Monday, 18 March 2013

BUDAYA KONSERT

Media memaparkan betapa hebatnya persembahan artis dari Barat sana mentas di acara parti terbesar Asia Tenggara, FUTURE MUSIC FESTIVAL ASIA 2013, diadakan di Sepang.
Artis yang datang menurut paparan media adalah artis tersohor dan hebat-hebat belaka. Rugi kalau tak tengok persembahan mereka yang bertenaga, yang memikat, yang hebat, yang membuatkan penonton histeria, yang menjadi fenomena sezaman, yang penuh warna-warni, yang mengangkat nama Malaysia sebagai salah satu tempat untuk festival apa pun di masa akan datang.
Cara wartawan hiburan kita mengulas persembahan artis luar begitu hebat. Tidak ada cacat celanya persembahan mereka. Mungkin pengulas pun tak faham di mana nak cari cacat dan celanya. Atau tergugah oleh penampilan artis Barat yang tak pernah disaksikan di mana-mana konsert setaraf fun-fair yang biasa kita adakan di mana-mana.
Wartawan tadi mengatakan, penonton telah berdatangan ke tapak festival sejak jam 4.00 petang. Wah, memang meriah sungguh pesta ini. Ramai juga rakyat asing yang berkunjung ke situ. Artis mereka, lagu mereka, muzik mereka dan gaya mereka, itulah yang mereka gemari.
Kehadiran konsert begini tidak mendapat perhatian dari mana-mana pihak mungkin kerana adanya isu Lahad Datu yang belum kendur. Masih panas dan terus panas di atas pentas politik negara. Sedangkan di pentas festival muzik yang dikatakan hebat itu adalah perulangan lagu dan nyanyian PSY penari kuda Korea yang orang kita kagumi, malah meminta agar lagu itu dinyanyikan semula. Begitulah kalau sudah mabuk kepada lagu Gangnam Style. Padahal kalau ada lagu "Haji Taib Style"  nyanyian gaya Haji Taiban maka mereka tidak mahu tengok agaknya. Itulah peranan media. Wartawan hiburan memainkan peranan memprojeksikan minda anak muda dan orang tua untuk menyukai sesuatu itu.
Apa pun, setakat ini festival yang dikatakan hebat itu belum mendapat komen dari kalangan pemikir kita. Tunggulah. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment