Saturday 21 September 2013

KENAPA ORANG SUKA MENYAMAR?

MEDIA di negara kita kerap memaparkan kes-kes orang menyamar. Biasanya, penyamaran yang selalu kita ikuti adalah orang menyamar sebagai polis. Mengapa orang suka menyamar sebagai polis? Adakah profesion ini dianggap berprestij sehingga setiap orang yang menyamar berani mendakwa diri mereka sebagai anggota polis?
Isunya, dalam soal penyamaran sebagai anggota polis ini, kalangan awam tidak dapat mempastikan adakah seseorang itu polis atau bukan polis kerana mereka sendiri tidak pernah melihat bagaimana rupa kad kuasa polis yang tulen!
Inilah puncanya kenapa orang tidak boleh membezakan polis "ori" atau polis tiruan. Kes begini banyak terjadi di mana-mana, ada yang dilaporkan, dipaparkan dalam media dan ada kes yang tersorok dan terpendam.
Begitu banyak kes yang terjadi dalam bab penyamaran sebagai polis, apakah tidak ada sesiapa yang berani membuat kajian tentang aspek penyamaran ini?
Kenapa orang memilih sebagai polis untuk penyamaran? Dan bukan tidak ada orang menyamar sebagai pegawai kastam, pegawai penguatkuasa tertentu, termasuk pegawai kesihatan yang memeriksa takungan air di kawasan taman perumahan dengan niat hendak mendapatkan penternak jejentik sekiranya ada, misalnya.
Ada orang menyamar mengaku sebagai kawan atau rapat kepada seseorang yang berkhidmat di jabatan tertentu dan boleh menolong seseorang yang memerlukan sesuatu bantuan. Kabel tadi dianggap sebagai bantuan. Dengan berkata ada kawan yang menjadi "orang dalam" tetapi enggan menyebutkan namanya, seseorang mampu memperdaya orang yang terdesak untuk mendapatkan sesuatu. Ini menyamar juga namanya.
Contoh, pada masa lampau ada orang sanggup meniru tanda tangan menteri bagi meyakinkan mangsanya agar menyerahkan wang kopi yang mereka katakan sangat diperlukan oleh "orang dalam" -- semua ini dibualkan oleh kalangan broker yang bersepahan di bawah pokok ketapang [kita panggil Ketapang Holding], baik di sekitar Masjid Pakistani, Chow Kit KL; sekitar Jalan Masjid India; sekitar Pasar Seni; sekitar Bangunan Mara; Maju Junction atau Semua House.
Kumpulan broker cukup ramai pada masa itu. Sekarang [2013] agak sukar untuk mencari broker yang berkeliaran seperti dulu. Golongan muda tidak berminat jadi broker yang gemar duduk di gerai atau restoran berjam-jam atas alasan "tunggu kawan!"
Mereka juga ada trik tertentu untuk menyamar sebagai pegawai. Zaman sekarang nampak mudah hendak melakukan transaksi wang sebab semuanya telah berubah. Lebih mudah. Hinggakan orang boleh menyamar hanya melalui Facebook. Berapa ramai wanita terpedaya dengan janji lelaki rakyat asing di luar negeri?
Meskipun kes makin bertambah, kaum wanita tidak serik-serik melaburkan wangnya untuk memenuhi janji orang yang menyamar.
Ada orang yang hidup kerana menyamar sepanjang masa. Paling mudah menyamar membeli barangan secara banyak. Buat pembayaran secara hutang. Sampai sudah hutang tak dibayar. Ini atas dasar percaya dan sudah kenal. Ini yang orang kata kawan makan kawan! Paling banyak terjadi. Yang tidak dilaporkan pun banyak. Kalau dilaporkan kawan dapat malu, diri sendiri pun malu juga. Hai, business pun malu? Malu kerana berkira sangat.
Ada pihak yang telah menanggung risiko dari penyamaran ini dengan cara muhasabah diri. Kenapa aku jadi begini? Kenapa aku ditipu? Oh, sebab aku dulu pernah menipu orang juga. Kenapa orang tak bayar hutang? Oh, aku dulu pun ada hutang tapi tak bayar!

FAKTOR KEBIASAAN
Bagaimana kes orang yang menyamar tadi? Kenapa apabila ada orang menyamar pegawai itu dan ini meminta duit, kalangan awam begitu mudah ketar dan terus memenuhi permintaan mereka? Bukankah dengan cara begini, ia memberi semacam gambaran faktor kebiasaan!
Adakah kebiasaannya ada pegawai yang meminta bayaran bagi tujuan tertentu? Penyamar sebagai pegawai tertentu sebenarnya telah memantau apa yang orang lain lakukan, dan dari pemantauan itulah menyebabkan mereka membina persepsi bahawa kalangan awam biasanya boleh digula-gulakan dengan cara seseorang itu mendakwa sebagai itu dan ini.
Inilah persepsi sebenarnya.
Kalau tanpa persepsi begitu, orang tidak akan menyamar menjadi itu dan ini. Kenapa tak ada orang menyamar jadi tukang sapu sampah? Ada sebenarnya. Dia menyapu sampah kerana di kawasan itu ada kes yang perlu disiasat. Begitu juga mereka yang menyamar sebagai peminta sedekah, gelandangan atau kutu rayau.
Ada tujuannya mereka menyamar. Begitulah kepada kebanyakan wartawan penyiasatan media cetak melakukan penyamaran untuk membongkar sesuatu isu.
Contoh, rumah urut, kelab-kelab gay, kelab perjudian, pelacuran dan sebagainya. Kita selalu membaca paparan wartawan menyamar sebagai itu dan ini untuk membongkar misteri di sebalik perjalanan rumah urut, kelab gay dan sebagainya. Ini menyamar juga namanya. []

Saturday 14 September 2013

ADA HANTU RAYA DALAM BILIK

Sebagai pramugari, masa banyak dihabiskan ikut penerbangan ke luar negeri. Biasalah, kalau berada di luar negeri, dia boleh membawa pulang apa sahaja benda yang dianggap sebagai ole-ole atau buah tangan.
Setiap lokasi pasti ada sahaja buah tangannya. Tidak kiralah benda besar atau kecil asalkan tidak menyusahkan untuk dibawa pulang.
Termasuk yang dibawa pulang adalah patung-patung kecil dari bahan logam. Boleh letak atas rak-rak atau atas almari. Boleh dijadikan hiasan.
Kekadang, oleh sebab tidak dapat menumpukan masa untuk menjaga benda-benda kutipan dari luar negeri itu, ada yang tidak sempat dibuka pun dari bungkusannya. Ada yang disimpan dalam almari pakaian, sejak beberapa bulan tak diusik pun!
Masa beredar begitu pantas. Perkahwinan pramugari tinggi lampai ini berakhir dengan perceraian. Bekas suami pun kerja macam dia juga, jadi pramugara. Macam cikgu dengan cikgi. Biasalah kahwin begitu untuk memantapkan ekonomi keluarga, boleh bergaya mengalahkan jiran sebelah rumah.
Nah, sejak bercerai, dia semacam diganggui sesuatu. Tidak boleh tidur. Rumah yang diduduki seperti ada sesuatu. Kedengaran bunyi dentingan bumbung rumah. Ada seperti batu tergolek di atas bumbung atau guli dilempar di atas lantai. Siapa yang lakukan?
Dia hanya tinggal berdua, dengan anak lelakinya yang masih bersekolah. Anaknya itu sesekali sahaja balik ke rumah sebab dia tinggal di asrama.
Gangguan bunyi pelik di rumah itu berlaku setiap malam. Itu menyebabkan dia tidak boleh tidur lena. Untuk melenyapkan gangguan, dia cuba menonton televisyen, sengaja dipasangnya untuk mengurangkan tumpuan daripada mendengar suara-suara yang aneh itu.
Oh, tidak. Dia tidak dapat menumpukan sepenuhnya kepada program TV yang membosankan itu.
Dia cuba membaca ayat Kursy, itu sahaja yang dia dapat lakukan. Sedangkan solat lima waktu masih banyak yang berlubang-lubang. Ada masa dia buat, ada masa tak buat langsung.
Pelik. Dia fikir dengan membaca ayat Kursy sambil menyemak teks buku solat sunnat itu sudah memadai. Habis baca dia dengar semula.
Sudahnya, dia fikir, dia tidak boleh baca ayat itu begitu. Hanya seorang ustadz sahaja yang layak membacanya. Padahal kalau dia membacanya pun tidak jadi masalah.
Masa terus berjalan. Gangguan suara pelik akhirnya bertambah parah apabila dia semacam diganggui oleh makhluk yang itu. Makhluk yang tidak dapat dia lihat, entah bagaimana bentuknya, tidak berlembaga, tetapi, ketika dia tidur sendirian itu, dia seperti sedang ditiduri oleh lelaki lain. Siapa dia?
Dia rasakan seperti telah melakukan hubungan intim dengan seseorang lelaki. Mimpikah atau khayalan kosong? Tidak. Dia sendiri merasakan telah menikmati hubungan itu. Buktinya dia rasa nyeri dan letih melayani makhluk yang misteri itu.
Akhirnya, disebabkan gangguan yang melanda setiap malam, dia ambil keputusan untuk merujuk kepada orang tuanya. Dan kemudian merujuk kepada seorang ustadz.
Melalui kawan-kawan dia dapat nombor telefon ustadz berkenaan. Dia pergi ke rumah ustadz bersama anak lelakinya. Dia memandu mencari mana rumah ustadz berdasarkan alamat yang diberikan melalui SMS.
Apa yang dia hajatkan sudah ditemui.
Dia mengajak ustadz pergi ke rumahnya. Dia memandu kereta, duduk di sebelah adalah anak lelakinya. Dan ustadz duduk di belakang bagaikan bos. Duduk menyandar. Itu janjinya, dia boleh ambil dan hantar semula ustadz asalkan masalahnya boleh selesai.
Dalam perjalanan itu, mereka bercakap tentang isu yang sedang dihadapi. Bunyi pelik yang didengar setiap malam diceritakan kepada ustadz.
Kata ustadz, dia syak, gangguan yang dihadapi oleh ibu muda ini adalah berpunca daripada makhluk hantu raya atau genderuwo kalau di Jawa sana.
"Hantu raya?" dia macam tak percaya. Tahulah dia, bahawa hantu raya yang kerap datang meniduri dia sehingga dia keletihan dibuatnya.
Dia pun cerita tentang ayat Kursy yang dia baca untuk mengusir gangguan, tetapi tidak menjadi juga.
Maka akhirnya, ustadz tadi nasihatkan dia agar jangan mengabaikan solat. Jangan asyik melayani muzik dan hibuan di rumah. Penuhi rumah dengan bacaan al-Quran. Bukan baca ayat Kursy sekali dua sahaja.
Dan yang lebih penting, kalau ada benda-benda pelik yang dibawa dari luar negeri, jangan disimpan dalam rumah. Memang dia ada beli patung ukiran kecil seperti tangkal atau azimat. Hanya untuk suka-suka sahaja dan tidak berniat apa pun.
Dan dia ada menyimpan objek seakan-akan benda mistik dari Nepal yang tidak berguna apa pun. Benda itu ada kaitan dengan kepercayaan dan keyakinan kaum pagan. Ia tidak perlu disimpan, elok dibuang sahaja!
Dengan usaha ustadz untuk melakukan pemulihan di rumah itu pada keesokan harinya, maka fenomena pelik yang melanda rumah pramugari itu sudah dapat diatasi.
Dan kesan daripada pemulihan itu, dia tetap ingat pesanan ustadz, jangan abaikan solat, banyakkan berdoa, kerjakan amalan sunnat ketika di rumah, baca al-Quran setiap hari, bukan sekadar ayat Kursy yang pendek itu sahaja.
Terbukti, kini dia sudah rasa aman. Tidak ada gangguan lagi dari hantu raya atau genderuwo itu. Hanya dia rasa hairan, bagaimana hantu raya boleh masuk rumahnya. Adakah hantu raya itu saka dari bekas suaminya yang kerja pramugara? Atau saka dari orang tuanya dulu?
Dia sendiri tidak tahu. []

DOSA ORANG SYIAH SUNNI TANGGUNG, TERIMALAH!

ADA sesuatu yang tidak masuk akal dalam bab ajaran agama Syiah, iaitu bab dosa dan pahala. Konon, orang-orang Syiah sangat sukacita kerana ada kitab bacaan mereka yang menyebut bahawa segala dosa yang mereka lakukan, baik berzina [dengan mut'ah berbagai stail], mencuri, menyamun, edar dadah, membunuh, menghina Sahabat, hina Nabi s.a.w., menyamakan Imam berstatus ketuhanan dan berbagai dosa lagi, semua ini akan dicampakkan ke bahu Ahlussunnah.
Silakan ambil dosa yang dilakukan oleh Syiah. Syiah benar-benar gembira kerana ada kitab mereka yang kata begitu. Apa susah, dosa seluas langit pun akan ditanggung oleh Ahlussunnah. Jadi, dalam kamus hidup mereka tidak perlu fikirkan soal dosa, tidak perlu mohon itu dan ini, terutama pelepasan dari neraka Jahanam yang siksaannya amat pedih.
Mereka buat dosa, orang lain pula yang tanggung. Peliknya, Ahlussunnah iaitu kaum nashibi yang kena tanggung dosa mereka. Biar sebanyak mana dosa yang ada, mereka tak perlu tanggung. Semuanya diserahkan kepada Ahlussunnah.
Sayangnya, dalam kitab Ahlussunnah yang jadi rujukan, tak ada pula nash yang mengatakan dosa mereka kita kena tanggung. Dari mana mereka dapat ilham begitu?
Inilah yang dikatakan pemikiran Syiah yang ambil jalan mudah. Untuk meredakan kegusaran hati.
Puncanya, ada orang Syiah mengadu kepada Imam mereka, dia mengatakan bahawa orang-orang Syiah banyak yang melakukan maksiat, maklumlah dalam keyakinan mereka dosa boleh ditransferkan kepada orang lain. Tetapi ada orang yang prihatin, di mana logiknya dosa boleh dibagi kepada orang lain? Hanya ajaran Syiah sahaja. Itupun kitab mereka dirahsiakan, jangan cerita kepada orang awam. Kalau mereka tahu nanti mereka akan lebih-lebih jolly sakan.
Puncanya, konon asal tanah yang dibentuk untuk menjadikan orang-orang Syiah adalah dari jenis tanah yang khusus, maksudnya mutu tanah yang dipilih untuk menciptakan orang Syiah daripada tanah liar yang bermutu tinggi. Manakala tanah liat yang digunakan untuk menjadikan orang bukan Syiah semuanya dari jenis tanah bermutu rendah. Gred paling bawah, Syiah dijadikan dari tanah liat gred tertinggi!
Inipun tidak ada nashnya. Dongeng apa yang mereka bawa di dalam kitab mereka?
Meski ini macam cerita mengarut, tetapi Ni'matullah al-Jazairi berkata:
"Sesungguhnya ulama-ulama kami telah meriwayatkan tentang hal ini dengan sanad yang sangat baik, mereka sudah tidak ada alasan lagi untuk menolaknya. Dan tidak ada alasan untuk mengatakan bahawa statusnya adalah ahad, akan tetapi sudah menjadi khabar yang mutawatir."
Al-Kulaini, dalam kitabnya ada bab khusus tentang tanah liat ini, iaitu Thinatul Mukmin wal-Kafir.
Mulla Baqir Majlisi dalam kitabnya Bihar Anwar juga memaparkan hadis-hadis tentang thinah, bab: Thinah dan perjanjian.
Manakala Ibnu Babawaih al-Qummi, menyediakan bab khas bagi membicarakan soal tanah istimewa ini yang membezakan asal kejadian Syiah dan Ahlussunnah dalam kitabnya Illalu Asysyara'i.
Bagi kita yang Ahlussunnah, terima sahajalah apa yang mereka katakan. Mungkin bab thinah ini sengaja dimasukkan ke dalam kitab referensi Syiah bagi tujuan escapisme -- mereka tak mahu fikir soal akhirat yang terlalu berat hendak ditanggung. Dengan kaedah menyerahkan dosa untuk ditanggung oleh orang lain, setidak-tidaknya mereka boleh bersukaria melakukan apa sahaja.
Lagipun ada doktrin lain yang mengatakan, biarlah orang Sunni rajin solat, rajin berdoa, rajin sedekah, biar amalan mereka banyak, semua amalan itu bukan untuk mereka, sebaliknya untuk orang-orang Syiah. Ajaran yang menyimpang ini peliknya tidak mendapat komentar dari kalangan ulama Syiah yang hebat-hebat penampilan mereka. Atau, bimbang mereka kena menanggung dosa sendiri dibanding keyakinan bahawa dosa mereka boleh diserahkan kepada orang Sunni. Mudahnya kehidupan mereka! []

Tuesday 10 September 2013

SETELAH JADI SYIAH SEMUANYA, BAHARULAH PUAS!

PERGOLAKAN yang berlaku di sekitar Teluk, khususnya di Timur Tengah memperlihatkan percaturan yang tidak akan tamat sampai ke akhir zaman. Bahkan kalau al-Qaim atau Mahdinya Syiah telah muncul, bukan membawa kedamaian, kesejahteraan dan keadilan ditegakkan -- ia akan membawa kesengsaraan kepada orang Arab, sengsara kepada mereka yang berstatus nashibi, mereka akan menjadi makanan doktrin Syiah yang menghalalkan darah para nashibi. Yang selamat sejahtera ketika itu adalah golongan yang mendukung al-Qaim dan kaum Yahudi.
Di peringkat dunia yang orang tidak peduli sangat adalah pengeksportan doktrin agama baru yang umat Islam tidak ambil peduli pun. Apa yang terjadi di Iraq, apa yang terjadi di Lubnan, di Syria, merambah sampai ke Mesir sekarang. memperlihatkan mereka masih menggerakkan buah catur. Berbagai puak berbalah dalam negara muslim, sengaja menimbulkan pecah dan perintah, inilah yang kita perhatikan sekarang.
Kemegahan empayer Parsi di masa silam menjadi angan-angan negara Syiah sekarang. Dendamnya kepada Syaidina Umar r.a. hanyalah kerana sahabat yang satu ini dapat mengalahlah Parsi agar menjadi negara Islam. Sayangnya, Parsi yang telah menjadi Iran hari ini, setelah semua orang bertepuk tangan gembira kerana keberanian Khomeini membuang kerajaan monarki, megah kerana menegakkan negara Islam dipimpin lelaki berjubah, berjanggut lebat dan berserban -- akhirnya semua orang tahu, setelah dia berjaya menguasai dunia dan membuatkan umat Islam fokus ke Teheran, dia mulai merencanakan doktrinnya, Imamiyah menjadi sandarannya, dan berbagai keanehan ajaran yang dilihat dari perspektif ahlussunnah. Maka semua orang rasa kecewa dengan Revolusi Iran itu, ia bukan sebuah revolusi untuk menegakkan Islam, sebaliknya revolusi yang meruntuhkan Islam, sehingga Islam menjadi permainan, ajaran Islam seperti diperkotak-katikkan, betapa tidak? Al-Qur'an sendiri dipertikaikan, peranan Jibril dikritik habis-habisan. Namun yang tidak menyedari kekacauan ini, mereka tetap yakin bahawa dialah mujaddidnya!
Apabila Iran berambisi untuk menyiapkan program nuklearnya, orang luar memikirkan ia hanya sekadar untuk keperluan semasa sesuai dengan ketikanya. Negara kuasa besar juga memiliki bahan itu, apakah Iran tidak boleh memiliki juga bagi tujuan bukan peperangan? Bertolak dari sini, orang melihat bahawa Iran memang bercita-cita menjadi super power suatu ketika nanti bagi mengembalikan kegemilangan Parsi yang telah sirna. Bukan sekadar mahu mengembalikan Parsi sebagai negara kuasa besar apabila Amerika telah runtuh nanti, mereka juga berambisi besar mahu menjadikan seluruh dunia ini sebagai wilayah Syiah. Ketika itu, baharulah mereka puas. Puas setelah Mahdi menguasai seluruh alam ini sekalipun cerita Mahdi versi Syiah ini tidak lebih dari mitos atau utopia belaka. Tetapi kita jangan lupa, mereka ingin melihat agar orang islam bertukar kiblat, ketika ini memang fatwa sedemikian belum timbul, kalau sesiapa menyemak referensi Syiah itu, kita akan temui bahawa al-Qaim akan menugaskan orang-orangnya untuk meranapkan bangunan bersejarah baik Masjidil Haram, Kaabah dan Masjid Nabawinya. Semuanya hendak diratakan setelah itu mereka akan membina semula bangunan mengikut struktur yang asal ketika di zaman awal pembinaannya.
Apakah al-Qaim mempunyai kekuatan untuk merombak dan menyusun semula? Inilah yang orang tidak fikirkan, bahkan mereka yang menyusun kitab rujukan Syiah pun tidak memikirkannya, asalkan ia memiliki sanad yang berakhir kepada Imam-imam mereka, itu sudah mencukupi.
Setelah Syiah tertegak di segenap penjuru dunia, barangkali ahlussunnah akan menjadi buruan di mana-mana, dan ketika itu baharulah orang Syiah tertawa agaknya, sebab ahlussunnah pula yang terpaksa bertaqiyyah. Dulu Syiah bertaqiyyah di kalangan ahlussunnah, kemudian setelah mereka menguasai dunia, Sunni pula bertaqiyyah. Diharapkan khayalan buruk ini tidak berlaku. Barang dijauhkan Allah. Kerana kita sudah mengetahui kebatilan ajaran Syiah itu. Cerita mereka nak alihkan Hajar Aswad ke tempat mereka memang tidak popular di kalangan Sunni. Tetapi ingat, walaupun cerita ini seperti dongeng, bagi kalangan Syiah ghulat, ia akan menjadi paksi kejahatan yang dicambahkan di mana-mana untuk menguasai dunia. Puak-puak Rafidhah ini sentiasa mencari akal bagaimana hendak menawan dunia.
Tidak kiralah dengan hubungan diplomatik, kebudayaan, pendidikan, sukan dan sebagainya. Pertukaran pelajar yang kita anggap biasa-biasa sebaliknya ada tugasan lain yang terselindung. Kita selalu lupa dalam perkara kecil begini. Kita juga leka kerana syik menuding jari ke arah parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat yang dikatakan ada kemasukan Syiah di dalamnya. Secara teori, Syiah lebih suka menyusup melalui hubungan dengan penguasa yang ada di mana-mana negara Islam. Bagi negara kuffar mereka tidak ada masalah kerana ajarannya memang menyelisihi ajaran Islam. Syiah lebih suka berganding bahu dengan parti politik yang menjadi paksi dalam pemerintahan sesebuah negara. Mereka tak mahu membuang masa dengan berkawan dengan parti kecil yang tidak menguasai pusat. Inilah yang kita lupa atau buat-buat tidak tahu. Sekalipun mereka tidak menguasai, mereka mempunyai rakan karib, iaitu puak-puak Yahudi untuk melaksanakannya menggunakan jalur perdangan. Bukankah Syiah dengan Yahudi itu ada kaitan dengan sejarah masa silamnya? Bahkan umat Yahudi di Iran menurut sumber, mendapat layanan istimewa berbanding mereka dari Sunni. Pertikaian di Syria menampakkan tembelang mereka yang sebenar. Inilah antara ulasan yang dapat penulis buat setelah mengikuti forum berkaitan pergolakan yang berlaku di Mesir sekarang dalam wacana isu semasa yang diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur, 10hb.September 2013 yang lalu.Meskipun peranan Iran seperti tidak diperlihatkan, namun berkat taqiyyah yang menjadi doktrin agama mereka menyebabkan orang tidak tahu apa peranan sebenar mereka dalam isu Mesir itu. Wallahu a'lam. []

Monday 9 September 2013

NAMPAK TANGKAL DAH GERUN

Harian Metro [9/9/2013] jadi rujukan paparan ini.
Adakah sesiapa yang rasa terkejut, rasa lain macam, atau rasa bermacam-macam setelah melihat tangkal atau azimat?
Itulah pandangan negatif bagi kalangan orang yang tidak mengetahui apa hakikat tangkal dan azimat yang sebenar.
Apabila memeriksa bilik atau beg milik pembantu rumah dari seberang, orang mudah buat kesimpulan bahawa pembantu rumah ini mengenakan tuan rumah dengan ilmu hitam, ilmu penunduk, ilmu pengasih dan macam-macam ilmu lagi.
Memandang negatif ke atas pembantu rumah warga asing sudah lama berlaku. Ini kerana paparan media jarang memaparkan sesuatu yang baik tentang pembantu rumah.
Apabila seseorang terlalu menurut dan mendengar kata pembantu rumah, maka orang itu dianggap telah terkena buatan orang. Buatan siapa? Sudah tentu pembantu rumahlah!
Keyakinan kepada benda-benda mistik seperti tangkal dan azimat begitu menebal di kalangan orang kita. Mereka seolah-olah terlalu gerun kalau terpandang benda-benda mistik yang disyaki sebagai tangkal atau azimat.
Itu belum lagi melihat benda-benda seakan mistik yang dijaja oleh orang-orang Nepal di negara kita. Barangan mistik yang menjadi pegangan orang-orang Nepal juga ada persamaan dengan benda mistik yang jadi pegangan orang Melayu.
Orang Melayu banyak meniru amalan orang-orang luar. Kemistikan sesuatu benda itu diyakini memberi manfaat bagi sesuatu tujuan.
Bagi yang taksub kepada tangkal dan azimat, mereka memang tidak boleh lari dari memilikinya.
Tidak hairan, ada kalangan pembantu rumah dari seberang yang memiliki apa yang dinamakan sebagai tangkal atau azimat.
Tentang keampuhan tangkal atau azimat itu boleh menundukkan majikan adalah meragukan. Apabila majikan sendiri sudah berpandangan negatif, berprasangka buruk kepada pembantu rumahnya, adakah ia memberi petunjuk bahawa di situ ada pengaruh sihir?
Inilah yang berlaku di sebuah negeri baru-baru ini. Hanya setelah terpandang benda-benda pelik, minyak wangi dalam botol [sesiapa yang biasa memakai minyak wangi tanpa alkohol tentu tidak hairan], nampak tangkal, kain dengan rajah-rajah tertentu, semua benda ini dianggap bertujuan mengenakan majikan.
Pihak majikan pula kerana terlampau gerun dengan tangkal dan azimat, mereka tidak syak apa lagi melainkan bahawa pembantu rumah yang digaji untuk menjaga rumah dan anak-anaknya sudah main ilmu hitam.
Tidak memarahi pembantu rumah, sentiasa akur dengan pembantu rumah, sentiasa mendengar kata-katanya, ia bukanlah indikasi pembantu rumah telah mengenakan ilmu kepada majikannya.
Hanya mereka yang tak pernah tengok botol minyak wangi [dengan berbagai bau] dan mereka yang tak pernah tengok kain kuning atau kain hitam mengandung rajah-rajah tertentu sahaja yang berasa gerun dengannya.
Jika seseorang merasakan sesuatu melihat benda-benda yang disangka tangkal dan azimat, maka itu membuktikan orang itu gerun kepada tangkal dan rajah-rajah yang disangka azimat.
Padahal, benda-benda sebegitu, siapa pun boleh membuatnya jika mahir memotong dan menjahit kain dengan cermat, mahir melakar dengan cara meniru rajah-rajah yang sudah ada. Buatlah sebanyak mana pun, ia tidak memberikan apa-apa kesan.
Ia hanya sarana sahaja. Orang yang gerun kepada kain berlipat kerana ada tulisan dalamnya, maka ada sesuatu yang tidak kena pada orang itu.
Seperti dipaparkan dalam media cetak, majikan melihat pembantu rumahnya asyik menonton video atau sinetron ketika mereka keluar bekerja. Pembantu rumah dikatakan pemalas,  kerana dia suka berehat-rehat dalam bilik sahaja. Disebabkan kecewa dengan perangai itu, majikan mula menyiasat apa puncanya. Setelah menemui benda-benda pelik itu, maka ia dijadikan rangkaian cerita dalam bentuk tuduhan.
Apabila seseorang sudah benci, maka apa sahaja yang dilakukan, apa yang sahaja yang menjadi miliknya tidak akan disenangi.
Seperti kes pembantu rumah konon mahir mengenakan majikan. Sebetulnya, tidak ada pembantu rumah yang menggunakan ilmu begitu kepada majikannya. Jika dikatakan sebagai penunduk atau ilmu pengasih, tuduhan itu masih diragui.
Apabila majikan menjaga akhlaknya, menjaga solatnya, sentiasa berdoa, membaca al-Qur'an di rumah, mengerjakan solat-solat sunat umpamanya, apa ilmu pun tidak akan mempengaruhi diri mereka. Akan tetapi kerana kecuaian, kelalaian dalam berbagai aspek tadi dek kerana terlalu sibuk, tidak ada masa, maka mudahlah mindanya dirasuki oleh kegerunan terhadap tangkal dan azimat.
Apatahlagi kalau dalam rumah itu banyak menyimpan benda-benda seperti patung sembahan, gambar-gambar yang tak wajar, asyik mendengarkan alunan muzik dan nyanyian [radio 24 jam], maka pengaruh negatif mudah menyusup.
Apabila ia telah menguasai minda, mudahlah mereka berprasangka buruk terhadap orang lain. Kesilapan diri sendiri dihumbankan kepada orang lain.
Penat bekerja di luar, balik hingga pukul 2.00 pagi menyebabkan tidak perlu untuk bercakap banyak -- kesannya ia dianggap telah terkena ilmu hitam.
Sentiasa akur dengan kehendak pembantu rumah, dianggapnya sudah dikenai ilmu hitam. Padahal bukan ilmu hitam, sebaliknya sedar bahawa kalau pembantu rumah cabut, suami isteri yang bekerja akan kebingungan. Bagaimana hendak bekerja esok? Bolehkah anak-anak ditinggalkan begitu sahaja di rumah, atau diserahkan kepada jiran atau hantar ke kampung?
Sikap berhati-hati dalam bereaksi, membuat teguran dan sebagainya ada kaitan dengan soal betapa sukarnya hendak mendapatkan pembantu rumah yang terbaik.
Memanglah, sesiapa pun tidak akan mendapat apa yang dihajati. Akan ada sahaja cacat atau ketidaksempurnaannya. Kalau pembantu rumah terlalu cantik isteri pula yang susah hati. Kalau suami terpikat kepadanya, dikatanya pembantu rumah gunakan ilmu hitam.
Sebenarnya, apabila seseorang itu telah diasuh agar bergantung kepada tangkal dan azimat, maka sebagai bekal pasti benda-benda mistik itu akan dijadikan benda bawaan untuk merantau.
Ia tidak memberi apa-apa manfaat dan mudarat pun. Hanya jika diperhalusi ia telah mencemarkan aqidah seseorang. Bukan sahaja pemilik benda mistik itu sahaja, malah kepada majikan yang terlalu gerun setelah melihat benda-benda mistik itu menjadi simpanan pembantu rumah.
Orang seberang sudah lama dilabelkan gemar kepada benda-banda khurafat dah tahayul begitu. Bahkan memang ada kalangan pembantu rumah yang bekerja di Taiwan atau Hong Kong menggunakan peranti semacam tangkal atau azimat sebagai pegangan ketika merantau.
Majikan yang bermasalah, jiwanya kacau, banyak prasangka bertambah gerun kalau mereka melihat ada benda-benda pelik meskipun hanya sebatang paku dalam saku. Atau melihat kain kuning berlipat dalam beg pakaian pembantu rumah. Atau jika tak pernah menghidu bau minyak atar, bau yang pelik seperti gaharu, atau apel jin pun akan menimbulkan prasangka. []

Sunday 8 September 2013

VIRUS SYIAH DALAM WACANA, HABIS WACANA NAK KE MANA?

AHAD [8/9/2013] ada seminar tentang Mendepani Virus Syiah. Beberapa kertas yang bekerja dibentangkan di seminar yang diadakan di Pusat Islam. Seminar yang yang dianjurkan bersama Muafakat dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pejabat Mufti Negeri Terengganu dan Sabah bolehlah dianggap berjaya. Ya, berjaya menganjurkan seminar sedemikian. Tidak tahu apa resolusi dari seminar itu. Tentunya yang hadir di dewan itu tertanya-tanya, selepas ini apakah ada perubahan bagi menangani isu Syiah itu atau ia tenang semula. Apabila dijolok baharulah sibuk semula, semua orang nak berwacana, menyelak kitab-kitab rujukan Syiah untuk mencari cerita baru, atau sekadar untuk memenuhi jadual acara yang ketat itu.
Begitulah yang dikatakan seminar. Siapa sahaja boleh anjurkan seminar kalau ada kemampuan. Nak mencari pembentang kertas kerja satu hal. Mungkin selepas Syiah, mereka akan anjurkan wacana tentang Wahabi pula. Nama pun wacana pemikiran dan peradaban ummah, jadi memang isunya berkaitan dengan pemikiran yang berselirat mengitari peradaban ummat Islam, bukan sahaja di negara kita, bahkan di luar negeri pun begitu.

VIRUS DALAM RUMAH
Wacana tentang Syiah ini bukanlah suatu topik yang digemari orang ramai. Ada yang melihat Syiah dari jauh sahaja. Ada yang tak kisah apa pun. Kenapa? Selagi virus Syiah tidak menjangkit dalam rumah mereka, maka selama itulah mereka buat tak peduli. Mungkin apabila anak gadis dari isi rumah di kalangan mereka telah melibatkan diri dalam nikah mut'ah dengan pelajar dari Iran atau dari Iraq, anak gadis sudah mengandung, baharulah seisi rumah kecoh. Atau apabila isteri dilarikan orang dek kerana telah nikah mut'ah dengan seorang pendakwah Syiah yang berserban besar dan berjubah. Atau apabila si anak atau si suami mulai enggan mengerjakan solat Jumaat lagi. Di bulan puasa nanti tak payah nak terawih semua. Atau ketika si anak seperti menari-nari sambil memukul dadanya menyesali sesuatu yang entah apa sebenarnya yang terjadi, seisi rumah pun tak tahu.
Dinamakan virus kerana ia tidak dapat dilihat dengan teropong biasa. Lagipun sisi Syiah yang orang kita tak ambil peduli adalah TAQIYAH iaitu sikap berpura-pura. Kalau dia dah nikah mut'ah pun dia menafikan. Kalau dia ikut Syiah pun dia menafikan. Masih nak solat bersama seolah-olah tak ada perubahan. Benda aqidah tidak dapat dilihat kerana ia tersembunyi.
Dengan berTAQIYAHlah menyebabkan ada tuduhan bahawa si fulan dan si fulan telah jadi Syiah. Bukan tak ada orang kata, buat apa nak kecoh. Itu masing-masing punya hal. Mereka nak amalkan apa pegangan pun biarlah, selagi mereka tak kacau kita! Betul. Mereka tak kacau kita sebab mereka sedikit. Apabila mereka ramai, sudah jadi majoriti, mereka akan bangkit, mereka akan bersuara, mereka akan berarak, mengangkat kain rentang, mereka memukul dada, meraung-raung, merintih dan menyebut nama Ali, nama Husain, maka ketika itulah kita kehairanan -- dari mana mereka datang?

RUANG PENYUSUPAN
Virus Syiah yang tidak kita sedari rupa-rupanya telah menyusup dan menjangkiti umat Islam di negara kita melalui berbagai saluran. Antaranya:
  1. Melalui kedutaan negara-negara pengamal Syiah [tak semestinya Iran sahaja].
  2. Melalui hubungan diplomatik dengan negara pengamal Syiah.
  3. Penghantaran pelajar -- baik pelajar negara Syiah ke Malaysia atau dari Malaysia ke negara Syiah. Berapa ramai pelajar kita mendapat tajaan untuk belajar di hauzah-hauzah hebat di sana?
  4. Jalinan perniagaan - rakyat negara berkenaan bebas untuk menjalankan perniagaan di negara kita, begitu juga rakyat kita kalau mahu berniaga di sana.
  5. Melalui parti politik. Ramai yang menganggap bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang dekat kepada dunia Syiah kerana dukungan mereka ketika Revolusi Iran diketuai Khomeini dulu. Apabila media menyentuh tentang Syiah mereka kata Syiah telah meresap dalam PAS. Bukankah antara agenda Khomeini selepas berjaya menubuhkan Republik Iran adalah untuk mengeksport doktrin Syiah ke negara-negara sasaran? Dan mereka tidak memilih parti kecil, sebaliknya memilih golongan penguasa yang sedang berkuasa agar sasaran lebih efisien? Jadi Syiah tidak menyasar PAS sahaja, ia sedang giat untuk membidik UMNO dan PKR. Pihak pemimpin UMNO tidak perlu menuding ke arah PAS sahaja.
  6. NGO -- ada banyak NGO di negara kita. Pada dasarnya setiap NGO itu seperti tidak ada apa-apa impak mempesona untuk menjangkitkan virus Syiah di negara kita. Tetapi lambat laun, jika ada kabel hebat yang dihantar oleh pihak tertentu, nescaya kabel menjadi kuat setelah ada imbalan dana asing [maksudnya negara Syiah].
  7. Mengedar buku dan risalah -- ini kaedah yang telah dilakukan oleh para dai Syiah di celah-celah masyarakat kita. Buku diletakkan di rak-rak masjid dan surau. Silakan baca. Buku itu diedarkan secara percuma. Contoh buku: MENITI TITIAN KEBENARAN, INILAH AL-KHULAFA AR-RASYIDIN RASUL, DIALOG SUNNAH SYI'AH. Mungkin di tempat lain ada buku atau risalah lain.
  8. Dengan mengadakan nikah mut'ah -- bagi anak muda kita yang kemaruk cinta dan kesyahwatan yang melampau, inilah ruang untuk bermut'ah, boleh dilakukan di restoran makanan segera yang melambak di negara kita [kebetulan ia jadi tumpuan berlonggok pelajar asing, maharnya hp, duit ala kadar, sepasang kasut pun tak apa , itu menurut paparan media kita].
  9. Pusat pendidikan -- tak kira peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah dan peringkat tinggi. Jika tidak melibatkan murid/pelajar ada yang digerakkan oleh tenaga pengajarnya.
  10. Melalui media sosial -- laman yang digemari golongan muda dan berumur. 
Itulah antara lain yang dibincangkan di dalam seminar tentang Syiah. Inilah modus operandi berkembangnya Syiah di negara kita. Dan disebabkan saluran-saluran yang disebut itu memang nyata, maka ada di kalangan peserta seminar mencadangkan agar Malaysia memutuskan hubungan dengan negara pengeksport doktrin Syiah. Dengan itu gangguan pelajar, gangguan perdagangan, dan apa sahaja yang boleh meresahkan ummah dapat dibendung.
Mufti Wilayah mencadangkan agar kita ikut cara Maghribi yang telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran. Jika tidak, virus Syiah akan tetap menyusup, lama kelamaan ia merebak dan terus merebak. Apabila ia telah meluas, maka keadaan menjadi parah. Kita tidak akan mampu kalau mereka telah berarak di jalan-jalan. Situasinya lebih dahsyat daripada perhimpunan Bersih. Betapa tidak, kalau setiap bulan Muharram mereka berhimpun dan merayakan hari mereka? Taqiyah tadi menyebabkan kita tidak tahu agenda sebenar mereka. Mereka terlalu berahsia.

PELURU
Hanya pihak Sunni tidak perlu defensif. Kena sediakan peluru untuk menembaki doktrin Syiah ini. Carilah peluru yang betul-betul power untuk menembaki minda ummat agar mereka benci kepada doktrin Syiah.
Bahkan, para pembentang kertas kerja juga mengakui, ketika puncak Revolusi Iran dalam tahun 70-an dulu, semua orang fokus kepada Teheran. Mereka kagum dengan orang tua berjanggut berjubah itu, pulang ke Teheran dengan diiringi pasukan keselamatan Perancis. Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan. Adakah Barat merestui pembentukan sebuah Republik Islam ketika itu?
Rupa-rupanya, doktrin Syiah ini selari dengan pemikiran puak-puak yang menjadi musuh Islam. Payah untuk difahami oleh mereka yang tidak mahu memikirkan isu ini. Justeru, penerbitan buku, jurnal dan bahan-bahan yang boleh menjelaskan isu ini diharapkan dapat meluruskan kefahaman ummat Melayu terhadap isu Syiah.
Jika tidak, mereka akan memilih jalan tengah.
Mencari doktrin yang memudahkan mereka berurusan dengan Tuhan. Menjamak solat. Tidak perlu solat Jumaat dan terawih di bulan Ramadan. Doktrin imamah. Doktrin al-Mahdi. Memiliki mushaf lain. Dan banyak lagi doktrin pelik yang kita tidak ambil peduli pun. Begitu juga dengan seminar tentang Syiah di Pusat Islam, ia nampaknya hanya menjadi tumpuan para pelajar, tumpuan pemimpin NGO yang berkaitan, para pemikir yang ingin meluaskan bahan bandingannya dalam isu Syiah, dan mereka yang gemar mencari sesuatu di luar kepompong kehidupan yang biasa-biasa. Kita menunggu apa hasilnya seminar tentang Syiah itu. Wallahu a'lam. []

Wednesday 4 September 2013

IMAM MAHDI YANG MENGGERUNKAN

Bagi menggambarkan kejahatan yang akan dilakukan oleh Imam Mahdi [al-Qaim] kita lebih selesa memetik paparan yang dibuat oleh bekas ulama Syiah sendiri iaitu Sayyid Hussain al-Musawi yang pernah kita ceritakan bahawa dia selalu menyertai Khomeini pergi ke mana-mana.
Dia kata, untuk apalah orang nak mengharapkan sangat kedatangan Imam ke-12 yang masih ghaib tak sudah. Tidak diketahui apa yang dia sedang buat. Entah ada atau tidak. Bolehkah dia muncul nanti atau tidak? Perlu diingat, ada dua versi Mahdi, satu milik ahlussunnah dan satu lagi milik Syiah.
Versi milik Syiah ini menimbulkan kekeliruan yang amat sangat kepada kita.
Betapa tidak, walaupun sampai seribu tahun lebih menunggu kedatangannya, apabila dia muncul dia akan jadi pengganas. Dia akan menghunuskan pedang kepada orang-orang Arab.
Di zaman serba moden sekarang apakah al-Qaim akan gunakan pedang lagi?
Al-Majlisi meriwayatkan bahawa al-Muntazar [Mahdi] berjalan di kalangan orang Arab dan membunuh orang-orang Arab yang ada [Bihar al-Anwar, 53/318].
Dia menambah, "Tidak ada yang tertinggal antara kami dengan orang Arab selain pembantaian." [Bihar al-Anwar, 52/349].
Nampak gaya kedatangan al-Qaim atau Mahdi ini sangat menggerunkan orang Arab. Habis semua orang Arab akan ditebas dengan pedang tak peduli mereka itu ahlussunnah atau Syiah. Inilah khabar buruk untuk orang Arab.
"Hati-hatilah terhadap orang Arab, kerana mereka memiliki khabar buruk, sesungguhnya tidak akan keluar seorang pun dari mereka bersama al-Qaim." [Bihar al-Anwar, 52/333].
Dan dalam riwayat yang menjadi referensi mereka tidak menghairankan kalau mereka boleh kata bahawa Kisra itu selamat dari api neraka.
Majlisi merekodkan bahawa Amirul Mukminin [Ali maksudnya] berkata:
"Sesungguhnya Allah telah menyelamatkan (Kisra) dari api neraka, dan api neraka diharamkan atasnya." [Bihar al-Anwar, 41/4].
Selain membantai habis orang Arab, kerana mereka lebih mengutamakan orang Parsi, maka al-Qaim mengganas lagi.
Kali ini menurut riwayat Syiah juga, al-Qaim akan menghancurkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Majlisi meriwayatkan:
"Sesungguhnya al-Qaim akan merobohkan Masjidil Haram  dan Masjid Nabawi sehingga rata dengan bumi." [Bihar al-Anwar, 52/338].
Lebih dahsyat lagi, dia juga meriwayatkan bahawa orang yang akan diusir dari Madinah itu adalah Abu Bakar dan Umar. Maksudnya, al-Qaim akan mengorek kuburannya dan dikeluarkan untuk dihukum oleh al-Qaim. Keduanya akan dilemparkan dengan angin dan serentak dengan perobohan masjid. [Bihar, 52/387]. Ini projek balas dendam Syiah terhadap dua sahabat yang agung. Lihatlah sampai ke situ diburunya asalkan mereka puas!

KARBALA
Mengikut penjelasan Husain al-Musawi, sebenarnya di kalangan fuqaha Syiah, Kaabah itu tidak memiliki peranan apa dalam Islam, yang utama adalah KARBALA.
Tanah Karbala itu menurut nash-nash yang dibawa oleh para fuqaha Syiah adalah bahagian bumi yang paling suci, paling mulia, tanah suci pilihan Allah yang penuh berkah, itulah tanah haram Allah dan Rasul-Nya, itulah kiblat Islam sebenar, dan tanahnya boleh dijadikan penyembuh segala penyakit, tidak ada bumi dan tempat lain yang hebat walaupun dengan Kaabah sekalipun.
Jika begitulah pendapat para fuqaha mereka, kenapa ia tidak diwar-warkan kepada para pengikut Syiah yang baru nak berjinak-jinak dengan Syiah.
Ini semua seperti dirahsiakan di dalam kitab-kitab mereka. Kalau orang tahu tembelang mereka, maka mereka akan jauhkan diri.
Bayangkanlah, bahawa riwayat ini sudah masyhur sejak dulu lagi di kalangan mereka. Bahawa Karbala jauh lebih mulia daripada Kaabah. Karbala adalah tempat untuk orang tawaf, maka bertawaflah sebanyak tujuh kali.

APA TUJUANNYA?
Soalnya, kenapa al-Qaim atau Mahdi ini sanggup merobohkan dua tempat suci itu? Adakah mereka tidak suka kepada Islam?
Husain al-Musawi kata, sebabnya kerana yang akan tersisa dari kaum muslimin tidak lebih dari sepuluh orang.
At-Thusi berkata:
"Tidak akan terjadi urusan ini hingga hilang sembilan sepersepuluh manusia." [Al-Ghaibah, hal.146].
Selain menghunus pedang kepada orang yang tidak sebulu dan sealiran dengan mereka al-Qaim tidak berpandu kepada ajaran Nabi sallallahu alaihi wasallam, sebaliknya dia akan ikut ajaran Daud dan Sulaiman.
Dikatakan bahawa Abu Abdillah [Imam Syiah] berkata:
"Jika al-Qaim [Mahdi] dari keluarga Muhammad muncul, dia akan berhukum dengan hukum Daud dan Sulaiman, dia tidak akan menanyakan bukti." [Al-Kulaini, al-Ushul min al-Kafi, 1/397]
Al-Majlisi berkata, al-Qaim itu akan membawa ajaran baru, kitab yang baru dan hukum yang baru [Al-Bihar, 52/354].
Sukar untuk dikatakan ia ajaran baru, sebalik ia kembali kepada zaman Nabi Daud a.s. dulu. Kena guna kitab yang lama.
Ini tidak menghairankan sebab salah satu kelebihan dan kehebatan Imam 12 Syiah adalah mereka membaca semua sekali kitab-kitab yang ada, baik ia Injil, Taurat dan Zabur dalam bahasa Suryani [Al-Hujjah min al-Kafi, 1/207].
Mengikut riwayat Syiah, semua Imam mereka  nmemiliki kitab-kitab yang diturunkan Allah. Mereka mengetahui isinya meski ia di dalam bahasa yang berbeza-beza.
Adakah ada kajian telah dilakukan tentang kemahiran dan kefasihan bahasa para Imam 12 yang dikatakan sangat menguasai kitab-kitab tersebut?

KUFAH
Bagi orang yang mengkaji masalah Syiah, tentu hairan kenapa al-Qaim yang ditunggu-tunggu itu begitu ganas, dia membunuh orang-orang Arab [maksudnya Islam], bukan Nabi sallallahu alaihi wa sallam juga orang Arab?
Ali pun keturunan Arab juga. Al-Qaim yang membunuh orang Arab pun Arab juga. Bukankah orang Arab yang banyak mengimani kemunculan al-Qaim pada akhir zaman?
Inilah yang jadi tanda tanya kita.
Begitu juga kenapa dia hendak mengamuk sakan hingga Masjidil Haram dan Masjid Nabawi hendak dihancurrobohkan?
Husain al-Musawi berkata, sebab mengapa mereka robohkan kiblat orang Islam itu? Ia sebenarnya hendak mengalihkan kiblat umat Islam sedunia agar mengarah ke Kufah. Inilah peliknya.
Al-Faidh al-Kasyani meriwayatkan:
"Wahai penduduk Kufah, Allah telah menghadiahkan kepada kamu sekalian keutamaan yang tidak dihadiahkan kepada seorang pun. Tempat solat kamu adalah rumah Adam, rumah Nuh dan rumah Idris serta tempat solatnya Nabi Ibrahim. Tidak akan pergi hari-hari sehingga Hajar Aswad ditanam di dalamnya." [al-Wafi, 1/215].
Jadi, maksudnya, agar umat Islam beralih arah ke kiblat baru di Kufah sana. Maksudnya, pada masa zaman al-Qaim muncul dan mengamuk sakan itu, kebanyakan orang sudah beralih kepada Syiah semuanya. Matlamat Syiah hendak mensyiahkan seluruh umat agar berpaling ke Kufah. Inilah ujian terbesar dan terberat pada ketika itu.
Sayangnya, riwayat atau mitos seperti ini hanya terdapat di dalam referensi Syiah, menjadi pegangan para fuqaha mereka. Bahkan orang Syiah awam pun tidak memahaminya. Mereka hanya mengharap kehadiran Mahdi Imam ke-12 yang ditunggu. Dia akan membawa kebahagiaan kepada umat, sebaliknya kalau merujuk kepada riwayat [bid'ah?] itu mereka tidak perlu muncul lebih baik.
Kalau dia muncul dia akan membunuh semua orang, dia akan hancurkan tempat suci kita dan kemudian memaksa kita beralih kiblat.
Tentunya, poin ini sangat kuat untuk dijadikan sumber ulasan ketika seseorang berwacana tentang Syiah agar semua orang dapat memahami apakah matlamat mereka menunggu Mahdi itu. Seandainya Mahdi yang ditunggu itu membawa kepada kehancuran islam, maka apa gunanya mereka menunggu kedatangannya? Wallahu a'lam. []

Tuesday 3 September 2013

TIDAK MENGHARGAI BANTUAN, APA DAH JADI?

KETIKA singgah di Masjid Pakistani Chow Kit, Kuala Lumpur semalam sementara menunggu waktu zuhur, kedengaranlah suara sembang kosong kalangan kaki lepak di bawah lantai wakaf.
Semua yang ada di situ ada membawa beg warna hijau. Itulah beg yang menjadi bahan cerita mereka petang itu. Ada yang pertikaikan harga barang keperluan dapur yang mereka dapat dari pihak tertentu [Baitul Mal].
Ada yang keluarkan tin susu F&N, ada yang keluarkan serbuk teh, sebungkus gula harga subsidi, tepung gandum, sebungkus bihun dan ada lagi barang lain yang tidak kelihatan.
Salah seorang penerima bantuan memberitahu kepada kawannya bahawa dia tak ada dapur, nak buat apa bantuan teh susu dan gula itu? Maka dia pun serahkan bantuan yang dia dapat kepada seorang wanita bertudung yang kebetulan singgah di situ.
Wanita itu mengadu, dia sudah pergi ke pejabat Baitul Mal untuk ambil bantuan, tetapi pegawai yang bertugas di sana beritahu tunggu sehingga pukul 2.00 petang nanti. Ustadz yang bertugas nak berehat katanya. Wanita itulah yang menerima bahan bantuan itu.
Yang jadi isu, mungkin bukan seorang dua yang mengalami keadaan begitu. Ramai lagi yang mendapat bantuan dari pihak tertentu tetapi tidak memanfaatkan bantuan sepenuhnya.
Ini bukan cerita kosong, ada penerima bantuan beras, kopi, gula, susu, milo dan sebagainya, tetapi mereka tidak memanfaatkan bantuan itu. Ada yang disimpan sahaja benda itu sampai berbulan-bulan, bahkan sampai luput tarikh. Kenapa? Itu bukti penerima bantuan itu tidak perlukan itu semua. Mereka hanya perlukan duit, bukan susu, bukan beras, bukan bihun kering atau apa sahaja bahan keperluan dapur.
Di kalangan mereka yang sembang kosong itu, bukan tidak ada yang sedang mencongak-congak berapa harga sebenar bantuan yang diberikan oleh pihak tertentu itu.
Mereka kata, tidak sampai RM50.00 pun. Memang pun. Kalau dilihat dari segi barang keperluan yang dimuatkan di dalam beg hijau itu harganya mungkin kurang dari itu. Jangan banding dengan harga di pasaran. Sebab pihak yang memberikan bantuan tentu telah mendapat bahan keperluan dari pembekal tertentu, sudah tentu harganya jauh lebih rendah apabila dibeli secara pukal.
Kes, penerima bantuan menjualkan beras, gula, teh, kopi dan apa sahaja kepada orang lain bukan cerita rekaan.
Sudah lama saya melihat adegan ini. Ada yang menjualnya kepada peniaga kecil di Jalan Masjid India. Ada yang menjual kepada sesiapa yang mahu membelinya kalau sudi. Mereka sebenarnya lebih mengharapkan wang ringgit.
Hanya, cuba bayangkan. Kalau mereka diberi wang ringgit. Apa yang mereka boleh beli dengan wang bantuan itu? Sudah tentu mereka tidak akan memanfaatkan wang itu untuk keperluan dapur. Sebaliknya mereka akan tuju kedai untuk beli kasut, baju atau benda lain. Inilah hakikat sebenarnya. Manakala bagi yang kaki lepak [termasuk gelandangan] wang itu boleh digunakan untuk makan minum harian yang boleh bertahan dua tiga hari sahaja. Lepas itu kosong semula.
Difahamkan pihak Baitul Mal ada pegawai khas yang dikatakan turun padang untuk mencari golongan ASNAF yang sepatutnya menerima bantuan. Dilihat daripada van yang bertulis begitu, kita anggap pihak berkenaan telah menjalankan tugas dengan jayanya.
Suatu perkara yang perlu diperhatikan, bantuan dari pihak tertentu ini, baik secara bulanan atau berkala, elok dipantau oleh para pegawai berkenaan. Adalah suatu perkara yang menghairankan jika pihak berkenaan memberikan bantuan beras dan gula sedangkan mereka yang menerima bantuan itu hanya tinggal di bilik kecil yang disewa. Mereka tidak ada dapur, atau tidak dibenarkan memasak di situ.
Jadi, bagi yang menghadapi masalah begini, mereka tidak ada cara lain melainkan menyerahkan apa sahaja bahan bantuan bulanan atau berkala kepada orang lain yang mempunyai dapur. "Saya tak ada dapur, nak buat apa bantuan ini?" kata salah seorang penerima bantuan ketika sembang-sembang di situ.
Bagaimana penerima bantuan dari Baitul Mal boleh memanfaatkan bantuan itu tidak menjadi perhatian kita sebenarnya. Kita hanya tahu menyerahkan bantuan secara bulanan atau berkala mengikut daftar nama yang ada.
Memanglah dari segi angka kita boleh gembira kerana ramai yang menerima bantuan di Wilayah Persekutuan ini. Tetapi menyedihkanlah kalau ada bantuan yang tidak dimanfaatkan. Diberi bantuan, tetapi barang bantuan itu dijual kepada pihak tertentu semata-mata nak dapatkan duit yang tidak seberapa. Perbuatan menjual barang pemberian ini sudah lama berlaku, tetapi pihak berkenaan sengaja tidak mahu ambil tahu. Selagi isunya tidak menjejaskan imej bantuan, maka mereka anggap ia berjalan dengan lancar.
Kes begini samalah juga apabila ada pihak tertentu yang prihatin terhadap kaum gelandangan memberikan sumbangan selimut, bantal atau tikar untuk mereka lepak di mana-mana termasuk di bawah jambatan. Adakah yang memberi bantuan telah memikirkan, di mana mereka hendak menyimpan barang bantuan itu pada waktu siang? Nak diselit di mana? Bawah jambatan atau diusung ke sana-sini seperti orang gelandangan yang sinting?
Pengajarannya:
Bukan sukar hendak menyelami masalah golongan bawahan ini kalau kita ikhlas. Tidak menjadikan bantuan itu sebagai bahan propaganda media. Dan bagi penerima sumbangan yang tidak berdapur, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak pemberi bantuan agar ia benar-benar memberi manfaat, atau serahkan kepada penerima yang betul-betul memerlukan. [Nota: Masjid Pakistan tidak jauh dari Pejabat Baitul Mal yang dipaparkan]. []

Monday 2 September 2013

SERU ROH ORANG MATI ATAU SYAITAN DI KUBURAN?

Siapa yang telah membuktikan kebenarannya? Kubur ratusan tahun yang dipercayai kubur Pak Jangkung masih dikunjungi orang-orang tertentu yang terbelit masalah duit. Nampaknya, perkara duit ini, baik yang mencari ringgit dan rupiah, semuanya merasakan betapa peritnya kerana harga barang semua naik.
Sembang dengan kawan-kawan yang bukan kaki masjid dan surau, maka timbullah idea untuk jenguk makam lama. Nak buat apa?
Begitulah kepercayaan orang tertentu yang asyik memikirkan bagaimana memanfaatkan kuburan kuno bagi merealisasikan hajatnya. Hajat untuk mendapatkan wang yang banyak, agar jadi kaya raya, tak perlu ngamen lagi pulang membawa wang eceran yang tidak seberapa.
Biasanya untuk pergi kuburan mereka kena bawa umbo rampenya. Bawa tikar, bawa lampu minyak tanah, atau bawa lilin dua tiga kotak, takut tak cukup. Yang pasti ketua bagi ritual di kubur itu kena bagi duit juga, sebab dialah yang buka cerita suruh orang pergi ke kuburan Pak Jangkung untuk dapatkan duit.
Boleh percayakah? Cuba dulu, jangan menuduh yang bukan-bukan. Itulah yang dikatakan oleh pakar ritual yang konon boleh memanggil makhluk yang tak dapat dibayangkan bagaimana rupanya.
"Ada kamu bawa apa yang aku pesankan itu hari?" tanya lelaki tua yang berlagak pawang atau dukun handalan. Latar belakang dan pengajiannya di bidang mistik tidak pula mereka periksa. Kalau dia menyamar pun, siapa yang tahu?
"Ada!" balas lelaki separuh umur yang berhajat kekayaan di kuburan itu. Dia telah membawa sesuatu yang tidak pernah dibayangkan selama ini. Dia membawa cebisan otak manusia yang mengalami kemalangan maut di jalan raya.
Orang sibuk menguruskan bantuan kecemasan, dia sibuk mencari daging atau otak yang berkecaian di atas jalan raya. Berani sungguh. Dan dia berlagak menolong orang yang sudah terbaring di atas aspal. Sambil menutup korban nahas itu, dia sempat mengutip sesuatu yang berlendiran darah merah. Benda itu disumbat ke dalam bekas plastik dan dimasukkan ke dalam saku jaketnya.
Dan serpihan otak orang yang kemalangan itulah yang dia bawa ke kawasan perkuburan atas titah perintah dukun yang mengaku hebat dan boleh memanggil syaitan ketika itu juga.
Apakah benar dengan membawa serpihan otak manusia, seseorang boleh mendapat kekayaan. Ini semua pemikiran mistik yang bermain di kalangan orang awam yang tingkat pendidikannya ala kadar. Begitupun, ada juga orang yang berpendidikan kolej menyertai kumpulan ini kerana ingin mengetahui, "Apa benar dengan buat begitu boleh mendapat kekayaan?"
Dukun pintar yang mengetuai upacara di kuburan lama Pak Jangkung sudah duduk bersila. Lampu pelita dipasang. Lilin juga sudah sedia. Dipasang empat penjuru. Bukan apa, bimbang ada binatang buas mendekati mereka. Lilin itu seolah-olah pagar kawalan.
"Kamu tahu otak yang kamu bawa ini milik siapa?" tanya dukun itu.
"Tahuuuu! Saya sudah lihat pengenalan diri korban," kata lelaki berumur jujur.
"Siapa namanya?"
Lelaki separuh umur menyebut nama itu dengan jelas.
Kemudian setelah mendiamkan diri beberapa detik, Pak Dukun pun memulai ritual pemanggilan. Asap kemenyan mulai mengepul. Nyamuk dan serangga kecil beterbangan di sekitarnya. Hairan agaknya melihat ada ritual pelik di malam itu.
Lelaki separuh umur mendengar kata-kata Pak Dukun itu membuat panggilan. "Aku mewakili lelaki separuh umur ini yang bernama ....memohon bantuan kepada Pak Jangkung agar dapat kiranya, menghadirkan roh si fulan bin si fulan yang cebisan otaknya digunakan untuk ritual ini. Mohon diperkenankan kerana orang ini sangat-sangat berhajat...tolonglah bantu dia!"
Begitulah kata-kata yang meluncur dari mulut Pak Dukun. Kemudian Pak Dukun memandang lelaki separuh umur yang berhajat. "Katakan apa yang kamu mahu?" katanya.
Maka lelaki separuh umur itu dengan suara terketar-ketar menyatakan hajatnya untuk mendapatkan sesuatu.
"Ya...saya mohon agar diberikan kesenangan dalam hidup dan banyak harta ya Pak Jangkung!" katanya penuh harap.
"Tunggu sekejap ya, nanti aku nak panggil rohnya pemilik cebisan otak ini!" suara Pak Dukun terketar-ketar. Kemudian suasana begitu sunyi kecuali suara unggas malam di tengah hutan itu.
Apa yang terjadi kemudian? Tidak lama kemudian angin mulai berhembus menyebabkan api pelita dan api lilin meliuk-liuk hampir padam. Dedaun kering bergulingan di atas tikar mengkuang.
Kedaan begitu menyeramkan.
"Jangan takut, dia akan datang," kata Pak Dukun.
Dia tahu bahawa lelaki yang berhajatkan kesenangan duniawi itu menggigil ketakutan kerana tiba-tiba angin sejuk menyapa mereka di malam itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi nantinya. Betul-betul tegang keadaannya.
Untuk mengusir ketakutan lelaki separuh umur memejamkan mata. Dan tiba-tiba bau busuk bangkai dihidunya yang menyebabkan dia membuka mata.
Degup jantungnya makin kencang. Betapa tidak. Tidak jauh dari tempat keduanya duduk bersila dan ditemani asapan kemenyan itu, ada lembaga seperti hantu pocong. Dengan bahagian muka yang terdedah dia dapat melihat kengerian yang amat sangat. Wahhhh! Apa nih?? Tolonglah, jangan apa-apakan aku! Bisik lelaki separuh umur.
"Jangan takut, bukankah kamu nak kaya?" Pak Dukun memujuk lelaki separuh umur yang rasanya mahu pitam menyaksikan penampakan yang kali pertama dialami sepanjang hajatnya. Kalau boleh lari dia mahu lari, tetapi Pak Dukun sudah memegang tangannya. Jangan lari ke mana-mana. Nanti gagal! Teruskan bertahan.
Siapakah yang datang ini? Menurut kata Pak Dukun, dia adalah si mati yang telah diseru ketika dia memulai ritual pemanggilan itu. Dia adalah lelaki yang mengalami kemalangan maut di jalan raya, dan serpihan daging dari otaknya yang dikutip oleh lelaki separuh umur untuk dijadikan bahan ritual, bahan pemujaan. Adakah yang hadir itu benar-benar si mati atau hanya jelmaan syaitan yang menipu? Wallahu a'lam.
Lelaki separuh umur tidak sanggup bertentang mata dengan kewujudan itu. Dia memejamkan mata. tetapi dia dapat mendengar suara makhluk itu berkata-kata. Apa yang disebut lebih kurang begini: "Aku mahu kamu sempurnakan keadaanku!"
Dia tak faham. Dia tanya Pak Dukun. Pak Dukun terpaksa melayani makhluk syaitan itu. "Ya! Ya! Aku akan sempurnakan keadaan dirimu seperti yang kau mahukan. Tetapi... sebelum aku nak sempurnakannya, tolonglah lelaki yang ada di depanku ini. Dia inginkan kekayaan duniawi, mahu hidup senang!"
"Baiklah, aku akan tolong lelaki ini, tetapi kamu hendaklah sempurnakan keadaanku ini," begitulah janji makhluk syaitan yang datang setelah dipanggil oleh Pak Dukun.
Kemudian makhluk yang dipanggil itu menghilang dalam kegelapan malam. Api yang meliuk-liuk tadi mulai tenang.
Sementara itu, lelaki separuh umur masih memejamkan mata. Dia tak sanggup berhadapan dengan makhluk yang menyeramkan itu. Sudahlah berbau busuk, bau bangkai, menyeramkan pula.
Dan pantangannya ketika itu, dia ditegah membaca apa-apa pun ayat, tidak dibenarkan berzikir dan menyebut kalimat yang menyebabkan makhluk itu tidak berani datang ke situ.

Dua lelaki ini beredar dari kawasan perkuburan lama. Pak Dukun rasa lega. Tugasannya yang pertama sudah selesai. Dia sudah berjaya membuat panggilan syaitan. Dia tahu, yang hadir tadi bukannya mayat dari perkuburan sebenar. Bukan juga mangsa nahas jalan raya yang disebut-sebut itu. Ia hanya penampakan yang mengelirukan. Inilah mainan syaitan. Ia memperdaya Pak Dukun dan Pak Dukun memperdaya lelaki separuh umur pula.
Lagipun tugasan bersila dan menyeru syaitan itu dia mendapat duit. Bukan seratus, malah beratus-ratus ringgit yang dia dapat sebagai upah. Itu sebab, selepas pertemuan itu, Pak Dukun akan mengajak lelaki separuh umur menziarahi kubur lelaki yang kemalangan itu hari. Lelaki separuh umur pernah mencuri serpihan otak yang dia kutip di atas jalan raya. Pengguna jalan raya tak tahu apa cerita. Mereka fikir lelaki separuh umur membuat bantuan kecemasan paling awal. Tidak. Niatnya adalah mengambil serpihan otak sebagai syarat yang telah ditetapkan oleh Pak Dukun karut.
Ada satu tugasan lagi. Mereka kena pergi ziarah kubur lelaki yang kemalangan. Biarlah ziarah mereka tidak diketahui sesiapa.Kalau boleh pekerja di kuburan itu pun tidak menyedari maksud kedatangan mereka ke situ. Jadi, kedua orang ini kena berpura-pura ziarah biasa. Pura-pura cabut rumput, pura-pura duduk berdoa di situ.
Pada masa yang sama Pak Dukun meletakkan sesuatu di atas kubur yang masih baru. Dia letakkan tempurung kelapa yang sudah dirajah. Apa maksud dan tujuannya tidak diketahui. Lelaki berhajat tak mahu tanya lebih-lebih, lagipun dia bukan wartawan penyiasat.
Selesai ritual karut di kuburan itu, Pak Dukun kena buat ritual tambahan lagi. Hanya dia yang tahu kenapa ia perlu dilakukan. Atau dia mereka-reka cerita pun bukan lelaki berhajat itu tahu. Tambahan duit beratus-ratus telah diserahkan kepada Pak Dukun.
Kalau bukan kerana duit sebanyak itu, tak sanggup Pak Dukun nak bersila dan bakar kemenyan begitu. Tak sanggup dia buat ritual gila itu. Bukan dia tak tahu, apa yang dilakukan itu adalah perbuatan karut. Perbuatan yang direka-reka mengikut kebiasaan.
Betapa jahatnya dia, disebabkan hendak duit beratus ringgit begitu, dia sanggup mereka cerita. Konon, lelaki separuh umur tidak dibenarkan mengerjakan solat, baik di rumah atau di masjid lebih-lebih lagi. "Kamu kena lupakan semua itu, kerana dia yang aku panggil malam itu adalah syaitan!" kata Pak Dukun terus terang.
Kekayaan bagaimana yang dia peroleh setelah melakukan ritual karut itu?
Kerana lelaki separuh umur itu memang menjalankan perniagaan mengangkut barangan, atau lori sewa, maka dia rasakan ada sahaja ruang untuk dia menambah bilangan lori sewanya.
Job yang diperoleh makin bertambah.
"Pak Dukun, aku rasa ada perubahan dalam hidupku!" kata lelaki separuh umur ketika terserempak dengan Pak Dukun suatu ketika.
"Baguslah! Tapi ingat, jangan kamu langgar pantangnya!"
"Baik Pak!"
Sesuatu yang Pak Dukun tidak ceritakan bahawa, ilmu karut dari syaitan ini hanya permainan silap mata sahaja. Memang lelaki itu dapat mengembangkan perniagaannya. Tetapi apakah dia tidak terfikir, bahawa sarana yang digunakan untuk menambah kekayaan itu berpunca dari kemalangan di jalan raya?
Ingatkah dia dengan serpihan otak yang dia kutip sebagai syarat untuk melakukan ritual gila di kubur Pak Jangkung itu hari?
Dan setiap kali dia memandu lori melalui kawasan itu dia teringatkan peristiwa itu. Dia teringatkan hutan dan makam Pak Jangkung. Tergambar wajah Pak Dukun.
Anehnya, setiap tahun ada sahaja kemalangan yang menimpa lori-lori sewanya. Bahkan ada pemandu lori iaitu pekerjanya sendiri mengalami kemalangan maut.
Dia terbayangkan peristiwa dulu. Itu rahsia peribadinya. Dia tak mahu cerita kepada sesiapa. Ini rahsia yang memalukan.
Isterinya pun tidak tahu. Kawan-kawan pun tidak tahu. Yang tahu rahsianya hanya Pak Dukun sahaja.
Begitulah khabarnya, setiap tahun ada sahaja kemalangan yang menimpa lori sewanya. Dia menjadi juragan memang hebat. Lorinya ada beberapa buah, akan tetapi jiwanya sakit. Sakit apabila mengenangkan perbuatannya menyembah kuburan dan meminta sesuatu di perkuburan itu.
Bertambah sakit apabila dia mengetahui Pak Dukun telah menghilang. Entah pindah, entah dia mati, siapa pun tidak tahu.
"Aduh, malang sungguh nasibku ini," dia merenung masa depannya yang suram. Meski dia mudah mendapatkan wang dari usahanya itu, namun jiwanya merana.
Bayangkan, orang boleh berpuasa di bulan Ramadan, dia tidak. Orang boleh baca Qur'an dia tidak boleh. Orang lain boleh mengerjakan solat, dia tidak boleh.
"Ini syarat gila namanya!" tiba-tiba dia protes. Entah dia protes kepada siapa. Sudah beberapa kali dia jenguk pondok Pak Dukun di kawasan kubur keramat Pak Jangkung, namun sesia. Pondok itu sendiri sudah dijalari dengan rumputan menjalar.
Sungguh dia ada duit, tetapi jiwanya terpenjara. Rasa ingin bertemu Pak Dukun bagi memulangkan ilmu karut yang dipelajari itu. Sayangnya, Pak Dukun telah menghilang. Entah ghaib, entah mati, entah berpindah, dia pun tidak tahu.
Terakhir, kerana dia sering bercakap seorang, seperti menyesali nasib diri, dia telah diselamatkan oleh seorang lelaki berilmu. Diajaknya lelaki itu ke masjid. Disuruhnya mengerjakan solat sunat. Suatu ajakan yang memelikkan kerana sejak berguru dengan Pak Dukun, dia sudah diajari agar menjauhkan diri dari tempat solat.
"Saya silap, saya telah melakukan perbuatan syirik di kuburan, dan inilah yang saya peroleh!" katanya separuh berbisik kepada lelaki berjubah yang memandunya ke pangkal jalan.
Aneh.
Ketika dia memeriksa wang yang ada di dalam dompetnya, tidak ada satu pun yang utuh. Ke mana wangku menghilang? Dia bertanya. Dia rahsiakan kepada lelaki berjubah tentang isu ini. Wang di dalam dompetnya telah bertukar menjadi daun kering semuanya. "Apa niiiih?"
Dia seperti mahu meraung, tetapi memandangkan lelaki berjubah itu masih ada di sisinya, maka dia hanya mampu bertenang. Dia beristighfar berkali-kali. Entah puluhan atau ratusan kali. Itulah kekayaan duniawi yang dia idamkan selama ini. []