Saturday, 9 July 2011

Perhimpunan Aman Sukses Akhirnya

Di Kuala Lumpur, perhimpunan aman 2.0 guna membersihkan kekotoran dalam Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia berlangsung dengan jayanya. Bermakna, majoriti rakyat yang cintakan kebersihan sistem telah datang berkumpul di KL menyebabkan pihak berwewenang kelam-kabut buat itu dan ini. Kejayaan kumpulan anak-anak muda dan sesiapa sahaja walaupun menerima ugutan dan macam-macam, mereka tetap berkumpul. Itu tandanya kebangkitan rakyat belum pudar, semakin menjadi-jadi sekiranya negara ini mengamalkan demokrasi tulen, dan bukan sistem "ala Mugabe" yang menekan dan menekan. Apa pun sistem, andainya rakyat sendiri yang ditekan, lama kelamaan ia akan menganjal balik. Perhimpunan ini tidak ada kaitan dengan agenda luar negeri sebagaimana yang banyak digembar-gemburkan media pemerintah, itu pembohongan dan hasutan namanya. Ia adalah perhimpunan rakyat sebagai bukti bahawa mereka selama ini tidak diberikan hak untuk bersuara dan menyampaikan suaranya. Suara yang terus menerus ditekan, akan menimbulkan kebangkitan. Ini perkara biasa di dalam sejarah peradaban dunia. Ini kita kena belajar. Jangan menekan orang dengan undang-undang yang kita sendiri tak ikut. Sistem kita tidak mengikut standard international, kita masih ikut sistem Melayu mengikut tafsiran sendiri. Kalau sistem itu sesuai kita teguhkan, kalau mengancam kita rosakkan. Ini tidak betul.
Kemudian kumpulan rakyat ini digambarkan ganas, tak bertamadun, dan macam-macam. Cara wartawan media bertanya orang ramai adalah berbentuk provokasi supaya orang yang ditanya marah. Dalam TV berita melaporkan orang ramai marah kerana masalah tol Gombak macet gara-gara perhimpunan. Salah siapa tanya seorang wanita keturunan India. Jawapan dia rasional. Dia tidak tuduh budak berhimpun. Tol Gombak, atau tol di Perak tidak ada kaitan dengan perhimpunan. Siapa yang melakukan sekatan sebenarnya? Semua orang sudah tahu. Jawapannya ada di situ. Tanpa sekatan yang kecoh-kecoh, perjalanan lalu lintas pasti lancar dan tanpa gangguan. Siapa yang merosakkan kelancaran lalu-lintas? Ramai orang berpendapat bukan kerana orang berhimpun. Jika sebab berkumpul di Bkt Bintang, Jalan Pudu, Jalan ke Stadium, atau ke Istana Negara boleh macet, itu gara-gara penguatkuasaan mendadak yang menjadikan huru-hara. Kita perlu rasional. Tidak menyalahkan orang kecil. Bayangkan sebuah negara yang menolak orang kecil, tinggal orang besar sahaja. Apa akan jadi dengan negara itu. Ada pemimpin pun tak guna, tinggal orang-orang besar sahaja. Orang besar dengan orang besar, pasti akan ada orang yang lebih besar lagi. Kecoh juga masyarakat orang besar ini. Justeru orang kecil ini adalah rahmat yang Allah berikan kepada orang besar agar mereka terus berkuasa, dan memperolok orang kecil dengan bermacam idea.
Ketika orang berhimpun, ada pula sibuk dengan dunia flora dan fauna, sibuk dengan koperasi, sebenarnya koperasi di negar kita tidak merakyat. Ia masih mainan orang besar. Orang kecil tidak menikmati apa yang dinamakan sebagai koperasi. Banyak syarikat koperasi tidak beroperasi dengan tersusun. Kedai koperasi di Chow Kit tinggal kenangan, kerana ditadbirurus oleh orang kita. Orang kita tidak pandai mengurus kerana sibuk berpolitik, asyik pakai tali leher dan kot sepanjang masa, dan menganggap orang kecil tidak penting.
Banyak isu sebenarnya apabila Sasterawan Negara A Samad Said sendiri turun padang. Dialah seniman rakyat yang sebenar. Seniman lain kecut dalam puisi-puisi yang tak berguna. Kalau puisi hanya berbicara tentang perpaduan, tentang orang besar, tentang KLCC, tentang bunga atau monorail, itu bukan puisi yang indah. Inilah contoh penyair yang membuktikan citra kepenyairannya. Berbeza dengan penyair yang hanya asyik bicara tentang puisi Latiff Mohidin, puisi Dharmawijaya, puisi Kemala, bahkan ada beberapa kerat pemuisi yang berijazah, mendapat gelar kehebatan akademik gara-gara mengkaji puisi sahaja. Puisi yang hanya pada lembaran kertas, tidak dapat diterjemah untuk rakyat kecil. Sementara itu, pihak kerajaan negeri Melaka buat semacam sayembara tulis puisi yang tentunya penuh dengan bunga-bunga plastik pembangunan, perpaduan, ke satumalaysiaan dan semacamnya, ini semua bukan puisi yang luhur. Ia tidak lahir dari hati nurani penyair, kerana ia sayembara, mengejar duit, nilai puisi begini selalunya hambar, bagai "Sihir Hujan" yang tidak memberi apa-apa kepada orang kecil. Dan saya dapati puisi yang dikaji masih penyair yang sama juga. Maknanya tidak ada penerokaan baru. Inilah mentaliti para pengkaji puisi kita, tidak mahu membedah penyair baru, mereka hanya minat yang itu, itu juga, diulang-ulang, kerana rujukan dah sedia ada, tiru sahaja, begitulah kalangan akademik di universiti yang menjadi dosen di sana-sini. Apabila para penyair dosen sudah selesa, puisinya tidak merakyat kecil lagi. Puisi mereka sudah menjadi rakyat orang besar.
