Sunday, 3 July 2011

Gambaran Sebenar Gelandangan Kota

Ahad 3hb.Julai 2011, di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, berlangsung majlis sambutan Israk dan Mikraj. Nak kata sambutan pun bukan sambutan sangat. Kedatangan dekat 300 lebih termasuk pelajar UIA, Gombak. Selainnya adalah pengunjung tetap hari Minggu kerana selalunya di Perkim, ada majlis ilmu mingguan dan harian. Yang mingguan itu, ada kelas pengajian menggunakan kitab Furu' Massail, tulisan ulama silam. Pembicaraan dibuat santai. Kehadiran paling ramai wanita, manakala kaum lelaki hanya sekitar sepuluh orang. Memang begitulah kalau ada majlis ilmu hari Minggu.
Selain majlis ilmu, ada sesuatu yang ingin dicatat, iaitu kehadiran orang-orang gelandangan di tengah kota ini untuk menagih makanan berupa nasi bungkus, yang mujur pihak Perkim menyediakan peruntukan untuk mereka. Sekurang-kurangnya padas hari Minggu, ada juga ruang untuk mereka mendapatkan makanan.
Makanan percuma ini sudah menjadi rutin di mana-mana sejak mutakhir ini. Ada badan agama bukan Islam yang menyediakan makanan untuk kaum gelandangan kota. Usaha murni mereka boleh dilihat di mana-mana di tengah kota, seperti di sekitar Bukit Nanas, Majestik Pudu, Central Market, Jalan Petaling, dan Bukit Bintang pun.
Pemberian nasi bungkus percuma ini mendapat sambutan. Yang berbaris tidak mengira siapa, asalkan lapar, termasuk yang pakai tali leher pun berbaris juga. Ini adalah gambaran bahawa di sebalik kemakmuran negara, ada sekelompok rakyat kecil yang tersisih. Memang kalau mendengar celoteh menteri yang berkaitan dengan perkara kebajikan, mereka bercakap yang indah-indah dengan sekian dana yang menelan jutaan ringgit.
Hakikatnya, kaum gelandangan di tengah kota ini, masih begitu juga. Kaum gelandangan ini ada yang berpindah randah, hari ini di Kuala Lumpur, esok mungkin di Pulau Pinang, Ipoh atau JB.
Menjelang bulan Ramadan ini, kaum gelandangan beruntung kerana ada makanan percuma di masjid-masjid seluruh kota. Orang bujang pun tumpang seronok, berbuka puasa di masjid dan surau. Ada yang berbaris rebut bubur lambuk. Setiap hari makan bubur lambuk dengan air nescafe "o" dah jadi kebiasaan. Di Masjid India pula, ada fenomena bawa baldi untuk dapatkan bubur lambuk.
Sahabat ana yang bernama Amin, selalu tanya ana, tak ada ka yang bawa baldi lagi besar? Mungkin ada kut.
Ini sudah membudaya sejak zaman lampau.
Berbalik kepada cerita kuliah mingguan di Perkim itu, ana lihat ada sekelompok rakyat kecil gelandangan yang menjadi Perkim sebagai tempat mendapatkan bantuan makanan.
Ada di antara rakyat gelandangan yang ana cam, dulu kerjanya membantu orang berniaga ubat. Kalau ada orang jual ubat, seperti Pacat Pill - maka dialah yang jadi tukang hulur barang dan ambil duit. Dapatlah upah sepuluh dua puluh ringgit. Sejak zon jual ubat dihapuskan di kota, maka orang gelandangan makin bertambah.
Ruang nak cari duit dah tertutup. Hairan, ke mana perginya para peniaga ubat yang dulunya memeriahkan kawasan Lorong Hj Taib, atau Keramat Supermarket, atau Jalan Haji Hussein, Chow Kit?
Berbalik kepada orang gelandangan, sebenarnya banyak yang tidak ada tempat tinggal. Bilik kecil pun jadilah. Tapi tak mampu nak sewa. Duit tak ada. Kalau ada duit pun, makan lebih penting. Soal pakaian itu belakang kira.
Bilangan orang gelandangan di kota ini tidak berkurang. Ada sahaja orang baru. Kadang-kadang proses menjadikan gelandangan ini hanya faktor penghijrahan ke kota, cari kerja, hilang dokumen, habis wang ringgit, lalu gelandangan berterusan. Ada yang sakit mental, lalu bergelandangan dan ngoceh di sana-sini.
Kaum gelandangan ini tumpang gembira kalau ada rumah terbuka pak menteri Umno. Tak kiralah kenal tak kenal, kaum gelandangan akan serbu. Jadual rumah terbuka sudah ada dalam minda mereka, dan mereka juga tahu di mana lokasi rumah pak menteri.
Pesta makan-makan sudah jadi kebiasaan di Malaysia. Yang kenyang terlalu kenyang, dan yang lapar terlalu lapar pula. Tapi tak adalah kita dengar sampai ikat batu di perut seperti yang dilakukan oleh Nabi s.a.w.
Jadi, orang gelandangan ini, beruntung juga kerana ada sumbangan makanan percuma dari badan-badan Islam dan bukan Islam. Persoalannya, bagi badan bukan Islam, ada yang bertanya, mereka sediakan makanan halal atau tidak?
Biasanya sensitiviti rakyat Malaysia lain macam. Sudah tentu, agar tidak kecoh satu negara, maklum gelembung syaitan RTM, TV3, TV7 sangat memualkan. Mereka sibuk soal halal haram, tetapi lupa kaum gelandangan ini adalah produk daripada pembangunan mapan pihak pemerintah yang tidak merata.
Begitu pun, masih ada pak menteri angan-angan mahu bina bangunan tinggi mahu mengalahkan kota Dubai di Timur Tengah. Konon dengan adanya standardisasi begitu, Malaysia akan terkenal. Sebenarnya kes liwat,pembunuhan perempuan Mongolia menyebabkan Malaysia terkenal.
Kita juga terkenal dengan berbelanja besar, sedangkan kaum gelandangan alahai sedihnya... berbaris untuk mendapatkan makanan. Gambaran jelas, bahawa Malaysia ini negara makmur, rakyat kaya raya, pendapatan rakyat gelandangan pun mencecah RM1500 sebulan. Itu sebab mereka gelandangan.
Melalui bual bicara dengan kaum gelandangan, di poket mereka kadang-kadang ada RM2 atau RM4 sahaja. Sedangkan ada bini menteri pakai beg tangan mahal. Melancong sana-sini atas nama jemputan dari luar negeri, sebagai first lady hebat. Sedangkan anak-anak gelandangan, ikat perut, nak makan tak ada duit.
Ini berlaku setiap hari.
Celik sahaja, sudah fikir, di mana aku nak makan hari ini? Sedangkan pak menteri makan enak-enak tanpa peduli pun rakyat yang kelaparan. Oh! Malaysia Tanah airku! []

No comments:

Post a Comment