Monday 2 September 2013

SERU ROH ORANG MATI ATAU SYAITAN DI KUBURAN?

Siapa yang telah membuktikan kebenarannya? Kubur ratusan tahun yang dipercayai kubur Pak Jangkung masih dikunjungi orang-orang tertentu yang terbelit masalah duit. Nampaknya, perkara duit ini, baik yang mencari ringgit dan rupiah, semuanya merasakan betapa peritnya kerana harga barang semua naik.
Sembang dengan kawan-kawan yang bukan kaki masjid dan surau, maka timbullah idea untuk jenguk makam lama. Nak buat apa?
Begitulah kepercayaan orang tertentu yang asyik memikirkan bagaimana memanfaatkan kuburan kuno bagi merealisasikan hajatnya. Hajat untuk mendapatkan wang yang banyak, agar jadi kaya raya, tak perlu ngamen lagi pulang membawa wang eceran yang tidak seberapa.
Biasanya untuk pergi kuburan mereka kena bawa umbo rampenya. Bawa tikar, bawa lampu minyak tanah, atau bawa lilin dua tiga kotak, takut tak cukup. Yang pasti ketua bagi ritual di kubur itu kena bagi duit juga, sebab dialah yang buka cerita suruh orang pergi ke kuburan Pak Jangkung untuk dapatkan duit.
Boleh percayakah? Cuba dulu, jangan menuduh yang bukan-bukan. Itulah yang dikatakan oleh pakar ritual yang konon boleh memanggil makhluk yang tak dapat dibayangkan bagaimana rupanya.
"Ada kamu bawa apa yang aku pesankan itu hari?" tanya lelaki tua yang berlagak pawang atau dukun handalan. Latar belakang dan pengajiannya di bidang mistik tidak pula mereka periksa. Kalau dia menyamar pun, siapa yang tahu?
"Ada!" balas lelaki separuh umur yang berhajat kekayaan di kuburan itu. Dia telah membawa sesuatu yang tidak pernah dibayangkan selama ini. Dia membawa cebisan otak manusia yang mengalami kemalangan maut di jalan raya.
Orang sibuk menguruskan bantuan kecemasan, dia sibuk mencari daging atau otak yang berkecaian di atas jalan raya. Berani sungguh. Dan dia berlagak menolong orang yang sudah terbaring di atas aspal. Sambil menutup korban nahas itu, dia sempat mengutip sesuatu yang berlendiran darah merah. Benda itu disumbat ke dalam bekas plastik dan dimasukkan ke dalam saku jaketnya.
Dan serpihan otak orang yang kemalangan itulah yang dia bawa ke kawasan perkuburan atas titah perintah dukun yang mengaku hebat dan boleh memanggil syaitan ketika itu juga.
Apakah benar dengan membawa serpihan otak manusia, seseorang boleh mendapat kekayaan. Ini semua pemikiran mistik yang bermain di kalangan orang awam yang tingkat pendidikannya ala kadar. Begitupun, ada juga orang yang berpendidikan kolej menyertai kumpulan ini kerana ingin mengetahui, "Apa benar dengan buat begitu boleh mendapat kekayaan?"
Dukun pintar yang mengetuai upacara di kuburan lama Pak Jangkung sudah duduk bersila. Lampu pelita dipasang. Lilin juga sudah sedia. Dipasang empat penjuru. Bukan apa, bimbang ada binatang buas mendekati mereka. Lilin itu seolah-olah pagar kawalan.
"Kamu tahu otak yang kamu bawa ini milik siapa?" tanya dukun itu.
"Tahuuuu! Saya sudah lihat pengenalan diri korban," kata lelaki berumur jujur.
"Siapa namanya?"
Lelaki separuh umur menyebut nama itu dengan jelas.
Kemudian setelah mendiamkan diri beberapa detik, Pak Dukun pun memulai ritual pemanggilan. Asap kemenyan mulai mengepul. Nyamuk dan serangga kecil beterbangan di sekitarnya. Hairan agaknya melihat ada ritual pelik di malam itu.
Lelaki separuh umur mendengar kata-kata Pak Dukun itu membuat panggilan. "Aku mewakili lelaki separuh umur ini yang bernama ....memohon bantuan kepada Pak Jangkung agar dapat kiranya, menghadirkan roh si fulan bin si fulan yang cebisan otaknya digunakan untuk ritual ini. Mohon diperkenankan kerana orang ini sangat-sangat berhajat...tolonglah bantu dia!"
Begitulah kata-kata yang meluncur dari mulut Pak Dukun. Kemudian Pak Dukun memandang lelaki separuh umur yang berhajat. "Katakan apa yang kamu mahu?" katanya.
Maka lelaki separuh umur itu dengan suara terketar-ketar menyatakan hajatnya untuk mendapatkan sesuatu.
"Ya...saya mohon agar diberikan kesenangan dalam hidup dan banyak harta ya Pak Jangkung!" katanya penuh harap.
"Tunggu sekejap ya, nanti aku nak panggil rohnya pemilik cebisan otak ini!" suara Pak Dukun terketar-ketar. Kemudian suasana begitu sunyi kecuali suara unggas malam di tengah hutan itu.
Apa yang terjadi kemudian? Tidak lama kemudian angin mulai berhembus menyebabkan api pelita dan api lilin meliuk-liuk hampir padam. Dedaun kering bergulingan di atas tikar mengkuang.
Kedaan begitu menyeramkan.
"Jangan takut, dia akan datang," kata Pak Dukun.
Dia tahu bahawa lelaki yang berhajatkan kesenangan duniawi itu menggigil ketakutan kerana tiba-tiba angin sejuk menyapa mereka di malam itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang akan terjadi nantinya. Betul-betul tegang keadaannya.
Untuk mengusir ketakutan lelaki separuh umur memejamkan mata. Dan tiba-tiba bau busuk bangkai dihidunya yang menyebabkan dia membuka mata.
Degup jantungnya makin kencang. Betapa tidak. Tidak jauh dari tempat keduanya duduk bersila dan ditemani asapan kemenyan itu, ada lembaga seperti hantu pocong. Dengan bahagian muka yang terdedah dia dapat melihat kengerian yang amat sangat. Wahhhh! Apa nih?? Tolonglah, jangan apa-apakan aku! Bisik lelaki separuh umur.
"Jangan takut, bukankah kamu nak kaya?" Pak Dukun memujuk lelaki separuh umur yang rasanya mahu pitam menyaksikan penampakan yang kali pertama dialami sepanjang hajatnya. Kalau boleh lari dia mahu lari, tetapi Pak Dukun sudah memegang tangannya. Jangan lari ke mana-mana. Nanti gagal! Teruskan bertahan.
Siapakah yang datang ini? Menurut kata Pak Dukun, dia adalah si mati yang telah diseru ketika dia memulai ritual pemanggilan itu. Dia adalah lelaki yang mengalami kemalangan maut di jalan raya, dan serpihan daging dari otaknya yang dikutip oleh lelaki separuh umur untuk dijadikan bahan ritual, bahan pemujaan. Adakah yang hadir itu benar-benar si mati atau hanya jelmaan syaitan yang menipu? Wallahu a'lam.
Lelaki separuh umur tidak sanggup bertentang mata dengan kewujudan itu. Dia memejamkan mata. tetapi dia dapat mendengar suara makhluk itu berkata-kata. Apa yang disebut lebih kurang begini: "Aku mahu kamu sempurnakan keadaanku!"
Dia tak faham. Dia tanya Pak Dukun. Pak Dukun terpaksa melayani makhluk syaitan itu. "Ya! Ya! Aku akan sempurnakan keadaan dirimu seperti yang kau mahukan. Tetapi... sebelum aku nak sempurnakannya, tolonglah lelaki yang ada di depanku ini. Dia inginkan kekayaan duniawi, mahu hidup senang!"
"Baiklah, aku akan tolong lelaki ini, tetapi kamu hendaklah sempurnakan keadaanku ini," begitulah janji makhluk syaitan yang datang setelah dipanggil oleh Pak Dukun.
Kemudian makhluk yang dipanggil itu menghilang dalam kegelapan malam. Api yang meliuk-liuk tadi mulai tenang.
Sementara itu, lelaki separuh umur masih memejamkan mata. Dia tak sanggup berhadapan dengan makhluk yang menyeramkan itu. Sudahlah berbau busuk, bau bangkai, menyeramkan pula.
Dan pantangannya ketika itu, dia ditegah membaca apa-apa pun ayat, tidak dibenarkan berzikir dan menyebut kalimat yang menyebabkan makhluk itu tidak berani datang ke situ.

Dua lelaki ini beredar dari kawasan perkuburan lama. Pak Dukun rasa lega. Tugasannya yang pertama sudah selesai. Dia sudah berjaya membuat panggilan syaitan. Dia tahu, yang hadir tadi bukannya mayat dari perkuburan sebenar. Bukan juga mangsa nahas jalan raya yang disebut-sebut itu. Ia hanya penampakan yang mengelirukan. Inilah mainan syaitan. Ia memperdaya Pak Dukun dan Pak Dukun memperdaya lelaki separuh umur pula.
Lagipun tugasan bersila dan menyeru syaitan itu dia mendapat duit. Bukan seratus, malah beratus-ratus ringgit yang dia dapat sebagai upah. Itu sebab, selepas pertemuan itu, Pak Dukun akan mengajak lelaki separuh umur menziarahi kubur lelaki yang kemalangan itu hari. Lelaki separuh umur pernah mencuri serpihan otak yang dia kutip di atas jalan raya. Pengguna jalan raya tak tahu apa cerita. Mereka fikir lelaki separuh umur membuat bantuan kecemasan paling awal. Tidak. Niatnya adalah mengambil serpihan otak sebagai syarat yang telah ditetapkan oleh Pak Dukun karut.
Ada satu tugasan lagi. Mereka kena pergi ziarah kubur lelaki yang kemalangan. Biarlah ziarah mereka tidak diketahui sesiapa.Kalau boleh pekerja di kuburan itu pun tidak menyedari maksud kedatangan mereka ke situ. Jadi, kedua orang ini kena berpura-pura ziarah biasa. Pura-pura cabut rumput, pura-pura duduk berdoa di situ.
Pada masa yang sama Pak Dukun meletakkan sesuatu di atas kubur yang masih baru. Dia letakkan tempurung kelapa yang sudah dirajah. Apa maksud dan tujuannya tidak diketahui. Lelaki berhajat tak mahu tanya lebih-lebih, lagipun dia bukan wartawan penyiasat.
Selesai ritual karut di kuburan itu, Pak Dukun kena buat ritual tambahan lagi. Hanya dia yang tahu kenapa ia perlu dilakukan. Atau dia mereka-reka cerita pun bukan lelaki berhajat itu tahu. Tambahan duit beratus-ratus telah diserahkan kepada Pak Dukun.
Kalau bukan kerana duit sebanyak itu, tak sanggup Pak Dukun nak bersila dan bakar kemenyan begitu. Tak sanggup dia buat ritual gila itu. Bukan dia tak tahu, apa yang dilakukan itu adalah perbuatan karut. Perbuatan yang direka-reka mengikut kebiasaan.
Betapa jahatnya dia, disebabkan hendak duit beratus ringgit begitu, dia sanggup mereka cerita. Konon, lelaki separuh umur tidak dibenarkan mengerjakan solat, baik di rumah atau di masjid lebih-lebih lagi. "Kamu kena lupakan semua itu, kerana dia yang aku panggil malam itu adalah syaitan!" kata Pak Dukun terus terang.
Kekayaan bagaimana yang dia peroleh setelah melakukan ritual karut itu?
Kerana lelaki separuh umur itu memang menjalankan perniagaan mengangkut barangan, atau lori sewa, maka dia rasakan ada sahaja ruang untuk dia menambah bilangan lori sewanya.
Job yang diperoleh makin bertambah.
"Pak Dukun, aku rasa ada perubahan dalam hidupku!" kata lelaki separuh umur ketika terserempak dengan Pak Dukun suatu ketika.
