Tuesday, 26 February 2013

TENGOK SYIAH DARI JAUH [5]

Kisah Imam Mahdi yang ditunggu penganut agama Syiah adalah sesuatu yang seronok untuk dibaca dan difahami. Kisah ini bolehlah dianggap sebagai mitos dalam Syiah. Boleh jadi ada yang kata ia termasuk dalam mistik Syiah, dongeng Syiah, dan sebutlah apa sahaja. Mahdi Muntazar yang ditunggu-tunggu umat Syiah ini telah menghilang atau ghaib. Ia umpama cerita misteri juga.
Khabarnya ada dua bentuk ghaib yang berlaku.
Pertama, pada hari bapanya meninggal pada tahun 260H, sejak itu Syiah mendakwa  si ghaib itu telah bersembunyi dan pandangan manusia. Kalau nak berhubung dengan orang yang ghaib itu bolehlah dihubungi melalui "nuwwab" [para wakil] atau "sufara" [para utusan] yang konon ditentukan sendiri oleh orang yang telah ghaib itu. Dengan cara itu hubungan dengan pencinta ahlul bait berterusan.
Ketika imam yang ditunggu-tunggu itu ghaib, dia masih kanak-kanak. Konon budak yang ghaib itu kini sudah terlalu tua di alam sana dan dia sedia memberikan apa sahaja semacam fatwa kepada penganut Syiah tentang apa sahaja yang ditanyakan. Konon, andainya ada persoalan, silakan berkomunikasi dengan orang yang ghaib itu dan anda akan mendapat jawapannya. Para wakil atau utusan itu akan membawa jawapan bertulis. Inilah anehnya, walaupun ia telah ghaib, masih boleh diminta fatwa dan pendapatnya.
Selama keghaiban budak itu dan kini sudah tua renta, para wakil atau utusan itu khabarnya dilantik sendiri oleh si ghaib tadi. Mereka yang dilantik seramai empat orang, iaitu:
Usman bin Said al-Umari; Muhammad Usman Said al-Umari; Husain bin Ruh dan Ali bin Muhammad as-Samari.
Mereka yang jadi orang tengah atau utusan ini berpeluang mendapat harta "khumus" [zakat satu perlima bahagian], ada yang komen ini peluang mereka mendapat harta dengan keyakinan bahawa mereka dilantik dan dipilih orang imam yang sedang ghaib itu.
Ghaibah yang pertama tadi yang dipanggil ghaibah sughra, ia berlangsung selama 70 tahun. Sejak ziarah safir terakhir dari sufara yang empat itu [nama empat orang tadi]  dan sebelum meninggalnya  safir terakhir, iaitu as-Samari, ada "sepucuk" surat pula dari imam yang ghaib itu.
"Telah tiba masa ghaibah tammah [pemergian sempurna] maka tidak ada penampakan lagi kecuali telah diizinkan oleh Allah s.w.t., maka barangsiapa mengaku melihat aku maka dia adalah pembohong."
Ghaibah yang kedua mereka panggil sebagai ghaibah kubra iaitu pada tahun 329H. Sejak itu mereka mengharapkan imam itu muncul. Ada had masa yang telah mereka tetapkan, tetapi apabila masanya sudah tiba, imam tak muncul-muncul juga. Jadi mereka tambah lagi masa penangguhan dan penungguan imam. Mereka ganjakkan masa demi maslahat keyakinan yang batil itu. Mereka akan kata, "Sesungguhnya Allah telah 'bada' [nampak] bagi-Nya (apa yang tadinya tidak dia ketahui), dan tidak ada ketentuan waktu untuk kemunculannya."
Hairannya, meskipun imam yang ditunggu tidak muncul, boleh pula utusan tadi dapat surat kiriman dari alam ghaib sana. Utusan yang terakhir itu dapat surat dari orang ghaib.
"Dengarkanlah, semoga Allah mengagungkan pahala saudara-saudara mu tentang dirimu, sesungguhnya engkau akan mati antara hari ini hingga enam hari. Maka tumpukan urusanmu. Janganlah berwasiat kepada sesiapapun untuk menggantikan jawatanmu setelah ketiadaanmu. Kerana telah tiba masa ghaibah tammah -kepergian kekal-. Maka tidak ada kemunculan kecuali setelah ada izin  dari Allah yang Maha Tinggi penyebutan-Nya. Akan ada dari Syiahku orang yang mengaku tetap melihat diriku sebelum keluarnya Sufyani dan Syaihah [tiupan sangkakala] maka ia ada pendusta dan pembohong." [Ikmal ad-Dien, Ibnu Babawaih, Jil. II, hal. 193; Al-Thusi, Al-Ghaibah, hal.257, sebagaimana dikutip Mamduh Farhan: 2001] 
Konon, dengan surat dari orang ghaib itu, maka putuslah sudah imam mereka dengan ghaibah kubra tahun 329H itu.
Kisah orang ghaib, ghaib sejak zaman kanak-kanak, dan kini entah berada di mana, mereka pun tak tahu. Ada yang berkata Mahdi itu ada di Madinah, di Makkah, Yaman, Thaif, Gunung Radhwa dan di Samura'.
Yang tidak menjadi persoalan di kalangan mereka, ghaib bagaimana kalau orang yang ghaib itu boleh hantar surat kepada wakilnya? [Mamduh Farhan al-Buhairi, GEN SYIAH, Sebuah Tinjauan Sejarah, Penyimpangan Aqidah dan Konspirasi Yahudi, Darul Falah, Jakarta Timur: 2001]. []

No comments:

Post a Comment