Sunday 26 August 2012

BAB HUDUD JANGAN CAKAP, INI POLITIKLAH!

TAK ADA KATA YANG SESUAI, lepas raya rancak semula orang bikin gosip, bikin ghibah dan macam-macam polemik lagi. Sebabnya dalam budaya Melayu masa puasa ini nak kena jaga semua perkara. Ada yang bagi nasihat jangan nak ngata orang, jangan nak tipu orang, jangan nak iri hati kat orang, jangan nak dengki kat orang, pendeknya semua penyakit hati yang berkeping-keping itu kena ikat baik-baik -- jangan bagi terungkai.
Maka setelah hari raya, mulalah kita merancakkan semua tarian kita. Kita kena berlatih menari lebih intensif, pereka tari sibuk mencipta langkah. Maksudnya, segala apa aktiviti yang selama ini dikendurkan atas alasan "lepas raya" maka selepas raya inilah kita mula aktifkan semula.
Siapa yang nak tuntut bayaran apa benda pun kena lepas raya, nak bagi cek pun lepas raya, nak bayar itu dan ini pun lepas raya. Tetapi ada juga yang janji lepas raya sejak tahun lepas sampai raya tahun ini tak tepati lagi, terutama dalam bab hutang. Ada yang buat-buat lupa, atau buat-buat tak nampak kalau terserempak di mana-mana, maklum kita kena jaga puasa penuh, tapi bab hutang itu lain cerita, tak ada kait mengait dengan puasa. Begitulah sikap kita.

STOP

Kalau anda belek laman pojok ruangan hiburan, gosip tentang artis boleh pula stop sepanjang bulan puasa, lepas raya, semua dikaut semula. Maka ada wartawan hiburan yang tulis tentang artis wanita beli alat bantu untuk seks dari penjaja kaki lima di Lorong Haji Taib.
Namanya pun artis, maka datang pun bergayalah, kereta lain macam, yang berniaga alat itu pun cam dengan muka artis itu. Inipun sudah jadi bahan cerita. Yang wartawan perempuan itu tanyakan, beli benda itu nak buat apa?
Tahulah apa dia nak buat. Apa nak hairannya, itu baru bab perempuan, kalau kaum lelaki mereka pun sibuk juga beli macam-macam alat untuk pemuasan syahwat. Entah yang anu-anu itu, atau patung yang orang bilang bisa "ngempot" begitu. Kalau di Barat sana, benda-benda macam ini tak menghairankan lagi, hanya yang hairan ia masih mengganggu dalam subbudaya Melayu.

MAINAN WARTAWAN

Gosip dan ghibah ini mainan wartawan. Kalau nak fikir, selain mendedahkan apa perkara, kaum wartawan ini adalah golongan yang banyak melakukan kemaksiatan jika tidak berhati-hati. Betapa tidak, hari-hari asyik dengar orang itu kata itu dan orang sana kata ini.
Mencungkil bahan pun ada bahayanya. Semua nak tahu? Hang siapa?
Inilah yang berlaku selepas raya ini, ada akhbar utama yang siarkan bahan-bahan bagi tujuan menjolok sarang tebuan.
Dibesar-besarkan isu HUDUD, dan sayangnya, bab hudud yang dibincangkan hanya aspek luaran sahaja. Sudahnya, orang hanya tahu hudud itu potong tangan, rejam dengan batu bagi pezina. Bab hudud yang lebih jauh lagi? Tak tahu.
Media kita masih ketandusan bahan tentang bab hudud. Kalau orang Melayu sendiri tak faham apa itu hudud, apalagilah orang bukan Islam --- maka bertambah kaburlah.
Kalau mereka nak mengkaji bab ini pun tentulah dari sumber bahasa orang putih, dan huraian serta kupasan tentang bab ini bukankah berjela-jela sampai berjilid-jilid kitabnya?
Maka kefahaman tentang bab ini masih jauh dari nyata. Sedangkan hari-hari kita dok kecoh, NAK HUDUD, satu pihak TAK MAHU.
Akhirnya satu kata MAHU satu lagi kata TAK MAHU.
Maka bersahut-sahutan antara mahu dan tak mahu ini bagaikan burung hutan. Bersahutan tak habis-habis dari dulu sampai la ni.

CERITA LAMA

Benda ini bukan cerita baru, tetapi sengaja dicungkil dan digolekkan.
Bagi orang ingat semula. Yang cungkil balik cerita hudud ini pun bukan suka hudud sebenarnya.
Mereka tak suka hudud, sebab hudud ini sudah dijadikan senjata bagi menakut-nakutkan orang.
Apabila sebut hudud orang Melayu pun gerun.
Gerun kena rejam dan potong tangan.
Mereka fikir orang curi telur sebiji akan kena potong tangan. Orang curi RM560,000.00 pun potong tangan juga. Mereka fikir, mudah, sampai ada yang cerdik mengatakan nanti ramailah orang Melayu kudung, ramailah orang Melayu mati kena rejam!
Atau ada yang menyindir nak makan sup tangan!
Tahukah mereka ini, jika mereka adalah seorang muslim, dengan ilmu yang dangkal, dan tak nak ambil tahu tentang perundangan Islam yang berkaitan dengan hudud, lebih baik jangan buat komen. Diam lebih baik.
Biarlah kalangan bukan Islam buat komen, sebab mereka memang tak tahu pun, nak kata macam mana? Ni, kita yang Islam pun ikut tumpang komen tak suka, benci dengan orang yang nak menegakkan hukum Islam, benci dengan ulama-ulama yang asyik bercakap tentang hudud sahaja.