Golongan ini kemudian marah kepada orang kecil yang buat itu dan ini. Menyampah sungguh dengan orang kecil, kerana setelah menjadi dosen ia tidak boleh menyongsong arus pemikiran, nanti dianggap derhaka dan tak setia kepada negara. Ini adalah pemikiran zaman batu. Kematian kepenyairan seseorang adalah kerana hidup selesa dan pengampuan yang bermaharajalela. Jarang orang hendak memikirkan hal ini. Selesa dengan kehidupan harian, pemikiran pun mati. Lihatlah tulisan para dosen yang media utama, dalam laman web pun, kita dapat, isi tulisan mereka tidak lebih hanya penyendalan sisi media. Mengulangi semula apa yang Berita Perdana dah sebut, apakah begini cara dosen kita berfikir?
Berbalik kepada orang besar hendak memijak orang kecil, ia adalah langgam sejarah beradaban kita. Sejak berzaman orang kecil selalu diperbodohkan kerana kekecilan mereka. Orang kecil dianggap remeh. Tak perlu dalam sebuah negara sedang membangun. Ingat, kita bukan berada di negara maju. Kita berada di negara sedang membangun. Negara maju ada ciri-cirinya, tetapi kalau orang kecil pun tidak dihormati, tidak dihargai, menekan, menutup, akhirnya orang kecil sendiri yang menggelisah, akhirnya orang kecil akan berhimpun. Sahabat ana yang berada di tengah perkumpulan ketika dihubungi memberitahu, perkumpulan orang kecil mencecah lebih 50 ribuan, sedangkan wartawan media yang berlagak di latari barisan pasukan berpakaian sderba hitam dan kawat duri mengatakan "haram" dan "haram" berkali-kali bercakap haram dan haram, dan haram, orang ramai tak sampai seribu orang. Sekali lagi orang kampung dimainkan. Bagi orang kampung, perhimpunan orang kecil itu tidak ada sambutan, tidak berjaya, merosakkan sistem, apabila kita temu ramaj seorang pemandu teksi yang marah-marah, itu bukan gambaran pemandu teksi semuanya. Setahu ana, pemandu teksi banyak yang vokal mengkritik sistem yang ada di tengah himpitan orang kecil. Beratus hari dapat berniaga dengan cantik, di Jalan Tun Sambanthan, seorang peniaga dengan sombong mengatakan hari Sabtu itu, dia hanya dapat rm30. Munasabah ke? Kenapa tak kata dapat rm15 sahaja? Inilah kesombongan peniaga apabila bertemu media, mereka tidak jujur. Sedangkan makcik yang berniaga ala kadar pun boleh dapat RM70 lebih? Logik tak ada. Kemudian jalan macet di lebuh raya. Salah siapa? Jangan salahkan orang kecil. Ana yang tinggal di KL tak rasa apa-apa macet pun. Semua ini hanya peranan media untuk memiutarbalikkan fakta sebenar. Zaman yang canggih ini, gambaran di tengah kota boleh sampai ke Langkawi. Boleh sampai ke Pendang, Kedah, sampai ke Pekan,Pahang. Orang kampung pun faham, apa cerita yang sebenar. Bagi golongan yang nasionalis tegar, memang mereka marah, dia kata orang kecil ini bawa masalah kepada negara, merosakkan imej negara, para pelancong lari. Hakikatnya, para pelancong seronok. Dia beruntung dapat melihat perhimpunan begitu di KL sebab mereka pun dah biasa tengok orang berhimpun di Greece, Paris, London, New York, ia adalah gambaran masyarakat moden yang biasa. Jika kita menolak orang berhimpun, mulai sekarang jangan adakan perhimpunan rakyat lagi di mana-mana, jangan adakan perhimpunan bersama pemimpin kalau sekadar nak dengar amanat di bawah khemah, kepanasan, pemimpin datang berlagak dengan kereta mewah, siap dengan iringan yang mengusir pengguna jalan yang lain, ini semua adalah bentuk-bentuk yang tidak dikehendaki orang kecil. Lagak orang besar ini membuatkan orang jelak. Tidak merakyat. Jika rakyat didahulukan, ia tidak sekadar duduk sekejap bersila atas tikar dan main congkak, atau tolong pegang sendok gulai ayam dalam kawah, atau tolong pegang cangkul sekejap, atau ikat kepala dengan daun kelapa muda, macam-macam lakonan orang besar untuk menggambarkan dia juga serakan dengan orang kecil, tapi tak menjadi, mereka datang siap dengan gerombolan yang tak mesra rakyat kecil, datang hanya untuk menyampaikan amanat, lepas tu balik. Sibuk sangatlah tu. Perkara begini orang kecil tidak suka. Hendak solat asar pun kena tunggu orang besar. Gunakan surau untuk main politik. Ini kita tak pandang, sejak akhir-akhir ini kutbah Jumaat juga sudah menjadi sebahagian RTM. Sudahnya nanti masjid kekurangan orang kecil yang sudah muak. Di sana-sini penuh dengan slogan, ugutan, tipuan, pujian dan macam-macam. Itu belum bab fitnah. Sementara itu kita tidak pasti, apakah pada hari Sabtu semalam ada kejadian samun, rompak dan jenayah lainnya di KL ini yang tidak dihidu pihak berkuasa. Maklum, semuanya dikerah untuk mengekang orang kecil seperti Pak Samad itu. Jadi, jangan salahkan sesiapa kalau jenayah berlaku tidak dapat dibendung. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment