Tuesday 8 January 2013

HANG TUAH KENA BEDIL PORTUGIS

ULASAN tentang watak Hang Tuah masih berlangsung terus. Ia tidak ada titik perhentian.
Sampai bila-bila pun orang akan berwacana tentang tokoh yang entah wujud atau tidak yang bernama Hang Tuah. Sebuah nama pelik yang tidak ada sesiapa pun nak menamakan anak mereka dengan nama begini. Bukan tak ada orang bernama Hang Tuah yang kemudian terkenal. Ada. Tetapi ia tidak menjadi panutan orang lain. Semuanya rasa malu menggunakan nama ini.
Cerita Hang Tuah kata penganalisis karya, ia dikarang setelah Melaka dikalahkan orang luar. Hendak kata apa lagi? Hang Tuah adalah cerita yang disusun demikian rapi atas arahan pihak tertentu [mungkin istana?] bagi memulihkan semangat anak negeri yang "dibelasah" teruk oleh Portugis.
Betapa tidak teruknya, kerana anak negeri tidak terfikir bahawa akan berlaku perang yang tidak seimbang, antara keris yang terhunus dengan bola peluru yang dilemparkan dari mulut meriam.
Melihat kehadiran kapal perang Portugis yang begitu hebat pun orang bukan mahu berperang, tetapi mahu menyaksikan di pantai sambil berpeluk tubuh atau bercekak pinggang.
Mereka hairan ada sebuah kapal yang begitu hebat dan tidak berapa jelas juluran muncung meriam warna hitam yang dihalakan ke pantai Melaka.
Apakah penduduk Melaka masih sanggup bersila mendengar orang baca Hikayat Muhammad Hanafiah atau Hikayat Amir Hamzah yang berjela-jela itu sedangkan musuh sudah berada di sekitar pantai?
Ketika itu, umat Melayu hanya tahu bersilat dan berkeris. Tidak terfikir, musuh datang bawa pedang dan perisai. Tidak terfikir musuh datang bawa meriam. Pada masa itu meriam seperti milik Portugis itu adalah yang paling canggih dan terkini.
Memang, kebal atau tak lut dengan peluru besi sekalipun, tidak ada dalam kamus peperangan. Hang Tuah yang dianggap sebagai wira anak negeri tidak boleh melawan Portugis. Masakan keris hendak menentang meriam berpeluru berat begitu?
Hakikat sebenarnya Hang Tuah tidak mampu melawan Portugis. Umat Melayu baru menyedari bahawa silat tidak boleh digunakan untuk berperang menentang Barat. Bagi menutup kelemahan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu, pengarang Hikayat Hang Tuah terpaksa membuat cerita Hang Tuah dikatakan mati atau menghilangkan diri sebelum kedatangan Portugis kali kedua.
Kekalahan Hang Tuah pahlawan Melayu terbilang tidak terjadi begitu sahaja. Mainan cerita menyebabkan ia jadi lain persepsinya.
Kekurangan dalam diri Sang Pahlawan itu berurutan dan menimbulkan semacam keyakinan mistik. Betapa tidak, ia ditandai dengan jatuhnya mahkota raja ke laut. Entah betul atau tidak, kalau mahkota itu berharga tentu ada orang mencarinya sebagai harta karun.
Kemudian, dikatakan, keris Hang Tuah pula disambar oleh buaya putih. Buaya tidak bermain di tengah laut, tetapi di kawasan yang ada anak sungai, kuala sungai dan pantai bakau. Keris itu disambar buaya putih, ini sudah dikira sebagai buaya yang aneh, jarang ada, dan kalau ada pun adalah buaya siluman. Kalau buaya putih yang menyambar, tentu ada kiasan lain, bahawa ia menyambar kerana hendak menyelamatkan keris itu daripada terbenam di dasar laut.
Sebenarnya, buaya putih itu tidak wujud. Dikatakan buaya putih kerana ia memberi konotasi mistik yang tinggi, ia boleh dikaitkan dengan wujudnya buaya siluman yang sebenarnya ia jelmaan seorang tokoh sakti dari Nusantara [misalnya, terpulanglah kepada anda untuk mereka cerita tentang buaya putih ini].
Dengan keyakinan mistik juga, tanda-tanda "kelemahan" pahlawan itu sudah dipaparkan. Ia seperti ada kaitan dengan jatuhnya mahkota raja dan terlepasnya keris ke laut. Laut menjadi wadah yang menyebabkan Hang Tuah tidak berdaya melawan kuasa yang lebih hebat. Dan memang kuasa Barat itu datang dari arah laut juga.
