Tuesday 3 September 2013

TIDAK MENGHARGAI BANTUAN, APA DAH JADI?

KETIKA singgah di Masjid Pakistani Chow Kit, Kuala Lumpur semalam sementara menunggu waktu zuhur, kedengaranlah suara sembang kosong kalangan kaki lepak di bawah lantai wakaf.
Semua yang ada di situ ada membawa beg warna hijau. Itulah beg yang menjadi bahan cerita mereka petang itu. Ada yang pertikaikan harga barang keperluan dapur yang mereka dapat dari pihak tertentu [Baitul Mal].
Ada yang keluarkan tin susu F&N, ada yang keluarkan serbuk teh, sebungkus gula harga subsidi, tepung gandum, sebungkus bihun dan ada lagi barang lain yang tidak kelihatan.
Salah seorang penerima bantuan memberitahu kepada kawannya bahawa dia tak ada dapur, nak buat apa bantuan teh susu dan gula itu? Maka dia pun serahkan bantuan yang dia dapat kepada seorang wanita bertudung yang kebetulan singgah di situ.
Wanita itu mengadu, dia sudah pergi ke pejabat Baitul Mal untuk ambil bantuan, tetapi pegawai yang bertugas di sana beritahu tunggu sehingga pukul 2.00 petang nanti. Ustadz yang bertugas nak berehat katanya. Wanita itulah yang menerima bahan bantuan itu.
Yang jadi isu, mungkin bukan seorang dua yang mengalami keadaan begitu. Ramai lagi yang mendapat bantuan dari pihak tertentu tetapi tidak memanfaatkan bantuan sepenuhnya.
Ini bukan cerita kosong, ada penerima bantuan beras, kopi, gula, susu, milo dan sebagainya, tetapi mereka tidak memanfaatkan bantuan itu. Ada yang disimpan sahaja benda itu sampai berbulan-bulan, bahkan sampai luput tarikh. Kenapa? Itu bukti penerima bantuan itu tidak perlukan itu semua. Mereka hanya perlukan duit, bukan susu, bukan beras, bukan bihun kering atau apa sahaja bahan keperluan dapur.
Di kalangan mereka yang sembang kosong itu, bukan tidak ada yang sedang mencongak-congak berapa harga sebenar bantuan yang diberikan oleh pihak tertentu itu.
Mereka kata, tidak sampai RM50.00 pun. Memang pun. Kalau dilihat dari segi barang keperluan yang dimuatkan di dalam beg hijau itu harganya mungkin kurang dari itu. Jangan banding dengan harga di pasaran. Sebab pihak yang memberikan bantuan tentu telah mendapat bahan keperluan dari pembekal tertentu, sudah tentu harganya jauh lebih rendah apabila dibeli secara pukal.
Kes, penerima bantuan menjualkan beras, gula, teh, kopi dan apa sahaja kepada orang lain bukan cerita rekaan.
Sudah lama saya melihat adegan ini. Ada yang menjualnya kepada peniaga kecil di Jalan Masjid India. Ada yang menjual kepada sesiapa yang mahu membelinya kalau sudi. Mereka sebenarnya lebih mengharapkan wang ringgit.
Hanya, cuba bayangkan. Kalau mereka diberi wang ringgit. Apa yang mereka boleh beli dengan wang bantuan itu? Sudah tentu mereka tidak akan memanfaatkan wang itu untuk keperluan dapur. Sebaliknya mereka akan tuju kedai untuk beli kasut, baju atau benda lain. Inilah hakikat sebenarnya. Manakala bagi yang kaki lepak [termasuk gelandangan] wang itu boleh digunakan untuk makan minum harian yang boleh bertahan dua tiga hari sahaja. Lepas itu kosong semula.
Difahamkan pihak Baitul Mal ada pegawai khas yang dikatakan turun padang untuk mencari golongan ASNAF yang sepatutnya menerima bantuan. Dilihat daripada van yang bertulis begitu, kita anggap pihak berkenaan telah menjalankan tugas dengan jayanya.
Suatu perkara yang perlu diperhatikan, bantuan dari pihak tertentu ini, baik secara bulanan atau berkala, elok dipantau oleh para pegawai berkenaan. Adalah suatu perkara yang menghairankan jika pihak berkenaan memberikan bantuan beras dan gula sedangkan mereka yang menerima bantuan itu hanya tinggal di bilik kecil yang disewa. Mereka tidak ada dapur, atau tidak dibenarkan memasak di situ.
Jadi, bagi yang menghadapi masalah begini, mereka tidak ada cara lain melainkan menyerahkan apa sahaja bahan bantuan bulanan atau berkala kepada orang lain yang mempunyai dapur. "Saya tak ada dapur, nak buat apa bantuan ini?" kata salah seorang penerima bantuan ketika sembang-sembang di situ.
Bagaimana penerima bantuan dari Baitul Mal boleh memanfaatkan bantuan itu tidak menjadi perhatian kita sebenarnya. Kita hanya tahu menyerahkan bantuan secara bulanan atau berkala mengikut daftar nama yang ada.
Memanglah dari segi angka kita boleh gembira kerana ramai yang menerima bantuan di Wilayah Persekutuan ini. Tetapi menyedihkanlah kalau ada bantuan yang tidak dimanfaatkan. Diberi bantuan, tetapi barang bantuan itu dijual kepada pihak tertentu semata-mata nak dapatkan duit yang tidak seberapa. Perbuatan menjual barang pemberian ini sudah lama berlaku, tetapi pihak berkenaan sengaja tidak mahu ambil tahu. Selagi isunya tidak menjejaskan imej bantuan, maka mereka anggap ia berjalan dengan lancar.
Kes begini samalah juga apabila ada pihak tertentu yang prihatin terhadap kaum gelandangan memberikan sumbangan selimut, bantal atau tikar untuk mereka lepak di mana-mana termasuk di bawah jambatan. Adakah yang memberi bantuan telah memikirkan, di mana mereka hendak menyimpan barang bantuan itu pada waktu siang? Nak diselit di mana? Bawah jambatan atau diusung ke sana-sini seperti orang gelandangan yang sinting?
Pengajarannya:
Bukan sukar hendak menyelami masalah golongan bawahan ini kalau kita ikhlas. Tidak menjadikan bantuan itu sebagai bahan propaganda media. Dan bagi penerima sumbangan yang tidak berdapur, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak pemberi bantuan agar ia benar-benar memberi manfaat, atau serahkan kepada penerima yang betul-betul memerlukan. [Nota: Masjid Pakistan tidak jauh dari Pejabat Baitul Mal yang dipaparkan]. []

No comments:

Post a Comment