Wednesday 8 August 2012

ADAKAH [TANDA PUTERA] FILEM MELAYU TERBAIK?

SERONOK KITA MEMBACA ulasan orang akhbar terutama yang mengikuti sidang akhbar melibatkan Shuhaimi Baba, selaku pengarahnya. Memang, kerja mengarahkan filem, untuk mendapatkan hasil yang baik, hasil yang kurang kritikan, ia bukan kerja manusia. Akan tetapi menurut ulasan wartawan kecil akhbar arus perdana, TANDA PUTERA adalah filem terbaik, hanya kita tidak tahu terbaik pada hari ini, minggu ini, bulan ini, tahun ini, era ini, atau dekade ini.

TERBAIK

Sebabnya, apabila ada orang lain buat filem, pengulas yang sama akan mengatakan filem TANDA PUTERI [?] arahan Mr Thomson misalnya adalah filem yang terbaik mengatasi filem-filem yang ada di negara kita. Maksudnya, setiap ada filem baru disiapkan dan ada sidang suratkhabar [bukan sidang akhbar] maka filem yang terbaru itulah yang terbaik. Jadi, entah mana satu yang terbaik.
Mengenai tindak balas penonton, ternyata, bagi kalangan muda yang tidak melalui zaman 60-an, mereka hanya menonton sebagai filem biasa. Mereka hendak mencari sesuatu yang ada kaitan dengan dunia mereka. Keluar panggung mereka akan hampa. Mereka mungkin akan kata, kenapa asyik Tun Razak dan Dr Ismail sahaja?
Dan mereka pun tak kenal siapa itu, mereka hanya tahu menyebut namanya. Tentang peri hebatnya persahabatan dua tokoh itu memang hendak ditonjolkan dalam TANDA PUTERA.
Menurut Shuhaimi sebagaimana yang diulas oleh wartawan hiburan kebanyakan di negara kita, jalan cerita filem ini dianggap berani [?] serta paparan kisah benar yang penuh tragik, membabitkan dua bekas pemimpin tertinggi negara. Ini kisah penuh tragik, orang yang menyaksikan filem ini akan mencari di mana TRAGIKnya.

13 MEI 1969

Yang paling menimbulkan isu adalah paparan mengenai 13 Mei 1969 yang selama ini dianggap sensitif, dulu sampaikan buku tentang 13 Mei pun diharamkan. Kenapa diharamkan? Adakah ia salah fakta, atau kerana tidak memihak kepada yang mengharamkan? Paparan filem ini bertujuan menonjolkan imej dua tokoh ini selaku tokoh yang dapat memulihkan keadaan negara ketika itu. Tokoh utama ketika tahun 1969 adalah Tunku Abdul Rahman, tetapi filem ini lebih fokus kepada dua tokoh berstatus timbalan. Tentu orang tertanya-tanya siapa yang lebih penting ketika itu jika merujuk kepada suasana sekarang. Ia umpama lebih fokus kepada Timbalan Perdana Menteri dan menterinya dibandingkan Perdana Menteri.
Apa tujuan filem ini dibuat?
Sudah tentu idea nak buat filem ini bukan datang dari individu pengarah itu sendiri. Nak buat filem macam ini agak leceh. Remeh kerjanya. Kalau silap - memang banyak silap pun - akan mengundang kritikan. Mana ada filem di negara kita yang dianggap TERBAIK daripada sekian banyak filem yang ada? Kekadang kita menilai sesuatu baik, semata-mata kerana menghormati seseorang yang berada di belakang tabir pembikinan filem itu.
Menurut ulasan akhbar, tujuan utama filem itu dibuat adalah untuk menunjukkan betapa BESARNYA pengorbanan yang dilakukan oleh dua tokoh, Razak dan Ismail, tatkala memegang tampuk pemerintahan negara. Zaman itu sangat mencabar, kedua tokoh mendepani masalah kesihatan tetapi sanggup ketepikan masalah kesihatan demi kesejahteraan rakyat. Hari ini, jika ada tokoh lain yang menghadapi masalah kesihatan, apakah mereka itu lebih utamakan kesihatan atau kesejahteraan rakyat?
Di zaman dua tokoh itu, tidak ada orang dengar skandal rasuah yang menghebat kecuali zaman Dato Harun ketika mengundang Muhammad Ali, itu zaman sesudahnya. Di situlah orang mengatakan setiap pemimpin itu mengutamakan kesejahteraan rakyat, bagaimana pula dengan pemimpin hari ini?
Walaupun kisah benar sekalipun, ia tidaklah menarik untuk difilemkan kalau tanpa adunan fictional yang relevan dengan jalan cerita. Jadi, tidak boleh sesebuah filem itu lurus bendul mengikut jalur sejarah, kerana elemen lain juga diperlukan. Kalau mengikut skrip sejarah sahaja, ia akan jadi filem terbitan Jabatan Penerangan cap harimau. Jika ditayangkan di panggung, ia tidak mampu menarik penonton, kecuali apabila filem ini diISUkan di mana pihak pembangkang merasakan filem ini berbentuk sinisme, hendak mengenakan pada orang lain.

BUKAN UNGKIT

Penonton yang terasa dengan sindiran dari ucapan tokoh [di sini propaganda diselitkan dalam fiksyen, ingat filem ini sekalipun ia sebagai cerita sejarah, ia tetap penuh dengan elemen fiksyen, itu yang namanya filem].
Kemudian menyedari filem ini akan mengundang kritikan, pengarahnya beritahu, TANDA PUTERA bukan bertujuan mengungkit sejarah lama 13 Mei 1969. Filem ini katanya ingin mendedahkan apakah punca sebenar berlakunya 13 Mei 1969.
Filem ini lebih fokus kepada peranan komunis [baca PKM] dan anasir subersif yang mahu menghancurkan negara ini. Merekalah dalang yang membakar ketegangan kaum kerana mereka mahu menjajah negara ini. Perlu diingat, ia adalah faktor luaran dan pandangan yang kita simpulkan menurut persepsi kita. Bagaimana elemen dari dalam yang mencetuskan peristiwa hitam itu? Cetusannya adalah Chow Kit. Pengaruh gangsterisme yang orang abaikan juga sama penting mencetuskan huru-hara itu. Inilah elemen yang perlu dimasukkan dalam TANDA PUTERA, selain faktor PKM tadi.

BUKU SEJARAH

Fakta dalam jalur filem ini katanya adalah dari buku-buku sejarah. Dan orang yang menulis sejarah ketika itu adalah sepihak sahaja. Kita tidak menilai buku sejarah daripada dua pihak, menggabungkan dua sisi yang bertentangan ini untuk mendapatkan kesimpulan. Hasilnya adalah konklusi yang sepihak.
Mungkin antara lain tujuan filem ini dibuat untuk mengajak penonton [bilangannya terhad] menyukai sejarah, belajar membaca buku sejarah - hanya kebelakangan ini catatan sejarah negara terlalu fokus kepada satu pihak dan menafikan pihak yang lain yang sama berperanan dalam mencorakkan sejarah.
Generasi muda pun tidak faham mengapa Singapura boleh tersingkir dari Malaysia jika catatan sejarah sangat cenderung kepada laporan sepihak.
Berdasarkan kepada reaksi orang ramai terhadap filem ini, jelas ada sesuatu yang disengajakan mengapa filem ini dibuat. Ia bukan faktor penonjolan dua tokoh yang disebutkan itu sahaja, sejauh mana ia mampu memeras rasa simpatik penonton atas ketragisan yang dinyatakan. Ini pun bukan kerja mudah hendak menimbulkan nilai tragis dalam minda untuk memeras rasa penonton.
Menurut laporan akhbar kecil itu filem ini bagus dan mengundang tindak balas penonton muda, mereka memberikan maklum balas positif. Akan tetapi tindak balas melalui blog, facebook dan twitter bagaimana? Dan bagaimana pihak Pakatan Rakyat melihat filem yang bertendensikan cap harimau ini?
Betapa tidak, filem ini juga dibiayai oleh Finas - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia serta Perbadanan Kemajuan   Multimedia [MDeC].

SURUH TENGOK WOOYANG

Kata wartawan hiburan yang mengulasnya,tidak syak lagi ini karya terbaik Shuhaimi Baba yang SEHARUSNYA ditonton setiap rakyat Malaysia yang cintakan negara dan menghargai perjuangan pemimpin terulung khususnya kombinasi Razak dan Ismail [bergelar Tun].
Bagaimana kalau orang itu tidak menonton filem itu? Apakah mereka tergolong tidak cinta kepada negara?
Bagi orang-orang yang menjaga ilmunya [kena faham maksudnya] mereka tidak akan memasuki ruang di mana syaitan berpesta pora, dewan di mana lelaki perempuan bergaul bebas, ada kemaksiatan, ada pelekaan waktu untuk mengingat Allah s.w.t. maka golongan yang berilmu ini apakah akan dianggap sebagai tidak cinta kepada negara semata-mata tidak tengok wayang.
Penulis teringat di depan panggung ODEON Kuala Lumpur [dekat Pertama-Sogo tu] ada peniaga Cina jual air kotak dan air tin. Apa dia hebahkan?

"TIN KOTAK SEJUK BOLEH MASUK PANGGUNG WOOOYANG!"

Dalam bulan puasa ini masuk pangung WOYANG boleh bawa kotak air dan air tin. Kenapa? Entahlah. Sendiri jawablah. []

No comments:

Post a Comment