sirih bertemu urat; teras nibung tunggal; teras kayu gemunggal. Daripada sumber kayu melahirkan mistik kayu bertam; mistik raja kayu; kayu tas; kemuning hitam; mistik kayu gaharu.

Mistik dari Pergunungan dan Sekitarnya

Mistik dari gunung ini menggambarkan perolehan sumber dari gunung tertentu. Umpamanya batu, kemenyan, keris, selendang, sejadah, minyak pengasih, cincin yang diperoleh dari Gunung Jerai, Gunung Ledang, Gunung Kawi, Gunung Slamet dan sebagainya. Mistik dari ilmuan (ilmu hikmah) akan dibicarakan di dalam bab khas. Paparan ini hanya sekadar contoh bagaimana mistik benda-benda ini sudah merebak dan melebar kepada berbagai kategori. Pemilik benda-benda mistik mempunyai kepercayaan dan keyakinan tertentu yang sukar hendak diganggu-gugat. Di kalangan orang awam, benda-benda mistik boleh dilihat di mana-mana jika ada pesta-pesta, pasar malam atau para penjaja ubat di kaki lima. Jika ada orang bersila di depannya terbentang kain merah, kain hitam dan sebagainya, jenguk-jenguklah. Lihatlah pasar karat di Lorong Kulit, Pulau Pinang, pasar karat di Ipoh dan pasar karat di Petaling Street, Kuala Lumpur. Pasti ada sahaja benda-benda mistik yang dipamerkan. Mistik atau tidak bukanlah persoalan, kerana ia dianggap salah satu punca merebaknya kepercayaan kepada benda-benda mistik. Maklumat benda mistik juga diperoleh daripada para peniaga kaki lima ini. Wallahu a'lam. []


 


 

No comments:

Post a Comment