Sunday 13 January 2013

HIMPUNAN BERBAYAR

Tidak ada istilah yang sesuai apabila sering timbul fitnah bahawa Pakatan Rakyat mampu menghimpun sedemikian ramai pada setiap sesi perhimpunan, tak kira Bersih atau perhimpunan terbaru di Stadium Merdeka baru-baru ini.
Pihak pemerintah bukan tidak menyedari bahawa PR memang mampu mengundang massa walau di mana pun PR adakan acara dan atas tema apa pun. Bahkan ketika pecah "perang" reformasi di negara kita dulu, berbagai siri perhimpunan telah dilaksanakan dengan jayanya meskipun banyak juga "pertempuran" yang menyebabkan persepsi rakyat terhadap pihak tertentu terus merundum.
Pengajarannya, rakyat dari berbagai lapisan tidak boleh dikasari. Hari ini anda melakukan kekasaran kepada seorang lelaki, dia akan ceritakan perkara itu kepada isteri dan anak-anaknya.
Si anak akan jadikan cerita si ayah sebagai panduan hidup. Ini bukan perkara main-main dalam bab psikologi dan kaedah pembelajaran awal kanak-kanak.
Satu keluarga yang merasa tidak selesa dengan "pasukan" itu, ia akan membekas dan akan merebak kepada jirannya pula.
Jadi, janganlah berkasar kepada orang ramai. Kita tidak tahu latar belakang pendidikan mereka. Kesan psikologi akibat dikasari akan membekas sampai bila-bila.
Imej negatif akan diceritakan dari seorang ke seorang kerana ia adalah pengalaman.
Itu bab persepsi.
Untuk melumpuhkan persepsi, pihak berkenaan kena bertukar sikap. Dalam perhimpunan besar, tidak perlu dikerahkan topi merah dan lori merah yang menggerunkan.
Melihat ikon-ikon ini sahaja persepsi negatif sudah berkembangan dalam minda rakyat.
Sebenarnya orang yang berhimpun akan jadi stress kalau terlalu banyak halangan dibuat. Justeru itu kelonggaran perlu diberikan.
Tindak-tanduk orang yang diberi amanah menjaga keamanan akan tercalar dengan satu dua insiden yang tidak enak dipandang. Percayalah, beribu-ribu orang memandang insiden itu, kalau dipaparkan dalam blog  dan fb maka ia memberi kesan buruk -- rosak imej.
Satu lagi tohmah yang selalu dilemparkan bahawa orang yang datang ramai-ramai itu dibayar supaya hadir ke sesuatu lokasi.
Ini pun sebuah tanggapan negatif. Mungkin yang berpandangan begitu telah biasa atau terlalu biasa mengamalkan bayaran untuk memunggah orang ramai.
Ramai mengetahui bahawa kaedah memunggah orang ramai ini adalah mainan parti pemerintah kerana mereka suka bergaya mewah, acara pun mahu dimewahkan, suka bermajlis mewah, ada muzik dan nyanyian yang dijadikan gula untuk menarik semut-semut rakyat.
Sedangkan pihak Pakatan Rakyat [dan saya juga menjadi semutnya] tidak melihat ada taburan gula pun sehingga orang mahu berkerumun begitu padat. Sebenarnya, setiap rakyat yang datang dari berbagai penjuru sudah muak dengan permainan politik yang dibawa oleh UBN.
Semua orang sudah muak dengan pemborosan, muak dengan rasuah, muak dengan projek besar-besaran dan mengeruk tanah orang miskin, bosan melihat orang tertentu yang dilantik hidup mewah, pendapatan sampai ratusan ribu per bulan. Apa ini?
Tidak malukan kepada rakyat miskin yang pendapatannya RM800 sebulan? Kenapa mahu bermegah dan bermewah dengan harta yang bukan milik sendiri? Kalau bukan kerana payungan dari kepartaian yang berkuasa, jangan harap hendak rasa itu semua.
Kesannya kini -- rakyat paling benci dengan pemborosan. Paling benci orang berlagak mewah setelah memegang sesuatu jawatan, dan ingat kemewahan yang mereka miliki, yang mereka nikmati hanya semata-mata kroni, nepotisme dan salahguna kuasa.
Berbagai isu dan skandal menarik melibatkan wang telah mengecewakan rakyat miskin. Mereka kecewa dengan permainan si kaya yang berkedudukan secara lantikan mempamerkan kekayaan mereka. Mereka lupa dengan penderitaan rakyat.
Rakyat yang turun beramai-ramai dan berhimpun tidak dibayar walau satu sen pun. Malah kalau diminta menghuburkan sumbangan mereka tidak anggap itu satu kesalahan. Agama mengajar mereka menginfakkan hartanya. Berbeza dengan orang yang kedekut hendak mengeluarkan sebahagian dari milik mereka.
Inilah pengajaran yang membekas di kalangan rakyat kecil. Mereka tidak dibayar sebagaimana fitnah dari puak pendukung pemerintah selalu hebahkan dalam media mereka.
Bahkan baru-baru ini, hanya dengan plastik bungkus barang pun, pihak penganjur mampu mengutip wang sehingga  RM289,00! [sila betulkan jika ada maklumat terbaru].
Hasil dari kutipan ini teserlahlah fakta nyata:
  • mereka berhimpun bukan kerana diupah atau dibayar;
  • mereka sanggup menginfakkan sebahagian ringgit yang mereka miliki dengan penuh keinsafan;
  • mereka tidak mendapat bantuan dari dana asing seperti yang selalu difitnahkan;
  • tradisi ini akan menyemaikan semangat kekitaan, ada pengorbanan dan ada penyatuan sehingga untuk sewa lokasi pun para peserta sanggup mengeluarkan wang. Bandingkan dengan anggota parti lain yang mendakwa hebat dan mampu menghimpun rakyat?
Sebenarnya banyak lagi kebaikan dengan cara begini. Tentulah tidak molek kalau perhimpunan itu diadakan secara paksa, sesiapa yang datang akan dibayar, akan diupah, akhirnya menjadi bala kepada sesebuah persatuan atau parti. Semua perlu duit. Gerak sedikit duitnya banyak. Itu sebab orang menyindir, semua ini boleh digerakkan kerana adanya political fund yang menjadi sebutan di kalangan para broker di negara kita.
Sebuah perhimpunan berbayar tidak mampu mengundang massa demikian besar. Berapa banyak dana disediakan untuk menghimpun rakyat hingga ratusan ribu orang? Bayangkan kalau RM150 seorang dibayar untuk berhimpun?
Jika begitu, ia perlukan dana dari orang kaya yang pemurah tapi ada kepentingan. Atau kamu bagi dana untuk kami, nanti kami akan anugerahkan sesuatu untuk anda.
Orang pun rasa pelik, tanpa janji apa-apa, orang tetap berhimpun di Stadium Merdeka. Dapat air mineralkah? Sebungkus kacangkah? Atau sebungkus nasi Arab? Tidak juga.
Semuanya datang dengan kesedaran, bukan janji-janji ditepati seperti yang gelombang biru selalu lakukan. Inilah yang menyebabkan ramai yang rasa terharu ketika berhimpun. Allahu Akbar! []

No comments:

Post a Comment