BETULKAN

Punca semua ini adalah peranan WARTAWAN MUSLIM membetulkan persepsi masyarakat Melayu yang sudah lama menyimpang jauh.
Kalau wartawan muslim sendiri menebarkan kebencian atau menyindir-nyindir tentang hukum Islam sedangkan mereka tidak mahu mengkaji apa yang diperkatakan, maka kejahilan itu menyebabkan mereka menolak dan terus menolak.
Sikap mereka ini adalah sikap Melayu kita di zaman jahiliyah dulu, dan mungkin jahiliyah sekarang pun. Jangan fikir kita sudah bebas dari jahiliyah.

SENJATA

Umat melihat, HUDUD sudah dijadikan senjata oleh sebuah parti politik untuk menakut-nakutkan musuh politiknya. Parti politik itu sendiri mengaku menegakkan Islam, mendaulatkan Islam, tetapi mereka mengambil mana-mana yang "sesuai" dengan citra politiknya asalkan ia boleh hidup.
Dengan menghebahkan soal HUDUD diharapkan parti-parti bukan Islam atau bukan Melayu [sekarang Melayu pun ramai mengundi parti bukan Melayu] akan menolak gabungan parti yang ada.
Inilah tipu muslihat jahat parti yang mengaku mendukung Islam, parti yang megah dengan mauludur Rasulnya, berarak-arak, parti yang megah dengan pertandingan itu dan ini atas nama agama.

TAK FAHAM

Anehnya, orang yang tak faham permainan "cungkil" dan kemudian "golek" ke pihak lawan ini terbawa-bawa, terikut-ikut dengan hebahan dan paparan yang sentiasa dimainkan bagi mengkucar-kacirkan perundangan Islam. Umat Islam digerunkan dengan perundangan Islam agar mereka menolak hukum itu dilaksanakan.
Tentunya orang bertanya, hanya orang yang bersalah sahaja akan dikenakan hukuman ini. Umpama ada orang berzina.
Ingat, orang nak buat jahat mereka sorok-sorok melakukan. Berapa ramai orang yang telah melakukan zina secara tertutup, maksud saya rahsia, orang tak tahu, isteri atau suami pun tak tahu, kawan pun tak tahu, yang tahu hanya pasangannya sahaja.
Selama ia menjadi rahsia, bermakna orang ini selamat dari hukuman hudud. Kecualilah pengakuan dibuat oleh pasangan itu, semata-mata hendak masuk ke syurga sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. dulu.
Orang yang berzina tetapi selamat dari hukuman hudud, mereka adalah orang yang diberi ruang untuk membaiki diri. Justeru itu, kita juga diajar jangan membuka aib diri. Anda telah melakukan kenistaaan yang terlampau umpamanya, jadikan ia sebagai "bekal" untuk introspeksi diri.
Cuba fikirkan, berapa ramai orang melakukan dosa besar tak kiralah dalam bab syahwat atau bab lain. Tidak semua orang akan menjalani hukum hudud. Dan tak ada orang yang berani mengaku itu dan ini depan ramai atau seperti pengakuan orang berdosa di depan rahib umpamanya.

PENJELASAN

Bab HUDUD ini perlu diberi penerangan lebih tuntas dan mendalam. Memanglah bab ini bukan bab perundangan yang mudah. Kalau kurang ilmu maka mereka akan tetap tak faham apa bendanya HUDUD ini. Justeru, mana-mana tazkirah di masjid dan surau, elok sangatlah berwacana tentang bab ini. Buat penerangan secara jelas sehingga masyarakat Melayu faham.
Sedihnya, nak cerita lagu mana kata ustaz, tazkirah di masjid pun tak ramai nak dengar?
Jadi, inilah yang susahnya. Sudahlah tv kita enggan hendak menghuraikan dengan lebih mendalam bab yang digeruni ini, umat islam kita lebih selesa tengok konsert DJ Dave, konsert diva kita, dan macam-macam lagi.
Senang cerita, selagi umat Melayu bersetia dengan hiburan, muzik, nyanyian, festival hiburan, heboh sana, heboh sini, pesta pantai, pesta macam-macam pesta, mentor, juara lagu, juara tarian dan sebagainya, maka sukarlah bagi umat hendak memahami bab HUDUD yang dibincangkan sekarang.
Lagipun, siang-siang lagi orang sudah digerunkan dengan HUDUD. Akhirnya orang Melayu tak suka HUDUD sebab mereka pun tak tahu apa bendanya HUDUD ni. Tetapi ada kalangan bukan Melayu yang tak kisah, "Kalau kita tak bikin salah, apa mahu takut?"
Dalam bab ini orang Melayu, yang tak salah pun takut, bukan takut dengan hukuman, bahkan kalau ada wacana bab HUDUD pun mereka tak mahu. Sebabnya, mereka anggap bab HUDUD ini adalah bab politik.
Orang Melayu sudah diingatkan jangan cakap politik dalam masjid, maka bab HUDUD pun dianggap politik juga. Sudahnya, dari dulu sampai sekarang, masih bab wuduk, bab niat, bab yang mudah-mudah. Itupun belum tamat.
Soalnya, kalau tidak dimulakan dari sekarang, sampai bila pun kita akan bicara bab wuduk juga tak habis-habis. Begitulah antara cakap-cakap yang saya dengar baik di ruang legar masjid, dalam masjid atau di luar masjid. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment