Saturday 2 February 2013

FILEM SERAM MENYERAMKAN PANGGUNG?

NAMA pun cerita seram. Kenalah buat seseram yang boleh. Kalau tak seram, kena seram-seramkan agar menjadi seram. Lajakkan episod itu biar berjela, masukkan kesan bunyi, campur ringkikan syaitan dan iblis agar "dag-dig-dug" jadinya. Bagi yang suka tengok wayang berduaan, masa inilah nak tunjuk ketakutan anda, kalau ada yang mengejutkan, buatlah terkejut yang bukang kepalang sehingga terpeluk rakan sebelah. Atau kalau yang suka "auw-auw!" maka dalam pangung itu suara dia sahajalah yang memecahkan suasana.
Ini bab cerita seram dalam panggung.
Sudahlah namanya cerita seram, sudah tentu hendak menyeramkan audien yang datang. Yang masuk panggung pun bukan kaki wayang sebenarnya. Ada yang masuk panggung sebab terpengaruh dengan ulasan dalam majalah dan akhbar. Atau nak tahu bagaimana si fulan itu berlakon. Lagipun sembang tentang pelakon filem selalunya berpanjangan, ada sahaja paparannya setiap hari atau minggu.

FILEM BARU
Orang mungkin tidak terfikir kenapa drama dan filem seram digemari. Kini audien sedang disajikan dengan filem MINYAK DAGU. Ia seolah-olah lanjutan kepada cerita seram yang lampau -- JANGAN PANDANG BELAKANG, SUMPAHAN KUM KUM, MANTERA, NGANGKUNG dan KHURAFAT.
Cerita-cerita kemistikan memang digemari khalayak. Ketika tazkirah pun, kalau ustaz pandai heret cerita seram, memang semua orang duduk terpaku mendengarnya, terutama kisah-kisah yang berhubungan dengan mayat. Urusan jezanah dan sebagainya.
Cerita seram baik apa pun tajuknya, ia sekadar sensasi. Orang bukan hendak kebenaran cerita, tetapi ia hanya salah satu bentuk hiburan yang dianggap santai. Bagi kanak-kanak sensasi seram itu berbeza sekali dengan penonton dewasa.
Dalam soal karya, filem adalah sebuah fiksyen, maka ketepatan atau kesempurnaan itu bukanlah sesuatu yang didambakan.
Sebuah filem seram telah dipanggungkan, bilangan penonton kurang menjadi, akan timbul persoalan kenapa dan mengapa? Adakah genre seram sedang menurun?
Penonton silih berganti, orang lama tak jenguk panggung, datang orang baru pula. Begitulah putarannya. Soal pecah panggung atau tidak memang bukan boleh dirancang.

FAKTA
Ada yang suka buat filem seram sebabnya ia tidak melibatkan persoalan fakta. Kalau filem mengenai orang sakit, kena buat kajian penyakit apa, bagaimana kaedah rawatannya, peralatannya, istilah perubatannya dan macam-macam.
Nak siapkan skrip filem begini kena rujuk pakar perubatan tertentu. Jadi, zaman kita buat drama dan filem cara lama tak boleh diterima lagi. Dulu kita suka sanggat buat kaedah kematian mengejut -- pewatak dimatikan oleh faktor barah otak, sakit jantung dan sebagainya.
Dalam bab mistik filem seram, mereka membuat kebarangkalian yang seluas-luasnya. 
Ia tidak melibatkan fakta. Walaupun begitu, adegan untuk buat minyak dagu biarlah ada kelogikannya, kerana bukan tidak ada di kalangan penonton yang masuk panggung kerana nak tahu kaedah buat minyak dagu mengikut versi filem itu.
Umpamanya, bolehkah di dalam dunia nyata, seseorang itu korek kubur dengan begitu mudah tanpa melalui perancangan yang serba lengkap?
Dengan lain perkataan, kerja korek kubur untuk keluarkan mayat bagi mendapatkan minyak dagu adalah kerja yang sangat rumit dan berat. Bukan semua mayat boleh dikorek untuk didagukan.
Ada syarat maratnya. Ada cirinya. Bukan asal perempuan mati sahaja nak dikacau kuburnya.
Ia tidak begitu. Rumit dan melelahkan.
Kalau boleh ia melibatkan kelompok tertentu supaya tidak ada kacau-ganggu ketika kerja karut itu dilakukan.

