Wednesday 1 August 2012

NOTA KECIL TENTANG TARIAN RAMADAN

MEMANG TIDAK ADA dalam kitab yang memuatkan keperihalan tari-menari di bulan puasa. Kita disuruh puasa, menahan diri dari makan dan minum juga menjaga segala-galanya agar tidak tercemar oleh berbagai pengaruh - nafsu istimewanya.
Di Malaysia sudah jadi budaya sejak zaman kegemilangan kerajaan Melayu barangkali, orang meraikan bulan puasa dengan mercun, bunga api, meriam buluh, meriam tanah, dan kena lebih buat makanan.
Kemudian ada pula hias menghias dengan pelita minyak tanah. Ia sudah dijadikan perlambangan, setiap lukisan kad raya, setiap kain pemidang tentang puasa dan raya mesti ada pelita, padahal orang sekarang nak cari minyak tanah pun susah.
Sebagai ganti pelita mereka pasang lampu lip-lap sekeliling rumah. Meriahlah.
Sudah masuk minggu kedua ini, solat tarawih di masjid yang bilangan penduduk lelakinya kurang safnya pun makin kurang, tinggal dua baris sahaja walaupun ada pendingin hawa di ruang solatnya.

FADILAT TARIAN KETIKA PUASA
Nak sentuh sikit tentang tari-tarian bagi meraikan bulan puasa. Kita belum raya, jadi tidak betul kalau kita nak raikan hari raya.
Kita masih meraikan bulan puasa. Kita berpuasa. Tetapi kenapa ada pihak tertentu di kalangan kita sibuk benar nak menari-nari semua?
Apa hubungan menari dengan puasa?
Apakah ada kitab kuno yang mengatakan hendaklah kamu menari-nari di bulan puasa ini di khalayak ramai [pentas] bagi memeriahkan ibadat puasamu.
Atau ada kitab nenek moyang yang mencatatkan, hendaklah kamu memilih tarian yang menarik minat ramai ketika berpuasa, sambil memperagakan pakaian cantik-cantik.
Kita mungkin masih tak faham tujuan berpuasa.
Asalkan tak makan dan minum, tidak melakukan hubungan intim suami isteri sudahlah. Itulah puasa namanya.

PUASA AWAM
Patutlah Imam Ghazali kata ada tiga jenis puasa.
Puasa awam - meninggalkan syahwat perut dan kemaluan.
Puasa khusus - menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan segala perkara daripada terlibat dengan maksiat.
Puasa khususul khusus - hati berpuasa dari kepentingan duniawi dan sentiasa menumpukan perhatiannya kepada Allah Azza wa Jalla.
Jadi yang kita fahami sekarang adalah puasa awam sahaja. Kita tidak ambil peduli pun untuk menjengah puasa khusus, apatah lagi puasa khususul khusus.
Betapa tidak, dalam bulan puasa kita masih seronok nak bertepuk tangan atas arahan pengacara majlis. Disuruhnya para pengunjung berjoget. Ada pula anjakan paradigma musim puasa dengan JOGET HARI RAYA. Maka berjogetlah anak-anak muda kita, abang-abang dan kakak-kakak, makcik dan pakcik, sampai yang sudah beruban pun mahu berjoget.
Kita masih berpuasa, tetapi sudah ada program tarian RIANG RIA AIDIL FITRI. Kita masih berpuasa tetapi sudah ada ajakan syaitan MARI BERJOGET.
Di mana silapnya masyarakat Melayu ini. Mereka berjoget di pentas, ewahhh!
Sedangkan semua orang berpuasa. Janji tak makan dan tak minum. Bersalaman lelaki perempuan tak apa, berjoget berpasangan  tidak mengapa.

AWASI PUASA KITA
Mereka tak faham dengan puasa khusus tadi. Dari Abi Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah shallahu alaihi wa sallam bersabda,
"Sesiapa yang tidak menghentikan perkataan-perkataan dusta dan melakukan kedustaan itu, maka tidaklah Allah merasa perlu mereka itu meninggalkan makan dan minumnya." [hadis riwayat jamaah kecuali Muslim].
"Berapa ramai orang yang puasa tetapi yang diterimanya hanyalah rasa lapar sahaja, dan berapa banyak orang bangun beribadat dan yang diterimanya tidak lebih daripada bersengkang mata." [hadis riwayat an-Nasa'i]

Barangkali, inilah yang dikatakan puasa awam. Puasa tetapi hendak bercampur gaul lelaki perempuan. Puasa, tetapi masih berpakaian dedah aurat, langsung tidak menggambarkan suasana bulan ibadat. Puasa, tetapi sibuk hendak menari, menarik pasangan bukan muhrim, terkinja-kinja, dan yang menjadi dalang kejahatan maksiat ini adalah penganjur dan pengacara majlis demikian.
Puasa orang awam membenarkan mereka berbuat apa sahaja seperti hari-hari lain, boleh saksikan orang menari dengan pakaian terlondeh [tengok dalam blog], puasa tetapi sibuk hendak berzapin dan berinang. Mereka fikir dengan pakai songkok, baju Melayu dan samping, itu sudah menyerlahkan ciri keislaman Melayu sejati, maka bolehlah menari ikut rentak zapin dan inang.
Kalau ikut Imam al-Ghazali, dalam puasa juga kita kena tundukkan pandangan dan menahan diri dari melihat perkara-perkara yang tercela dan dibenci oleh syariat serta dari segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati dari mengingati Allah subhanahu wa Taala.
Selain itu dalam puasa, kita kena memelihara lidah dari menuturkan perkataan yang tidak berfaedah [termasuk nyanyian dan lawak jenaka], melakukan senda gurau, mengumpat, dusta dan sebagainya. Lebih baik berdiam diri dan membanyakkan zikir dan membaca al-Qur'an.
Kita juga kata al-Ghazali, kena menahan diri dari mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak [termasuk program televisyen tak bermanfaat dan celoteh penyampai radio, celoteh di bazar Ramadan] kerana setiap perkataan yang diharamkan dituturkan maka haram juga mendengarnya.
Sayangnya, tidak ada sesiapa menegur atau menasihati pihak tertentu yang teruja benar hendak meraikan hari raya dan majlis berbuka puasa dengan acara-acara yang tak kena dengan ibadat puasa. Ibadat sudah dibudayakan, ibadat sudah dicampuradukkan dengan tarian, percampuran lelaki perempuan secara bebas, ibadat sudah dimuzikkan, ibadat dilagukan, ibadat dipentaskan dan macam-macam bid'ah lagi. Dan dalam acara pentas itu mereka pandai pula ambik hati dengan menyelitkan persembahan nasyid. Kalau boleh penyusupan persembahan ini juga ditiadakan. []

No comments:

Post a Comment