Wednesday 13 February 2013

SURUH JIN MASUKKAN DUIT DALAM AKAUN!

Ini lagi cerita menarik.
Kalau benda ini masuk siaran televisyen, rasanya berjejal, berbaris atau bersiku-sikuan kerana nak daftar dulu.
Ia bukan ada borang. Kata yang empunya cerita, hanya orang yang mumpuni sahaja boleh buat. Sekiranya skim masuk duit dalam akaun tak buat apa-apa "program" masuk duit, maka ia memang sangat ditunggu-tunggu.
Semua orang nak tahu.
Apa pun, ini hanya cerita sahaja. Bab masuk duit dalam akaun bank ini memang sudah lama disembangkan orang. Hanya logik tak logik sahaja.
Untuk menghebatkan cerita, ia dianggap sebagai ilmu. Kalau tak ada ilmu bagaimana nak masukkan duit dalam akaun bank?
Ilmu ini dikatakan sebagai ilmu hikmah. Kena semak balik cerita Nabi Musa a.s. dengan Khidir. Yang Khidir ajar itu adalah sebahagian ilmu hikmah.
Ilmu ini untuk memecahkan kebuntuan anda tak berduit atau menurut istilahnya ilmu persugihan. Tidak semestinya sugih, asal ada duit pun sudah memadai.
Konon, sesiapa yang sudah jumpa pakar ilmu hikmah ini, dia akan diajarkan bagaimana kaedah memanggil jin khadam yang siap membantu anda yang perlukan duit.
Hanya janganlah fikir nak pitih belanar gitu. Hanya anda akan hairan, bagaimana angka dalam akaun bank anda boleh berubah. Maknanya ada "makhluk" yang masukkan duit.
Siapa yang masukkan duit tu? Kata mereka, itulah jin yang sudah disepakati untuk memasukkan duit ke dalam akaun anda.
Mudahkah hendak amalkan ilmu begini?
Orang nak dapatkan duit sanggup bancuh simen, angkat batu, bengkok besi, tujah tangkai sawit, sembah pokok getah [di belakang rimau akar dah tunggu], maka bagi yang berharap nak senang cara begini kena amalkan suatu ritual tertentu.
Khabarnya, bukan mudah nak buat ritual suruh jin masukkan duit dalam akaun bank. Ritual pemanggilan itu memakan masa 30 jam!
Walapun begitu, kata yang punya ilmu, ia tidak menggunakan sarana tumbal atau sajian yang menyesatkan.
Boleh buat ritual 30 jam itu di rumah orang pintar itu atau melalui jarak jauh [hebat! zaman ni macam-macam orang fikirkan nak cari duit cara mudah].
Sama juga, ada orang beramal sampai 30 jam lamanya semata-mata nak mantapkan ilmu tarik wang balik. Wang yang anda belanjakan di kedai tadi akan masuk semula dalam dompet. Kalau tadi keluar RM50 maka tanpa disedari duit itu masuk semula ke dalam dompet. Siapa yang masukkan? Inilah yang nak belajar.
Ini adalah wang ghaib namanya.
Teringat saya pada suatu kisah anak tempatan yang berguru di Banting [tak tahu dengan Wak mana pulak] -- dia kata, Wak itu ada bagi ilmu pada dia. Macam ilmu di atas tadi, duit masuk dalam akaun tanpa disangka-sangka.
Yang cerita perkara ini bukan orang biasa. Dia sudah biasa dengan wartawan. Dia tak akan cerita kepada wartawan, takut ditulisnya dalam majalah Misteri pulak kisah dia.
Selama dia menjadi orang suruhan Wak di Banting, dia selalu tengok macam-macam orang jumpa Wak. Orang datang jumpa Wak bagi duit. Sedangkan dia sebagai khadam kepada Wak tak dapat duit langsung.
Sebelum dia tinggalkan pondok Wak, lelaki ini mintak ilmu untuk dimanterakan.
Itulah yang diceritakan lelaki ini kepada seorang lain sebelum dirawikan semula di sini.
Dia membaca mantera yang diajar oleh Wak, dan kemudian masukkan kad ATM Bank Antah Berantah Bhd. Dia ikut arahan, masukkan nombor PIN. Dan dia tengok baki dalam akaun.
"Mak oi!" dia terhairan bin takjub. Siapa yang masukkan duit dalam akaunnya? Dia tak ada edar surat berantai pun. Tak ada selitkan kertas putih di peti surat atau tampal pada pokok tepi jalan.
Dia pun keluarkan duit.
Termenung memikirkan hal itu ketika dia duduk di dalam restoran makanan segera. Walaupun restoran itu ada kaitan dengan Yahudi, dia tak fikir soal itu. Dia hairan, siapa yang masukkan duit dalam akaunnya?
Duit royalti lamakah? Atau ada kawan lama hutang baru bayar? Tidak juga.
Dia keluar semula. Masukkan kad lagi. Tak puas hati. Dia keluarkan duit lagi.
Sebenarnya kisah ini pernah saya paparkan dalam sebuah majalah semimisteri, hanya nama-namanya dirahsiakan.
Mungkin Wak tadi mengamalkan ilmu hikmah suruh jin masukkan duit dalam akaun? Wallahu a'lam. Kebenarannya perlu diperhalusi. []

1 comment: