Friday, 1 July 2011

Siapakah Yang Zalim

kutbah Jumaat di sebuah masjid Wilayah Persekutuan
imam muda tajaan Jawi bilang,
orang-orang kecil yang mewarnai rakyat jelata yang berpakaian
kuning bersih, mereka itu adalah orang-orang zalim
rakyat jelata inilah yang memegang harta negeri
dan ditaburkan sewenang-wenang
kerana rakyat jelata ini mewah dan hidup kaya raya.
sedang orang besar yang miskin itu papa kedana
perlukan waktu untuk memerintah seribu tahun lagi
terasa iri amat, orang-orang besar itu begitu gerun
kehilangan darjat dan arah
lalu melemparkan tuduhan, rakyat jelata berpakaian
kuning bersih itu adalah manusia zalim!

wahai, siapakah yang zalim sebenarnya?
apakah rakyat jelata yang hidup melarat
yang disisihkan dari arus pembangunan,
dengan pemimpin yang asyik bicara soal perpaduan dan
pembangunan yang sudah basi lesi itu?
ketika rakyat jelata berhimpun dengan gagasan membersihkan kezaliman,
mereka pula dituduh sebagai kelompok zalim
ah! ini lelucon apa sang pengkhutbah yang diutus di atas mimbar
sedang para jemaah mengantuk tersenguk-sengguk
tak siapa faham maksud kutbah itu kerana mereka datang dari jauh
ada dari bangladesh, dari nigeria, dari iraq,
dari afrika selatan dan dari kelompok nusantara
jadi, kutbah kiriman sang jawi
membuatkan masuk kanan keluar kiri
kecuali seseorang yang perasan prihatin dengan kecelaruan tafsir.

siapakah yang zalim sebenarnya
apakah rakyat kecil yang berarak dengan sopan
dan kemudian digembur oleh sang petugas
atas suruhan penzalim nasionalis
anak-anak melayu masih diperbodohkan
masih didendangkan dengan bermacam realiti
guna merendam kegundahan melata
maka berseronoklah dari pagi sampai tengah malam
budaya-budaya mungkar itu dipelihara indah
sedang rakyat kecil yang marah kerana mainan
SPR yang tidak pernah mengaku kalah:
kami tidak melakukan penipuan
kami tidak bikin undi pos palsu
dan kami tidak memanipulasi keputusan di dalam peti undi
dan kami tidak membikin kartu penduduk palsu
dan kami tidak mengupah untuk membeli undi.

apalabila rakyat sudah kehilangan daya,
mereka hanya tahu berbaris dan berbaris
dengan baju serba kuning
dengar khabar, mulai saat itu tiada warna kuning beredar
di mana-mana hatta di gedung membeli-belah,
kuning yang dilambangkan tiba-tiba sirna
apa ertinya ini?

entahlah, selagi rakyat kecil dizalimi
oleh para penzalim di peringkat tinggi
selagi itulah rakyat kecil akan berpakaian kuning di mana-mana
dan menjadi ketakutan amat kepada orang yang
hidupnya tidur di atas wang kertas
jika tempat tidurnya itu diganti dengan lapisan simen sejuk.

Misnon Jamil,
Pasir Panjang, Selangor, Jun 2011.

No comments:

Post a Comment