Monday 20 August 2012

BERHARI RAYA DI KUBURAN

SUDAH JADI KEBIASAAN orang kita setiap kali hari raya, mereka sibuk menuju ke perkuburan. Maka kesibukan itu ada kalanya mengatasi segala-galanya, kereta berderet, motosikal berderet, semua berpakaian rapi, yang perempuan tak tutup aurat pun ramai, semuanya datang dengan satu hasrat, menziarahi makam sanak saudara, orang tua atau orang yang dikasihi yang telah pergi.

TABUR BUNGA

Ada yang tidak pergi ke kuburan pun, hanya berpesan kepada pemandu peribadi, tolong belikan bunga di Petaling Street, harga bunga pun bukan murah. Kemudian bunga diricih-ricih, masukkan dalam bekas, suruh pemandu peribadi hantar bunga ricih itu ke kubur.
"Tabur ya atas kubur Tan Sri!" kata Mem kepada pemandu peribadi.
Begitulah yang saya saksikan tiga tahun lalu, dan mungkin semalam ketika hari raya, dia buat begitu lagi di tanah perkuburan Islam Jalan Ampang!
Dan di kawasan perkuburan itu macam pasar lambak jadinya, orang jual bunga masing-masingkan tawarkan harga istimewa.

UPAH

Kemudian orang ambil upah bacakan surat Yassin. Orang disuruh berdoa untuk arwah yang telah tiada.
Si anak tidak mampu nak berdoa untuk ibu bapanya, dia sanggup upahkan kerja berdoa kepada orang lain.
Maka jadilah tugas baru, mengambil upah untuk berdoa dan baca surat Yassin.
Dengan berbaju Melayu cantik, ia bukan gambaran ketaqwaan seseorang. Ia hanya pakaian untuk menyambut hari raya.
Seorang teman komen, ada rakannya yang tidak solat tarawih, tidak solat fardu pun, bahkan tak puasa, turut mengenakan baju Melayu serba lengkap bagi memperlihatkan "ketaqwaan"nya.
Jika orang yang berpakaian serba lengkap ini pergi ke kubur, tanpa perlu ke masjid solat sunat hari raya terlebih dahulu pun, akan ada orang yang mengatakan, "...wah anak ini benar-benar sayang kepada orang tuanya yang telah pergi, datang ke kubur dan mendoakan untuk arwah."

BUDAYA

Kebiasaan ziarah ke perkuburan ketika hari raya ini hanya jadi amalan kelompok muslim tertentu. Tidak semua umat Islam di seluruh dunia menziarahi kubur seperti umat Melayu.
Disebab sudah terlalu ramai, hingga macam pasar, keadaan di perkuburan itu telah berubah menjadi semacam pesta.
Tentu ada yang teringatkan bagaimana kalangan bukan Islam juga ada meraikan hari-hari tertentu yang berkaitan dengan perkuburan. Kita sebenarnya tidak mahu, matlamat ziarah kubur itu sudah lari jauh, bahkan meniru-niru cara atau kaedah di luar kotak Islami.
Apabila suasana macam pesta, pergaulan pun jadi bebas, muda-mudi boleh bergaul tanpa batasan apa pun, sedangkan mereka datang ke situ dengan matlamat kudus mahu berinteraksi dengan si mati.
Doa adalah ibadat. Akan tetapi ramai pula "Melayu" masuk ke kawasan perkuburan dedah aurat atau berpakaian yang tidak sesuai dengan citra perkuburan, yang sepatutnya menjentik batin dalaman agar membaiki diri untuk menjadi kalangan mutaqqin!
Yang kita lihat, di tanah perkuburan itu umat kita bergembira dan bermain-main, bahkan bersenda gurau di kawasan perkuburan, ada pula siap bawa minuman dan makanan. Hanya kita belum lihat ada orang solat di perkuburan sahaja lagi! []

No comments:

Post a Comment