Wednesday 13 February 2013

MARI KITA GESEK BIOLA DI MANA-MANA

"Gesek Biola" pernah saya jadikan tajuk cerpen yang tersiar dalam akhbar hari minggu. Ia mengisahkan tentang orang KL yang suka buka cerita asalkan ia menjanjikan duit.

DUIT EPF
[1]. Dulu ketika duit KWSP boleh dikeluarkan untuk beli PC, maklumlah lagu IT asyik dimainkan di dalam media, maka saya kerap dengar orang tanya, "Nak keluarkan duit EPF tak?" Buat apa? "Nak beli komputer." Akhirnya ramai yang keluarkan duit EPF, bukan nak beli komputer sangat, mereka hanya fikirkan, nak jual komputer itu bagi mendapatkan wang tunai. Ini nasihat siapa? Nasihat para broker yang asyik berkeliaran dan menggesek biola agar orang yang mendengar terlena sejenak. Dengan saya pun mereka gesek biola juga, tetapi disebabkan saya main "gitar" dan "drum" pembiola itu tak mahu gesek depan saya.

BANK
[2]. Dulu sebelum pecah Perang Iraq - menceroboh Kuwait. Rakan-rakan di Daya Bumi kerap meeting tentang projek besar nak set up sebuah bank, tak salah saya Bank Kuwait. Saya ada baca proposal yang kerap diusing dek budak-budak dan orang di Daya Bumi. Mereka kerap turun naik pejabat di situ. Sembang sampai ke kafetaria. Dek kerana projek besar itu, kawan kita sudah tempah bush jacket, dua pasang sekali. Siap tukang jahit datang pejabat, ukur dan sukat. Ada broker Jalan Masjid India asal Ipoh dapat bush jacket free. Bergaya sakan dia. Projek nak tubuhkan bank ini jadi bahan bualan berbulan-bulan, dan saya sempat mendengar sembang mereka bersama seorang peguam, penulis proposal, taukeh Cina kaya yang ada kaitan dengan business besi waja [tak perlu sebut syarikatnya], taukeh Cina ini selalu kita tanya, itu dan ini, dia adalah kerabat kepada bekas Ketua Menteri Melaka. Apa taknya, anak dia kahwin KM! Urusan nak buat bank kena cari pelabur kaya, maka ada yang pergi Brunei melobi orang kaya di sana, ada yang pergi Singapura, tak kurang yang ke Jakarta. Ketika itu, rakan-rakan di Daya Bumi ada yang sudah pasang angan-angan dapat duit komisyen selonggok nak beli itu dan ini. Salah seorang kawan di antara mereka kini sudah berkedudukan istimewa di sebuah Istana [ tak payah sebut Dato siapa ya]. Jadi, inilah penangan penggesek biola. Berangan-angan nak dapat duit sekepuk, tapi kedudukan tak ada. Itu jam yang saya ingat, ada yang nak bercakap dengan menteri itu dan ini. Dan kemudian yang saya dengar, ada pula political fund yang disebut-sebut. Tup-tup, tentera Iraq masuk ke Kuwait. Proposal entah ke mana, dan yang berangan itu melopong. Kawan yang ada di Daya Bumi itu sudah tukar tajuk ketika saya temui di Masjid Jamek LRT, KL. Mujur juga dia ingat masjid walaupun projek tak menjadi. Tak apalah! Peguam tadi pun biasa saya temui di masjid itu.

HARTA DI LONDON
[3]. Ada seorang lelaki yang berpakaian kemas. Dengar ceritanya dia ni kerabat juga. Hanya tak sahih kekerabatannya itu bagaimana. Dia cerita kepada saya, dia ada fakta mengatakan ibunya ada meninggalkan harta kerana ia ada kaitan dengan sebuah istana [negeri mana tak nak sebutlah]. Dengar cerita juga, lelaki ini adalah anak gundik. Dia ada harta yang diwariskan oleh ibunya, hanya sayang, kalau nak selongkar dokumen lebih lanjut, dia kena pergi London. Dahsyat juga nih. Berapa nilai harta itu? Kiralah dari dulu sampai sekarang? Tentu puluh atau ratus juta! Sambil mengeluh, dia kata, dia tak boleh buat apa kerana tidak dapat rekomendasi dari pihak kraton. Mahu tak mahu, dia hanya bergantung kepada seunit rumah dekat Jalasn Thambosamy, tak jauh dari Jalan Dang Wangi, KL. Dia kutip sewaan rumah itu setiap bulan. Kerabat yang berkaca mata dan berpakaian smart ini sudah lama tidak kelihatan di Kuala Lumpur.

