Thursday 17 January 2013

SAMPAI HATI KENAKAN ORANG

Ada orang yang sanggup mengenakan ilmu kepada orang lain. Di zaman dulu, tugas menyediakan berbagai ilmu untuk dikenakan kepada orang lain memang dikuasai oleh seseorang. Orang itu biasanya berprofesi sebagai dukun atau ada kebolehan mengubat orang.
Kepada orang ini seseorang akan datang dan menyatakan hasratnya untuk mendapatkan ilmu bagi ditujukan kepada seseorang.
Atau kalau tanpa ditujukan pun, dia memberikan ilmu yang fungsinya mengenakan seseorang yang hendak dikenakan.
Apakah masih ada orang yang menganut fahaman kacau ini mengamalkan ilmu bagi dikenakan kepada orang lain? Ada yang sebut ilmu tuju-tuju, santau, santet dan sebagainya. Tergantung kepada pola budaya sesetengah umat.
Lain kelompok lain kaedahnya.
Ada sejenis ilmu yang didakwa sebagai ampuh untuk mengenakan orang.  Ia mengunakan nama yang pelik iaitu Gondo Mayat. Ilmu ini ada kaitan dengan kemayatan.
Ia akan menjadikan seseorang yang dikenakan atau ditujukan ilmu menderita seumur hidup. Selain dihantui dengan berbagai masalah, konon sesiapa yang terkena ilmu dia akan jadi orang bingung, tak boleh tidur,  terseksa lahir dan batin, stress, macam gila tapi tak gila, dan akhirnya matlamat ilmu ini adalah untuk menjadikan orang yang dituju sebagai bangkai bernyawa.
Memang sungguh kejam orang yang sampai hati mengenakan orang lain. Ia adalah amalan iblis. Orang tega melakukan perbuatan keji ini kalau termakan pujukan syaitan. Pendeknya dia sudah fikir habis, apa nak jadi, maka jadilah!
Ilmu yang menyebabkan orang sengsara sepatutnya sudah bungkus di zaman moden ini. Meskipun dikatakan sebagai sebuah ilmu, ia tetap menggambarkan pengamalnya merupakan orang yang tidak berilmu. Orang berilmu tidak tergerak pun hendak mempelajari ilmu yang mengarut begitu.
Sayangnya, masih ada pak dukun moden menyediakan ilmu ini seolah-olah tidak rasa bersalah. Nak cari duit sanggup jual ilmu meskipun ilmu itu langsung tak berguna.
Kemudian dalam dunia kekarutan ilmu ini ada pula ilmu pengasih dan santet sekali. Ia konon paduan antara pengasih dan santet tetapi menggunakan medium api. Ilmu ini konon sangat ampuh untuk menundukkan sesiapa pun yang ditujukan. Dan yang peliknya, ilmu ini juga khusus untuk para wanita yang ingin mendapatkan pasangan lebih dari seorang lelaki. Wah, ini ilmu apa? Mana boleh sampai menduakan suami? Jadi, tidak pelik, apabila sudah termakan pujukan syaitan [pak dukun karut tadi] dia ikut sahajalah asalkan dia mendapat habuan dunia.
Kita selalu baca dalam akhbar tabloid cerita orang kena pukau. Selalunya perempuan berduit. Jumpa lelaki mengadu hal, nak berniaga emas, gandakan duit, atau memang pukau. Ikut sahaja apa yang disuruh, sedar-sedar akaun bank sudah tipis. Memang ada ilmu gendam yang dipelajari orang untuk tujuan mengenakan orang. Ilmu seperti ini pun ada orang pelajari untuk menjadikan orang bingung dan linglung. Apa yang diminta semua diberikan, bukan sahaja duit malah kehormatan sekali. Inilah ilmu gendam namanya.
Akan tetapi anehnya, orang yang "menjual" ilmu mengatakan bahawa ilmu yang membodohkan orang ini adalah ilmu dunia akhirat yang tidak bertentangan dengan agama.
Kalau ilmu itu boleh membodohkan orang dan ikut apa sahaja yang diminta, ia adalah bertentangan dengan agama. Lagipun matlamatnya nak menipu orang atau mengenakan orang lain. Jadi awaslah, gendam ada banyak jenis ada yang jadi dengan cara berjabat tangan; ada yang jadi dengan cara pandangan; ada yang jadi dengan cara tepukan di bahu; ada yang jadi dengan cara sentuhan; dan ada yang boleh gunakan handphone!
Ada lagi benda pelik-pelik yang orang sekarang cari.
Misalnya:
Ilmu kuntilanak [puntianak] -- ilmu ini dicari untuk jual bayi dalam kandungan kepada makhluk ghaib untuk dapatkan duit. Bagaimana caranya? Tidak diketahui, tetapi matlamatnya jual bayi dapat duit.
Ilmu darurat kahwin jin -- apa gunanya? Mereka konon kahwin dengan jin hanya untuk dapatkan duit. Isteri jin akan carikan duit untuk suami.
Ilmu puteri gunung [gunung ledang ke?] konon dengan ilmu dia si pemakai bolehlah kerja di pub, bar, kelab malam dan tempat tarian tiang. Tujuannya nak memikat lelaki kaya, keruk duitnya habis-habisan biar sampai pokai.
Asmara bondan atau pondan agaknya -- gunanya untuk mereka yang suka sesama jenis, jantan cari jantan, betina cari betina, atau istilahnya golongan kaum sejenis. Nak memikat pun gunakan ilmu nampaknya.
Ada pula yang dinamakan rawe rontek, jangan main-main, siapa kena habis gatal-batal seluruh badan.
Daripada sekian banyak ilmu mengarut ini, semuanya salah kepada pencari ilmu. Sudah tahu ilmu yang tak memberi manfaat, buat apa ia dicari? Buat apa ia dicuba-cuba atau nak uji jadi atau tidak.
Oang yang menyediakan ilmu tak guna ini tentulah mereka yang tak berhati perut. Pandai buat slogan yang cantik-cantik, dan yang orang hairan, sampai hati mereka sanggup nak kenakan orang demi nak dapatkan duit yang beberapa lembar. Memang dia seperti tidak takut hukuman dunia, sama juga tidak peduli dengan hukuman di dunia sana. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment