Pagi itu aku pergi ke Pasar Karat, lorong Jalan Petaling, atau Petaling Street, Kuala Lumpur. Macam biasa nak cari benda-benda berkarat sambil tengok-tengok buku lama, buku baru pun ada. Setahuku, aku sudah lama menjejaki pasar karat ini sejak tahun 80-an lagi.
Orang pun bertukar ganti yang berniaga. Banyak warga dari Indonesia berniaga di sini. Ada yang jual baju-baju rombengan, jual rokok kretek, jual CD lama, jual makanan kucing jenama Friskies dan Whiskers. Ada yang jual tampal kaki. Jual VCD terbaru, wayang yang sedang ditayangkan di panggung pun ada. Nasib baik aku memang jenis allergic dengan wayang, jadi aku tak hairan pun.
Aku melihat banyak sepatu kaki kedua dijual di sini, entah sepatu dari mana. Entah hasil curian atau entah apa. Jangan tuduh sebarangan. Sebenarnya pasar karat ini adalah talian hayat kepada orang-orang kecil di Kuala Lumpur untuk mendapatkan sedikit wang. Bukan merompak dan menyamun yang menghina imej negeri.
Mereka jual apa sahaja benda yang mereka dapat. Bagi orang kaya, banyak benda dibuang begitu sahaja dalam tong sampah.
Giliran si miskin mengutip sampah itu dan dibawa ke pasar karat untuk ditukar menjadi duit. Berapa sahajalah harganya yang ditawarkan.
Beg tangan wanita pun banyak. Seluar entah slacks atau jeans, semuanya ada. Jam-jam tangan lama yang orang bilang antik.
Semuanya ada. Bahkan doktor gigi dari China pun ada menawarkan sesiapa nak cabut gigi dengan kos murah. Orang kaya tahu bising, bahaya tu. Dia tak ada tauliah. Dah berapa batang gigi yang Dr Gigi China tu cabut, orang tak tahu.
Di negeri ini kalau ada wartawan buat liputan mengatakan ada jual VCD kisah porno di lorong ini, maka orang yang baca koran pun terpedaya habis.
Aku biasa buat kajiselidik di situ. Apa yang koran perdana paparkan, kemudian aku tengok apa yang terjadi. Bahkan ketika aku berada di situ, aku menyaksikan pihak polisi menahan seseorang atas kesalahan VCD.
Esoknya ada lagi. Jadi ia ibarat rumput. Habis ditebas, esok kena hujan tumbuh lagi.
Kita tidak boleh marahkan mereka. Mereka mana ada kerja. Jual VCDlah kerjanya. Jika dihalang nanti mereka jual benda lain pula, lagi bahaya.
Tengah ronda-ronda di lorong itu, terfikir aku akan sebuah kisah legenda yang tersohor di negeri ini tentang sebuah beg mahal berharga RM350,000.00.
Bayangkanlah setelah beg mahal itu digunakan beberapa bulan, maka pemiliknya pun dah jemu. Lalu beg itu dicampak ke dalam tong sampah.
Datang pengutip sampah, dipilih-pilih dan diasingkan, akhirnya beg tangan yang ratusan ribu ringgit itu sampai ke pasar karat.
Dari seorang kepada seorang beg tangan itu bertukar tangan. Dan beg itu di pasar karat dijual dengan harga RM10.00 sahaja.
Peniaga di situ mana tahu jenama Itali, Peancis atau New York. Kalau jenama Greenland cap Walrus, atau gajah mina pun mereka tak tahu.
Jadi, sampailah beg yang mahal itu ke tangan apek. "Apek, ini beg belapa harga?"
"Itu macam ka?"
"Yalah, saya mahu!"
"Sepuluh linggit lo!"
"Apa pasai manyak mahal, kasi kurang la apek hooo!"
"Lapanlah cincai-cincai!"
Akhirnya beg yang mahal itu dibeli oleh seseorang dengan harga RM8.00 sahaja.
Beg itu dimasukkan ke dalam plastik beg. Nak bawa balik bagi isteri pakai. Maka isteri orang itu pun bergaya dengan beg RM8.00.
Ketika mundar-mandir di tempat shopping, kebetulan beg tangan itu dibawa, maklumlah orang miskin. Dapat harga RM8.00 pun dah kira okay.
Di dalam galeri pameran beg-beg tangan berjenama, Kakak pemilik beg terkejut memandang iklan beg tangan. Labelnya sama. Nak pastikan. Dia padankan betul-betul.
Tauke kedai keluar. Senyum. "Ini beg banyak mahal Kakak!" kata tauke itu.
"Mahal?"
"Ya!"
"Sini ada jual?"
"Tak boleh jual Kakak, siapa mahu beli? Ini harga sampai ratus ribu satu Kakak!"
"Ratus ribu?" Kakak terpinga-pinga.
Begitulah kisahnya seorang pembei beg di pasar karat yang tidak tahu menahu jenama beg dan harga beg tangan. Beg tangan itu kata orang adalah milik pembesar negeri.
Siapa punya? Entahlah.
Kini Kakak pemilik beg itu benar-benar terkejut apabila tauke kedai menawarkan harga istimewa kepada beg tangan yang dia bawa.
"Jual pada saya kakak," kata tauke itu.
"Berapa?" tanya kakak.
"Berapa awak nak jual? Saya sanggup beli RM35,000 kalau kakak mahu? Saya bayar kes, kasi cek tunai," kata tauke itu.
Kakak yang bawa beg termenung. Suaminya yang sudah tahu cerita beg itu, tanpa lengah terus menarik tangan tauke itu.
"Bolehlah," katanya seronok.
Dan konon, dek kerana pasar karat yang sudah dilabel tempat barang bekas, ada seorang hamba Allah dah kaya raya kerana membeli beg tangan mahal dengan harga RM8.00 saja.
Hari itu, adalah kenangan bagi pembeli beg tangan bekas.
Untung juga kalau pembesar negeri suka beli beg mahal-mahal, boleh campak dalam tong sampah. Datang pengutip sampah bawa ke pasar karat.
Kini, lelaki itu walaupun sudah mendapat habuan tak dijangka, tetap datang ke pasar karat mencari sesuatu.
Hingga sekarang lelaki itu tidak tahu siapa pemilik sebenar beg tangan mahal itu.
Mungkin ada di antara pembaca yang tahu jawapannya. Lelaki itu pun tak tahu. Kakak pun tak tahu.
Khabarnya tauke kedai itu tahu! [Misnon Jamil].
No comments:
Post a Comment