Monday 9 September 2013

NAMPAK TANGKAL DAH GERUN

Harian Metro [9/9/2013] jadi rujukan paparan ini.
Adakah sesiapa yang rasa terkejut, rasa lain macam, atau rasa bermacam-macam setelah melihat tangkal atau azimat?
Itulah pandangan negatif bagi kalangan orang yang tidak mengetahui apa hakikat tangkal dan azimat yang sebenar.
Apabila memeriksa bilik atau beg milik pembantu rumah dari seberang, orang mudah buat kesimpulan bahawa pembantu rumah ini mengenakan tuan rumah dengan ilmu hitam, ilmu penunduk, ilmu pengasih dan macam-macam ilmu lagi.
Memandang negatif ke atas pembantu rumah warga asing sudah lama berlaku. Ini kerana paparan media jarang memaparkan sesuatu yang baik tentang pembantu rumah.
Apabila seseorang terlalu menurut dan mendengar kata pembantu rumah, maka orang itu dianggap telah terkena buatan orang. Buatan siapa? Sudah tentu pembantu rumahlah!
Keyakinan kepada benda-benda mistik seperti tangkal dan azimat begitu menebal di kalangan orang kita. Mereka seolah-olah terlalu gerun kalau terpandang benda-benda mistik yang disyaki sebagai tangkal atau azimat.
Itu belum lagi melihat benda-benda seakan mistik yang dijaja oleh orang-orang Nepal di negara kita. Barangan mistik yang menjadi pegangan orang-orang Nepal juga ada persamaan dengan benda mistik yang jadi pegangan orang Melayu.
Orang Melayu banyak meniru amalan orang-orang luar. Kemistikan sesuatu benda itu diyakini memberi manfaat bagi sesuatu tujuan.
Bagi yang taksub kepada tangkal dan azimat, mereka memang tidak boleh lari dari memilikinya.
Tidak hairan, ada kalangan pembantu rumah dari seberang yang memiliki apa yang dinamakan sebagai tangkal atau azimat.
Tentang keampuhan tangkal atau azimat itu boleh menundukkan majikan adalah meragukan. Apabila majikan sendiri sudah berpandangan negatif, berprasangka buruk kepada pembantu rumahnya, adakah ia memberi petunjuk bahawa di situ ada pengaruh sihir?
Inilah yang berlaku di sebuah negeri baru-baru ini. Hanya setelah terpandang benda-benda pelik, minyak wangi dalam botol [sesiapa yang biasa memakai minyak wangi tanpa alkohol tentu tidak hairan], nampak tangkal, kain dengan rajah-rajah tertentu, semua benda ini dianggap bertujuan mengenakan majikan.
Pihak majikan pula kerana terlampau gerun dengan tangkal dan azimat, mereka tidak syak apa lagi melainkan bahawa pembantu rumah yang digaji untuk menjaga rumah dan anak-anaknya sudah main ilmu hitam.
Tidak memarahi pembantu rumah, sentiasa akur dengan pembantu rumah, sentiasa mendengar kata-katanya, ia bukanlah indikasi pembantu rumah telah mengenakan ilmu kepada majikannya.
Hanya mereka yang tak pernah tengok botol minyak wangi [dengan berbagai bau] dan mereka yang tak pernah tengok kain kuning atau kain hitam mengandung rajah-rajah tertentu sahaja yang berasa gerun dengannya.
Jika seseorang merasakan sesuatu melihat benda-benda yang disangka tangkal dan azimat, maka itu membuktikan orang itu gerun kepada tangkal dan rajah-rajah yang disangka azimat.
Padahal, benda-benda sebegitu, siapa pun boleh membuatnya jika mahir memotong dan menjahit kain dengan cermat, mahir melakar dengan cara meniru rajah-rajah yang sudah ada. Buatlah sebanyak mana pun, ia tidak memberikan apa-apa kesan.
Ia hanya sarana sahaja. Orang yang gerun kepada kain berlipat kerana ada tulisan dalamnya, maka ada sesuatu yang tidak kena pada orang itu.
Seperti dipaparkan dalam media cetak, majikan melihat pembantu rumahnya asyik menonton video atau sinetron ketika mereka keluar bekerja. Pembantu rumah dikatakan pemalas,  kerana dia suka berehat-rehat dalam bilik sahaja. Disebabkan kecewa dengan perangai itu, majikan mula menyiasat apa puncanya. Setelah menemui benda-benda pelik itu, maka ia dijadikan rangkaian cerita dalam bentuk tuduhan.
Apabila seseorang sudah benci, maka apa sahaja yang dilakukan, apa yang sahaja yang menjadi miliknya tidak akan disenangi.
Seperti kes pembantu rumah konon mahir mengenakan majikan. Sebetulnya, tidak ada pembantu rumah yang menggunakan ilmu begitu kepada majikannya. Jika dikatakan sebagai penunduk atau ilmu pengasih, tuduhan itu masih diragui.
Apabila majikan menjaga akhlaknya, menjaga solatnya, sentiasa berdoa, membaca al-Qur'an di rumah, mengerjakan solat-solat sunat umpamanya, apa ilmu pun tidak akan mempengaruhi diri mereka. Akan tetapi kerana kecuaian, kelalaian dalam berbagai aspek tadi dek kerana terlalu sibuk, tidak ada masa, maka mudahlah mindanya dirasuki oleh kegerunan terhadap tangkal dan azimat.
Apatahlagi kalau dalam rumah itu banyak menyimpan benda-benda seperti patung sembahan, gambar-gambar yang tak wajar, asyik mendengarkan alunan muzik dan nyanyian [radio 24 jam], maka pengaruh negatif mudah menyusup.
Apabila ia telah menguasai minda, mudahlah mereka berprasangka buruk terhadap orang lain. Kesilapan diri sendiri dihumbankan kepada orang lain.
Penat bekerja di luar, balik hingga pukul 2.00 pagi menyebabkan tidak perlu untuk bercakap banyak -- kesannya ia dianggap telah terkena ilmu hitam.
Sentiasa akur dengan kehendak pembantu rumah, dianggapnya sudah dikenai ilmu hitam. Padahal bukan ilmu hitam, sebaliknya sedar bahawa kalau pembantu rumah cabut, suami isteri yang bekerja akan kebingungan. Bagaimana hendak bekerja esok? Bolehkah anak-anak ditinggalkan begitu sahaja di rumah, atau diserahkan kepada jiran atau hantar ke kampung?
Sikap berhati-hati dalam bereaksi, membuat teguran dan sebagainya ada kaitan dengan soal betapa sukarnya hendak mendapatkan pembantu rumah yang terbaik.
Memanglah, sesiapa pun tidak akan mendapat apa yang dihajati. Akan ada sahaja cacat atau ketidaksempurnaannya. Kalau pembantu rumah terlalu cantik isteri pula yang susah hati. Kalau suami terpikat kepadanya, dikatanya pembantu rumah gunakan ilmu hitam.
Sebenarnya, apabila seseorang itu telah diasuh agar bergantung kepada tangkal dan azimat, maka sebagai bekal pasti benda-benda mistik itu akan dijadikan benda bawaan untuk merantau.
Ia tidak memberi apa-apa manfaat dan mudarat pun. Hanya jika diperhalusi ia telah mencemarkan aqidah seseorang. Bukan sahaja pemilik benda mistik itu sahaja, malah kepada majikan yang terlalu gerun setelah melihat benda-benda mistik itu menjadi simpanan pembantu rumah.
Orang seberang sudah lama dilabelkan gemar kepada benda-banda khurafat dah tahayul begitu. Bahkan memang ada kalangan pembantu rumah yang bekerja di Taiwan atau Hong Kong menggunakan peranti semacam tangkal atau azimat sebagai pegangan ketika merantau.
Majikan yang bermasalah, jiwanya kacau, banyak prasangka bertambah gerun kalau mereka melihat ada benda-benda pelik meskipun hanya sebatang paku dalam saku. Atau melihat kain kuning berlipat dalam beg pakaian pembantu rumah. Atau jika tak pernah menghidu bau minyak atar, bau yang pelik seperti gaharu, atau apel jin pun akan menimbulkan prasangka. []

No comments:

Post a Comment