SUKAR
Nampak mudah dalam cerita filem, sedang pada kenyataannya sangat sukar.
Bab korek kubur itu sendiri pun sudah jadi seram dan takut. Seram kerana pengorek tidak tahu anasir yang tidak dilihatnya. Takut kerana bimbang siak kubur jenguk kubur waktu malam. Lintang-pukang jadinya. Kecoh. Siap panggil wartawan Metro atau wartawan Misteri.
Untuk menyediakan skrip filem juga bukan mudah. Kalau tak tahu asal-muasal minyak dagu, maka skrip tak boleh nak tulis. Kena ada rujukannya. Tanya orang yang boleh sembang tentang minyak dagu. Catat sembangnya. Bandingkan sembang tentang berbagai perkara tentang isu ini. Bandingkan untuk mencari persamaan dan perbezaan.
Memang tidak ada teks rujukannya pun. Teks yang ada adalah teks bergerak. Sembang yang dipindahkan dari mulut ke mulut sampai ke teks skrip filem. Sebuah filem sama seperti sebuah teks. Untuk buat teks kena pergi ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang sebenar.
Bab minyak dagu yang difilemkan ini sebenarnya sudah jadi bahan sembang sejak lama dulu. Dunia perdukunan Melayu sudah tahu akan adanya minyak dagu sebagai minyak pengasih yang hebat. Akan tetapi kalau kita hendak menghebatkan minyak dagu tanpa landas ilmu jadilah seseorang itu menggantungkan harapannya kepada minyak dagu semata-mata.

TIDAK ADA
Minyak dagu tidak ada dalam ajaran Islam. Ajaran Islam menentang minyak dagu. Sudah menjadi tabiat manusia, mana-mana yang ditegah, itulah yang hendak dijengah. Minyak dagu hanya mainan kalangan bukan Islam, ia sejenis ilmu yang dipelajari dan menjadi warisan kelompok perdukunan tertentu sahaja. Ia pun bukanlah lahir dari wadah budaya Melayu.
Kita tidak mengkaji dari mana asal mulanya orang mencipta minyak dagu.
Teori mana yang mereka pakai. Tentu ada pemulanya.
Atau ada dukun yang mereka-reka ilmu ini sehingga ia jadi mantap menjadi sebahagian ilmu pengasih.
Inilah yang kita tidak kaji.
Andai ada sebuah "Tajul Muluk" atau "Primbon" kita mahu tahu juga daripada mana ia mendapat ilmu ini. Kita bimbang asal-muasalnya adalah dari para pendeta agama mereka.
Meskipun kita menyedari ia ilmu yang tidak boleh dijadikan ikutan, kefahaman budaya yang mentah menyebabkan kita menganggap ia sebagai "permainan rakyat" sahaja.

KOKANG
Jika kaedah membuat minyak dagu begitu payah dan menakutkan, ada juga orang mencuba minyak sejenis haiwan yang dipanggil kokang. Tetapi biasalah, mereka yang meminta syarat yang berat, cari kokang mati beragan.
Ini kerja susah. Masuk hutan keluar hutan, naik gunung turun gunung belum tentu jumpa kokang mati beragan. Kita tunggu ada filem akan datang KOKANG MATI BERAGAN pula.
Genre filem seram masih ada pasaran.
Dengan sebab itu masih banyak lagi judul filem seram yang akan muncul di masa akan datang. Lagipun, gambaran penampakan hantu adalah rekaan sahaja.
Tidak ada sesiapa yang boleh tangkap gambar hantu.
Percubaan seorang sahabat mengambil gambar hantu dengan kamera digital hanya menampakkan semacam asap putih yang membentuk rangka makhluk misteri.
Penampakan hantu atau syaitan dalam filem kita adalah rekaan kreatif dalam kerja sinematografi.
Sebenarnya, setiap panggung di mana-manapun sudah menjadi sarang kepada makhluk halus.
Dengan tempat yang sunyi, gelap, ada bunyi muzik dan nyanyian, ada pergaulan bebas di dalamnya, ada kelekaan umat ketika berhibur, maka amat sesuailah ia berada di panggung.
Sebelum panggung itu menayangkan filem seram, ia sebenarnya adalah ruang seram yang tidak disedari. Akhirnya, filem seram itu memang seram kerana yang datang memadatkannya hendak mengetahui tahap keseraman masing-masing.
Bahkan bukan tidak ada, ketika pewatak menyeramkan muncul, penonton tertawa. Ia sudah jadi komedi seram pula. Wallahu a'lam bishowab. []

No comments:

Post a Comment