Sebenarnya tidak betul kalau hendak dikatakan pendapatan isi rumah penduduk di negara kita ini benar-benar meningkat atau seukuran dengan negara yang sedang membangun. Orang kata, pendapatan RM3,000 sebulan tidak cukup dengan kos yang ada di sekitar kita. Kenapa hendak bercakap soal yang RM3,000 itu, sedangkan mana ada orang yang berpendapatan RM3,000 sebulan?
Paling tidak bagi orang yang kerja tak ada, kerja tak tetap maksudnya, banyak yang freelance, mereka tidak pernah dapat sebanyak itu. Orang politik hanya tahu bercakap di tempat mereka bercakap, tidak pernah turun padang. Kalau nak turun padang pun, beritahu orang kanan dan kiri. Maka ketika turun ke pasar Chow Kit, siap dengan wartawan-wartawati, kamera di sana-sini. Tinjauan telah dibuat. Mereka dapati, rakyat gembira dengan kenaikan harga barang. Biar naik bagaimanapun tak kisah, asalkan barang itu ada.
Pendapatan cukupkah? Ini pemimpin Melayu tidak pernah fikirkan, kerana mereka berjuang untuk tembolok masing-masing. Berapa ramai yang berlegar-legar di pasar Chow Kit, Kuala Lumpur, sebagai contoh, yang punya pendapatan RM3,000 sebulan?
Jika mereka berpendapatan begitu, mereka tak jenguk pasar Chow Kit. Yang jenguk pasar Chow Kit tu adalah golongan rakyat kecil. Mereka memilih ikan sampai setengah jam tak jumpa-jumpa, sebab wang di saku tidak cukup. Kenalah beli sayur longgok, seringgit selonggok, ikan selonggok ada RM3.00 perut dah pecah. Yang murah ikan tongkol, ikan sardin kecik, keli, talapia, ikan jeket, itu murah. Yang lain, semuanya mahal-mahal. Tapi bagi orang kecil yang pendapatan sebulan RM850.00 mereka tidak terfikir hendak mengaku pendapatan sebulan mereka RM3 ribu. Bodoh benarlah.
Di Kuala Lumpur ini, ada kawan-kawan dah dapat bantuan dari Baitulmal dan Jabatan Kebajikan. Dapatlah RM500 sebulan. Kebanyakan tempat tinggal tak ada. Menyewa. Tidur kaki lima pun ada. Kenapa, sebab kita hanya seronok dengan statistik untuk dibentangkan. Maka bertepuklah rakyat kecil ketika wakil tertentu berucap mengatakan, kita menyediakan dana untuk membantu peniaga kecil sebanyak misalnyanya, RM34 juta. Tidak terfikirkah, rakyat kecil, dana itu untuk siapa?
Angka-angka begini memang menyeronokkan. Rakyat kecil terpukau. Terlena. Macam juga peruntukan untuk masjid-masjid. Masjid bagaimana yang dapat tu? Bukan semua masjid. Bukan semua orang susah tak ada kerja tetap dapat bantuan Baitulmal atau JKM.
Masih ramai yang tercicir dari menikmati dana untuk rakyat jelata. Dibandingkan dana untuk orang miskin, dana untuk si kaya raya lebih hebat. Dana untuk si kaya raya ditatang dengan penuh belas kasihan, manakala untuk rakyat kecil hanya untuk mendapatkan statistik sahaja.
Meningkatnya harga barang keperluan memberi beban kepada orang miskin yang pendapatannya di bawah RM500 sebulan. Seorang teman memberitahu di tangannya ada RM30, nak beli beras, nak beli lauk. Cukupkah untuk belanja tiga hari? Kalau congak orang kaya, wang sebanyak itu hanya untuk minum sahaja dan tidak makan. Tapi bagi rakyat miskin, boleh dijimat dengan ikan masin, bilis, sayur tak ada pun tak apa, tak payah makan buah. Jangan dengar nasihat pakar kesihatan. Orang miskin bagaimana hendak makan buah-buah segar? Mangga dah hitam-hitam di Chow Kit dijual dengan harga RM4.00 dua kilo. Inilah makanan orang miskin. Orang kaya di Jalan Ampang Hilir, rumah Tan Sri, makanan yang masih elok dibuang begitu sahaja untuk makanan tong sampah. Mungkin di tempat pembuangan sampah, akan ada tukang kutip untuk dibersihkan dan dimakan.
Itulah makanan orang miskin. Jangan fikir soal nutrisi dan dizi semua. Jangan fikir soal piramid makanan yang digambarkan untuk mendapatkan makanan seimbang. Kalau yang ada telur sahaja, goreng telur dadar atau telur mata lembu, sudah. Maaf, tidak tahu nak sebut mata kerbau.
Jadi, masalah orang miskin bertambah miskin orang kaya tak pernah fikir. Mereka rasa, tugas sudah selesai apabila si miskin dah dapat dana RM200 dari JKM dan RM300 dari Baitulmal.
Maka harga bawang pun dinaikkan lagi. Gula pun dinaikkan lagi. Orang miskin ini, kadang kala nak juga makan di gerai kecik. Untuk makan di gerai, paling tidak RM5.00 habis. Tu pun kena jimat.
Orang kaya, peduli apa? Gerai kecik tak jenguk langsung. Lagi-lagi yang pakai beg tangan sampai RM160,00 sebiji. Kalau bagi makan pada orang miskin yang asyik makan ikan gelama masin kan bagus.
Tapi tidak. Orang kaya ni, hanya hendak besarkan tembolok. Jarang ada orang kaya pedulikan orang miskin. Rumah berpagar. Jangan bagi pengemis masuk. Jangan bagi peminta-minta. Bila masa bulan puasa sibuk pula nak belikan Quran beberapa naskah hantar ke masjid, pas tu suruh beli surah Yasin sampai berbungkus-bungkus.
Maka, orang miskin akan lihat di mana-mana masjid di Wilayah Persekutuan, paling banyak adalah surah Yasin. Masuk masjid Yasin. Masuk masjid Yasin. Surah lain bila nak baca ustaz? Tak pernah pula orang miskin dengar, ustaz bagi tazkirah tentang kelebihan surah Yasin. Apa dalilnya dan sebagainya. Nanti kalau orang miskin tanya fasal ni, orang kecil dituduh Wahabiyah. Kalau cakap tentang tahlil atau apa pun, nanti dituduh Wahabiyah!
Sampaikan ada ulama kecil di Gombak, mengkritik kitab Ibnu Taimiyah, padahal kitab turat dari ulama itu jauh lebih mantap dibanding tulisannya tentang ahlus sunnah wal jamaah itu. Buku karangannya ditebarkan di masjid-masjid Gombak. Nah, berbalik kepada orang kecil yang menangis kerana tak cukup duit, maka di sana-sini banyak kejadian yang berkaitan dengan duit.
1. fenomena biasa orang menyelongkar tong sampah, kutip apa sahaja benda terbuang untuk dijual semula dengan slogan kita semula.
2. jadi fenomena biasa, orang berniaga nasi lemak dan kuih muih pagi-pagi jam 6.00 dah terpacul di LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur, depan KLCC, dan di mana-manalah.
3. jadi fenomena biasa, orang berniaga di pasar karat untuk mendapatkan duit yang berkarat.
4. jadi fenomena biasa, orang hendak jadi "ulat" bagi macam-macam kegiatan yang mendatangkan duit. Ulat tiket selalu diburuk-burukkkan, sedangkan ulat dalam politik pun banyak. Ulat dalam politik digunakan untuk beli kapal selam dan ulat dapat duit sampai RM450 juta lebih. Ulat tiket dapat berapa?
5. jadi fenomena biasa, iklan along ditampal di sana-sini.
6. jadi fenomena biasa, orang iklankan cara nak jadi jutawan senyap.
7. perkara biasa orang belajar jadi bomoh, tukang ubat, tukang urut, tukang ramal nombor ekor untuk dapatrkan duit.
8. perkara biasa, orang kehilangan kasut di masjid-masjid kerana pendapatan pencuri kasut itu tak sampai RM300 sebulan!
9. jadi fenomena biasa, masih ada orang menjual tubuh, baik secara selindung atau terang-terangan, termasuk menggunakan internet untuk mendapatkan wang. Banyak pula kena tipu, dan proses penipuan itu terus berjalan setiap detik. Ada sahaja orang kena tipu termasuk pensyarah, cikgu-cikgi, pegawai itu dan ini, tapi tak ada pula orang miskin kena tipu begitu.
10. jadi fenomena biasa, tok bomoh siam dari Perlis, sebar iklan di taman-taman, masuk peti surat, konon sifulan dan sifulan telah menang nombor 4D dengan berkat bantuan TUK WAN, misalnya. sebuah iklan dengan tiket kemengan yang saya kira telah menang RM175,000.00 hasil bantuan tok bomoh Siam itu.
11. jadi fenomena biasa, makcik dan pakcik nak cari menantu yang akhlaknya budiman, seperti jadi juara nyanyi, juara lawak, juara main muzik dan sebagainya. Sebab nama-nama hebat ini mendatangkan duit.
12. jadi perkara biasa, orang beli pakaian murah yang tergantung di Chow Kit, atau tunggu hingga Pavillion, Giant, Kamdar, Sogo, atau mana-mana offer sampai 70%, masuk akalkah?
13. jadi perkara biasa orang pergi pasar pagi, terkial-kial nak memilih barang. Sebab duit tak cukup.
Semua benda yang disebutkan tadi tidak melibatkan orang kaya. Semuanya hanya si miskin belaka. Macam beli kapal selam itu, melibatkan petani miskin sahaja. Kelakar betul. Inilah serba-serbi yang membuatkan orang berkeluh-kesah. Harga barang naik. Semua kos naik. Rapid lagi haru. Orang miskin tak boleh naik bas lagi. Maka tanah airku ini adalah syurga bagi orang kaya yang mementingkan diri mereka sendiri. Kalau ada orang kata tanah airku indah dan permai, saya jawab, entahlah! Kalau adas orang kata tanah airku ini sudah maju macam Dubai tu, entahlah! Minda rakyatnya masih dibekukan dengan pemikiran karut.
Dan ada setengah orang kesal kerana makin ramai orang cerdik agama. Makin cerdik, mereka akan tahu bahawa pembohongan ada di mana-mana. Makin banyak universiti, makin banyak orang akan mengkritik perjalanan yang tak betul. Kenaikan harga barang, orang miskin hanya berkeluh kesah. Persatuan Pengguna hanya tahu cari nama. Pemimpinya yang bergelar Datuk menjadi pak turut, tak membena pengguna, tetapi membela pemimpin tertentu yang duduk di atas. Jadi, orang miskin perlu melantik orang miskin juga untuk membela nasib mereka. Pemimpin kecil yang sudah naik, sudah dapat gelar Datuk, dah lupa dengan rakyat miskinnya. Inilah yang menjadi kebiasaan di tanah airku ini.
Teringat saya ketika berada di Maran, Pahang, ketika ada pertandingan nyanyian lagu patriotik. Budak-budak pun menyanyi sambil berdiri tegak lurus. "Selamatlah, Malaysia raya... Negeriku yang ku cintai.." Lagu ini bagi guru-guru yang bertugas akan disampuk dengan lirik cantik: "...Negeriku yang kucing taik!"
Masih harga barang. Di Pasar Chow Kit jam 3.00 ptg. ada orang mencari-cari ikan longgok. Dua longgok RM5.00. Bawa balik, naik bas. Maklum khidmat bas di Kuala Lumpur ni teruk juga, sebaik sampai rumah, ikan dah busuk. Nak makan ke tidak? Nasib orang miskin tidak ada siapa menyelami, melainkan seniman rakyat juga. Dalam puisi, cerpen dan novel perlu dipaparkan. Jangan harap kepada Utusan Malaysia, RTM atau TV3. Itu semua dah jadi media bagi orang kaya. Orang miskin tidak layak tonton siaran dan baca suratkhabar itu.
No comments:
Post a Comment