Friday 24 August 2012

RAKYAT ASING DILABEL NEGATIF

BAYANGKAN anda berada di sebuah negeri asing, tidak ada penempatan orang Melayu di situ, maka anda pasti akan tercari-cari orang sawo matang untuk didampingi. Sekiranya anda tidak bertemu dengan seorang Melayu Malaysia, anda akan mencari Melayu dari mana-mana gugusan Nusantara. Ini lumrah, paling tidak, anda akan berkawan dengan orang Brunei, Singapura, Indonesia atau Selatan Thai.
Keadaan yang sama juga kepada rakyat asing yang berada di lembah Klang ini. Mereka juga mencari rakan senegara, jika tidak ketemu mereka akan mencari negara jirannya, jika tak bertemu akan mencari yang sebenua dengannya, atau satu wilayah dengannya, sehingga penyudahnya yang seagama dengannya.
Di negara kita kebanjiran rakyat asing ada kaitan dengan bercambahnya pusat pengajian tinggi di mana-mana. Peluang pekerjaan di berbagai sektor yang orang tempatan kurang berminat. Apabila sebahagian besar peluang kerja dikuasai oleh rakyat asing, bagi yang tak tahu apa cerita, mereka melahirkan suatu pandangan negatif terhadap rakyat asing.
Contoh, ada yang tidak suka melihat perkampungan Nepal di sekitar Kuala Lumpur, atau melihat perkumpulan Bangladeshi di sekitar kota, melihat orang Jawa berlonggok di Klang atau di Chow Kit, atau melihat kebanjiran Awang Hitam di mana-mana pun!
Kita memberi label negatif kepada warga asing ini. Dengan kata lain, kita melahirkan perasaan marah yang berlebihan terhadap warga asing kerana sesuatu kes yang boleh jadi terpencil, atau kerana kita tidak memahami bahawa memang naluri manusia akan begitu --- mencari kelompoknya untuk bersosial.
Selalunya, paparan negatif dalam akhbar akan menimbulkan pandangan yang negatif secara menyeluruh bagi mereka yang tidak pernah menerobosi dunia warga asing. Sesiapa yang biasa berada di perantauan, sikap mereka berbeza sama sekali dengan mereka yang tidak pernah mengalami atau melihat situasi berbeza di tempat orang.
Lihatlah, kelompok Mynmar atau Rohingya berada di sesuatu lokasi penempatan. Lokasi orang Vietnam di sektor tertentu pula.
Paparan akhbar kita sering mendedahkan rungutan orang tertentu terhadap warga asing. Umpamanya mereka merungut kerana Awang Hitam suka berkelompok dan buat bising. Bukan bising, memang bahasanya begitu -- kita mendengar seperti suatu kekecohan dan akhirnya kita anggap mereka ini gasar orangnya.
Warga asing yang tinggal di Malaysia baik dengan apa tujuan pun tentu tidak suka kalau paparan negatif sentiasa dijadikan isu media tempatan. Bagaimana kalau media luar negeri juga paparkan keburukan orang Melayu ketika berkelompok di sana? Kritikan atau komen tentang pengelompokan Melayu di luar negeri juga mengundang tanggapan negatif, sama keadaannya apabila orang Jawa dianggap negatif kerana suka nongkrong lama-lama di kaki lima kedai, atau orang-orang kulit hitam yang berkelompok di lokasi tertentu.
Kita banyak mengkritik sikap warga asing yang mengganggu penduduk tempatan. Tidak kiralah warga asing dari belahan dunia mana pun. Kita lupa, bahawa anak-anak tempatan sendiri pun ada yang lebih gasar perangainya melebihi perangai warga asing.
Mereka juga sama seperti kita. Seandainya kita melebarkan kefahaman kita, bahawa warga asing yang Muslim mereka mengamakan budaya yang berbeza dengan kalangan bukan Islam. Sebagaimana anak Melayu dapat hidup di tengah kota di Eropah sana, maka amat janggallah kalau seorang lelaki kulit hitam begitu payah hendak berada di tengah-tengah masyarakat Melayu.[]

No comments:

Post a Comment