NAGA HIJAU LAWAN TENGKU RANGGA
[Sebuah cerita rakyat dengan versi 2011, olahan Pak Andong]
Dia menunggu kedatangan naga yang kehijauan. Dia mencabar naga itu. Di pinggangnya sudah terselit sebilah keris pusaka yang sakti. Dia pun bersedia untuk menerkam naga sebesar batang kelapa itu.
"Ya! Cepat!" kata Rangga sambil melambai naga. Naga pun mengeluarkan suara yang gemuruh. Kilatan api dari lidahnya menyambar-nyambar. Dan dengan deruman suaranya, naga pun menyahut cabaran Rangga.
Rangga cuba menjatuhkan naga itu. Dia melompat dan memeluk badan naga dari belakangnya. Dia menikam belakang naga dengan keris saktinya. Sisik naga terlalu liat. Rangga tidak dapat gunakan keris sakti itu. Naga itu menggeliat sekuat-kuatnya menyebabkan Rangga tergolek. Dia bangun. Dia cuba menikam naga dari arah bawah. Dia tujukan ke dagu naga. Lidah api naga begitu menakutkan. Rangga mengelak kanan dan kiri. Lompat sana, lompat sini. Naga cuba membelit tubuhnya. Rangga mengelak dan berjaya melepaskan diri. Usaha Rangga hendak menjatuhkan naga tidak berhasil. Naga terlalu hebat. Rangga sudah beberapa kali dihempaskan ke tanah oleh naga itu. Jeritan naga menggerunkan orang ramai. Ada yang lari ketakutan dan melihat sayembara dari jauh.
Gara-gara sayembara itu, banyak pokok tumbang. Banyak bangunan roboh. Libasan ekor naga menyebabkan rumah penduduk rosak teruk. Penduduk kampung melihat sayembara dari atass pokok. Ada yang memanjat pokok kelapa dan memasang kayu palang untuk duduk di situ. Ada yang duduk di tepi bukit. Banyak yang menyaksikan perlawanan dari jauh. Penduduk negeri takut Rangga akan mengamuk sekiranya dia luka teruk atau dia kalah dalam perlawanan. Atau mungkin naga yang luka terus akan mengamuk membunuh penduduk negeri. Amaran ini sudah diberitahu oleh Mertani dan pembantunya.
Setelah bergelut berjam-jam, sayembara tidak ada pemenangnya lagi. Di kejauhan, Puteri Laut Selatan bersama raksasa yang menghuni gunung kecil turut membantu naga. Sayembara itu mesti dimenangi oleh naga. Rangga tidak boleh menang dalam perlawanan itu. Puteri Laut Selatan ingin melihat anak lelakinya kalah dalam pertandingan itu. Biar dia malu dengan dirinya. Jika tidak, dia akan menjadi lelaki sombong. Dia akan jadi bongkak kalau dia menang menentang naga hijau. Oleh sebab pergelutan itu memakan masa berjam-jam hingga memenatkan, akhirnya Puteri Laut Selatan menggunakan kesaktiannya. Dia menyusup ke dalam naga hijau itu. Dia mahu menamatkan sayembara itu secepatnya.
Biarlah, dia berkorban. Dialah yang boleh mengalahkan anaknya Tengku Rangga. Dan naga hijau itu adalah peliharaan Puteri Laut Selatan. Naga yang biasa bermain-main di Laut Selatan itu dapat membelit Rangga lelaki perkasa itu. Belitan naga yang kukuh menyebabkan Rangga tidak dapat melepaskan dirinya. Dia sesak nafas kerana belitan naga begitu kukuh. Dia meronta-ronta ingin melepaskan diri. Kebetulan hujan turun dengan lebatnya. Hujan disertai halilintar membelah bumi. Ramai orang basah kuyup menyaksikan sayembara itu. Mereka lari bertempiaran mencarin tempat berteduh. Hujan yang terlalu lebat menyebabkan mereka tidak dapat menyaksikan pertarungan itu. Semuanya seperti berkabus. Dan ketika halilintar berdentum sekuat-kuatnya, panahan cahaya terkena naga dan manusia perkasa itu. Tidak ada siapa tahu ke mana naga dan Rangga menghilang.
Semena-mena para penonton jadi kebingungan. Dalam keadaan basah kuyup itu, mereka hanya dapat menyaksikan padang yang basah. Rumah yang sudah roboh dan pokok-pokok yang tumbang. Serentak dengan dentuman guruh di langit tadi, naga perkasa tadi lenyap bersama Rangga.
"Ke mana mereka hilang?" semua orang tertanya-tanya. Sayembara ini tidak mendatangkan keputusan. Tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Kedua-duanya hilang dari pandangan manusia. Setelah kejadian sayembara yang mendebarkan itu, penduduk tidak mendengar lagi kekecohan dari Tengku Rangga. Dia hilang ketika sayembara sedang berlangsung. Ke mana dia?
"Menurut baginda Senopati, naga hijau yang bertarung itu sebenarnya adalah Puteri Laut Selatan, dan lelaki yang gagah itu adalah anak lelakinya sendiri, jadi dia sudah ditangkap dan dibawa ke Laut Selatan semula," begitu perkhabaran yang diberikan oleh Mertani selaku jurucakap istana.
"Naga itu pergi ke mana?" soal salah seorang penduduk negeri.
"Naga itu sebenarnya adalah Puteri Laut Selatan sendiri yang menyamar sebagai naga. Sayembara itu diadakan bukan kerana hadiah negeri, tetapi cara ibu hendak menghukum anaknya," ujar Mertani.
"Aku mahu tanya kamu Mertani, apakah kamu pernah nampak Puteri Laut Selatan tu di istana baginda?"
"Soalan ini payah nak jawab, aku sendiri tak pernah lihat bagaimana rupanya, hanya Senopati sahaja yang dapat melihatnya," terang beliau.
"Begini, aku mahu tahu, Rangga tu sebagai apa kalau di negeri Laut Selatan itu?"
"Aku pun tak tahu, hanya menurut orang pintar, dia menjadi anak puteri setelah kesaktiannya ditarik semula."
"Aku pun musykil, bagaimana manusia boleh tinggal dalam laut, apakah dia menjadi ikan atau bagaimana?"
"Wah! Ini soalan yang susah. Hanya Puteri Laut Selatan yang boleh menjawabnya," ujar Mertani berterus-terang. Itulah majlis bertemu rakyat yang diadakan di istana baginda Senopati. Majlis itu diadakan sempena pemergian Rangga ke Laut Selatan mengikut ibunya.
"Aku mahu minta maaf kepada tuan-tuan dan puan-puan yang selama ini mungkin pernah disakiti oleh anakku Si Rangga itu," kata baginda sambil menunjukkan kedua belah tangan sebagai tanda minta kemaafan. "Anakku itu semua orang tahu, sangat degil, tidak mahu mendengar kata orang tua."
Baginda Senopati juga menerangkan tentang perkahwinannya dengan Puteri Laut Selatan. Baginda menjelaskan siapa puteri itu, asal-usulnya, dan kenapa dia kemudian boleh tinggal di dalam laut. Terlanjur berucap di depan ramai itu, baginda juga menyentuh tentang bagaimana manusia biasa seperti dia boleh berada di laut. "Sebenarnya, tidak ada manusia yang boleh hidup di dalam air. Terus terang aku beritahu anda semua," ujar baginda yang menyebabkan semua orang terdiam. Tertarik dengan cerita baginda itu.
"Dunia Laut Selatan bukanlah di dalam air. Ia berada di kawasan Laut Selatan. Ia adalah sebuah alam milik makhluk halus dari jenis jin. Sebenarnya, aku pergi ke sana pun bukan masuk ke dalam air. Ia ibarat anda memasuki dunia mimpi. Anda bermimpi seakan-akan pergi ke dalam air, sebenarnya anda berada di tepi pantai sahaja," terang baginda lagi melanjutkan majlis sembang-sembang bersama istana.
Majlis disambung pada waktu malam dengan diadakan persembahan wayang kulit dan mainan gamelan diraja. Penduduk sekitar istana pun berhibur di situ sebagai meraikan kejayaan membersihkan negeri daripada berbagai bencana dan fitnah.
Kehadiran Tengku Rangga yang melakukan berbagai perbuatan buruk dianggap sebagai bencana negeri. Selagi tidak dibuang, selama itulah penduduk negeri dalam ketakutan. Kini, seluruh negeri menjadi aman. Baginda Senopati dan Puteri Laut Selatan mentadbir dua buah negeri yang berbeza. Senopati di alam yang nyata, dan isterinya berada di alam yang tidak nyata. Masing-masing memerintah kerajaan yang besar dan berdaulat. [ Sengaja dipaparkan kisah ini kerana Pak Raden Puji Masono bilang dia pernah pergi ke kraton di Laut Selatan, dan beberapa orang lelaki dan perempuan keturunan Cina Malaysia, menjadi rakan Ratu Kidul – hasil wawancara penulis untuk majalah INTISARI,Kuala Lumpur, 2003].
No comments:
Post a Comment