Hari ini sehari suntuk berada di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, Selangor. Ikut Perkim Gerak mengadakan aktiviti di Pulau Ketam bersama masyarakat yang ada di situ. Kebanyakan tenaga kerja adalah warga keturunan Cina Muslim yang aktif dengan Perkim. Satu bas dari Shah Alam dan satu lagi dari ibu pejabat Perkim, Jalan Ipoh. Ana ikut bas ibu pejabat, ikut usung periuk besar untuk masak-masak di sana. Teringat pula ana dengan kumpulan jemaah Tabligh yang dulu (tahun 80-an) kalau bergerak ke sana-sini mereka bawa periuk belanga dan cerek, bantal dan macam-macam lagi. Akan tetapi kini telah berlaku perubahan sejak markas mereka tetap di Sri Petaling, sana.
Ana tak nak ulas banyak tentang tabligh, walaupun dalam laman web nampaknya sesiapa pun yang membaca akan faham, bahawa kitab rujukan tabligh tentang fadilah amal itu perlu pembaikan, kerana ada hadis-hadis yang tidak sahih, bahkan ada pula hadis yang berkaitan dengan kesufian mistik, bicara dengan orang yang sudah meninggal dunia. Ini perlu pembaikan.
Berbalik kepada Pulau Ketam, memang ini kali pertama ana pergi ke pulau itu, sedangkan ke Pelabuhan Klang, sudah acap kali. Dulu datang ke situ sebab berniaga pasar malam, setiap minggu jual buku di sana, tetapi sekarang, pasar malam dah tak ada. Hanya yang ana ingat ada kawan wartawan Mingguan Bumi (th.1984) namanya Kawi Awang, orang Kelantan, tetapi dia baik dengan Onn Ismail Umno. Jadi, cerita Umno sahajalah yang dia laporkan. Sementara ana yang jadi penyunting Mingguan Bumi bersama Pak Hussein Yaacob (Ibnu Muslim dalam Harakah tu), banyak siarkan cerita Pas. Itu jam Pas tak ada akhbar rasmi macam sekarang, Harakah memang mendapat pasaran, orang Cina dan India pun baca Harakah.
Ana tak tahu di mana Kawi Awang berada sekarang. Tulah, setiap kali ana lalu Pelabuhan Klang ana teringat kepada dia, dan ana tak ingat langsung kepada Adun PKR yang lompat masuk Umno. Adun begini memang tak ada peluang untuk bertanding semula, Umno pun tak akan terima, kata orang "lembik" tak bersemangat, takut jumpa rakyat.
Tadi Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi berbagai jenis pertandingan yang diadakan di Dewan Kumuniti, Pulau Ketam. Kami ramai-ramai naik feri pergi dan balik termasuk 10 orang imam muda dari Negeri China. Inilah sebahagian daripada aktiviti Perkim yang ana ikut. Biasanya, hari minggu, kami ikuti kuliah kitab Furu' Masail, yang dibicarakan oleh Ustaz Suki (dalam blog pun ada). Oleh sebab Perkim Gerak adakan program, kita sahajalah ikut sama untuk makan angin di samping ada aktiviti sikit. Letih juga, tapi puas hati. Ni sampai rumah baru tulis untuk blog ini. Wassalam. []
No comments:
Post a Comment