Monday, 4 March 2013

TUMBAL: CAGAR NYAWA UNTUK IBLIS!

TEGANG. Begitulah keadaan yang berlaku di Sabah ketika paparan ini disiapkan.
Apa pun untuk meredakan ketegangan, elok disambung wacana tentang kemistikan yang nampaknya turut mendapat perhatian selain isu Sultan Sulu yang membingungkan itu.

Apa itu tumbal? 
Mengikut pengertian biasa di Malaysia, tumbal itu adalah berupa lakaran, tulisan jawi atau Arab, diberi grafik yang menarik seperti nak membuat wafak. Wafak sebagaimana umum mengetahui ia dibuat dalam bentuk lakaran [yang pandai melukis dan senigrafik]. Lakaran ini jika diletakkan di pintu rumah atau di mana-mana pun dalam rumah, ia dianggap sebagai tumbal. Maksudnya, kalau ada pencuri atau penceroboh [bukan Lahad Datu ya!] orang itu akan tengok rumah anda seperti kawasan tasik atau lautan. Maka penceroboh itu akan bingung, "Aku masuk rumah orang nak mencuri bukan nak tengok laut, apa nih?"
Akhirnya orang itu keluar semula. Tengok-tengok ia bukan lautan dan bukan tasik luas. Masuk lagi, dia nampak laut. Ingat, tak semua tumbal ada power demikian hebat. Ia hanya ilusi bagi penceroboh.
Tulisan huruf-huruf Arab ini tidak diketahui apa maknanya. Mungkin yang tukang lakar pun tak tahu apa maknanya, dia hanya buat benda itu untuk suka-suka. Datang orang yang kepercayaan mistiknya tinggi, maka dia berkenan untuk mendapatkannya. Ada yang ditanam bawah lantai rumah, konon untuk keselamatan dalam rumah. Inipun mitos sebenarnya. Wafak dengan tumbal ada kaitan. Itu menurut terminologi versi Malaysia. Bagaimana pula di Jawa sana?

Maksud tumbal
Dengan bahasa paling mudah, tumbal adalah apa balasan yang seseorang hendak beri kepada pihak yang telah menolongnya. Dalam kes ini tumbal lebih mengarah kepada perbuatan seseorang mengadakan perjanjian dengan syaitan atau iblis. Bukan perjanjian dengan manusia. Ini perjanjian yang hanya dilaksanakan di dalam dunia persugihan, dunia mendapatkan dana ghaib, dunia mendapatkan duit masuk dalam akaun secara ghaib dan macam-macam ilmu karut yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.
Jadi, kalau seseorang itu sudah buat aku janji dengan syaitan, iblis, atau jin [atau hantu apa pun] maka dia kena tunaikan janjinya. Biasanya seseorang yang hidupnya terdesak sanggup melontarkan janji apa sahaja termasuk ke bulan dan ke bintang.
Namun, adalah perkara yang memelikkan bagi mana-mana orang yang sanggup menggadaikan nyawa diri atau orang lain semata-mata kebingungan ketika membuat perjanjian dengan Pak Iblis tadi.

Jenis tumbal
Ada beberapa jenis tumbal yang biasa dijanjikan oleh orang yang terdesak bagi mendapatkan bantuan daripada iblis, syaitan atau sebagainya.
  • Tumbalkan nyawa musuh atau orang yang paling dibenci di dunia ini [jangan buat ya, ini hanya contoh untuk menjelaskan maksud tumbal tadi].
  • Tumbalkan nyawa ahli keluarga sendiri.
  • Tumbalkan umur sendiri.
  • Tumbalkan janin dalam kandungan.
Di antara empat jenis tumbal ini mana satu yang anda fikirkan?
Bagi yang tidak pernah menceburkan diri dalam kerja perdukunan dana ghaib, paranormal, supranatural, maka perkara ini tidak pernah dibayangkan seumur hidup pun.