Hang Tuah yang kita kenal hari ini hidup sebagai nama. Secara konkrit dia telah mati. Kematiannya tidak disebut langsung seperti ada sesuatu yang hendak diselindungkan. Dan makam di Tanjung Kling, Melaka itu hanya replika, bimbang orang pertikai, pahlawan tempatan tetapi tidak bermakam. Tidak bermakam bermakna dia makhluk siluman juga macam buaya putih yang menyambar keris.
Atau [bukankah anda diberi kebebasan melanjutkan kisah buaya siluman] ia telah dilarikan oleh jelmaan buaya putih menuju ke suatu hutan belantara untuk meneruskan kehidupan tanpa protokol dan keistanaan lagi. Tambahan serangan Portugis memang sesuatu yang tidak diduga.
Pada masa dulu orang masih menduga Portugis akan datang dengan senjata seperti keris juga. Tidak mereka sangka, lembing dan pedang juga digunakan selain meriam yang lebih power.
Dalam kitab Hikayat Hang Tuah dipaparkan:
"Maka Tun Tuah pun tiada tersebut lagi di dalam negeri itulah. Tetapinya, kata orang, Si Tuah tiada mati, kerana Si Tuah itu ia hulubalang segala laki-laki dan aulia pada segala laki-laki. Maka sekarang sekali khabarnya Tun Tuah ada di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan." [Kassim Ahmad, HHT, 1964: 525].
Sejak Hang Tuah "kehilangan" mahkota dan kemudian kerisnya [Taming Sari?] dia sudah hilang tumpuan. Nampak, kekuatannya hanya bergantung kepada keris yang dianggap ada pengaruh mistik dalam dirinya, yang mampu membangkitkan tenaga dalamnya, dan itulah mungkin yang menimbulkan kekuatan dalam dirinya untuk melawan.
Sayang sekali, kedua hal itu memberi pengaruh sebenarnya dan kemudian dia pernah jatuh ke laut kerana terkena peluru Portugis. Entah dia terkena atau mengelakkan peluru itu yang menyebabkan Tuah jatuh ke laut. Kalau dikatakan dia kena peluru Portugis, maka dia boleh dikatakan hebat kerana kena peluru tak lut, dia kebal. Dia jatuh ke laut kerana mengelak peluru Portugis.
Mungkin pahlawan Melayu bersampan, sedangkan kapal Portugis menunggu di depannya. Hendak digagahi juga, maka Portugis buat lawak, tembak main-main. Peluru meriam zaman dulu tidak sama seperti peluru meriam hari ini. Sekiranya benar Tuah pernah jatuh ke laut kerana kena peluru meriam Portugis, mungkin dia "tiada mati" kerana kejadian itu. Selepas itu peranannya langsung ditamatkan untuk dikisahkan.
Daripada menyebut Tuah kalah kena bedilan Portugis, lebih baik dikata dia pergi melarikan diri ke hulu Sungai Perak, jadi "raja" dalam hutan. Ini adalah penyelesaian paling selamat.
Dan disebabkan kisah itulah, kita mendengar ada orang cerita mereka pernah jumpa Tuah dalam hutan, duduk bersila di atas batu besar. Masih bertapa. Ada pahlawan moden menemuinya dan hanya melihat bayangannya sahaja. Mereka yang melihat menampakan itu menduga bahawa ia memang sosok Tuah!
Memandangkan Tuah masih "hidup" dalam dunia "siluman"nya maka mudahlah sesiapa sahaja pujangga moden hari ini melanjutkan kisah Hang Tuah dalam versi baru!
Ia masih boleh dikaitkan dengan buaya putih tadi. Malah, dengan bantuan buaya putih juga mahkota raja yang terjatuh dalam laut telah dapat dikembalikan. Sayangnya, istana Melaka tidak berfungsi lagi. Jadi, mahkota itu ada disimpan di suatu tempat rahsia di hulu Sungai Perak.
Buaya putih yang menyambar keris Taming Sari [?] telah bertukar menjadi seorang tua berjubah putih. Setiap hari dia mengajari Hang Tuah mengenai berbagai ilmu syariat. Menasihatkan Hang Tuah supaya berpijak di bumi nyata. Jangan menentang kuasa besar dengan tanpa alat yang sepadan. Ia macam ingatan juga bahawa umat Islam berdepan dengan Israel itu bagaimana padanan senjatanya? Apakah lontaran batu sama dengan senjata api tercanggih?
Dan tanpa diketahui orang pun, Hang Tuah yang disebutkan ini adalah pewarisnya. Janganlah ditanya lebih-lebih tentang leluhurnya yang bernama Tuah itu, nescaya tidak terjawab olehnya.
Begitu juga, janganlah ditanyakan di mana leluhurnya menyimpan keris dan mahkota itu? Mereka tidak tahu langsung. Atau paling tidak, ia telah dibawa lari oleh buaya putih [pulak dah!].
Lepas ini terpulang kepada anda untuk melanjutkan cerita Tuah. []




No comments:

Post a Comment