Tuesday 7 August 2012

SEJARAH MELAKA BERUNDUR TAHUN 1262

MAKA JENUHLAH teks sejarah akan diubah.
Bagi menandakan kehebatan dunia Melayu ini, maka Melaka bukanlah ditubuhkan pada tahun 1400 sebagaimana yang orang biasa hafal. Kata kajian terbaru, ia diasaskan pada tahun 1262.
Apabila tarikh ini diundurkan, banyak perkara yang perlu dibetulkan, atau ditandakan dengan keralatan di sisinya.
Ketika menulis catatan sejarah silam ini disebabkan faktor pengunduran tarikh itu maka kena fikirkan juga apa yang berlaku di sekitarnya, terutama di wilayah nusantara pada ketika itu.
Kemudian nak sejajarkan cerita yang termuat dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah [walau hanya epik sahaja].
 
BERUBAH
Mengikut perkiraan dari pengunduran tarikh itu, maka catatan sejarah menjadi berubah begini:

1. Sultan Iskandar Shah [Sri Parameswara] - (1254-1274). Sebelum itu dari tahun 1249-1252 dia menjadi raja di Temasik sebelum melarikan diri ke Melaka. Elok Melaka tak ada dah mempunyai raja, ia ada kaitan dengan pengaruh Majapahit sebenarnya. Kenapa dia lari dari Palembang ke Temasik dan kemudian ke Melaka, ada misterinya yang orang tak dedahkan sangat. Inipun patut dikaji dari berbagai sudut termasuk keperihal kepercayaan mistik yang melingkunginya.
2. Sultan Besar Muda (1274-1275)
3. Sultan Tengah (1275 - 1276)
4. Sultan Mohammed Shah I (1276 - 1332)
5. Sultan Abu Shahid Shah (1332 - 1334)
6. Sultan Muzaffar Shah I (1334- 1374)
7. Sultan Mansur Shah (1374 - 1447)
8. Sultan Alauddin Riayat Shah I (1447 - 1477)
9. Sultan Mahmud Shah I (1477 - 1511)
[Jeffrey Finestone dan Dr Shaharil Talib, The Royal Families of South East Asia]

JIKA kita undurkan sejarah Melaka, bermakna ia sezaman dengan Majapahit yang berpusat di Jawa. Untuk mencari keabsahan di mana keris Taming Sari yang dihebohkan kesaktiannya, maka perlu dilacak juga sumber catatan Majapahit.

KERIS KITA
Jika anda semak semua mpu yang mahir buat keris, tidak ada catatan yang mereka membuat Taming Sari, sebab nama ini tidak wujud di Majapahit, kalau Mpu Gandring yang membuatnya, ia tidak dinamakan Taming Sari yang kemelayuan, namanya pasti menurut lurah Jawa Majapahit. Ingat kisah Ken Arok yang tempah keris daripada Mpu Gandring sehingga keris itu jadi masalah, dibuang ke laut jadi naga sakti!
Apakah di sana ada tercatat kisah kedatangan seorang lelaki bernama Hang Tuah, yang mahir bersilat dan berkeris, hanya keris Melaka tidak ada sajian dan jamasan seperti di Jawa.
Atau pihak Melaka yang syok sendiri, menghebatkan Hang Tuah yang tak hebat.

TRADISI PENSEJARAHAN
Walaupun sudah ada penemuan tarikh baru yang mengundur, ia tidak boleh diputuskan di kalangan sarjana tempatan sahaja tanpa merujuk sarjana asing yang telah membuat pentarikhan pada 1400. 
Sarjana tempatan baru tumbuh mutakhir ini, dan kaedah kajian, serta apa juga yang dikaitkan dengannya adalah merujuk kepada cara kerja dan acuan sarjana barat.
Ilmu mengkaji sejarah ini tidak ada dalam dunia Melayu. Sarjana Barat telah mendahului kita, di masa silam tidak ada tukang catat Melayu yang setara dengan bakat Tom  Pires yang menyiapkan catatannya dalam Suma Oriental (1512 - 1515).
Kita masa itu tak kenal pun bidang sejarah apalagi namanya jabatan sejarah.
Selalunya hasil kajian dan penemuan baru ini dipaparkan di dalam jurnal antarabangsa bagi mendapatkan pandangan orang luar pula. Jurnal ini makanan pengkaji, penyelidik dan kalangan sarjana, bagi pembaca umum, jurnal memenatkan untuk dibaca kerana catatan kakinya melimpah ruah. Dan jurnal tidak dipasarkan di kaki lima kedai.

ARTIFAK
Umumnya orang mengkaji sejarah selain berdasarkan bahan bertulis, orang mengkaji juga artifak yang ada, jika nak menyemak cerita lisan, maka mereka akan menemui cerita lisan versi baru dan versi kuno yang sezaman dengan tahun 1262 itu.
Jadi dicari bahan sejarah yang setara zamannya. Beberapa tempat perlu dilawati untuk mendapatkan sejarah baru yang tidak dicatatkan baik di Riau, Pulau Penyengat, Pulau Singkep, Pulau Lingga, Sumatera Selatan [Jambi dan Palembang], Padang dan Batu Sangkar di Sumbar.

GEMILANG MELAYU
Memang, pengunduran sejarah Melaka ke tahun 1262 bertujuan untuk menggemilangkan kerajaan Melayu Melaka. Namun sejarawan kena berterima kasih kepada Majapahit kerana melakukan tindakan ke atas Palembang bagi menganjakkan pelarian seorang lelaki - - entah bangsawan biasa atau orang biasa sahaja, atau hanya pendekar ulung.
Lari ke Temasik menjadi "tuan" dan kemudian lari lagi ke Melaka untuk jadi Raja. Transformasi dari pelarian kepada Raja Melaka ini juga perlu kajian mendalam.
Golongan muda hari ini mahu tahu, siapa Parameswara itu, adalah dia manusia biasa, atau dia dari keturunan jin.

KETURUNAN MANA
Lagipun dalam cerita Majapahit ada dipaparkan dongeng hubungan curang antara ibu dengan anak sehingga melahirkan seorang anak lelaki, dia diusir ke luar Jawa, lari ke Palembang.
Dan di sana dia mendirikan sebuah pentadbiran baru, sebab dia masih berketurunan Majapahit walaupun salasilahnya diragui.
Kenapa? Sejarah latar belakang ini akan mencantikkan lagi catatan sejarah peminangan Puteri Gunung Ledang, ia menjadi semacam pengabsahan, bahawa kalau dari keturunan "raksasa" maka citarasanya akan menjurus kepada ritual "kahwin jin" juga.
Kalau kita semak Sejarah Siak yang dikaji sarjana kita, ada kisah raja belah perut orang mengandung, dan kemudian dia juga "kahwin" dengan jin. Hubungan raja itu dengan Cik Apung, sampai menelan manikam raja, setahu saya bukan menelan di mulut, sebaliknya simbolik untuk mengelak daripada pencarutan dalam tulisan dikatakan, mengutip manikam yang tercecer di atas tikar dan diambil lalu ditelan, atau memang sebuah simbolik tentang kemesuman diri seorang raja yang Mangkat di Angkat? [semak Hikayat Siak]
Maka dalam Sejarah Melayu juga ada kisah meminang puteri jin sebagai lanjutan gen atau DNA dari raksasa Jawa yang berbaur Majapahit.
Perlu diingat, sejarah itu berkaitan dengan perkara yang telah berlaku di masa lampau. Ia dikaji orang yang hidup di masa sekarang.
Untuk menjengah masa silam, tidak ada upaya mereka menjenguk melainkan daripada bahan-bahan sejarah yang ada.
Kaedah catatan orang terdahulu bagaimana dan dengan pendekatan apa aliran sejarahnya, kita pun tidak tahu kerana mereka belajar di pusat pengajian tinggi di zaman kita tak kenal pun universiti! Di zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka, tidak ada kolej atau universiti yang didirikan, justeru yang gemilang hanya tanggapan sejarawan, dilihat dari aspek kenyataan, fakta konkrit, tidak ada apa yang dapat dibuktikan selain kajian para pengkaji Barat. Jadi terima kasihlah kepada para pengkaji Barat kerana telah membantu kita menuliskan sejarah tentang Melaka. []

1 comment: