Drama Melayu memualkan. Jalan cerita mudah. Keluarga kaya anak seorang saja. Sebab senang nak atur watak. Itulah anak kesayangan. Itulah yang akan menjadi pecahan cerita selanjutnya. Kalau memiliki rumah, cukup mewah dan hebat. Tayang perabot cantik-cantik, sebagai gambaran Melayu yang dah maju. Kemudian kereta mestilah BMW atau Mercedez model terbaru. Yang memandunya, anak muda yang konon jadi CEO sebuah syarikat. Kemudian watak hero atau heroinnya, mesti kerja syarikat mewah, atau mewarisi harta mak bapak, atau mertua. Timbullah konflik, kacau ganggu dari teman wanita atau teman lelaki. Gambaran ditonjolkan dalam drama Melayu, bahawa Melayu ni jahat, khianat, buruk sangka, suka ganggu orang lain, suka dendam, suka fitnah orang.
Kemudian dalam bab dapur, mesti ada adegan makan-makan yang tersusun rapi. Dah tentu guna katering tertentu untuk adegan ini. Berbual sambil makan, atau merajuk tak nak makan, ini sudah klise betul. Peningkatan watak begitu mudah. Dari kerani, sebab lulus SPM, kemudian lanjutkan pelajaran sambilan, kerja di syarikat, bila lulus terus jadi pengurus besar, terus pakai kereta mewah dan rumah agam.
Gambaran ini adalah sama dengan perniagaan MLM. Di mana-mana disebarkan flyer mengatakan sifulan dulu susah, sekarang dah goyang kaki. Pakai mercedez atau BMW. Inilah kemegahan Melayu, asal jutawan kena pakai kereta mewah. Padahal berapa banyak menyertai perniagaan MLM lingkup, HR Ikhlas yang beroperasi di Melaka, walaupun modal RM100 berapa ramai yang berjaya? Tak ramai. Terkial-kial nak cari orang.
Dalam drama kalau berniaga digambarkan perniagaan itu amat berjaya. Budak sekolah SPM, masuk universiti terus jadi pegawai hebat, gaji hebat, beli itu dan ini. Ini gambaran tidak tepat. Berapa banyak lulusan universiti akhirnya nak jadi cikgu?
Drama TV kita masih dikuasai oleh penerbit yang itu, itu juga. Bidang ini adalah tempat untuk cari duit. Semuanya hal ehwal perut belaka. Satu lagi nak tegur, kalau bab masuk hospital, akan datang seseorang membawa bunga kepada orang yang terlantar. Hakikatnya, ana tak pernah tengok orang bawa bunga ke hospital. Bunga untuk apa? Itu bukan tradisi Melayu, tetapi meniru drama Hong Kong, Taiwan atau drama di luar alam Melayu.Walaupun tunjuk mewah, hakikatnya dramatis terlibat bukanlah mewah sangat hidupnya, mereka ada yang pakai iswara atau wira sahaja. Tak pula pakai BMW atau berlagak hebat.
Itulah antara drama dan keadaan yang sebenarnya. Drama menutup kemiskinan yang merata. Digambarkan Melayu ini serba maju. Tetapi hasad dengki Melayu tetap ada. Selain itu, drama yang disiarkan banyak yang dah berulangkali macam cerita P.Ramlee.
Diulang-ulang untuk cari duit tajaan. Hanya untuk mengisi slot tertentu. Ana sendiri memang tak suka tengok TV, apalagi berita nasional yang berat sebelah. Setiap paparan berita ada agendanya tersendiri. Begitu juga dalam drama Melayu kita. Drama kita masih gagal menggambarkan sikap Melayu sebenar. Melayu yang negatif begitu banyak dipaparkan. Inilah watak Melayu sebenar. Jahat, suka menunjuk-nunjuk, suka jatuhkan orang, rampas suami atau bini orang, kaki gaduh dan macam-macam.
Satu lagi bab ada watak polis. Ana memang tak berkenan. Antara polis dan watak penjahat itu tidak ada perlawanan, seolah-olah macam drama Roda-Roda Si Yusuf Haslam. Drama kepolisan itu makin membosankan, entahlah siapa nak tengok drama macam itu. Bagi pengarahnya seronoklah sebab dapat berdampingan dengan orang berpangkat, tapi penonton di Malaysia ni, banyak yang tak suka. Drama lain, hakikat sebenar lain. Drama tonjolkan ramah dan mesra, tetapi di luar berbeza.
Drama Melayu di TV tidak lebih hanya untuk mengisi slot sahaja. Dalam pembikinan drama ada kelompok tertentu. Dan orang itu juga yang tulis skrip. Gambaran syarikat Melayu dibuatnya indah-indah, jawatan hebat, tetapi gagal dalam cinta. Ini bukan ciri pengurus atau CEO. Mungkin penulis skrip tidak tahu apa itu CEO. Kemudian kalau syarikat, siap labur luar negeri berjuta-juta, atau syarikat Melayu hebat, labur projek itu dan ini. Drama Melayu akhirnya macam Hindustan juga. []
No comments:
Post a Comment