"Baguslah! Tapi ingat, jangan kamu langgar pantangnya!"
"Baik Pak!"
Sesuatu yang Pak Dukun tidak ceritakan bahawa, ilmu karut dari syaitan ini hanya permainan silap mata sahaja. Memang lelaki itu dapat mengembangkan perniagaannya. Tetapi apakah dia tidak terfikir, bahawa sarana yang digunakan untuk menambah kekayaan itu berpunca dari kemalangan di jalan raya?
Ingatkah dia dengan serpihan otak yang dia kutip sebagai syarat untuk melakukan ritual gila di kubur Pak Jangkung itu hari?
Dan setiap kali dia memandu lori melalui kawasan itu dia teringatkan peristiwa itu. Dia teringatkan hutan dan makam Pak Jangkung. Tergambar wajah Pak Dukun.
Anehnya, setiap tahun ada sahaja kemalangan yang menimpa lori-lori sewanya. Bahkan ada pemandu lori iaitu pekerjanya sendiri mengalami kemalangan maut.
Dia terbayangkan peristiwa dulu. Itu rahsia peribadinya. Dia tak mahu cerita kepada sesiapa. Ini rahsia yang memalukan.
Isterinya pun tidak tahu. Kawan-kawan pun tidak tahu. Yang tahu rahsianya hanya Pak Dukun sahaja.
Begitulah khabarnya, setiap tahun ada sahaja kemalangan yang menimpa lori sewanya. Dia menjadi juragan memang hebat. Lorinya ada beberapa buah, akan tetapi jiwanya sakit. Sakit apabila mengenangkan perbuatannya menyembah kuburan dan meminta sesuatu di perkuburan itu.
Bertambah sakit apabila dia mengetahui Pak Dukun telah menghilang. Entah pindah, entah dia mati, siapa pun tidak tahu.
"Aduh, malang sungguh nasibku ini," dia merenung masa depannya yang suram. Meski dia mudah mendapatkan wang dari usahanya itu, namun jiwanya merana.
Bayangkan, orang boleh berpuasa di bulan Ramadan, dia tidak. Orang boleh baca Qur'an dia tidak boleh. Orang lain boleh mengerjakan solat, dia tidak boleh.
"Ini syarat gila namanya!" tiba-tiba dia protes. Entah dia protes kepada siapa. Sudah beberapa kali dia jenguk pondok Pak Dukun di kawasan kubur keramat Pak Jangkung, namun sesia. Pondok itu sendiri sudah dijalari dengan rumputan menjalar.
Sungguh dia ada duit, tetapi jiwanya terpenjara. Rasa ingin bertemu Pak Dukun bagi memulangkan ilmu karut yang dipelajari itu. Sayangnya, Pak Dukun telah menghilang. Entah ghaib, entah mati, entah berpindah, dia pun tidak tahu.
Terakhir, kerana dia sering bercakap seorang, seperti menyesali nasib diri, dia telah diselamatkan oleh seorang lelaki berilmu. Diajaknya lelaki itu ke masjid. Disuruhnya mengerjakan solat sunat. Suatu ajakan yang memelikkan kerana sejak berguru dengan Pak Dukun, dia sudah diajari agar menjauhkan diri dari tempat solat.
"Saya silap, saya telah melakukan perbuatan syirik di kuburan, dan inilah yang saya peroleh!" katanya separuh berbisik kepada lelaki berjubah yang memandunya ke pangkal jalan.
Aneh.
Ketika dia memeriksa wang yang ada di dalam dompetnya, tidak ada satu pun yang utuh. Ke mana wangku menghilang? Dia bertanya. Dia rahsiakan kepada lelaki berjubah tentang isu ini. Wang di dalam dompetnya telah bertukar menjadi daun kering semuanya. "Apa niiiih?"
Dia seperti mahu meraung, tetapi memandangkan lelaki berjubah itu masih ada di sisinya, maka dia hanya mampu bertenang. Dia beristighfar berkali-kali. Entah puluhan atau ratusan kali. Itulah kekayaan duniawi yang dia idamkan selama ini. []


No comments:

Post a Comment