Saturday, 30 July 2011

Puisi Lama di Juta Mines Kondo

Ketika membelek buku nota yang selalu dibawa dalam beg sandang, ditemui sebuah puisi biasa, tidak menarik, tetapi ia ditulis ketika bertugas di Juta Mines Kondo, Balakong. Untuk tidak sesia mood ketika itu dibuang begitu sahaja, saya salin semula:

DI TAMAN LARANGAN

di taman larangan itu
hanya seekor anjing
tertambat di bawah bayang pohon.
tak siapa peduli
semua telah mati
tiada gerak tiada arak
di taman larangan itu.
telah petang datang
di kaki langit
berbaring pelangi
dalam sarat warna pulang
tak siapa peduli
semua dalam pugaran
siklus kehidupan berulang
dengan suara lempang lesu
ini warna hakiki
taman larangan lempang.

Juta Mines Kondominium,
Jalan Timah, Balakong, Mei 2007.

Kisah Wanita Berumur
Ada sesuatu yang menarik ketika bertugas di kondo itu. Saya dapati kondo ini adalah eskapisme bagi seseorang yang ingin merahsiakan dirinya. Seorang wanita yang telah berumur tinggal dengan pasangan seorang wanita muda. Masing-masing mempunyai mobil. Wanita berumur tadi memiliki sebuah motosikal berkuasa besar, memang besar dan dia letakkan motosikal di tempat khas. Motosikal itu jarang digunakan, kerana dia sibuk dengan tugasnya. Tetapi gaya pakaiannya seperti seorang pengembara atau pendaki gunung. Dia tinggal bersama seorang wanita muda, dan kemungkinan dialah "suami" kepada wanita muda itu. Pemilik rumah kondo itu adalah atas namanya. Saya lupa namanya, dan tidak mencatat.Orangnya baik, tetapi cuba mengelak daripada bertembung, kecuali hanya "hai!" dan angkat tangan sahaja. Mungkin ada rahsia yang hendak disorokkan.
Kisah pelajar Iran buka zip seluar
Ini pun sebuah kisah aib. Terdapat dalam paparan CCTV. Kami terpaksa buang paparan itu untuk mengelak daripada diketahui oleh Miss Kwan yang memantau kondo pada masa itu. Ah Ming diminta membuang adegan itu kerana ia tidak sesuai untuk disimpan. Waktu malam, ketika semua orang sudah berada di dalam kondo, sepasang kekasih dari Iran (mungkin student UPM, Serdang) masuk ke dalam lif. Tidak ada siapa. Bangunan kondo setinggi 20 tingkat. Dalam lif itu pelajar wanita membuka zip seluar pelajar lelaki. Dan kemudian berlakukan kejadian oral seks di antara pelajar wanita itu dengan si lelaki sambil berdiri sementara lif bergerak ke tingkat atas. Mereka tinggal di tingkat belasan sahaja (lupa di mana). Adegan itu dirakam dalam CCTV kerana mungkin pasangan pelajar itu tidak menyedari bahawa dalam lif juga ada kamera pengawasan. Kalau hal yang ringan-ringan, peluk, cium, raba, itu perkara biasa dalam lif kondo sederhana atau mewah. Kisah dua pelajar itu kita rahsiakan, tetapi kepada pelajar lelaki itu saya dah beritahu tentangnya. Mereka ucapkan terima kasih kerana telah membuang "video lucah" dalam CCTV itu. Padahal kalau kami dari kumpulan gemar benda-benda ini akan menyimpan dalam telefon bimbit dan paparkan untuk YouTube semua. Banyak benda boleh buat.
Surau Baru
Pada tahun 2007, surau sudah disediakan. Tikar, karpet semua belum ada. Tetapi orang pertama yang solat pada waktu malam adalah saya. Sebab kawan lain seperti geng dari Sarawak, dari Sabah (agama Kristian), geng Nepal pula bukan Islam, jadi saya seorang yang gunakan surau itu. Melantunkan bacaan solat ke heningan malam. Sedangkan ada seekor anjing anjing bernama Puppy ditambat tidak jauh dari surau. Agar anjing itu tidak menyalak terkejut, saya pderlu panggil, "Puppyyyyy!" dengan suara biasa agar anjing itu tidak bangun dari tidurnya atau memandang sahaja, sebab dah biasa melihat kelibat saya di situ.Ketika surau belum siap, warga keturunan Arab dan Arab-Indonesia yang tinggal di kondo solat di sebuah surau di Taman Timah, hanya di luar tembok sahaja jaraknya. Selain surau, saya juga ada melakukan solat di kawasan teduhan berhampiran kolam renang. Kenapa?
Selalu budak-budak kata nampak kelibat benda terbang, ada perempuan cantik, atau ada makhluk menyeramkan kelihatan di bangunan kondo C dan D, sebab ketika itu orang belum masuk lagi. Sengaja saya solat di situ mengumandangkan bacaan al-Quran, agar situasi di situ tidak diseramkan oleh kepercayaan karut. Tidak ada apa-apa sebenarnya. Di sekitar kolak renang itu, sesekali pelajar dari Arab (Timur Tengah) adakan majlis BBQ sesama mereka.
Dan menjadi tegahan, penghuni tidak dibenarkan mandi setelah larut malam. Saya pernah menegur seorang pelajar Arab yang masih berada di kolam renang atas alasan perubatan. Dia perlu merendamkan badannya beberapa lama di situ. Atas pertimbangan kesihatan kami memberinya masa dan dia diminta buat permohonan bertulis.
Tidak jauh dari kolam renang itu ada kolam kumbahan kecil. Di situ saya lihat banyak burung bangau mencari makan. Semuanya terbang ke kawasan berair, dan lopak-lopak tidak jauh dari Mines, balakong. Saya suka melihat burung-burung yang beterbangan memutih di sana-sini.
Di Taman Timah itu, dulu saya selalu datang ketika bertugas dengan Pustaka Alhas, milik Ahmad al-Hassan Pang Abdullah, asal Melaka, di situ ada satu unit rumah miliknya yang dijadikan stor menyimpan buku dan majalah lama untuk jualan pasar malam, pameran buku dan pesta-pesta di seluruh Semenanjung. Kini Pustaka Alhas sudah tiada. Isteri beliau lebih minat kepada perniagaan makanan, buka restoran di Bandar Baru Bangi. Tidak tahulah, masih ada atau tidak sekarang (2011).
Taman Timah
Ini sebuah taman yang menempatkan pekerja lombong dan kawasan setinggan ke satu lokasi yang baru. Taman Timah memang sebuah taman yang tersusun. Tetapi saya kenal beberapa orang yang tinggal di situ, Mahmud Salleh, dulu jual buku pasar malam, Dollah Salleh abangnya sudah meninggal, Abu Salleh masih meneruskan perniagaan buku dan yang berkaitan. Pernah suatu ketika terjadi pergaduhan antara dua kumpulan gangster India di situ, salah seorang budak gangster tu kawan juga. Dia hendak berentap di kawasan berhampiran Jaya Jusco, saya tidak benarkan dia keluar kerana itu waktu bertugas. Dia merayu-rayu nak keluar juga. Saya perlu tegas, tak boleh. Sebab kalau ada-apa berlaku, pihak tertentu akan menyoal saya pula, terlibat dalam peraduhan ketika bertugas. Akhirnya dia mengalah. Teruskan tugas, walaupun sibuk melayani panggilan telefon dari member yang sedang bergasak di luar sana. Kisah gangster ni bukan rekaan, ada dua kumpulan atau lebih gangster. Dulu ada yang pau pihak kondo untuk menyerahkan bayaran tertentu. Tapi semua itu sudah diselesaikan.
Budak Indon
Di kondo ini tukang sapu dan pembersih adalah warga dari Indonesia. Saya kenal dengan budak-budak itu semua. Salah seorang telah berkahwin dengan Amin, pegawai di kondo ini. Waktu itu Amin pakai kereta Kancil.Budak-budak ni saya tak tahu bagaimana rekodnya, tetapi kalau ada operasi, mereka cukup risau. Mamat yang kebancian sedikit lagaknya, pernah ditahan pihak tertentu dan minta bayaran. Sebenarnya budak-budak Indon yang bekerja sebagai cleaner ni gajinya tak besar. Takat RM600 lebih je. Tetapi mereka sanggup kongsi ramai-ramai sewa lot kondo di tingkat 6 kalau tak salah. Saya tak ingat siapa nama mereka. Tetapi, dengan income sebanyak itu mana cukup kan? Ada salah seorang itu, hari Ahad beritahu saya ada kerja bersihkan rumah orang, bisik-bisik di belakang, mengatakan dia bukan cuci rumah orang, tetapi nak suruh jantan cuci bersih badannya dan mendapat bayaran. No komen.
Arab langgan perempuan
Ada seorang budak Arab, namanya Ali, saya selalu tegur dia. Sebab Ali ni nampak okay, macam kita tengok orang Melayu yang berislam. Tidak semua Arab patuh ajaran agama. Si Ali ni kadang-kadang pergi enjoy di Mine atau tempat lain. Balik agak mabuk sikit. Dan pada hari Ahad atau hujung minggu, dia akan tempat seorang perempuan untuk "servis" di situ. Perempuan muda itu namanya pelik sedikit, dia dari Indonesia, dan dibawa oleh seorang pemandu teksi wanita, mungkin pemandu teksi juga dapat habuan daripada "servis" itu. Dalam pukul 6.00 pagi perempuan itu keluar atau kadang-kadang kesiangan. Kartu pengenalan diri dicatatkan di pondok kawalan. Nampaknya bukan Ali seorang, malah banyak lagi baik warga Iran atau Arab yang melakukan keonaran di situ.
Penghuni kondo suka Alleycats
Setiap kali lelaki keturunan India itu memandu kereta masuk, akan kedengaran lagu-lagu Alleycats David Arumugamnya, bukan main lagi, dia ikut nyanyi dan bersiul-siul, saya tengok ramai orang India tahu menyanyikan lagu dari kumpulan Alleycats. Lagunya tetap evergreen walaupun sudah melalui beberapa zaman dari 70-an tengah hingga 2007, ketika saya di kondo itu.
Beli perabot
Penghuni kondo kalau nak beli perabot, mereka perlu berada di dalam kondo. Sebab, ketika lori bawa perabot sampai, mereka akan ditahan oleh pengawal. Minta dokumen. Nak hantar ke tingkat dan nombor mana, sudah dihubungi pemiliknya atau belum. Biasanya, pemesan masih ada di luar, ada Jaya Jusco atau Mines lagi. Barang sudah sampai, tuan belum sampai. Pemandu lori perabot kena relax dalam lori berjam-jam. Ada yang tunggu dari siang jam 5.30 petang, tetapi boleh masuk hantar perabot pada pukul 7.15 malam. Ini perkara biasa. Nak masukkan barang, nak letak mana? Lepas tu nak guna lif. Budak Nepal yang jaga bilik CCTV kena pergi ke lif, bawa kunci khas untuk bawa barang. Kena tahu bagaimana nak menahan lif supaya barang boleh dipunggah. Gara-gara budak main lif, pernah member tersangkut di tingkat 20. Saya berlari dari tingkat bawah hingga 20, naik melihat jentera lif yang sedang dibaiki. Mereka tak tahu ada orang tersangkut. Tapi masa itu, tingkat 20 macam tingkat 10 sahaja. Stamina masih ada. Yang terperangkap itu adalah ketua pengawal sesi siang, keturunan India, berkahwin dengan perempuan Philipina, fasih cakap Melayu, tetapi ketua pengawal tu kata dia adalah ketua gangster, pakai mercedez mata belalang, ada ruang kedai disewakan di Mines, setelah saya semak, semuanya auta belaka. Memang saya biasa jumpa orang yang suka cakap besar, tak mahu mengalah, padahal dia hanya naik kapcai Yamaha. Kali terakhir dia tinggal di Juta Mines Kondo, bersama isterinya, dia juga difahamkan ada kedai gunting rambut, disewakan.Sebenarnya benda-benda macam ni adalah kisah rakyat. Boleh dijadikan bahan untuk novel masyarakat. Boleh dipecahkan untuk dijadikan skrip drama TV atau filem. Sebuah segmen yang menarik.
Curi kabel tembaga
Ada pengawal bertugas malam yang pura-pura rajin meronda. Dia ni buat kerja seorang. Dalam pada rajin dia akan potong tembaga dalam sekaki dua. Dibungkus elok-elok letak di raga motosikal Hondanya. Time makan dia keluar kejap. Beritahu nak balik rumah. Dia bawa benda itu sekali. Rupa-rupanya ada seorang pegawai kondo yang menandakan kable tembaga itu dengan penanda rahsia. Dia dapati penanda rahsia itu sudah hilang. Inilah punca syak dilakukan oleh pengawal sendiri. Di kawasan Taman Timah, ada pembeli barang-barang lusuh, entah aluminium, besi buruk, kertas, plastik dan sebagainya. Jadi, mudahlah nak jual tembaga tu.
Catatan ini hanya berupa nostalgia yang tidak memberikan apa-apa kepada pembaca, tetapi ia sekadar nota peribadi. [MJ].Ahad 31.7.2011].


No comments:

Post a Comment