Tuesday, 5 July 2011

Bersih 2.0 Ditakuti oleh Umno?

Tinggal berapa hari lagi perhimpunan aman Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur. Bukan satu Kuala Lumpur ya, hanya di tiga tempat tertentu. Yang utama Sogo, Masjid Jamek Kg.Bharu dan dekat bangunan DBKL. Bahayalah perhimpunan ini?
Inilah perhimpunan terbaik oleh rakyat. Sasarannya hanya supaya Suruhanjaya Pilihanraya jangan main politik. Selama ini rakyat sudah muak dengan permainan UBN memanipulasi segala-galanya untuk menang pilihan raya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja kebejatan moral- menipu undi sudah tentu, ketika undi dikira mereka boleh padam lampu, dan apabila kertas undi sudah memihak kepada mereka, maka bekalan elektrik pun pulih, dan seingat penulis pernah berlaku kelewatan mengira kertas undi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, alasannya banjir, maka orang pun hairan, kata negara sudah maju, seingat aku, kalau peti undi itu dibawa naik bas Rapid atau Metro pun boleh sampai ke tempat pengiraan, tak payah tunggu helikopter semua.
Sistem pilihanraya di Malaysia masih meragukan. Pemerhati luar sudah lama mengakui, ada penipuan dalam proses pengundian. Pengundi hantu sudah lama menjadi mainan. Orang luar diberi Mykad pinjam untuk mengundi pun aku dah lama dengar cerita. Bahkan ada kawan beritahu, di Flat Selayang dekat Jalan Raja Laut itu ada beberapa orang pengundi hantu yang sedia untuk berkhidmat asalkan dapat fulus.
Aku pun dah baca artikel mantan bos aku ketika aku di Pulau Pinang tahun 1981 dulu, Dr Lim Teck Ghee, dari Centre for Policy Initiatives, "Academic consensus on unfair elections: Reinforcing the case for Bersih's march," [Harakah, 3-6 Syaaban 1432/4-7 July 2011].
Ada beberapa perkara menarik untuk diulas:
1. A.Samad Said, Sasterawan Negara, satu-satunya sasterawan berani yang mengisytiharkan dirinya menyokong Bersih 2.0. Sementara penyair Kemala tidak seronok apabila Pak Samad menyertai puak pembangkang. Sebenarnya orang macam Kemala ini cukup banyak, penyair yang hanya hanya menulis tentang bulan, bintang, angin, lalang, mengampu pemimpin, tidak berani bercakap benar. Macam mana kerja di DBP, lepas tinggalkan Dewan masih nak ampu juga. Penulis begini cukup ramai. Yang macam Pak Samad tidak ramai.
2.Ada orang bertanya, untuk apa sokong 1 Malaysia, kita orang bukan bekas kaki tangan kerajaan pun, kalau sokong tak dapat apa, sokong pembangkang pun tak dapat apa, tapi dapat kepuasan. Kepuasan jika dapat melihat orang Umno gigit jari. Sebab perangai Umno ni, berlagak apabila ada pangkat dan duit. Orang kecil semua hendak dilanyaknya. Tetapi pandai pula guna slogan rakyat didahulukan. Apabila rakyat hendak berarak dan berkumpul di tiga tempat, slogan rakytat didahulukan, pencapaian Bersih 2.0 diutamakan sudah dilupakan. Cakap tak serupa bikinlah lu kalau gitu?
3.Sebenarnya rakyat sudah bosan dengan pembohongan. Sebenarnya sebelum kes Parti Sosialis konon nak hidupkan komunisme, sudah bermain dalam kepala aku. Pihak Umno akan gunakan polis untuk melakukan perkara-perkara pelik menjelang perhimpunan aman Bersih 2.0.
3.1. Baju kuning tidak dibenarkan, haram, tak boleh pakai, undang-undang mana ni, mungkin undang-undang zaman Melaka dulu kut. Zaman Hang Tuah. Kita dah undur ke belakang, bukan negara maju, tapi negara paling mundur dalam dunia.
3.2.Ada pula dalam beg beberapa ikat baju kuning Bersih 2.0, dan senjata, dan konon "bom" buatan sendiri. Lucu betul. Siang-siang lagi aku sudah agak, perkara ini akan dibuat, untuk digembar-gemburkan konon budak-budak bersih ganas, tengok tu ada senjata dan bom semua. Semua ini adalah agenda puak-puak UBN. Ia sudah diketahui sangat oleh pihak pembangkang.
3.3.Selalunya kes-kes bikinan ini dipaparkan dalam media arus perdana, mujur aku tak pernah tengok berita RTM, TV3, TV7 atau apa pun, Utusan Malaysia dah lama tak baca, Berita Harian, Star, dan yang sebulu dengannya. Aku lebih selesa tak dapat maklumat daripada saluran pembohong ini. Padahal dulu aku pun pernah jadi stringer.
3.4.Banyaklah tangkapan di sana-sini seolah-olah Malaysia sudah terancam teruk. Sebenarnya tak ada apa-apa. Sebab Shamuddin tu pegang KDN, jadi dia memang ngam sangat dengan Tuk Jib, satu family, siang-siang lagi dia sudah bagi amaran nak lawan rakyat. Padah kalau lawan rakyat adalah kebencian rakyat yang meningkat. Bayangkan katakan 120,000 orang berhimpun, dan kumpulan ini digempur, disakiti, ditahan, dirampas, didera, daripada jumlah ini apabila pulang ke kampung masing-masing mereka akan jadi ejen untuk memasarkan kebencian kepada pihak atasan, bayangkan 120,000 x 2 sudah berapa orang? Kebencian akan disebarkan, akhirnya semua orang akan memihak kepada Bersih 2.0. Itu sebab aku nasihatkan kepada pihak yang berkeras nak melawan rakyat, negara ini ada undang-undang, ada peraturan. Pakai baju kuning bukan satu kesalahan, berhimpun dibenarkan oleh undang-undang, Suruhanjaya Hak Asasi pun dah bagi jaminan.Jadi apa yang pemimpin Umno nak gerun?
4.Para pemimpin Umno tidak berdecit sangat dalam soal Bersih 2.0, sebab jika silap tindakan, seluruh rakyat akan membenci Umno. UBN buat perhimpunan sejuta di Putrajaya, ia adalah perhimpunan politik yang menggunakan nama belia. Mana ada belia sejuta? Semua sibuk nak berniaga, buat pameran, suruh pakai baju yang sama, kemudian suruh angkat jari telunjuk, tunjuk langit. Itu adalah perhimpunan juga, kenapa pihak polis tidak gempur pasukan UBN itu?
5.Ketakutan Umno dan puak-puaknya adalah kerana pilihanraya ini sangat berhantu, jika tidak main tipu, mungkin ada negeri lain yang akan tumbang. Sekarang, Pulau Pinang, Kedah, Perak(tetap milik Pakatan Rakyat secara sah), Selangor, Kelantan. Mungkin dalam p.raya akan datang ada negeri yang akan bungkus. Orang yang biasa hidup senang, ada kedudukan, cukup takut kalau kedudukannya terjejas. Mereka ni tidak tahukah semua ini berlaku atas kehendak Allah SWT. Jika Allah berkehendak UBN tumbang, dalam masa depat ia akan tumbang. Ini pengajaran kepada umat-umat yang sombong, yang mendabik dada dengan semangat nasionalisme rekayasa Inggeris. Ingatlah, betapa serakahnya para pemimpin Melayu menggerogot wang negara, mereka masih mahu menipu rakyat lagi. Mereka bilang ada dana untuk rakyat, tetapi disalurkan kepada siapa, rakyat kecil dapat RM300 dicanangkan dapat banyak. Sudahlah, muak.
6.Tadi sudah dikatakan daripada digempur budak-budak Bersih 2.0 yang ramai ini, lebih baik berdamai. Bukan susah. Suruh SPR buat reformasi itu sahaja. Bukan nak gaduh, bukan nak pukul dan huha-huha semua.
6.1.Tapi puak UBN memang takut takut SPR ubah sistem, ubah struktur, guna dakwat lagilah takut, sebab kalau ada dakwat nak tipu bagaimana? Kena cari bahan pelunturlah pula. Kalau dah biasa menipu, akan tetap menipu. Jika mengikut pandangan agama, menipu itu berdosa, tipu undi adalah haram juga. Tapi orang politik tak fikir ini semua. Mereka hanya tahu sumpah di masjid sahaja. Itu pun mereka tak tahu apa sebab sumpah di masjid? Lebih baik buat sumpah pocong macam di Jawa sana tu.
7.Bersih 2.0 sebenarnya disokong oleh ramai penghuni Kuala Lumpur. Mereka yang menganggur, yang gelandangan memang sokong bersih. Kalau mereka sokong Umno-BN mereka pun tak dapat apa, alang-alang tak dapat apa, lebih baik sokong pembangkang.
8.Ramai orang UBN sudah beralih arah sekarang. Mereka tak percaya dengan UBN lagi. Sejarah telah membuktikan, banyak kerajaan yang bertahan berpuluh tahun akhirnya tumbang juga. Apakah Malaysia akan jadi begitu juga? Sudah pasti, kerana Umno sudah mensia-siakan ketika mereka diberi peluang untuk berkuasa. Mereka menipu rakyat. Orang Melayu diperbodohkan sepanjang masa. Ditakut-takutkan, dahlah Melayu ni kuat mistik, takut hantu, sekarang takut lagi kepada baju kuning, warna kuning, kalau gitu, lampu kuning di tengah bandar kena buang. Ada dua warna sahaja, merah dan hijau. Hijau pun PAS. Merah? Patriotlah! Lucu juga.

No comments:

Post a Comment