Wednesday 30 January 2013

KISAH JIN DIGEMARI RAMAI

Dari mana seseorang itu mendapat begitu banyak kisah-kisah tentang jin? Soalan ini mungkin pernah difikirkan oleh seseorang yang sedang membaca buku misteri. Pembaca buku hairan, bagaimana si fulan terus menulis sampai bersiri-siri cerita jin, dari pengalaman dia peribadikah atau rekaan semata-mata? Cerita jin sebenarnya banyak yang rekaan sahaja, tetapi dimasukkan fakta cerita jin berdasarkan bahan-bahan rujukan yang ada. Rujukan bahan boleh jadi teks kajian yang terdapat di perpustakaan atau merujuk kepada kalangan orang tertentu yang terlibat dalam dunia perawatan yang lebih banyak melakukan dialog dengan makhluk berkenaan.
Seorang wartawan yang kerap mendampingi golongan perawat dan mereka yang mendakwa sebagai orang pintar, bomoh, pawang, dukun, "boleh ngubat sikit-sikit", yang berniaga minyak penawar, berniaga minyak wangi dibacakan ayat-ayat tertentu, dan banyak lagi profesi lain yang secara tidak langsung banyak bercerita tentang dunia jin.
Kisah jin di dalam paparan drama dan filem kita hanya mensasikan aspek seram. Lagi seram dan tegak bulu roma seseorang penonton lagi seronok. Fenomena seram yang memang diharapkan sangat-sangat agar menjadi, merasuk seisi panggung atau seisi rumah yang asyik menyaksikan keseraman itu. Kalau tanpa bantuan kesan bunyi seram yang terseret, maka keseraman itu tidak mampu menguasai penonton.
Cerita seram selalu mengaitkan soal kematian. Setelah berlaku kematian, maka cerita seram itu bermula. Digambarkan bahawa roh si mati merayau-rayau balik ke rumah, mahu melihat orang yang ditinggalkan dan cuba berinteraksi dengan orang yang masih hidup.
Cerita begini kerap saya dengar. Bahkan ketika kuliah mingguan di Perkim KL pun ada orang bertanya ustaz tentang kehadiran makhluk yang berkaitan dengan arwah.
Memanglah, jin sudah diketahui umum merupakan makhluk yang pintar berlakon, dia boleh menyamar sebagai orang yang telah mati. Dia hanya menyerupai, kerana makeup dan kostumnya menyerupai si mati. Orang yang melihat akan mengatakan bahawa si mati sudah datang mengganggu.
Apabila timbul kes begini, selalunya mereka jadi gelabah. Menurut kajian di Jawa, kalau terjadi kes seperti ini biasanya orang yang hidup sibuk memikirkan bagaimana hendak mengamankan agar "roh" si mati tidak datang mengganggu.
Maka mereka berusaha untuk mengadakan majlis makan-makan, memberi jamuan, persembahan atau sekadarnya. Bahkan, bagi yang kurang ilmu akan membawakan sesuatu ke kawasan perkuburan. Kalau begitu, lakonan jin itu sudah menjadi. Jin atau syaitan itu telah berjaya menggoda manusia dengan lakonan cerita seram itu.
Hakikatnya, tidak ada arwah yang boleh memasuki tubuh seseorang. Akan tetapi bukan kita tidak pernah mendengar ada orang menyeru Abdul Qadir al-Jailani, tidak diketahui apakah dia memang nama wali yang tersohor itu atau orang lain yang memakai nama yang serupa. Ada yang menyeru nama-nama wali atau seseorang pengamal ilmu hitam, apabila meninggal kuburnya dikeramatkan, dan orang ini boleh diseru untuk mendapatkan bantuannya.
Sebenarnya cukup banyak kes begini. Kalangan bomoh dan orang pintar atau paranormal, banyak yang menggunakan teknik ini. Bahkan di suatu tempat seorang kawan beritahu, ada bomoh yang tidak dapat melakukan apa-apa pada suatu malam ketika cuba menghubungi "mentor"nya di kejauhan. Bomoh itu mengatakan, dia mahu menghubungi gurunya di Jawa untuk mengetahui boleh atau tidak malam itu dia melayani pelanggannya yang berhajatkan sesuatu.
"Maaf nak! Bapak bilang dia tidak bisa datang ini malem kerana banyak sekali urusannya di sana!" kata bomoh itu sambil geleng kepala seperti prihatin amat kepada pelanggannya yang datang dari jauh.
Itu yang mengaku terus terang. Kalau mereka yang nak duit, buat apa beritahu boleh datang dan tak boleh datang? Beritahu sahaja, "Siap! Pokoknya ada fulus ya nak?"
Bolehkah roh si mati masuk ke badan seseorang? Menurut kajian, ia hanya menguasai pemikiran seseorang. Arwah tidak memasuki tubuh orang lain. Kalau ada pun ia adalah paksaan atau perintah daripada orang yang mahu menggunakan jin.
Jin dapat menguasai pemikiran seseorang yang dirasuki. "Orang yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila." [al-Baqarah: 275].
Jin boleh berlakon dengan menyerupai seseorang lain tetapi tidaklah sempurna. Dalam kes penampakan ini ia hanya berlaku beberapa detik. Nampak kelibatnya, dan kemudian lenyap. Setelah lenyap baharulah seseorang itu kaitkan penampakan itu dengan orang lain. Percubaan mengaitkan penampakan dengan seseorang yang telah pergi [mati] adalah perkara biasa di kalangan masyarakat kita. Itu yang kemudian timbul cerita, si mati datang ke rumah!
Bangsa jin kafir memang suka memperdaya manusia.Mereka seronok kalau ada orang percaya. Ada cerita mengenai ketaksuban terhadap penampakan ini sampai ke peringkat pelayanan berikutnya. Makhluk itu dilayan dengan membuatkan persembahan atau sajian. Buat acara atau program tertentu yang dikaitkan dengan penampakan itu. Ia hanya sugesti. Bertujuan membuang keseraman agar seisi rumah tidak diganggui oleh kehadiran itu.
Seorang wartawan misteri apabila bertandang dan melayani cerita para pengubat, paranormal, dukun, pawang, bomoh dan sebagainya akan dibawa memasuki dunia mistik yang bukan kepalang hebat. Kekadang sambil bercerita, orang itu akan mengeluarkan satu persatu barang miliknya yang diperoleh daripada makhluk tidak ketahuan. Sudah tentulah dari jin atau pun syaitan tadi.
Ada yang mempamerkan selendang berbau wangi, Ia dikaitkan dengan selendang pemberian Puteri Gunung Ledang atau Pak Sunan Kalijaga. Ada yang menunjukkan batu cincin yang dikatakan hadiah atau tinggalan kelibat lelaki berjubah atau perawan misteri di tengah hutan.
Ada yang menunjukkan keris berbagai ukuran. Keris itu tinggalan makhluk misteri, ia dihadiahkan kepadanya ketika berpetualangan di tengah hutan. Ada yang memasuki perkampungan bunian dan mendapat hadiah dari ketua kampung bunian. Ada yang bawa sesikat pisang. Sambil jalan dia makan dan campak kulit pisang. Anehnya, pisang itu tumbuh serta-merta. Ada yang dapat memetik buah delima, enak rasanya.
Jadinya, kisah tentang jin memang cukup banyak dan terdapat dalam berbagai versi. Terpulang kepada seseorang hendak mengikuti ceritanya atau sekadar bacaan biasa.
Berbalik kepada kes jin merasuki seseorang dan kemudian meminta yang bukan-bukan, maka bukan tidak ada orang melayani permintaan itu. Ada yang minta bunga berbagai jenis, ayam cemani, dan sebagainya [ini versi Jawa].
Islam melarang kita melayani permintaan yang bukan-bukan dari jin. Bahkan bukan tidak ada orang yang hendak mengusir jin terpaksa memanggil jin pendamping untuk mengusirnya. Dia nak usir gangster jin dengan hulubalang jin yang lagi hebat. Dalam bab inilah mereka gunakan khadam jin.
Saudara jin, iaitu syaitan jantan dan betina itu memang ada dalam rumah kita. Kalau tidak buat apa kita disuruh berdoa mengelakkan dari gangguan makhluk itu. Kalau sebuah rumah langsung tidak diperdengarkan bacaan al-Qur'an [istimewanya al-Baqarah], atau hanya putar VCD Hindustani berjam-jam, video seram, konsert K-Pop, putar lagu-lagu rock, atau lagu-lagu klasik sepanjang masa --- maka elok benar makhluk yang kita tidak suka itu bertandang dan berdendang ria.
Nabi sallallahu alaihi wasallam memerintahkan kita agar menerangi rumah kita dengan bacaan al-Quran serta banyakkan berzikir dan bukannya mendengar radio sepanjang masa yang sentiasa memutarkan lagu-lagu yang tak sesuai dengan usia kita. Atau kita megah tampal gambar harimau belang di dinding, tampal gambar model perempuan beraksi atas kereta mewah, maka dalam kondisi begini ia sangat disenangi oleh makhluk-makhluk halus tadi. Jadi, nak salahkan siapa?
Jadi pelik juga ya. Ketika suatu pihak bertungkus lumus menasihat umat agar menjauhkan diri dari syaitan dan jin, ada pula sekelompok umat bersungguh-sungguh benar mahu mengajak jin datang ke rumah. Diajaknya jin tidur dalam bilik [terutama jin perempuan] --- apabila sudah terdesak, tahu pula hendak memanggil mualij supaya menangkap makhluk itu masukkan ke dalam botol supaya ia boleh dihantar jauh ke luar negeri. Nak bunuh tak boleh, sebab jin pun makhluk juga. Tangkap dan buang. Hanya mereka yang mahir dalam dunia penangkapan dan pembuangan jin sahaja yang boleh menceritakan pengalaman mereka yang mengharukan.
Dan bukan cerita yang melucukan, para mualij selalu berkata, mereka dibenci oleh jin jahat. Maklumlah kerjanya melayani repot yang orang buat kepadanya. Kemudian dia menangkap jin itu dihantar ke rumah pasung atau dibuang daerah. Para mualij ini macam polis pula peranannya. Kerjanya memberi nasihat dan amaran kepada jin supaya jangan kacau pengadu. Terjadilah dialog antara mualij dengan jin itu. Macam drama seram. Sudahnya, jin mengalah dan keluar dari mempengaruhi minda pengadu. Inilah menariknya dunia jin.
Kalau kita ikuti seseorang mualij kita akan dengar bagaimana rupa dan bentuk jin itu sebagaimana yang diceritakan oleh para saksi. Bentuknya pelik-pelik. Kelakuan jin juga aneh-aneh. Tidak hairanlah, kisah jin digemari ramai. Tetapi kalau buat filem tentang jin belum tentu pecah panggung. Lagipun, panggung itu sendiri sudah jadi sarang jin sejak mula dibuka, apa nak tengok lagi cerita jin? Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment