Saturday 21 September 2013

KENAPA ORANG SUKA MENYAMAR?

MEDIA di negara kita kerap memaparkan kes-kes orang menyamar. Biasanya, penyamaran yang selalu kita ikuti adalah orang menyamar sebagai polis. Mengapa orang suka menyamar sebagai polis? Adakah profesion ini dianggap berprestij sehingga setiap orang yang menyamar berani mendakwa diri mereka sebagai anggota polis?
Isunya, dalam soal penyamaran sebagai anggota polis ini, kalangan awam tidak dapat mempastikan adakah seseorang itu polis atau bukan polis kerana mereka sendiri tidak pernah melihat bagaimana rupa kad kuasa polis yang tulen!
Inilah puncanya kenapa orang tidak boleh membezakan polis "ori" atau polis tiruan. Kes begini banyak terjadi di mana-mana, ada yang dilaporkan, dipaparkan dalam media dan ada kes yang tersorok dan terpendam.
Begitu banyak kes yang terjadi dalam bab penyamaran sebagai polis, apakah tidak ada sesiapa yang berani membuat kajian tentang aspek penyamaran ini?
Kenapa orang memilih sebagai polis untuk penyamaran? Dan bukan tidak ada orang menyamar sebagai pegawai kastam, pegawai penguatkuasa tertentu, termasuk pegawai kesihatan yang memeriksa takungan air di kawasan taman perumahan dengan niat hendak mendapatkan penternak jejentik sekiranya ada, misalnya.
Ada orang menyamar mengaku sebagai kawan atau rapat kepada seseorang yang berkhidmat di jabatan tertentu dan boleh menolong seseorang yang memerlukan sesuatu bantuan. Kabel tadi dianggap sebagai bantuan. Dengan berkata ada kawan yang menjadi "orang dalam" tetapi enggan menyebutkan namanya, seseorang mampu memperdaya orang yang terdesak untuk mendapatkan sesuatu. Ini menyamar juga namanya.
Contoh, pada masa lampau ada orang sanggup meniru tanda tangan menteri bagi meyakinkan mangsanya agar menyerahkan wang kopi yang mereka katakan sangat diperlukan oleh "orang dalam" -- semua ini dibualkan oleh kalangan broker yang bersepahan di bawah pokok ketapang [kita panggil Ketapang Holding], baik di sekitar Masjid Pakistani, Chow Kit KL; sekitar Jalan Masjid India; sekitar Pasar Seni; sekitar Bangunan Mara; Maju Junction atau Semua House.
Kumpulan broker cukup ramai pada masa itu. Sekarang [2013] agak sukar untuk mencari broker yang berkeliaran seperti dulu. Golongan muda tidak berminat jadi broker yang gemar duduk di gerai atau restoran berjam-jam atas alasan "tunggu kawan!"
Mereka juga ada trik tertentu untuk menyamar sebagai pegawai. Zaman sekarang nampak mudah hendak melakukan transaksi wang sebab semuanya telah berubah. Lebih mudah. Hinggakan orang boleh menyamar hanya melalui Facebook. Berapa ramai wanita terpedaya dengan janji lelaki rakyat asing di luar negeri?
Meskipun kes makin bertambah, kaum wanita tidak serik-serik melaburkan wangnya untuk memenuhi janji orang yang menyamar.
Ada orang yang hidup kerana menyamar sepanjang masa. Paling mudah menyamar membeli barangan secara banyak. Buat pembayaran secara hutang. Sampai sudah hutang tak dibayar. Ini atas dasar percaya dan sudah kenal. Ini yang orang kata kawan makan kawan! Paling banyak terjadi. Yang tidak dilaporkan pun banyak. Kalau dilaporkan kawan dapat malu, diri sendiri pun malu juga. Hai, business pun malu? Malu kerana berkira sangat.
Ada pihak yang telah menanggung risiko dari penyamaran ini dengan cara muhasabah diri. Kenapa aku jadi begini? Kenapa aku ditipu? Oh, sebab aku dulu pernah menipu orang juga. Kenapa orang tak bayar hutang? Oh, aku dulu pun ada hutang tapi tak bayar!

FAKTOR KEBIASAAN
Bagaimana kes orang yang menyamar tadi? Kenapa apabila ada orang menyamar pegawai itu dan ini meminta duit, kalangan awam begitu mudah ketar dan terus memenuhi permintaan mereka? Bukankah dengan cara begini, ia memberi semacam gambaran faktor kebiasaan!
Adakah kebiasaannya ada pegawai yang meminta bayaran bagi tujuan tertentu? Penyamar sebagai pegawai tertentu sebenarnya telah memantau apa yang orang lain lakukan, dan dari pemantauan itulah menyebabkan mereka membina persepsi bahawa kalangan awam biasanya boleh digula-gulakan dengan cara seseorang itu mendakwa sebagai itu dan ini.
Inilah persepsi sebenarnya.
Kalau tanpa persepsi begitu, orang tidak akan menyamar menjadi itu dan ini. Kenapa tak ada orang menyamar jadi tukang sapu sampah? Ada sebenarnya. Dia menyapu sampah kerana di kawasan itu ada kes yang perlu disiasat. Begitu juga mereka yang menyamar sebagai peminta sedekah, gelandangan atau kutu rayau.
Ada tujuannya mereka menyamar. Begitulah kepada kebanyakan wartawan penyiasatan media cetak melakukan penyamaran untuk membongkar sesuatu isu.
Contoh, rumah urut, kelab-kelab gay, kelab perjudian, pelacuran dan sebagainya. Kita selalu membaca paparan wartawan menyamar sebagai itu dan ini untuk membongkar misteri di sebalik perjalanan rumah urut, kelab gay dan sebagainya. Ini menyamar juga namanya. []

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    boleh x you contact i via email, sbb ada perkara yg i nak tau dgn lebih lanjut mengenai salah satu komen you tentang murtad dlm salahsatu blog. thanks
    elzadora333@yahoo.com.sg

    ReplyDelete