Tumbalkan musuh
Inilah tumbal yang kerap dilakukan oleh mereka yang mabuk dengan keilmuan. Semua ini adalah gara-gara nasihat orang pintar atau jurukunci sesuatu ritual berkaitan dunia iblis. Kenapa mereka tumbalkan musuh yang paling dibenci di dunia ini? Dia rasa dengan menumbalkan musuh dirinya selamat, seseorang itu sanggup tumbalkan orang yang dibenci, termasuk bekas isteri, bekas tunang, saingan dalam perniagaan, atau memang bapak gangster yang digeruni. Biasanya mereka tumbalkan musuh atau orang dibenci kalau seseorang itu buat perjanjian sulit dengan Ratu Kidul, Blorong, Dewi Ayu Hutan Roban, Dewi Lanjur Sari atau Mbah Mintorejo [sebagai contoh]. Nama-nama ini semuanya berada di dalam kerajaan ghaib. Ilmu yang diguna adalah bertujuan mendapatkan kekayaan melimpah ruah untuk dunia semata-mata. Ilmu ini tidak ada kaitan dengan akhirat. Menurut sumber, musuh yang ditumbalkan itu paling lama dalam masa 100 hari akan terkena tumbalnya. Adakah orang yang berillmu atau amal ilmu Kidul atau Blorong itu yang membunuhnya? Tidak. Orang itu bersenang lenang menikmati tarian dangdut sambil mendakap pasangannya di lantai disko, sementara di luar sana, ketika masuk hari ke-100, orang yang ditumbalkan akan mengalami kecelakaan atau apa sahaja yang membawa kepada kematian.
Dalam bab ini, elok dihuraikan menurut pandangan Islam. Sebab penganut amalan ini walaupun kebanyakannya mengaku Islam, tetapi kesanggupan untuk "membunuh" orang lain secara penumbalan adalah sesuatu tindakan yang bertentangan dengan Islam. Ketika bertemu pak dukun untuk mendapatkan ilmu, ketika melakukan berbagai ritual dan puasa karut semua, semua ini adalah tindakan yang bukan ajaran Islam. Ia ajaran syaitan belaka. Islam tidak mengajarkan tumbal. Istilah tumbal hanya dalam "kitab" mistik kesesatan. Kalau orang tidak tahu, angkara tumbal ini dianggap berpunca dari santet atau santau. Hakikat sebenarnya, ia memang "jerat" yang dipasang oleh seseorang yang beramal dengan ilmu karut lagi sesat.

Tumbalkan ahli keluarga
Maksudnya, sanggup buat aku janji kepada syaitan, jin, atau iblis, bahawa kalau seseorang itu telah mendapat kekayaan duniawi, limpahan wang, simpanan dalam bank tak muat buku, maka dia dengan rela menumbalkan isteri, menumbalkan anak lelaki atau perempuan, menumbalkan, ibu atau bapanya, menumbalkan nenek atau datuknya, cucu atau sesiapa sahaja. Biasanya dia menumbalkan mana-mana ahli keluarga yang bermasalah, yang menghadapi masalah penyakit, kurang upaya atau masalah mental. Orang yang itulah yang ditumbalkan. Jika isterinya termasuk dalam kategori itu, dia sanggup tumbalkan isteri. Menurut "temberang" daripada mereka yang bergelumang dalam dunia karut mistik ini, duit yang mereka peroleh dengan cara jual nyawa ini lebih banyak, berkepuk-kepuk, tidur atas duit. Jika yang dijual nyawanya itu orang yang paling disayangi, maka duitnya lagi banyak. Adakah sesiapa di dunia ini mereka yang mengaku umat Nabi Muhamad sallallahu alaihi wasallam sanggup melakukan tumbal begini? Usahkan tumbal, nak masuk kelab gila ini pun mereka tak mahu. Inilah pembunuhan misteri dalam keluarga sendiri. Sambil menunjukkan kedermawanan, membahagi-bahagi duit, ada motif di sebaliknya hendak menumbalkan seseorang yang disayangi, termasuk yang telah diberikan duit!