KARTU PENDUDUK
[4]. Ada pula seorang lelaki yang selalu berpakaian kemas, bagai sang peguam. Kalau menyamar memang layak sangat. Dia ni berani sunguh. Pantang jumpa budak Bangladesh atau Pakistani. Dia boleh ajak sembang dan gebang dengan budak itu semua dan kemudian dia kata dia boleh tolong dapatkan IC, masa itu belum ada MyKad lagi. Dia ini juga pantang jumpa orang Jawa Timur. Sanggup singgah di rumah kongsi, borak-borak. "Wak tak mahu kartu penduduk? Bisak diatur Wak!" katanya. Khabarnya dia menawarkan khidmat dapatkan benda itu. Sejauh mana cable dia kukuh, saya tak tahu. Tetapi dia memang penggesek biola juga.

BALAK DAN TANAH
[5]. Ada lelaki yang setiap hari duduk menunggu seseorang. Kalau disapa, "Tunggu siapa bang?" Ya, tunggu Si Fulan, nampak tak? Bab tunggu menunggu ni saya sudah masak. Kekadang sehari suntuk duduk menunggu di lantai bawah Semua House. Siapa masuk ke situ pasti haus dahaga. Semuanya haus dahaga. Di situ mereka boleh tarik bangku duduk ramai-ramai. Buka pelan. Buka peta. Yang biasa saya dengar adalah, peta atau pelan tanah untuk dijual. Pada pelan itu ditandakan dengan dakwat merah, agar senang nak cerita. Ini pun salah satu cara nak gesek biola. Selain itu, tanah KSK balak. Ada sahaja tanah balak untuk ditebang sampai beratus ekar. Pernah mereka usung pelan tanah di kawasan Rompin, Pahang. Sanggup pergi Kuantan, jumpa pengurus besar yang kendalikan tanah itu. "Ya, memang kita nak jual dengan harga sekian, tapi buat masa ini belum ada yang ngam," kata pengurus tanah yang diamanahkan [gelaran Dato]. Kemudian penggesek biola turut sembang fasal papan pelapik landasan kereta api. Siap spesifikasinya sekali. Nak berapa kapal? Bukan main hebat dia tanya. Macamlah papan itu sudah sedia belakang rumah dia. Padahal dia hanya tumpang komisyen. Sekeping harga berapa? Kalau dari Seremban sampai JB, berapa papan pelapik nak digunakan. Tengok mesin kira. Kira berapa komisyen boleh dapat. Ada yang buka cerita, nak beli besi buruk satu kapal besar untuk dihantar ke Afrika, siap dokumen yang difaks dari sana. Dahsyat ya broker di Wisma House ini. Ada cikgu dari Kepong, keturunan Cina, dia nak cari siapa nak beli sarung tangan getah. Jangan kira berapa bungkuslah, cerita berapa kontena mahu? Kemudian ada lagi yang buka pelan, nak jual tanah dan bangunan, nak supply simen Portland, tebang getah tua, tarik balak berendam, nak jual kilang, nak jual kondo, nak jual apartment mewah, banglo dan sebagainya; hanya saya tak jumpa lagi orang usung pelan nak jual surau atau jual masjid. Yang lain semua saya dah dengar dari mulut para broker yang ada di Jalan Masjid India. Ada juga yang bawa pelan kawasan lombong emas! Mungkin dalam tahun 2013 ini ada pelan-pelan projek yang hebat-hebat termasuk kapal selam, perahu layar mewah, kapal pesiaran, bas pesiaran tiga tingkat, atau projek bangunan 100 tingkat.

BENDA MISTIK
[6]. Dalam pada isu tanah dan bangunan, ada juga yang sibuk nak cari batu merah delima. Kemudian sibuk nak rantai babi [rantai anjing mereka tak mahu, begitu juga rantai beruk, rantai beruang atau rantai kapal]. Ada juga nak cari benda-benda pelik untuk dibawa ke depan bomoh atau pawang, terutama keris yang boleh menari Gangnam Tari Kuda. Strerika ayam jantan, atau lesung tembus mereka sudah lupa. Atau besi kuning, selendang puntianak, kain mori mayat, dan macam-macam lagi. Semua ini adalah sub kepada hal-hal lain yang ada dokumennya.

KAPITAN KLING
[7]. Cerita warisan Kapitan Kling yang nama sebenarnya Abdul Qadeer, menyebabkan saya menjenguk makamnya di belakang bangunan Majlis Agama. Sempat berbual dengan pewarisnya. Dia juga menceritakan ada harta tak alih yang diwariskan kepada piut-miutnya, hanya dokumen tak berapa jelas, dokumen lama menyebut nilai hartanya dalam nilai wang Sepanyol. Harta dia bukan di kawasan pelabuhan Penang sahaja, malah merayap sampai ke Singapura dan Melaka. Maklum Negeri Selat. Kalau nak tahu kena semak dokumen lama di London agaknya, macam sahabat tadi yang kata ada harta warisan di London juga. Patiamah yang ikut ceritanya berkelambu sampai "tujuh" lapis, makamnya ada di sisi makam Kapitan Kling. Dokumen [salinan] telah diusung oleh broker Masjid India. Hebat! Hebat! Itu belum lagi kapal korek bijih di Ipoh dan sekitarnya.

Ada lagi tak benda lain? Ada. Tunggulah kalau dapat maklumat terkini. []

No comments:

Post a Comment