ya, fikiran orang kecil di desa-desa terpencil
yang masih didongengkan soal api dan air bersih
dengan tiba-tiba tidak peduli kerana pelita minyak masih ada di bumi Malaysia ini,
masih ada anak-anak mandi air terusan atau tali air
tidak peduli dengan janji pilihan raya dan tentang pembangunan
yang mengenyangkan perut gendut pemidato berkereta mewah
jarang sekali orang kecil melihati si gendut itu
yang datang dengan perempuan cantik
dengan stail rambut yang aduhai.
begitulah si gendut memainkan kotak fikir orang kecil
menimang-nimang wang ringgit dan janji pelbagai
hasilnya
orang kecil tetap mengais-ngais tanah yang kecil
sekangkang anak ayam
orang kecil dijanjikan harga barang murah
ya tidak ada yang murah lagi sekarang
orang kecil di pedalaman tidak tahu apa
ini semua mainan si gendut yang sesekali datang dan pergi
lima tahun sekali datangnya membawa janji.
kini fikiran orang kecil pun berubah
mereka ingin sekali berbaju kuning
untuk meraikan rakan-rakan seperjuangan
buat membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah
kulit sawo matang
menjajah fikiran orang kecil dengan kegendutan perutnya
sesekali meletakkan bungkusan baja atau payung biru
bagi orang kecil baja atau payung itu
tidak menyuburkan tanaman
dan tidak melindungi dari terik panas dan hujan.
maka gelisah amat si perut gendut
menyaksikan orang kecil berfikiran besar
menerjah buana hingga ke mana pun
si gendut lari, orang kecil mengejarnya dengan fikiran
sehingga sampai bila pun orang kecil
semakin terpencil dari perhatian si gendut.
No comments:
Post a Comment