Tumbalkan umur sendiri
Maksudnya, tidak ada musuh atau orang dibenci untuk ditumbalkan. Tidak ada sesiapa nak ditumbalkan dalam keluarga, maka kena korban diri sendiri. Korbankan nyawanya, korban umurnya. Dia sanggup jual umur sendiri kepada Pak Syaitan, Pak Iblis dan Pak Jin Sugih.
"Kenapa kok tumbal umur sendiri?" tanya Pak Iblis.
"Saya tidak sanggup tumbalkan sesiapa pun dalam famili saya!"
"Pengakuan yang jujur," Pak Iblis memujinya. "Dan sekarang kamu tumbalkan umur kamu sendiri ya?"
"Ya, Pak Blis, lagipun saya sudah tua!" orang itu mengaku dan menyerah di depan Pak Iblis.
Pak Iblis ketawa suka. Memang ramai orang yang sanggup buat begitu seperti calon yang diperdaya itu.
"Apa kamu sudah fikir habis?" Pak Iblis seperti memelas kepada orang itu. Orang yang bodoh dan bingung kerana sanggup gadai nyawanya sendiri.
"Ya, sudah!"
"Tahu apa risikonya?"
"Tahu!"
"Kalau gitu, kamu diminta memilih, dalam jangka masa berapa tahun kamu nak tumbalkan umur kamu ini? Kamu diberi pilihan minimum lima tahun, kalau lebih tidak apa," jelas Pak Iblis.
Setelah memikir, orang itu menjawab: "Sepuluh tahun!"
"Berapa tahun? Ulang sekali lagi?"
"Sepuluh tahun!"
"Nah! Bererti anda mulai dari hari ini, dalam masa sepuluh tahun mendatang, ajalmu sudah ditetapkan," kata Pak Iblis sembari tertawa. Dia tertawa kerana dapat menyesatkan seorang lelaki dungu lagi bingung. Orang minta panjang umur dan dimurahkan rezeki bagi menambahkan amal, orang ini terjelepuk di bawah kaki iblis menyerahkan nyawanya dengan bertempoh.
Ini adalah amalan pelik dalam dunia mistik yang jarang kita ketahui.
Pak Iblis tertawa terbahak-bahak. Suaranya melengking kedengarannya, tetapi hanya lelaki bodoh itu sahaja yang mendengarnya.
"Kamu memang pintar! Kenapa saya bilang pintar? Ya kerana di antara dua tumbal, tumbal musuh dan ahli keluarga, tumbal umur ini mendatangkan wang yang banyak! Kamu akan dihormati kawan dan lawan, di dunia kamu dipandang hebat kerana kamu kaya, dengan wang yang ada kamu boleh baiki rumah kamu, besarkan, hebatkan, bina pagar besi yang tinggi, pasang pendingin hawa, pasang Astro, pasang pengawal, pasang amah, pasang isteri cantik dari kalangan selebriti, kamu boleh laburkan wang dalam bisnis apa sahaja, tapi ingat..." nasihat Pak Iblis sambil mengendurkan suaranya.
"Apa dia?"
"Sampai masanya nanti, dalam masa sepuluh tahun, kamu aku ambil untuk menjadi perajuritku! Kamu pula jadi seperti aku, jadi calon iblis untuk meramaikan umat Iblis! Mau??"
Perjanjian itu tidak boleh ditarik balik. Sudah dimaterikan. Sabar sahajalah menunggu ajalnya.
[Perjanjian iblis ini juga pelik, semuanya adalah ajaran syaitan yang merujuk kepada kitab mereka sahaja].

Tumbal janin
Maksudnya, mereka yang belajar ilmu karut untuk mendapatkan kekebalan, kekayaan, kehebatan dan sebagainya boleh menumbalkan janin dalam kandungan isteri, dalam kandungan anak yang baru melangsungkan perkahwinan, atau menumbalkan janin dalam perut cucu kesayangan yang baru menikah. Orang mabuk ilmu bukan kira apa. Kata orang, kalau ada janin yang tidak dikehendaki bolehlah ditumbalkan seperti pengamal ilmu ini. Dengan itu tidak ada kes buang bayi, kes sumbat janin dalam lubang tandas, atau sangkut janin di depan pagar masjid atau surau. Terbukti, menurut ilmu mistik karut ini, janjin yang dikehendaki untuk penumbalan adalah seperti syarat berikut:
1. Dari seorang ibu muda dan dari perbuatan jahat seorang lelaki sahaja [pengamal ilmu kena selidik dulu, dan kerja menyelidik ini macam jaga tepi kain orang, silap haribulan kena penampar pula].
2. Usia kandungan tidak boleh lebih dari 7 bulan.
Untuk mendapatkan janin seperti disebutkan bukanlah senang. Tak kan nak iklankan dalam akhbar harian atau majalah? Nak tampal makluman pada pokok kayu tepi jalan? Tampal di perhentian bas atau depan balai? Tidak ada sanggup buat kerja gila ini.
Di kalangan pengamal ilmu karut, tumbal inilah yang mereka cari. Mereka kena berkeliaran di kawasan lorong persundalan. Cari maklumat, masuk kelab dangdut, borak-borak dengan GRO atau risik pada kawan-kawan. Cari geng laluk.
Menurut kisahnya, janin ini tidak perlu menjalani operasi di klinik atau jumpa mak bidan kampung. Tak payah. Ia secara tak disedari telah "lenyap" kerana benda itu sudah ditumbalkan kepada Pak Iblis tadi.
Di antara empat tumbal tadi, orang lebih suka memilih tumbal janin dari pasangan muda.
Di tengah masyarakat yang rosak moral seperti sekarang, maka tugas untuk mencari tumbal janin tidaklah sukar. Hanya kalau seseorang itu malu dan berat mulut, maka sampai bila pun dia tak akan dapat tumbal. Kalau begitu lebih baik lupakan sahaja untuk amal ilmu tak berguna ini.

Paparan tadi bukan bertujuan mengajak orang lain ikut serta menjadi ahli kelab syaitan dan iblis. Ia dipaparkan bagi menggambarkan bahawa ada sisi lain yang orang tak peduli tentang dunia mistik yang caca-marba ini. Peminat ilmu karut yang menumbalkan empat "nyawa" tadi adalah mereka yang bukan manusia lagi. Mereka tergolong dalam kelompok iblis atau manusia iblis. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment