Sunday, 17 July 2011

Bulan Ramadan Datang Lagi

Seperti biasa, jika berada di bulan Ramadan, sibuklah orang bercakap tentang bubur lambuk. Seolah-olah ia suatu kemestian pula. Padahal nak buat pun tak apa, tak buat pun lagi tak apa-apa. Dari dulu apabila musim puasa, wartawan dan jurugambar sibuk ambil gambar bubur lambuk masjid di Kg.Bahru, Kuala Lumpur, seolah-olah inilah sahaja bubur lambuk yang paling sedap.
Sebenarnya, semua masjid di kota ini ada bubur lambuk. Ada yang bagi percuma selepas solat asar, setiap hari dapat. Berikat-ikat pun boleh kalau kamceng dengan AJK masjid. Lepas tu, kenapa perlu bubur lambuk setiap hari? Bukankah pemakanan ini yang mengunakan minyak, santan dan sebagainya akan menambahkan bahan makanan yang tak sesuai dengan kita? Hari-hari dok tala bubur lambuk?
Bubur lambuk ni bukan susah nak buat. Senang sahaja, di rumah pun boleh buat. Tak payah nak berbaris tunggu bubur lambuk di Masjid Jamek, Masjid India (boleh bawa baldi besar), Masjid Kg.Bahru, surau Jalan Raja Abdullah, nak bubur lambuk yang dijual pun ada. Banyak pilihan.
Ana tidak setuju kalau ada yang kata resipi bubur lambuk Masjid Kg Bahru tu hebat. Rasanya bagi ana, biasa sahaja. Nak kata luar biasa, tidak. Biasa sahaja. Mungkin bagi yang tak tahu masak, mereka kata bubur tu dah hebat sangat terutama wartawan RTM, Bernama, Utusan Melayu, Berita Harian dan yang sealiran dengan Umnoisme. Ana yang pernah tinggal di Kg.Bahru dan tahu sangat tentang pemasakan bubur lambuk tu, taklah hairan sangat, kalau tak jamah bubur lambuk pun tak apa. Biarlah Utusan puji-puji lebih.
Kemudian tentang bab solat sunat terawih, mula puasa, masjid sana-sini penuh, kalau boleh hendak dibesarkan lagi masjid tu. Minggu pertama okay, minggu kedua okay, minggu ketiga mulai kendur, dan minggu akhir lagi kendur. Orang asyik fikir nak balik kampung, nak sediakan kuih.
Kenapa masyarakat kita tidak mahu mengubah kerja bid'ah ini? Mungkin kerana mereka fikir inilah adat istiadat Melayu lama. Ia tidak ada kaitan dengan adat Melayu sebenarnya. Dam-dam dum bunyi mercun bukan budaya Melayu macam lagu Saloma tu. Itu budaya luar. Nak kata budaya Cina Muslim pun tidak. Ana ingat masa kecil-kecil dulu, Mbah Tusat berikan ana beberapa tempek mercun cap nyonya. Macamlah mercun tu boleh dimakan. Yalah zaman budak-budak.
Setiap kali bulan Ramadan, dam-dam dum bunyi mercun tetap ada, walaupun mengikut akta itu dan ini tidak dibenarkan main mercun. Undang-undang apa ni? Kalau cerita tangan putus, cedera parah dek kerana mercun dah jadi perkara biasa. Kastam ada, undang-undang bukan main hebat, tetapi bab mercun kita masih gagal, dan lemah.
Di kampung-kampung pula, gedebum-gedebum meriam karbait berbunyi. Memang hebat. Bunyinya dalam tanah. Gelendummm... itulah yang ana biasa dengar di kampung-kampung sejak zaman silam (60-an/70-an) di Kampung Warisan, Selangor.
Berbalik kepada bulan Ramadan, kita ni bukan berpuasa sebenarnya. Kita mentekedarah. Nak buka puasa, tidak cukup dengan tamar, tapi kena ayam percik, gulai ayam masak merah, ikan percik, solok lada,  dan belum lagi bab kuih-muih.
Memang masa bulan puasa nilah kita kuat melantak dan buruk makan. Sesiapa yang buka puasa di restoran dan gerai pula, dari sebelum azan maghrib berkumandang hingga azan isyak, mereka masih berlonggok di tempat makan, masih sembang fasal business, balik rumah pun belum, dek kerana nak berbuka tadi. Mereka lupa solat maghrib pun, atau tarawihnya.
Kalau buat di rumah pun, jarang yang ikut maksimum, paling tidak 8 rakaat. Buat di rumah. Ada bilal masjid hairan jirannya tak jenguk masjid, tak solat langsungkah?
Di kampung-kampung, jenguk masjid sudah menjadi kayu ukur. Kadang-kadang dek kerana nak tunjuk muka, tujuan sebenar ke masjid bukan nak solat jemaah, tapi nak tunjuk muka supaya tidak dikata takut datang masjid. Kalau orang dah kaki masjid, mereka tetap ke masjid. Di KL ni banyak masjid. Siapa nak pindah randah pun tak apa. Selalunya orang cari masjid yang imamnya hebat, contoh imam dari Makkah atau Madinah. Masjid mana yang ada? Tengok-tengoklah tahu ni di mana.
Lepas tu 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan. Dek kerana kalah melantak di sana-sini, 10 malam yang dijadikan bulan ibadah itu dah jadi bulan keletihan dek kerana terlalu banyak makan.
Dan yang menyedihkan, media hiburan di Malaysia ni sejak zaman dulu hingga sekarang seolah-olah puasa dan raya ni milik artis. Artis yang dipuja-puja siang dan malam. Tu sebab ana lebih suka cara Wahabi yang keras, tetapi kaedahnya menyebabkan umat Islam terpelihara. Tak ada nak jenguk kubur setiap hari raya, entah ajaran dari mana? Sayangnya hal ini tidak ada siapa tegur. Ia sudah jadi amalan orang Jawa dan Melayu di Malaysia. Yang tak puasa penuh pun, kalau pakai baju Melayu jenguk kubur dah dianggap Islamik benar.
Hari raya pertama kedua ketiga dan seterusnya dihebahkan sebagai hari duduk depan TV tengok drama dan filem itu dan ini. Kemudian berhari raya bersama artis. Mereka gambarkan artis sebagai makhluk paling istimewa, cakapnya perlu didengar walaupun yang bercakap tu budak umur 17 tahun! Inilah gambaran buruk yang berlaku di Malaysia. Sanjungan bid'ah terhadap artis begitu keterlaluan.
Kemudian ada lelaki lembut yang jadi pengacara, sibuklah berhari raya di sana-sini. Penonton tak tahu, program itu dah dibuat ketika sebelum Ramadan lagi. Berdendanglah sepanjang masa. Siang dan malam. Seolah-olah raya tidak sempurna kalau artis tidak bergaya, soalnya, siapa artis tu? Dia bukan idola bagi umat Islam sebenarnya. Umat Islam perlu menjauhi TV yang hiburan begini.
Artis-artis semakin mengarut, mereka menyanyi atau berlakon mendapat wang upah. Bukan percuma. Tetapi anehnya mereka sibuk mengatakan bahawa artis sekian dan sekian banyak jasa kepada negara. Jasa apa kepada negara? Mereka menyanyi dan melalak untuk perut, bukan untuk negara.
Paling menyedihkan artis-artis diberi anugerah Datuk, Tan Sri dan macam-macam. Ini tanda kelemahan kita. Bertanya itu ini kalau artis veteran tidak diberi gelaran Datuk. Mereka banyak berjasa kepada negara. Tidak. Mereka menyanyi kerana minat. Itu sahaja. Tukang sapu kenapa tidak dianggap berjasa kepada negara?
Artis diberi penghormatan berlebihan sedangkan ulama klasik, dimomokkan, apalagi ulama mutakhirin, akan tetapi artis yang hingusan, yang berkali-kali kahwin cerai dimuliakan.
Eloklah kita muhasabah diri. Jangan anggap dunia artis ini penting sangat kepada negara. Mereka menyanyi kerana perut. Setiap kali naik pentas mereka dibayar. Sudah dibalas jasanya. Jadi, tak perlulah nak melalak dan mengatakan, bahawa artis sekian banyak jasa, patut dikenang jasanya! Wah, mengada-ngada sangat nampaknya.
Bila dah ada gelaran Datuk atau Tan Sri mereka bukan makin tunduk berisi, tetapi semakin congkak. Kalau aktif dalam persatuan dia akan burukkan presiden persatuan. Rasanya cukuplah sudah, artis-artis bermuhasabah diri. Muzik dan nyanyian itu haram. Dengar dalil-dalilnya.
Paling sedih, artis pakai baju Melayu dan songkok menari-nari dan menyanyi. Pakaian yang sama juga digunakan di Malaysia ini untuk mesyuarat Agong Umno, kemudian pakaian itu juga untuk solat sunat Hari Raya. Itu sebab tak pernah ada penyanyi berjubah dan berserban.
Anggaplah songkok tu pakaian budaya untuk penyanyi dan penari atau mesyuarat parti itu sahaja. Dalam bab solat, ia tak perlu mesti memakainya. Kupiah putih atau hitam rasanya lebih wajar. Ana tengok ramai orang pakai kupiah sekarang. Alhamdulillah, dan songkok makin terpinggir. Ada lagi yang perlu dicatat dalam blog ini, tapi, nantilah dulu. []

No comments:

Post a Comment